SEWAKTU Arisya dan Ghan melangkah keluar dari klinik, memeriksa keadaan luka Ghan yang semakin pulih, tiba-tiba nama lelaki itu diseru dari belakang.
Mereka berpaling serentak.
Seorang wanita berdiri tidak jauh dari mereka, wajahnya penuh dengan senyuman.
“Hi, can I talk to you, Ghan?” soal Farisya, matanya tepat memandang lelaki itu.
Dahi Ghan berkerut. “Kenapa tak cakap terus saja?”
Farisya menjeling Arisya seketika sebelum kembali menatap Ghan. “Penting ni. Sekejap je.”
Arisya di sisi sudah jelas berubah air muka.
Ghan menghela nafas sebelum menoleh ke arah isterinya. “Sayang, masuk kereta dulu, ya?”
Dengan wajah mencuka, Arisya menyambut kasar kunci yang dihulurkan Ghan sebelum melangkah ke kereta yang diparkir di hadapan klinik. Pintu kereta dihempas sedikit kuat.
Ghan mengusap tengkuk, sudah boleh agak mood isterinya selepas ini. Dia mengalihkan perhatian kepada Farisya.
“Awak accident ke?” Farisya memandang tangan Ghan yang masih berbalut.
“Sikit saja. Jadi, apa yang penting sangat ni?” Nada suara Ghan kedengaran bosan.
Farisya menarik nafas perlahan. “Arisya masih tak ingat saya ke?”
Ghan mendongak. “Tak. Dia memang tak ingat siapa-siapa.”
Farisya mengeluh perlahan. “Saya Cuma nak jumpa dia… nak minta maaf. Tapi saya risau kalau kehadiran saya cuma merosakkan hubungan korang.”
Ghan menjeling ke arah kereta. Dari luar, dia tidak nampak kelibat Arisya, tapi dia tahu isterinya pasti sedang memerhati.
“Tak perlu ungkit benda yang dah lepas. Aku bahagia dengan kehidupan aku sekarang.” Suara Ghan tegas, tiada lagi nada ingin berbasa-basi.
Farisya mengangguk perlahan sebelum mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya. “Oh, ya! saya nak bagi ni.”
Ghan menyambut sampul putih yang dihulurkan kepadanya. “Apa ni?”
“Kad jemputan kahwin saya. Datanglah dengan Arisya, okey? You both are my special guests… tapi majlis dekat KL.”
Ghan menatap kad itu sebelum mengangkat wajah. “Habis tu, apa yang kau buat dekat sini?”
Farisya tersengih. “Saya datang sebab nak bagi kad jemputan ni lah.”
Ghan mengangkat kening. “Habis tu yang kau berdrama hari tu?”
Farisya tergelak kecil, mengingat kembali insiden itu. “Saja nak test Arisya cemburu ke tak.”
Ghan tersenyum kecil mengimbau kembali kejadian lepas, ternyata kejadian itu menjadi detik perubahan ketara hubungan mereka berdua.
Sebelum berlalu, Farisya melambai kecil tanda perpisahan. “Okeylah, saya gerak dulu. Bye, Ghan!”
Ghan hanya mengangguk sebelum berpaling ke arah kereta. Pintu kereta ditutup.
Arisya memandang skrin telefon pintarnya, langsung tidak menghiraukan kehadiran Ghan di sisi.
Suasana di dalam kereta senyap. Ghan melirik ke arah Arisya yang sudah pun menyumbat kedua-dua telinganya dengan earphones.
Ghan terus menghidupkan enjin dan memandu keluar dari kawasan parkir. Dia tidak menegur isterinya, bimbang mood Arisya masih dalam keadaan tidak baik.
“Sayang…” panggilnya perlahan, tangannya menarik tangan Arisya dengan lembut.
Tiada reaksi.
Ghan tahu hati Arisya sedang terusik, jelas sekali daripada riak wajahnya sejak tadi. Dia mengerti, pertemuannya dengan Farisya tadi pasti membuatkan perasaan isterinya terganggu.
"Sayang…" kali ini, tangan Arisya dikucup berkali-kali.
Arisya masih berlagak tidak peduli. Namun, apabila Ghan tiba-tiba memperlahankan kereta dan memberhentikannya di tepi jalan, dia akhirnya berpaling.
“Kenapa berhenti tepi jalan?” soalnya, kening berkerut.
“Sebab sayang tak dengar abang panggil.”
Tanpa berkata apa-apa, Arisya menarik keluar earphones dari telinganya dan memasukkannya ke dalam beg.
“Abang nak cakap apa?” soalnya tanpa memandang ke arah Ghan.
Ghan menyengetkan tubuhnya sedikit, merapat ke arah Arisya. Dengan perlahan, dia mengangkat dagu isterinya supaya memandangnya.
“Sayang marah ke?” suaranya lembut, penuh perhatian.
Arisya membalas pandangan itu tanpa ekspresi. “Marah sebab apa?”
Ghan mengecilkan matanya, seolah-olah tidak percaya dengan jawapan Arisya. “Sayang jealous ke?”
“Mana ada.” Arisya pantas menafikan, namun matanya melarikan pandang ke luar tingkap.
Senyuman Ghan semakin melebar. “It’s okay, abang faham. Cemburu tanda sayang, kan?”
Wajah Arisya sedikit merah, namun bibirnya tetap mengukir senyuman kecil.
Ghan mengambil sesuatu dari dashboard dan menghulurkannya kepada Arisya.
“Apa ni?” tanya Arisya, mengambil sampul putih itu. Dia membuka perlahan, mengeluarkan sekeping kad jemputan perkahwinan. Nama Farisya dan pasangannya jelas tertera di situ.
Sementara itu, Ghan kembali memandu, membiarkan Arisya membaca kad tersebut.
“Jadi lepas ni, sayang tak perlu risau dah, okey?” usik Ghan, mencuri pandang ke arah Arisya yang masih menatap kad di tangannya.
“Tengoklah.” Arisya akhirnya bersuara, meletakkan sampul ke dalam dashboard.
Ghan mengerutkan dahi. “Tengoklah?”
Arisya menjeling. “Itu baru satu, mana tahu ada yang lain lagi?”
Ghan tergelak kecil. “Haip, abang setia, okey?”
Arisya mengangkat kening, sengaja menguji. “Macam mana sayang nak tahu abang setia?”
Baru sahaja kata-kata itu terlepas dari bibirnya, dia tersentak. Mata Ghan sudah bersinar-sinar dengan senyuman nakal di wajahnya.
“Abang tak dengar la… boleh ulang tak?” usik Ghan, sengaja mengeraskan suaranya.
Arisya menjeling tajam, tetapi rona merah di pipinya semakin jelas. “Tak dengar sudah.”
Ghan semakin tertawa perlahan, melihat isterinya sudah malu-malu dengannya.
“Teruskan… abang okey je.” katanya, masih dengan senyuman menggoda.
Arisya cepat-cepat memandang ke luar tingkap, menyembunyikan senyumannya sendiri.
Walaupun cuba menafikan, dia tahu dia memang cemburu.
“MAMA apa khabar? Semua okey ke?" tegur Arisya dengan senyuman manis sebaik melihat Puan Halimah melangkah masuk ke dalam rumah.
"Alhamdulillah, semua okey. Sya macam mana? Ghan ada buli Sya ke?" soal Puan Halimah berseloroh sambil meneliti wajah menantunya yang tampak lebih ceria dari biasa.
"Ehem!" Ghan berdehem, sengaja mahu menarik perhatian apabila mendengar namanya disebut.
"Oh, ada rupanya," balas Puan Halimah dengan senyuman nakal, baru perasan anaknya muncul entah dari mana.
"Amboi, itu je ucapan untuk anak sendiri?" soal Ghan, berpura-pura tidak puas hati.
Sebagai jawapan, Puan Halimah menampar manja bahu anaknya, membuatkan Ghan mengaduh kecil. Arisya yang melihat telatah dua beranak itu hanya mampu menggeleng sambil tersenyum sebelum berlalu ke dapur untuk menyediakan minuman petang.
Sementara itu, Puan Halimah dan Ghan duduk di sofa, berbual santai.
"Semua okey?" tanya Puan Halimah, suaranya penuh makna.
"Apa yang okey?" Ghan berkerut dahi, tidak faham maksud ibunya.
"Kamu dengan Arisya lah."
Ghan tersenyum sebelum menjawab, "Alhamdulillah... semakin baik."
Puan Halimah mengangguk senang. Kemudian, matanya tertumpu pada tangan Ghan yang masih berbalut. Dengan pantas, dia mencapai tangan anaknya dan meneliti luka tersebut.
"Ni, luka dah okey?"
"Aduh, sakit la mama," rungut Ghan apabila ibunya memegang tangannya agak kasar.
Puan Halimah tersenyum . "Macam ni pun sakit? Macam mana boleh masuk bomba? Pakai kabel ke?" usiknya sambil menjeling nakal.
"Eh, sorry sikit. Mana main kabel pun!" balas Ghan, menjeling geram.
Puan Halimah ketawa kecil, puas dapat mengusik anaknya.
Ketika itu, Arisya muncul dengan dulang berisi minuman dan kuih-muih.
"Jemput minum dulu," pelawanya sambil meletakkan dulang di atas meja kopi.
Sebaik sahaja cawan kopi dituangkan, pintu rumah terbuka.
"Assalamualaikum..." terdengar suara Encik Ahmad yang baru pulang dari kandang haiwan.
"Waalaikumsalam," sahut mereka serentak.
"Abah, minum sekali," jemput Arisya, menambah satu lagi cawan kopi untuk bapa mentuanya.
"Alhamdulillah... terima kasih," balas Encik Ahmad, mengambil tempat di sisi isterinya.
Dia tersenyum puas, hatinya lega melihat perubahan sikap Ghan terhadap Arisya. Dalam diam, dia mendoakan kebahagiaan rumah tangga anak tunggalnya itu berkekalan hingga ke akhir hayat.
Share this novel