PULANG BAB 1: BAYANGAN DALAM MIMPI

Romance Completed 15562

KUCHING INTERNATIONAL AIRPORT

Gema pengumuman memenuhi ruangan lapangan terbang yang sibuk. Dalam kesibukan orang ramai yang mempunyai destinasi masing-masing, Arisya menolak troli bagasinya keluar dari balai ketibaan. Dia baru sahaja selamat tiba dari Kuala Lumpur International Airport, seorang diri.

Arisya memilih untuk bercuti ke bumi Kenyalang selepas berbincang dengan keluarga. Bukan sekadar mahu merehatkan diri, tetapi kerana satu sebab yang dia sendiri tidak dapat fahami sudah hampir sebulan dia termimpikan tempat ini, seolah-olah ada sesuatu yang menantinya di sini.

KRING! KRING!

“Assalamualaikum, ibu. Sya baru sampai dekat airport ni,” jawabnya sebaik sahaja menjawab panggilan ibunya.

“Waalaikumsalam. Ibu dah booking kereta untuk jemput Sya ke hotel. Sekejap lagi ibu hantar butiran kereta tu.”

Arisya mengeluh kecil. “Lah, kenapa susah-susah? Sya boleh buat sendiri la.”

“Tak apalah. Ibu risau. Sya masih belum pulih sepenuhnya lagi,” balas Puan Zahira tegas dalam kelembutannya.

Arisya diam seketika sebelum mengalah. “Baiklah, ibu.”

Dia menunggu di luar pintu ketibaan, matanya melilau mencari kenderaan yang disebut ibunya.

“Assalamualaikum… Arisya Hajar.”

Suara lelaki dari belakang membuatkan Arisya berpaling pantas. Pandangannya terus bertembung dengan sepasang mata yang tajam tetapi redup, seolah-olah menyimpan seribu cerita. Ada sesuatu dalam lirikan mata itu yang membuat hatinya bergetar aneh.

“Saya nak jemput Arisya pergi ke hotel,” ujar lelaki itu.

Arisya tersentak sebelum mengangguk laju, menolak troli bagasi ke arahnya.

“Biar saya tolong,” lelaki itu mengambil alih troli daripada tangan Arisya sebelum dia sempat membantah.

BAM!

Pintu kereta ditutup rapat. Arisya melabuhkan punggung di tempat duduk belakang, membuang pandang ke luar tingkap. Perasaannya bercampur-baur. Jantungnya berdetak lebih laju dari biasa, tetapi dia tidak tahu kenapa.

“Ehem.”

Setelah beberapa minit dalam kesunyian, lelaki itu berdehem perlahan. “Ibu dah pesan supaya saya drive untuk Arisya sepanjang berada di sini,” katanya.

Arisya mengerutkan dahi. “Ibu?”

Lelaki itu tersentak sebelum cepat-cepat membetulkan kata-katanya. “Maksud saya, ibu Arisya.”

Arisya menghela nafas perlahan. “Tak apa. Saya pandai drive sendiri. Nanti saya cari kereta sewa saja,” katanya, mencapai telefon pintarnya.

“Tak boleh!” balas lelaki itu sedikit tegas.
Arisya mengangkat muka, tidak puas hati. “Kenapa?”

Lelaki itu mengetap bibir. “Sebab... Arisya di bawah tanggungjawab saya sepanjang berada di sini.”

“Hah?!”

Ghan menghela nafas panjang sebelum berkata, “Cuba Arisya call ibu.”

Arisya menjeling sebelum mendail nombor ibunya. Dia mendengar ibunya membebel lembut di hujung talian, menyuruhnya tidak banyak soal dan mengikut sahaja apa yang diatur. Akhirnya, dia akur.

Ghan tersenyum kecil tetapi hanya seketika. Hatinya berombak kuat. Dia cuba menahan air matanya daripada jatuh.

Sebab dialah, Arisya perlu lalui semua ini.

SETIBANYA di hotel, Ghan membawa masuk bagasi Arisya ke biliknya. Langkahnya tenang, namun dalam hatinya ada sesuatu yang bergetar.

“Malam nanti lepas Isyak saya jemput untuk bawa pergi dinner,” katanya sambil meletakkan bagasi di tepi pintu.

Arisya sekadar mengangguk. “Okey.” Suaranya pendek, datar, tanpa nada.
Tanpa menunggu lebih lama, dia melangkah masuk dan menutup pintu. Tiada ucapan terima kasih, tiada senyuman. Cuma sebuah reaksi kosong yang membuatkan dada Ghan terasa dihimpit sesuatu yang sukar digambarkan.

Dia berdiri di hadapan pintu yang kini menjadi penghalang di antara mereka. Tangannya perlahan-lahan menekan dada, menggenggam bajunya sendiri. Nafasnya berat. Ada sesuatu yang berselirat dalam fikirannya, sesuatu yang selama ini cuba dinafikan.

Sekilas, dia memejam mata.
Kenapa hatinya terasa begini?
Kenapa satu reaksi kecil daripada Arisya boleh mengganggu perasaannya sebegini rupa?

Bibirnya menguntum senyum pahit.
Akhirnya, dengan satu helaan nafas panjang, dia melangkah pergi. Namun, langkah itu terasa lebih berat daripada biasa.


MALAM ITU.

Seperti yang dijanjikan, Ghan membawa Arisya ke sebuah restoran yang cukup terkenal dengan hidangan autentik tempatan. Aroma makanan yang menggoda memenuhi ruang, disertai dengan alunan muzik yang dimainkan secara langsung.

Sebaik melangkah masuk, langkah Arisya terhenti seketika. Matanya liar memerhati sekeliling, seolah-olah mencari sesuatu yang tidak pasti. Perasaan aneh menyelinap ke dalam hatinya, namun dia memilih untuk mengabaikannya.

Mereka duduk di meja yang terletak di sudut restoran, sedikit jauh dari kesibukan pelanggan lain. Setelah selesai membuat pesanan, Ghan bersuara, “Nanti Arisya send lokasi yang nak pergi sepanjang berada di sini. Saya akan uruskan.”

Arisya bersandar pada kerusinya, memandang Ghan dengan wajah tidak puas hati. Ghan tersenyum seraya mengangkat keningnya.

“Okey, fine!” kata Arisya akhirnya, mencapai telefon pintarnya.

Ghan tersenyum kecil. Walaupun dia tahu Arisya tidak suka dikawal, dia lega kerana sekurang-kurangnya gadis itu mengalah.
Namun, senyumnya perlahan-lahan pudar apabila soalan yang sudah lama bermain dalam fikirannya akhirnya keluar dari bibirnya.

“Kenapa Arisya datang sini?”

Arisya mengambil masa sebelum menjawab. Jari-jarinya bermain di permukaan meja, seperti sedang mengatur kata.

“Saya nak cari sesuatu.”

Dahi Ghan berkerut. “Cari apa? Barang? Pakaian? Atau makanan best?” Dia cuba menjadikan suasana lebih ringan.

Namun, Arisya menggeleng perlahan. “Saya nak cari seseorang.”

Ghan terdiam. Jantungnya mula berdegup lebih kencang.
“Seseorang?”

Arisya mengangguk perlahan, matanya sempat bertaut dengan mata Ghan sebelum dia melarikan pandangannya. “Ya. Seseorang yang selalu muncul dalam mimpi saya.”

Tangan Ghan yang berada di bawah meja mengepal erat. Nafasnya terasa semakin berat.

“Siapa?” tanyanya, suaranya hampir berbisik.

Arisya menghela nafas panjang, cuba mengumpulkan cebisan ingatan yang terasa kabur. “Saya tak pasti...”

Ghan menelan liur. Perasaannya berkecamuk. Rasa takut dan cemas menyelubungi dirinya, namun dia cuba mengekalkan ekspresi tenang di wajahnya.

Apakah Arisya mula mengingati sesuatu?

Atau lebih tepat lagi… seseorang?

Ghan menggigit bibir, menahan gelora dalam dadanya. Matanya merenung ke dalam cawan di hadapannya, cuba mencari kekuatan untuk menghadapi kemungkinan yang tidak diinginkannya.
Kerana jika benar apa yang dia takutkan, mungkinkah dia akan kehilangan ?

Sepanjang makan malam, perbualan mereka hambar. Arisya hanya menjawab sepatah dua kata, lebih banyak menumpukan perhatian pada hidangan di hadapannya. Ghan pula, walaupun cuba berlagak biasa, hatinya semakin gelisah.

“Lepas ni nak terus balik hotel?” tanyanya perlahan.

Arisya meneguk air sebelum mengangguk. “Hmm.”

Ghan menghela nafas. Rasa berat di dadanya semakin menekan. Dia harus tahu sejauh mana Arisya mengingati masa lalunya.

Setibanya di hotel, Arisya menurunkan tingkap sedikit, membiarkan angin malam menyapa wajahnya. Matanya melayang ke luar, melihat bangunan-bangunan yang diterangi cahaya lampu.

“Arisya.”

Suara Ghan memecah keheningan.

“Hm?”

“Apa yang buat Arisya yakin… seseorang yang Arisya cari tu ada di sini?”

Arisya diam sebentar sebelum bersuara, “Sebab mimpi tu terlalu nyata.”

Mata Ghan merenung lurus ke hadapan. Jarinya mengetuk stereng perlahan, cuba mencerna kata-kata Arisya.

“Dalam mimpi tu… apa yang Arisya nampak?”

Arisya mengeluh kecil. “Saya nampak… saya di sebuah rumah, dikelilingi arnab. Ada seseorang berdiri di sebelah saya. Tapi saya tak nampak wajah dia. Saya cuma rasa dia sangat penting dalam hidup saya.”

Degupan jantung Ghan semakin laju. Tangannya menggenggam stereng lebih erat.

“Rumah? Arnab?”

Arisya mengangguk.

Kerongkong Ghan terasa kering. Dia menelan liur. Gambaran yang diberi sama seperti kawasan rumahnya.

'Saya cuma rasa dia sangat penting dalam hidup saya.'

Kata-kata itu terngiang-ngiang ditelinga Ghan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience