GHAN termenung di tempat duduk pemandu. Enjin kereta masih menyala, tetapi fikirannya melayang jauh. Jemarinya menggenggam stereng dengan kuat, seolah-olah itu saja yang mampu menghalangnya daripada tenggelam dalam rasa bersalah yang menghimpit dada.
Bunyi ketukan di cermin menyentakkannya.
"Ghan!"
Puan Halimah berdiri di luar, mengetuk dengan sedikit kuat. Wajahnya penuh dengan kebimbangan.
"Kamu okey ke tak ni? Mama ketuk macam nak pecah cermin kereta kamu ni! Dah la cermin gelap!" bebel Puan Halimah sambil mencekak pinggang.
Ghan menghela nafas berat. "Ghan okey."
Namun, jawapannya begitu perlahan. Nada suaranya lemah, seakan tidak yakin dengan apa yang diucapkan.
Dia melepaskan genggaman pada stereng dan menyandarkan dahinya di situ.
Seolah-olah tidak lagi mampu meneruskan hidup tanpa Arisya di sisinya.
Puan Halimah semakin risau melihat keadaan anak lelakinya. "Ada masalah apa lagi?"
Ghan menoleh. Wajahnya suram, matanya kosong.
"Sya merajuk… pasal Farisya."
Puan Halimah terkedu seketika. "Sya dah ingat Farisya? Dia ingat semua?"
Ghan menggeleng. "Tak… tapi dia terjumpa surat lama, cincin lama… Dan baru-baru ni, Farisya pulak muncul depan kami."
Mata Puan Halimah membulat. "Lepas tu?"
Ghan meraup wajahnya, suaranya rendah dan penuh sesal. "Sya nampak Farisya peluk Ghan."
Puan Halimah ternganga sebelum wajahnya berubah geram. "Kamu ni dah kenapa, Ghan? Kalau mama pun, mama mengamuk!" Nada suaranya naik seoktaf.
Ghan cepat-cepat mengangkat tangan, cuba mempertahankan dirinya. "Ghan tak jangka lah, ma! Ghan terus tolak dia masa tu!"
Namun, Puan Halimah menggeleng. "Mama tak nak campur. Tapi jangan sampai mama sendiri yang pulangkan balik Sya dekat family dia!" Nada itu bukan sekadar amaran tapi ugutan.
Wajah Ghan berubah. "Ma, janganlah sampai macam tu…"
Matanya memandang penuh sayu. "Mama nampak kan… Ghan sayang Sya?"
Puan Halimah menghela nafas panjang, cuba mengawal perasaan. "Kalau sayang, buat cara sayang."
Tanpa menunggu balasan, dia terus masuk ke dalam kenderaannya, meninggalkan Ghan yang masih terkaku dalam penyesalan.
Angin petang bertiup perlahan.
Namun, Ghan tahu badai dalam rumah tangganya baru saja bermula.
TOK! TOK!
"SAYANG, dah bangun ke?"
Ghan berdiri di luar pintu kamar, menanti dengan debar. Dia masih teragak-agak untuk terus masuk, bimbang isterinya masih merajuk.
"Dah…"
Suara Arisya kedengaran perlahan dari dalam, tetapi dia masih berbaring malas di atas katil.
"Jom makan."
Seperti biasa, Ghan mengajaknya bersarapan bersama. Namun, dia sudah dapat meneka jawapan yang bakal diterima.
Arisya mengeluh lemah. "Tak nak. Makanlah, Sya tak lapar."
Ghan mendengus kecil. "Dari semalam lagi sayang tak makan, kan? Jom la, nanti sakit perut."
"Biarlah…" Kedengaran suara Arisya perlahan sebelum dia menarik selimut, menutupi seluruh kepalanya.
Ghan akhirnya mengambil keputusan untuk menolak daun pintu. Dari situ, dia dapat melihat tubuh kecil Arisya yang masih berselubung di atas katil. Perlahan-lahan, dia mendekati dan duduk di birai katil.
"Sayang… jom la makan."
"Tak lapar la." Mata Arisya masih terpejam rapat. Suaranya kedengaran mendatar, seolah-olah tidak mahu diganggu.
Ghan tersenyum kecil. "Ke nak abang suap?"
"Tak nak." Pendek sahaja jawapan Arisya, tidak mahu melayan.
Ghan menghela nafas sebelum menyelak selimut tebal itu. Tangan Arisya dicapai, digenggam erat.
"Jom. Jamah sikit saja, okey? Kalau tak nak makan dekat rumah, kita makan dekat luar."
Arisya diam seketika sebelum akhirnya membuka matanya perlahan-lahan. "Hmm… Sya nak pergi tempat yang selalu Sya pergi."
Ghan mengerutkan dahi. "Mana?"
Arisya menatap wajah suaminya dengan pandangan penuh teka-teki. "Entah. Abang takkan tak tahu?"
Senyuman kecil terukir di bibir Ghan. "Okey, bersiap sekarang."
Dalam diam, dia merasa lega. Sekurang-kurangnya, Arisya sudah mahu berinteraksi dengannya.
Arisya pantas bangun dan mencari pakaian yang mahu dipakai. Dia mahu mencari sesuatu… sesuatu yang mungkin mampu mengembalikan memorinya yang hilang.
HARUMAN bunga ros segar menusuk hidungnya sebaik melangkah keluar dari kereta.
Arisya berdiri tegak, menarik nafas dalam-dalam, menikmati wangian itu.
"Wanginya…"
Dia yang kelihatan manis dalam set baju kurung cotton bermotif bunga halus berwarna ungu lembut, menyempurnakan penampilannya dengan shawl yang senada. Secara kebetulan, Ghan juga memilih T-shirt berwarna ungu, seolah-olah mereka berpakat.
Ghan tersenyum sambil menyentuh hidungnya sendiri. "Wangi kan? Bau bunga ros fresh lagi ni… bagus untuk tenangkan mood orang yang tengah stress."
Dia kemudian menghulurkan tangan, menarik jemari Arisya supaya berjalan beriringan dengannya.
Arisya hanya menurut, membiarkan dirinya hanyut dalam suasana pagi yang mendamaikan. Matanya melilau memerhati sekeliling, menikmati keindahan taman yang dipenuhi bunga-bungaan segar.
"Kita duduk sini, okey?" Ghan menarik kerusi untuk Arisya di sebuah meja berhampiran kolam ikan yang turut dihiasi dengan angsa putih yang berenang perlahan.
Arisya melabuhkan punggung tanpa banyak bicara. Pandangannya kini terarah kepada keletah ikan dan angsa di dalam kolam. Adakalanya, dia tersenyum sendiri.
Ghan memerhati dalam diam.
Arisya seperti berada dalam dunianya sendiri, dia tidak mahu mengganggu.
Tapi dia rindukan suara isterinya.
Tangannya perlahan-lahan merangkul jemari Arisya, menggenggamnya lembut.
"Sayang…"
Tiada respon.
"Sayang…"
Masih tiada.
Ghan tersenyum nakal sebelum tiba-tiba menarik hidung Arisya.
"Hey sayang!"
Arisya tersentak. "Kenapa?"
Dia menggosok hidungnya yang kemerahan, merenung Ghan dengan wajah geram.
Ghan ketawa kecil. "Makan dulu, nanti sambung tengok angsa tu lagi."
Dia menolak pinggan berisi waffles coklat dan secawan hot chocolate ke hadapan isterinya.
Arisya mengerutkan dahi. "Eh, bila abang order?"
Ghan mengangkat kening. "Jauh sangat mengelamun…"
Dia mencapai cawan kopinya, menghirup perlahan sambil memerhati wajah isterinya dengan penuh kasih.
Arisya mencebik sebelum mencapai cawan hot chocolatenya, meniup perlahan sebelum menghirup dengan berhati-hati.
Ghan tersenyum melihat gelagatnya. "Okey tak tempat ni? Kalau okey, tiap-tiap hari abang bawa sayang ke sini."
Arisya mengangguk perlahan. Dia rasa tenang di situ.
"Sayang suka nature, kan?"
Ghan bersandar santai. "Jadi lepas ni kita cari tempat-tempat yang mesra alam je. Baru mood sayang selalu okey."
Arisya tidak membalas. Dia hanya tersenyum.
Namun, dalam hatinya, dia tahu sesuatu.
Dia sudah lupa tujuan asalnya datang ke sini.
Dia mahu mencari kenangan.Namun yang dia temui Adalah ketenangan.
“Sayang…do you love me?” Soal Ghan menggengam tangan Arisya. Mata Arisya direnung tajam.
Arisya terpana, dia tidak segera menjawab soalan Ghan. Hatinya masih berbelah bagi saat Farisya muncul pada tempoh hari.
“You love me or Farisya ?” Soal Arisya kembali menanti reaksi Ghan apabila nama Farisya disebut.
“Ghan tersenyum dan tidak teragak-agak untuk membalas. “Of course la I love you sayang”
Arisya mengecilkan mata dan mendekatkan sedikit wajahnya pada Ghan. “Are you sure?”
Ghan turut mendekatkan wajahnya dengan Arisya yang terhalang dengan meja makan bulat di restaurant ros itu. “Ye sayang. Abang yakin 1000%”
“Hmm..okey” balas Arisya kembali duduk menyandar pada kerusi.
“Itu je?” Ghan membeliakkan matanya.
“Sya tak yakin” sejujurnya Arisya risau dia hanya menjadi orang ketiga antara Ghan dan Farisya.
“Sebab?” Ghan menongkat dagu memandang Arisya.
“Sebab Farisya” keningnya diangkat sambil tangan sibuk mencapai ais ketul dengan Straw didalam gelas minuman kedua yang dipesan.
“Kenapa dengan dia?” Soal Ghan melihat kelakuan Arisya dihadapannya.
“Maybe Sya hanya jadi penghalang antara abang dengan dia?” jawab Arisya lalu menyuap ais ketul ke dalam mulut.
“Tak. Dia sendiri yang jodohkan kita, mana mungkin sayang pulak jadi penghalang. Lagi pun, dia dah ada pasangan sendiri” terang Ghan terkebil-kebil memandang Arisya dengan agak seriau melihat Arisya menggigit ais.
Arisya hanya tersenyum nipis.
“It’s okey, abang tak paksa. Sayang terima bila sayang dah ikhlas…” Ucap Ghan lembut memandang Arisya.
“Tak sakit ke gigi tu gigit ais?” sambung Ghan lagi sambil menggigit jari sendiri. Arisya hanya menggeleng kepala.
Share this novel