BEBOLA mata Arisya bergerak perlahan di sebalik kelopak yang tertutup. Dalam genggaman tangan Ghan, jemarinya sedikit menggeliat, memberi isyarat bahawa dia sedang berusaha untuk kembali ke dunia nyata.
Ghan tersentak. Telefon bimbit yang dipegangnya segera diletakkan ke tepi.
"Arisya?" panggilnya perlahan, penuh harapan.
Mata Arisya terbuka sedikit, namun tiada fokus. Pandangannya kosong, menatap siling tanpa sebarang reaksi.
Jantung Ghan berdegup kencang. Dia segera bangkit dan menekan butang pemanggil doktor. Tidak lama kemudian, doktor bersama jururawat masuk ke dalam bilik dan terus melakukan pemeriksaan rapi. Cahaya suluhan kecil diarahkan ke mata Arisya, menilai tindak balas anak matanya.
"Macam mana keadaan isteri saya, doktor?" soal Ghan, suaranya sedikit bergetar.
Doktor tersenyum kecil, memberikan keyakinan.
"Alhamdulillah… buat masa ini, keadaan Puan Arisya adalah normal bagi pesakit yang baru sedar dari koma. Dia perlukan masa untuk pulih sepenuhnya. Insya-Allah, semuanya akan kembali seperti sediakala secara perlahan-lahan."
Ghan mengangguk. Dia menghela nafas lega, walaupun kegusaran masih bersisa.
Sebaik doktor dan jururawat beredar, dia kembali duduk di birai katil. Matanya tidak lepas daripada wajah Arisya, yang kini kembali terpejam.
Tangannya mengusap perlahan jemari isterinya, menggenggamnya dengan penuh hati-hati.
"Abang harap Sya tak lupakan abang…" bisiknya perlahan, hampir tidak kedengaran.
Dengan penuh kelembutan, dia menyisir rambut Arisya ke belakang telinga, seakan-akan ingin mengembalikan setiap memori yang mungkin pudar dalam ingatan isterinya.
Namun, jauh di sudut hatinya, satu kebimbangan lain mula berakar.
Bagaimana jika Arisya tidak ingat apa-apa tentangnya? Atau lebih buruk lagi… bagaimana jika Arisya memilih untuk melupakannya?
RUMAH KELUARGA ARISYA
Usai Solat maghrib, Puan Zahira menolak perlahan buaian besi yang didudukinya, matanya jatuh pada anak lelakinya yang termenung di sebelah. Angin malam yang sepoi-sepoi bahasa mengusap lembut pipinya, tetapi hati masih berbuku dengan persoalan yang belum terjawab.
"Macam mana, Arish? Jadi ke?" soalnya, nada suara penuh harapan.
Arish berpaling, keningnya berkerut tanda bingung. "Jadi apa?"
"Cerai adik kamu lah." Puan Zahira menampar perlahan bahu anaknya, geram melihat reaksinya yang seolah-olah tidak memahami maksudnya.
Sudah beberapa hari sejak Farisya datang berjumpa dengannya, mengaku segalanya dan meminta maaf. Sejak itu, Puan Zahira mula memandang situasi ini dari sudut berbeza. Dia tidak menyangka bahawa selama ini dia lebih banyak menekan Arisya daripada memahami keinginannya sendiri.
Namun, dia masih keliru kenapa kini Arish pula yang berubah fikiran?
"Hmm…" Arish menggaru kepalanya, tersengih kecil.
"Yang kamu tersengih tu kenapa?" Puan Zahira memandangnya dengan wajah tidak puas hati.
"Kita bagi peluang kedua untuk Ghan."
Puan Zahira tersentak. "Sebab?"
Dahulu, Arish yang paling beria mahu memisahkan adiknya daripada lelaki itu. Kini, dia pula yang mempertahankannya.
Arish menarik nafas dalam sebelum bersandar, matanya merenung langit malam. "Trust me, ibu. Insya-Allah, dia akan tebus kesalahan dia."
Puan Zahira diam, tidak membalas.
Arish menoleh ke arahnya, kali ini dengan nada lebih serius. "Tapi lepas ni, ibu kena sokong minat Angah. Cukuplah Arish seorang yang tunaikan kemahuan ibu. Biar Angah bahagia dengan pilihannya sendiri."
Dia menggenggam tangan ibunya, cuba memujuk dengan lembut. "Ibu tak nak tengok dia gembira?"
Puan Zahira terkedu. Kata-kata Arish benar-benar menyentuh hatinya. Dia terdiam lama sebelum akhirnya menghela nafas dan mengangguk kecil, senyum menguntum di bibirnya.
Arish melonjak gembira, tanpa menunggu lama dia bangun dan mengucup dahi ibunya penuh kasih. "Terima kasih, ibu!"
Dia berlari masuk ke rumah, menuju ke arah kunci kereta.
"Nak pergi mana?" Puan Zahira bertanya apabila melihatnya bergegas ke arah Mini Cooper miliknya.
Arish tersenyum sambil membuka pintu kereta. "Hospital."
“Tak nak makan dulu ke?”jerit ibunya.
“Makan la dulu” balas Arish.
Enjin dihidupkan, dan dalam sekelip mata, kenderaannya meluncur pergi ke arah destinasi yang sudah jelas di hatinya.
GHAN membasahkan kain tuala kecil dalam bekas berisi air suam, pergerakannya perlahan dan cermat. Setiap hari, dia memastikan Arisya sentiasa bersih, mengelap wajah dan tangan isterinya dengan penuh perhatian. Setiap kali masuk waktu solat, dia mengambil wuduk untuk Arisya dan mendoakan kesembuhan isterinya tanpa jemu.
Arisya sesekali membuka mata, namun hanya untuk beberapa saat sebelum kembali tenggelam dalam dunianya yang sunyi. Dia masih belum memberi sebarang tindak balas pada sesiapa, seolah-olah jiwanya masih terapung antara sedar dan tidak.
TOK! TOK!
Ghan mengangkat kepala apabila pintu diketuk. Arish melangkah masuk, melihat sekilas keadaan adiknya sebelum mendekati katil.
"Arisya tak bangun ke hari ni?" soal Arish, suaranya sedikit perlahan, seakan tidak mahu mengganggu adiknya yang masih terbaring.
"Tadi ada sekejap, lepas tu sambung tidur balik," jawab Ghan, melipat surat khabar yang baru sahaja dibacanya.
Arish menarik nafas sebelum berjalan ke tingkap, matanya memerhati pemandangan bangunan tinggi yang berdiri megah di luar.
"Kau stay sini sampai bila?"
Ghan mengeluh perlahan, menongkat dagu sambil matanya tidak lepas daripada wajah Arisya. "Aku kena balik segera. Ada hal emergency dekat tempat kerja."
Arish menoleh, melihat ekspresi sugul di wajah adik iparnya. "Jangan risau, aku ada untuk jaga Arisya."
Ghan menggeleng perlahan, senyumannya hambar. "Aku bukan risau pasal tu. Aku risau kalau dia betul-betul sedar nanti, aku pula tak ada di sini… dia ingat aku tak ambil kisah pasal dia."
Nada suaranya sarat dengan kegelisahan. Dia tidak mahu Arisya tersalah sangka lagi. Tidak mahu ada jurang yang lebih dalam antara mereka.
Arish tersenyum kecil, menepuk bahu Ghan. "Tak adalah. Aku boleh explain dekat dia nanti. Lagipun, kau balik sebab tanggungjawab. Dia akan faham."
Ghan hanya mampu mengangguk, namun jauh di sudut hatinya, dia tahu hanya ada satu cara untuk membuktikan perasaannya bukan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan.
Semalaman, Ghan tidak melelapkan mata. Dia duduk di sisi Arisya, matanya enggan terpejam walau hanya seketika. Hatinya risau, takut terlepas saat isterinya sedar dari lena panjangnya.
Akhirnya, saat malam semakin sunyi, dia bangun, mengambil wuduk, dan bersujud kepada Tuhan. Dalam tahajud yang penuh pengharapan, dia memohon bukan hanya untuk kesembuhan Arisya, tetapi juga untuk peluang kedua. Peluang untuk menjadi suami yang lebih baik, lebih bertanggungjawab.
UHUK!
Suara batuk halus menyentak lamunannya. Ghan berpaling pantas. Matanya terbuka luas melihat Arisya tersedak.
"Sayang okey ke? Nak air?" soalnya cemas.
Arisya hanya mengangguk lemah. Tekaknya terasa perit dan kering.
Ghan segera menuang air mineral ke dalam gelas, membawa ke bibir Arisya dengan penuh hati-hati. Arisya meneguk perlahan, kemudian menghulurkan gelas kembali tanpa sebarang reaksi. Matanya melilau ke sekeliling wad, seperti sedang cuba memahami di mana dia berada.
TOK! TOK!
Pintu bilik diketuk sebelum doktor bertugas masuk bersama seorang jururawat.
"Selamat pagi, Puan Arisya. Awak rasa macam mana?" soalnya mesra sambil menyuluh anak mata Arisya dengan lampu kecil.
Arisya hanya mengerutkan kening, tidak membalas.
Doktor menoleh ke arah Ghan. "Saya dah semak rekod Puan Arisya dari awal kemalangan. Memandangkan dia ada kecederaan di kepala dan baru sedar dari koma, ada kemungkinan ingatan dia terganggu."
Ghan menegang. "Maksud doktor?"
Doktor menarik nafas sebelum menjelaskan, "Amnesia. Tapi jangan risau, biasanya keadaan ini bersifat sementara. Puan Arisya cuma perlukan sokongan keluarga, terutamanya daripada encik sebagai suami, untuk bantu pulihkan ingatannya."
Ghan terkaku di tempatnya. Matanya jatuh ke wajah Arisya, namun pandangan isterinya masih kosong tanpa emosi, tanpa memori tentang siapa dirinya di sisi wanita itu.
Setelah doktor dan jururawat beredar, Ghan masih duduk termenung di tepi tingkap, melihat pemandangan cahaya lampu. Dia cuba mencerna kenyataan yang baru diterima.
"Awak."
Suara perlahan itu membuatkan Ghan berpaling pantas. Arisya sudah bangun sedikit dari pembaringan, matanya tertumpu ke satu arah.
"Kenapa?" soal Ghan segera mendekat.
"Ada tandas?" Soal Arisya mencari kedudukan tandas.
Ghan tersenyum kecil. Walau dalam keadaan sakit, Arisya masih mahu berdikari.
Ghan mencapai botol IV drip yang tergantung, dia menekan butang untuk menghentikan aliran seketika.
"Pegang botol ni. Biar abang angkat Sya, kaki Sya masih lemah."
Belum sempat Arisya membantah, tubuhnya sudah berada dalam pelukan Ghan. Dia hanya menurut, membiarkan dirinya digendong ke bilik air.
Di dalam kepalanya, masih kosong. Tiada ingatan siapa lelaki ini. Tapi entah kenapa, pelukannya terasa… selamat.
Share this novel