PULANG BAB 41 : MAAFKAN

Romance Completed 15562

PERKELAHAN keluarga di pantai menjadi pilihan mereka bersama. Seawal Subuh, Puan Halimah dan Puan Zahira sibuk di dapur menyediakan makanan untuk dibawa. Ghan, seperti biasa turut membantu di dapur, khususnya untuk menyediakan bekalan buat isterinya, Arisya.

“Eh, masak lagi? Kan mama dengan ibu dah masak tadi,” tegur Puan Zahira apabila melihat menantunya sibuk memasak.

“Itu untuk isteri kesayangan dia. Sya cuma boleh makan masakan Ghan saja,” seloroh Puan Halimah sambil tertawa kecil.

“Oh, macam tu.” Puan Zahira tersenyum. Hatinya terasa tenang mengetahui Arisya dilayan dengan baik sepanjang berada di sini.

“Anak-anak gembira, kita pun tumpang gembira,” sambung Puan Halimah, suaranya lembut namun penuh makna. Hatinya lega melihat kehidupan anak dan menantunya kini jauh lebih baik. Dahulu, dia sendiri pernah hilang harapan untuk kebahagiaan mereka.

“Alhamdulillah…” Puan Halimah menghela nafas panjang, matanya mula terasa hangat.

Di sudut dapur, Ghan memberi isyarat mata kepada Puan Halimah. Tanpa berlengah, dia mendekati Puan Zahira yang sedang asyik mengemas bakul bekalan.

“Kadang-kadang, walaupun kita ibu bapa, tak semestinya kita perlu tunggu anak-anak datang cari kita dulu. Kalau kita sedar kita pernah tersilap langkah, tak salah kalau kita yang memulakan untuk minta maaf,” pesan Puan Halimah, menepuk lembut bahu besannya.

Puan Zahira mengangguk perlahan, matanya berkaca. Dia mengesat air mata yang mulai jatuh, terasa pesan itu menusuk ke hatinya.


“SAYANG, tidur balik ke?” soal Ghan sambil melangkah masuk ke dalam bilik. Dilihatnya Arisya masih berbaring di atas katil, matanya tertumpu pada skrin telefon yang berada di tangan.

“Pagi-pagi dah layan kartun sayang ni. Nanti baby keluar terus boleh speaking Japanese,” usik Ghan sambil menyandarkan tubuh di sebelah Arisya.

“Okeylah tu. Banyak bahasa boleh faham,” balas Arisya ringkas, pandangannya masih tidak beralih dari skrin.

Ghan tertawa kecil. Tangannya perlahan-lahan diletakkan di atas perut Arisya yang mengiring ke posisi kiri.

“Sayang, abang nak tanya sikit ni,” ujar Ghan dengan nada teragak-agak.

“Apa dia?” tanya Arisya, kali ini pandangannya sedikit beralih ke arah Ghan.

“Sayang tak nak cakap dengan ibu ke?” Soal Ghan sambil merenung wajah Arisya dari sisi.

Arisya terdiam sejenak sebelum menjawab dengan soalan “Kenapa nak kena cakap dengan orang yang tak mengaku sayang ni anak dia?”

Ghan berdehem perlahan.

“Hmm..tak nak bagi ibu peluang macam sayang bagi abang peluang ke?” balas Ghan perlahan, cuba berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan isterinya.

Arisya diam lama. Akhirnya dia menjawab dengan nada berkias “Usaha tangga kejayaan.”

Ghan memahami maksud tersirat dalam kata-kata isterinya. Dia tahu Arisya bukan sekadar mahu mementingkan diri sendiri, tetapi dia ingin memberi mesej bahawa kemaafan bukanlah sesuatu yang mudah dan seharusnya perlu dihargai.

Tanpa berniat untuk memanjangkan perbincangan, Ghan memilih untuk diam. Dia tahu, jika salah langkah, isterinya mungkin akan merajuk dan terus enggan keluar bersama mereka.

ANGIN laut bertiup lembut, membuai pohon rhu yang melambai tenang berhampiran pantai. Di persisiran, Arish dan Arisya berjalan beriringan. Lengan Arish dirangkul erat oleh Arisya menandakan keakraban antara mereka.

Dari kejauhan, Ghan hanya memerhati. Dia sengaja memberi ruang kepada Arish untuk memujuk Arisya.

"Kau okey ke sekarang?" tanya Arish, menyedari langkah Arisya lebih perlahan dari biasa.

Arisya menoleh, menjawab dengan nada tenang tetapi tajam, "Kau nampak aku macam tak okey ke?"

Arish tersenyum kecil. Melihat perubahan dalam hidup Arisya dan Ghan, dia yakin kedua-duanya kini berada dalam fasa bahagia.

"Kau tu macam mana? Tak nak kahwin?" usik Arisya sambil tersenyum nakal.

Arish mengangkat kening, tersenyum. "Aku akan kahwin bila keluarga kita bersatu dan bahagia, macam kau sekarang." Katanya sambil menepuk perlahan tangan Arisya yang masih melingkar di lengannya.

Arisya diam seketika. Kata-kata Arish seperti menyentuh sesuatu dalam dirinya. Dia menghela nafas berat.

"Kenapa orang lain yang kena datang pujuk aku untuk maafkan? Aku yang buat salah ke?" ujar Arisya tiba-tiba, meluahkan keresahannya. Tangannya melepaskan pegangan pada lengan Arish sebelum dia melangkah laju ke hadapan meninggalkan abangnya.

Arish mengeluh, memahami perasaan adik kembarnya itu. Tanpa berlengah dia segera mengejar Arisya.

Dari jauh, aksi dua beradik itu menarik perhatian ahli keluarga mereka yang sedang berbual santai di bawah pohon beralaskan tikar.

Melihat keadaan itu, Ghan bangkit dan melangkah mendekati Arisya yang semakin jauh.

"Sayang..." panggil Ghan lembut mendekati isterinya. Namun, Arisya terus berjalan tidak menghiraukan panggilan suaminya.

Ghan akhirnya menarik tangan Arisya dengan perlahan cuba menenangkannya.

"Kenapa? Datang nak suruh maafkan jugak ke? Kenapa orang lain yang kena bersusah-payah merayu untuk dimaafkan?" Arisya meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan nada kecewa.

Ghan tidak menjawab. Sebaliknya, dia memeluk erat tubuh isterinya. "Relaks, okey? Abang faham," bisiknya dengan nada menenangkan.

Arisya menghela nafas, cuba meredakan perasaannya yang sedang bergelora. Ghan terus mengusap perlahan belakang isterinya tanpa jemu.

Bahu Ghan disentuh lembut dari belakang. Dia menoleh, mencari tahu siapa yang menyentuhnya.

Puan Zahira tersenyum lembut.
"Sya... boleh ibu cakap dengan Sya?" tanya Puan Zahira perlahan, nada suaranya penuh pengharapan.

Arisya masih menyembunyikan wajahnya di dada Ghan, tubuhnya kaku seolah-olah melawan emosi yang bergelora.

"Hmm..." gumamnya pendek tanpa mengangkat pandangan.

Puan Zahira menarik nafas panjang sebelum bersuara, nadanya lirih tetapi penuh ketulusan.

"Ibu nak minta maaf... sebab ibu gagal jadi ibu yang terbaik untuk anak-anak ibu."

Arisya tidak memberi reaksi, tetapi genggamannya pada baju Ghan semakin erat.

"Ibu sedar, ibu terlalu pentingkan diri sendiri... sampai abaikan perasaan Sya," sambung Puan Zahira, air matanya mula bergenang. "Ibu tak nak kehilangan anak-anak ibu. Ibu tahu, bila ibu dan ayah dah tak ada nanti... doa dari anak-anak ibu yang paling penting."

Kata-kata itu membuat hati Arisya semakin rapuh. Tanpa dapat ditahan, air matanya mula membasahi baju suaminya.

"Sayang..." panggil Ghan perlahan, cuba menenangkannya.

Perlahan-lahan, Arisya mengangkat wajahnya dari dada Ghan, matanya yang basah bertemu pandangan ibunya.

"Sya boleh maafkan ibu?" tanya Puan Zahira dengan suara serak, sambil memegang kedua tangan anaknya.

Pandangan mereka bertaut. Di mata Arisya, ada campuran rasa lega, rindu dan luka yang akhirnya menemui ruang untuk sembuh. Selama ini, hanya kata-kata itu yang ditunggu keluar dari mulut ibunya.

Puan Zahira terus memandang dengan harapan yang tinggi, menunggu jawapan yang mampu meredakan rasa bersalah yang sekian lama bersarang di hatinya.

Tanpa berkata apa-apa, Arisya melangkah mendekat dan memeluk Puan Zahira erat. Tangisannya pecah di bahu ibunya, seolah-olah melepaskan segala duka yang selama ini tersimpan.

Melihat itu, Ghan tersenyum lega. Di kejauhan, Arish yang baru tiba mendekati mereka. Tanpa ragu, dia turut memeluk dua wanita istimewa dalam hidupnya. Di bawah langit redup, kehangatan kasih sayang kembali menyatukan mereka.

ANGIN malam berbisik lembut di celah langsir. Rumah yang Arish sewa untuk percutian keluarga itu sunyi dalam damai. Hanya bunyi kipas siling yang berputar perlahan, sesekali diselang bunyi cengkerik di luar. Arisya dan Ghan turut sertai keluarga mereka.

Arisya menyandar tubuh di kepala katil. Tangannya mengusap perlahan perut yang makin membulat. Di sisi, Ghan baru keluar dari bilik air, menyarungkan baju tidur sambil menatap isterinya.

“Penat?” tanya Ghan, duduk di tepi katil.

“Tak sangat. Cuma banyak benda yang Sayang fikir,” balas Arisya jujur, suaranya rendah.

Ghan memandang wajah isterinya. Wajah itu nampak tenang, tapi di sebalik matanya, dia tahu masih ada gelombang perasaan yang belum reda.

“Pasal ibu?” teka Ghan.

Arisya angguk perlahan.

“Sayang... tak sangka ibu minta maaf depan semua orang. Tapi dalam hati ni, ada rasa takut. Takut kalau semua tu sementara. Takut kalau Sayang buka hati, nanti terluka lagi.”

Ghan mengangguk, memahami sepenuhnya. “Tak salah kalau Sayang perlukan masa. Yang penting… Sayang dah beri ruang. Itu dah cukup besar untuk permulaan.”

Arisya bersandar pada bahu suaminya.

“Abang rasa… ibu betul-betul ikhlas ke?” soalnya, hampir berbisik.

“Abang rasa, tak semua orang sanggup rendahkan ego kalau bukan sebab dia betul-betul mahu baiki hubungan. Ibu sayangkan anak dia, cuma mungkin sebelum ni… dia tak tahu cara nak tunjukkan.”

Arisya diam. Lama. Kemudian dia mengangguk perlahan.

Ghan tersenyum, lalu mencium ubun-ubun isterinya.

“Abang pun rasa, baby dalam rahim ni mesti seronok dengar mama dia dah tenang.”

Arisya tergelak kecil, lalu meletakkan tangan suaminya ke atas perutnya.

“Dengar tu, baby. Mama tengah belajar jadi lebih kuat... untuk kita semua.” ujar Ghan berbisik di perut isterinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience