BUNYI jeritan Arisya dari dapur menarik perhatian Ghan yang sedang memberi makan kepada arnab di luar rumah. Tanpa berlengah, dia segera berlari masuk ke dalam rumah, mencari isterinya.
Matanya membulat apabila melihat Arisya berdiri di atas meja makan dengan wajah cemas.
“Sayang? Kenapa jerit?” soal Ghan cemas, mendekati isterinya.
“Panggil bomba cepat!” jawab Arisya, masih dalam keadaan panik.
Ghan berkerut dahi. “Bomba? Nak buat apa?”
Arisya dengan tangan menggeletar menunjuk ke arah belakang pintu dapur yang terbuka.
“Tu…” katanya tersekat-sekat.
Ghan mengalihkan pandangan ke arah yang dimaksudkan. “Ada apa?”
“Macam buaya tu…” Arisya semakin cemas.
Ghan yang tadinya risau tiba-tiba tergelak kecil. “Macam buaya? Maksud sayang, biawak?”
“Aaa… ye kot! Cepatlah call bomba!” Arisya berkeras.
Namun, bukannya telefon yang dicapai, Ghan sebaliknya mencapai penyapu yang berhampiran pintu sambil tersengih.
“Eh, nak buat apa tu?” soal Arisya, geram melihat suaminya begitu relaks.
“Nak halau tetamu tak diundang,” jawab Ghan selamba, lalu menarik daun pintu.
Seperti yang dijangka, seekor biawak sederhana besar yang bersembunyi di belakang pintu itu meluru keluar, terkejut dengan kehadiran Ghan yang mengacahnya dengan penyapu.
“Abang! Bahaya lah!” marah Arisya, hatinya masih berdebar.
“Dah, pergi main jauh-jauh,” bebel Ghan sambil menolak biawak itu keluar dari kawasan rumah. Setelah memastikan reptilia itu sudah jauh, dia menutup kembali pintu dapur dan meletakkan penyapu ke tempat asal.
Ghan menoleh ke arah Arisya yang masih tercegat di atas meja. “Dah, jom turun,” katanya, sambil menghulurkan tangan.
Arisya menyambut tangan suaminya dengan hati-hati, menuruni meja ke atas kerusi, sebelum menjejak lantai.
“Ini kalau almari dekat dengan meja, abang rasa sayang dah panjat tadi,” usik Ghan dengan senyuman nakal.
Arisya menjeling. “Biar la. Sya suruh call bomba je kan? Kenapa tak call?”
Ghan tersenyum . “Buat apa nak panggil bomba yang jauh kalau yang dalam rumah dah ada?”
Arisya mengerutkan dahi. “Maksud abang?”
Ghan tidak menjawab, sebaliknya menarik pinggang Arisya, merapatkan tubuh mereka. “Sayang memang tak ingat ke abang kerja apa?”
Arisya menggeleng perlahan.
Ghan tersenyum sebelum menarik tangan isterinya menuju ke ruang tamu. Mereka berhenti di hadapan dinding yang dipenuhi dengan pelbagai bingkai gambar.
“Sayang tak pernah tengok ke gambar-gambar yang ada dekat sini?” soal Ghan lembut.
Arisya memandang satu persatu gambar yang tergantung. Matanya kemudian terhenti pada satu gambar,gambar pernikahan mereka berdua. Lama dia merenungnya.
Ghan memerhatikan wajah isterinya dengan penuh kasih. “Sayang okey ke?” tanyanya sambil mencuit pipi Arisya.
Arisya tersentak, lalu tersenyum kecil. “Okey.”
Tapi jauh di sudut hati, dia tahu ada sesuatu yang dia masih cuba ingat sesuatu tentang Ghan, tentang mereka… dan tentang perasaannya sendiri.
BUNYI cengkerik yang bersahutan di malam hari tidak mampu menghilangkan keresahan yang bersarang dalam hati Ghan. Dia duduk termenung di luar rumah, seorang diri, selepas selesai makan malam.
Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa, namun fikirannya tetap berserabut.
"Jauh termenung? Apa lagi yang dirisaukan tu?"
Suara Encik Ahmad mengejutkan Ghan dari lamunan. Ayahnya muncul tiba-tiba dan terus melabuhkan punggung di kerusi rehat di sebelahnya.
Ghan menghela nafas panjang. "Abah rasa... kalau Sya ingat balik semuanya, dia masih nak terima Ghan ke?"
Encik Ahmad tersenyum kecil, memahami kegelisahan anaknya. "InsyaAllah... semuanya akan baik-baik saja."
Namun, jawapan itu masih tidak cukup untuk menghilangkan kebimbangan Ghan. Dia mendongak ke langit gelap, mencari ketenangan dalam kerdipan bintang.
"Kalau masih risau juga," sambung Encik Ahmad, "abah rasa... kena ada sesuatu yang boleh jadi pengikat hubungan kamu berdua."
Ghan mengerutkan dahi. "Pengikat? Maksud abah?"
Encik Ahmad hanya tersenyum penuh makna. "Renung-renungkan..." katanya sebelum tertawa kecil dan bangun meninggalkan Ghan yang masih terpinga-pinga.
Ghan termenung sejenak, cuba mencari maksud di sebalik kata-kata bapanya.
"Pengikat? Apa? Takkanlah abah maksudkan..." Ghan terhenti seketika, sebelum tersentak sendiri.
"Hish, takkanlah nak suruh guna-guna pulak? Astaghfirullahalazim!"
Dia menggeleng kepala sendiri, ketawa kecil dengan fikirannya yang mengarut. Namun jauh di sudut hati, dia tahu maksud ayahnya mungkin lebih mendalam daripada itu.
Pintu bilik ditolak perlahan. Dalam suramnya cahaya lampu tidur, Ghan melihat Arisya terlena dengan album gambar di sisinya. Wajahnya nampak tenang, tetapi ada kesan letih di mata barangkali terlalu lama cuba mengingat semula masa lalu yang masih kabur.
Ghan melabuhkan punggung di birai katil. Perlahan-lahan, dia menarik album gambar dari genggaman Arisya tanpa mahu mengejutkannya. Satu per satu halaman diselak, setiap gambar menyimpan cerita tentang mereka, tentang kisah yang pernah menjadi nyata.
Tanpa sedar, matanya berkaca. Satu titisan air mata jatuh ke pipi.
“Kenapa menangis?”
Suara lembut Arisya mengejutkannya. Entah bila isterinya terjaga, kini dia pula yang merangkul Ghan dari belakang, dagunya bertenggek di bahu suaminya.
Ghan menggenggam tangan Arisya yang bertaut di dadanya. "Abang minta maaf…"
“Sya tak pasti apa salah abang, tapi Sya dah maafkan.” Arisya tersenyum kecil, tangannya mengusap perlahan lengan suaminya.
Ghan menoleh sedikit, menatap wajah Arisya dalam redupnya cahaya. Dia mengusap pipi isterinya dengan penuh kasih. “Thank you, sayang.”
Arisya tersenyum, menikmati sentuhan lembut itu. “Kalau Sya nak balik KL nanti, abang ikut ke?” soalnya, sekadar ingin mengusik.
Ghan menggeleng dengan senyum manis yang menampakkan lesung pipitnya. "Cuti abang dah nak habis. Kalau nak ikut, kena tunggu cuti lain kali lah.”
Arisya pura-pura mencebik. “Hmm… dekat luar abang senyum macam ni jugak ke?”
Ghan mengangkat kening. "Kenapa?"
Arisya menjeling. "Nanti ramai yang terpikat pulak.”
Ghan tersengih. "Ohh… jadi sayang risau abang mengorat perempuan lain, ya?"
Arisya merenung tajam. “Salah ke?”
Ghan ketawa kecil. Wajah cemburu Arisya kelihatan terlalu comel di matanya. Dengan nakal, dia mencubit lembut pipi isterinya.
“Sakit la…” Arisya menggosok laju pipinya, memuncungkan bibir.
Ghan hanya tersenyum lega. Dalam banyak perkara yang dia risaukan, ada satu yang pasti selagi mereka masih boleh bergurau dan ketawa begini, hubungan mereka masih ada harapan untuk terus utuh.
Share this novel