PULANG BAB 39 : UJIAN

Romance Completed 15562

SETELAH Arisya melangkah masuk ke dalam kereta bersama suaminya usai urusan di klinik, telefon pintarnya tiba-tiba berdering. Nama yang tertera di skrin membuatkan bibirnya mengukir senyuman kecil. Arish, kembarnya. Dengan pantas dia menjawab panggilan itu.

“Hello, Along. Ada apa telefon ni?” soalnya penuh ingin tahu.

Ghan sempat menjeling sekilas sebelum kembali menumpukan perhatian pada jalan. Tangan kirinya erat menggenggam stereng sementara mulutnya terkunci, membiarkan isterinya berbual.

“Aku nak bagitahu ni, kami rancang nak ke sana melawat kau hujung bulan nanti,” ujar Arish dengan nada ceria, menyampaikan khabar yang tak disangka-sangka.

Arisya tersenyum, namun rasa ingin tahunya terusik. “Kami? Siapa je yang datang?” tanyanya untuk kepastian.

“Aku, ayah, dan ibu sekali,” balas Arish, suaranya hangat dan penuh kerinduan.

Senyuman di bibir Arisya sedikit pudar. Dia menghela nafas perlahan sebelum menjawab, “Okey, nanti apa-apa rojer je.”

Setelah panggilan tamat, Ghan mencuri pandang ke arahnya. “Kenapa?” soalnya, perasan perubahan riak wajah isterinya.

“Along nak datang sini,” jawab Arisya, cuba mengukir senyuman. Namun, debar di dada tak mampu disembunyikan.

“Eloklah tu. Ibu dengan ayah datang juga ke?”

Arisya terdiam seketika sebelum mengangguk perlahan. “Datang juga, Along cakap tadi.”

Ghan memahami resah yang terukir di wajah isteri tercintanya. Tanpa berlengah, tangannya mencapai tangan Arisya, menggenggam erat seolah-olah ingin menitipkan kekuatan.

“Insya-Allah, ibu rindu dengan anak perempuan dia yang makin comel ni,” ujarnya lembut, sambil menarik lembut pipi isterinya.

Arisya tersentak. “Comel? Abang nak cakap sayang gemuk ke?” soalnya dengan nada separuh merajuk. “Gemuk pun sebab abang jugak.”

Ghan tergelak kecil, melihat wajah isterinya yang sedikit cemberut. “Punyalah jauh beza comel dengan gemuk tu,” katanya masih tersenyum, matanya penuh kasih sayang.

Arisya menjeling tajam, namun di sudut hatinya, dia tahu dia kalah. Tanpa sedar, bibirnya turut menguntum senyuman. Dalam setiap usikan Ghan, dia menemui cinta yang sentiasa menenangkan.

SEPERTI yang dijanjikan, Ghan membawa Arisya bersiar-siar di tepi pantai pada hari itu.

Pinggang Arisya dirangkul erat oleh suaminya sambil mereka menyusuri pantai. Deruan ombak yang bergema menenangkan jiwa Arisya yang resah.

“Terima kasih, sayang,” ucap Ghan dengan penuh kasih.

“Untuk apa?”

“Hadir dalam hidup abang dan bersabar dengan perangai abang yang entah apa-apa dulu,” luah Ghan, ada nada kecewa dalam suaranya.

Arisya tersenyum lembut. “Tahu tak kenapa sayang boleh bagi peluang?”

“Kenapa?”

“Walaupun sayang tak pernah terfikir untuk kahwin dengan abang, pernah jugak frust dengan abang tapi sepanjang perkahwinan abang tetap jalankan tanggungjawab walaupun tak sepenuhnya. Dan yang paling penting, abang tak pernah berkasar secara fizikal dengan sayang,” jelas Arisya, menjawab persoalan yang selama ini mungkin bermain di fikiran suaminya.

“Lagi?”

Arisya menghentikan langkahnya, lalu menoleh memandang wajah Ghan dengan senyuman nakal terukir di bibirnya.

“Lagi satu… sebab sayang dah curi first kiss abang kot,” katanya sambil tertawa kecil.

Ghan tersengih lebar mendengar jawapan isterinya. Hatinya tersentuh, namun dia tetap membalas dengan nada berseloroh, “Pandai eh main curi-curi, nasib baik abang tak tuntut balik.”

“Tak apa, sekarang dah boleh tuntut dah” balas Arisya seraya menarik pipi suaminya .

“Tahu tak berbulan-bulan abang tak dapat tidur sebab tu?” ujar Ghan mengimbau kembali pengalaman kerja yang paling rare dia lalui.

Kedua-duanya ketawa bersama, menghayati momen indah yang mengeratkan lagi hubungan mereka.
Ghan menyimpan kata-kata Arisya dalam hati. Hatinya tekad untuk terus memperbaiki diri demi isteri tercinta.

Arisya terdiam, tiba-tiba bayang masa lalu yang menghantui jiwanya seolah-olah enggan pergi. Nafasnya turun naik perlahan, cuba mengawal gejolak hati.

"Tapi... kalau Farisya..." Bisiknya, seperti takut kepada jawapan yang mungkin menghancurkan hatinya sendiri.

Ghan segera mengangkat jari, meletakkannya di bibir Arisya, lembut tetapi tegas. " Jangan biarkan nama itu menghantui kita lagi." Nada suaranya rendah, namun penuh ketegasan, seperti satu janji yang tidak akan dikompromi.

Mata Arisya mula berkaca, tetapi dia pantas menyembunyikan kerisauannya di sebalik senyuman kecil. Perlahan-lahan, dia merangkul lengan suaminya dan memeluk seolah-olah takut kehilangannya. Kepala dilentokkan pada bahu lelaki itu, mencari perlindungan yang hanya Ghan mampu berikan.

"Abang..." suaranya serak, hampir tidak kedengaran.

Ghan memandang Arisya, matanya dipenuhi kasih yang tidak pernah pudar. "Sayang, abang sentiasa berdoa setiap malam, minta dengan Allah SWT untuk tetapkan hati abang hanya untuk sayang hingga ke akhir hayat. Abang harap sayang pun sudi membina hidup yang Allah SWT redha bersama abang"

Arisya mengukir senyuman. Kata-kata itu menusuk ke dalam jiwanya, menghapuskan bayangan masa lalu yang membelenggunya. Perlahan-lahan dia mengangguk. Air mata yang tadinya ditahan akhirnya jatuh, tetapi kali ini, ia bukan lagi kerana kesedihan.

Ia adalah air mata kelegaan, kebahagiaan dan cinta yang mendalam. Dia memandang Ghan, bibirnya melakar senyuman penuh syukur. Masa lalu kini hanya tinggal bayangan dan di hadapannya adalah lelaki yang telah berjanji untuk mencintainya hingga ke akhir waktu.

ANGIN malam berhembus lembut di restoran tepi pantai, tetapi hati Arisya berasa berat. Dia mengusap perutnya perlahan, merasakan kehangatan nyawa kecil yang sedang membesar di dalam dirinya. Ghan duduk di sisinya, sesekali menatapnya dengan pandangan penuh kasih.

"Sayang penat?" tanya Ghan, mengusap belakang tangannya.

Arisya menggeleng sambil tersenyum kecil. "Tak, cuma rasa tenang duduk sini dengan abang."

Tapi ketenangan itu tidak bertahan lama.

Langkah seseorang menghampiri meja mereka, dan sebelum Arisya sempat mengangkat wajah, suara lembut tetapi tajam kedengaran.

"Encik Ghan."

Ghan mengerutkan dahi. Arisya menoleh, melihat seorang wanita yang berdiri di hadapan mereka dengan penuh keyakinan. Berpakaian kemas, wajah cantik dengan sepasang mata tajam yang memancarkan sesuatu yang sukar ditafsirkan.

Arisya belum pernah melihatnya sebelum ini.

"Siapa awak?" soal Arisya sebelum Ghan sempat bersuara.

Wanita itu tersenyum, tetapi ada sesuatu yang aneh pada senyumannya. "Saya Nadia. Saya bekerja di satu balai cuma berlainan unit dengan suami awak."

Jantung Arisya berdegup kencang.

"Awak ni siapa dan ada hal apa?" Soal Ghan pelik.

"Saya cuma nak bercakap sesuatu dengan isteri awak," balas Nadia tenang.

Arisya menegakkan tubuhnya, merasakan perutnya mengeras sedikit. Firasa buruk menyelubungi dirinya.

Nadia tersenyum kecil sebelum membongkok sedikit, mendekati Arisya.

"Saya sukakan suami awak."

Dunia terasa berhenti.

Arisya terpaku, matanya membulat. Nafasnya terasa tersekat di kerongkong.

"Tolong jangan buat kecoh, Cik Nadia," Ghan bersuara tegas.

"Tapi saya tak buat kecoh, encik Ghan," balas Nadia, matanya penuh maksud. "Saya cuma nak beritahu isteri awak kalau satu hari nanti awak tinggalkan dia, saya ada. Saya akan sentiasa ada."

Tangan Arisya mengepal di sisi. "Awak tahu saya mengandung, kan?"

Nadia tersenyum sinis. "Tahu. Dan itu tak ubah perasaan saya."

Arisya tersentak. Matanya mencari mata Ghan, menuntut jawapan. "Abang kenal dia?"

Ghan menghela nafas panjang. "Abang cuma cam muka dia saja sebab pernah terlibat beberapa aktiviti di balai tapi tak pernah pun sampai nak bagi sebarang harapan pada dia, sayang."

"Tapi awak tak pernah hentikan saya," potong Nadia, kali ini suaranya sedikit beremosi. "Saya tahu awak lelaki yang baik. Saya tahu awak tak curang. Tapi awak tak pernah nafikan bahawa kita ada keserasian di tempat kerja. Saya tahu saya membuatkan awak selesa, kan?"

Arisya bangkit dari tempat duduknya dengan wajah merah padam. "Selesa?" Suaranya bergetar. "Selesa dengan perempuan lain ketika isteri dia sedang mengandung?"

Perutnya terasa mencucuk, tetapi kemarahannya lebih kuat.

Ghan segera berdiri, memegang bahu Arisya dengan cemas. "Sayang, Ini tak seperti yang dia cuba sampaikan."

Nadia memandang mereka dengan wajah penuh maksud. "Tak apa, encik Ghan. Saya faham. Dia isteri awak. Tapi percayalah, suatu hari nanti, kalau awak berubah fikiran… saya ada."

Sebelum Arisya sempat bertindak, Ghan sudah melangkah ke hadapan, nadanya berubah dingin dan penuh amaran.

"Cik Nadia, ini kali terakhir awak bercakap tentang hal ini. Saya dah ada isteri, dan saya akan terus bersama dia sampai bila-bila. Tak kira apa yang terjadi, hati saya tak akan berubah."

Nadia menelan liur. Kali ini, senyumannya mulai pudar.

"Baiklah," katanya perlahan. "Tapi kita tak pernah tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan, kan?"

Arisya menahan nafas, menekan perutnya yang semakin terasa mencucuk-cucuk.

Nadia berpaling dan berlalu pergi, meninggalkan sepasang suami isteri yang masih terkejut dengan apa yang baru berlaku.

Arisya menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. Tapi sebelum sempat dia berkata apa-apa, tubuhnya tiba-tiba terasa ringan.

Kepalanya berpusing. Pandangannya kelam.

"Abang…"

Ghan sempat menyambutnya sebelum tubuhnya rebah. "Sayang!"

Nafasnya turun naik, peluh membasahi dahinya.

"Sayang, bertahan! Kita pergi hospital sekarang!"

Di tengah kekalutan itu, hanya satu perkara bermain di fikiran Arisya.

Adakah Nadia hanya satu ujian… atau petanda badai yang lebih besar bakal melanda rumah tangganya?

ARISYA membuka matanya perlahan. Bau antiseptik memenuhi deria, dan langit-langit putih hospital menyambut pandangannya.

Perutnya…

Tangan Arisya segera mengusap perutnya dengan penuh debar. Masih ada. Masih terasa degupan kecil di dalamnya.

“Alhamdulillah…” bisiknya, air mata bergenang di tubir mata.

Tiba-tiba, genggaman hangat di tangannya membuatkan dia menoleh.

Ghan.

Lelaki itu duduk di sisi katil dengan wajah cemas tetapi penuh kasih. Matanya merah, mungkin kurang tidur atau terlalu risau.

“Sayang…” suaranya serak. “Alhamdulillah, semuanya selamat.”

Arisya mengangguk, air mata jatuh di pipinya. “Abang…” Dia menggenggam tangan suaminya erat. “Anak kita?”

Ghan mengusap belakang tangannya penuh kasih. “Doktor kata tekanan darah sayang naik. Nasib baik abang sempat bawa ke hospital. Baby kita sihat, tapi doktor nasihatkan sayang kena banyak berehat.”

Arisya menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya.

Ghan meraih tangannya, membawanya ke bibir lalu menciumnya lembut. “Sayang… maaf sebab abang buat sayang risau. Abang patut lebih tegas dari awal.”

Arisya menggeleng.

Ghan menatapnya dalam, seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu yang lebih mendalam dari sekadar kata-kata. “Sayang kena tahu satu perkara.”

Arisya diam, mendengar.

“Abang takkan pernah berpaling. Hanya ada satu wanita dalam hidup abang, dan itu adalah sayang”

Air mata Arisya jatuh lagi. Kali ini bukan kerana kesedihan, tetapi kerana bahagia.

Ghan tersenyum kecil, ibu jarinya menyapu pipi isterinya dengan penuh kelembutan. “Abang tak kisah kalau dunia cuba goyah kan abang. Abang cuma kisah kalau abang kehilangan sayang.”

Arisya tersenyum di sebalik linangan air mata. “Sayang pun tak kisah kalau dunia cuba pisahkan kita. Sebab sayang tahu abang takkan lepaskan sayang.”

Ghan mengangguk, memegang wajah isterinya dengan penuh kasih. “Sampai akhir hayat.”

Tanpa sedar, perut Arisya bergerak sedikit, seolah-olah bayi mereka turut memberi jawapan.

Ghan ketawa kecil. “Rasa tu? Anak kita pun setuju.”

Arisya turut tertawa di sebalik tangisannya.

Di luar bilik hospital, angin malam bertiup lembut. Ujian datang dan pergi, tetapi ada satu perkara yang mereka pasti,cinta mereka lebih kuat dari segalanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience