PULANG BAB 9 : FLASHBACKS 6 GERAM

Romance Completed 15562

BUNYI deruan air terjun yang menghempas batu mencipta irama semula jadi yang menenangkan hati Arisya. Dia melangkah perlahan, duduk di atas batu dan dengan penuh hati-hati, melunjurkan kakinya ke dalam air yang jernih dan sejuk. Sesaat kemudian, keluhan kecil terlepas dari bibirnya, menikmati kesejukan yang meresap ke dalam kulit.

Dari kejauhan, Ghan hanya memerhati gerak-geri Arisya. Dia masih tidak faham mengapa wanita itu sanggup menggantikan tempat Farisya, memenuhi permintaan yang tidak masuk akal itu. Namun, Arisya kelihatan begitu tenang, seolah-olah kehadirannya di sini lebih daripada sekadar memenuhi janji.

Di atas batu itu, Arisya tersenyum kecil. Jari-jarinya menelusuri skrin telefon, matanya tertancap pada video lama memori ketika dia masih seorang doktor praktikal di zoo. Gelak tawanya bersama rakan-rakan, interaksi dengan haiwan yang dirawatnya semuanya terasa jauh, namun begitu dekat di hati.

Masa berlalu tanpa disedari. Hampir dua jam Ghan membiarkan Arisya tenggelam dalam dunianya sendiri, tetapi langit mulai merangkak senja. Menyedari waktu yang semakin lewat, Ghan yang sejak tadi berteduh di bawah pokok akhirnya bangun dan melangkah mendekati Arisya.

“Sya, jom balik,” panggilnya agak kuat, namun deruan air terjun menelan suaranya. Arisya langsung tidak memberi reaksi.

Ghan mengeluh kecil sebelum mengambil keputusan untuk melangkah dari satu batu ke batu yang lain, mendekati isterinya yang masih hanyut dalam lamunannya.

“Sya, jom balik. Dah nak gelap ni,” suaranya lebih lantang kali ini.
Arisya tersentak, pantas berpaling ke arah suara yang datang dari belakangnya. Melihat Ghan berdiri hampir dengannya, dia segera bangkit, bersiap sedia untuk pulang.

Ketika dia melompat ke atas batu yang diduduki Ghan, Arisya cuba sedaya upaya mengelak daripada bersentuhan dengan lelaki itu. Namun, kakinya tersalah langkah batu yang licin membuatkan tubuhnya hampir tergelincir ke celahan batu.

Nafasnya tertahan.

Namun, sebelum sempat dia jatuh, satu tangan kuat merangkul pinggangnya, menariknya kembali ke keseimbangan.

“Hati-hatilah sikit! Batu ni licin. Tak pasal-pasal aku kena tuduh cederakan kau pulak,” marah Ghan, nadanya tegas tetapi masih terkawal.

Dada Arisya berombak laju, bukan sahaja kerana terkejut, tetapi juga kerana kehangatan yang tiba-tiba menyelubungi dirinya dalam pelukkan lelaki itu. Jantungnya berdegup deras, darahnya berderau.

Tanpa berkata apa-apa, Ghan melepaskan rangkulannya tetapi masih memastikan Arisya selamat di sisinya. Dia kemudian menarik tangan isterinya perlahan, memimpinnya meniti batu hingga ke tanah besar.

Langit semakin gelap, tetapi detik itu akan kekal berbekas di hati mereka berdua.


ARISYA meneliti setiap kiriman dalam peti masuk e-melnya, matanya tertancap pada satu demi satu tawaran temuduga yang dibaca tanpa semangat. Hatinya berat. Nafasnya dilepaskan perlahan sambil pandangannya melayang keluar tingkap kereta, melihat dunia luar tanpa benar-benar melihat.

Dari tempat duduk pemandu, Ghan sempat menjeling ke arah skrin telefon Arisya. Dahi lelaki itu berkerut.

"Kenapa kau nak kena berkorban untuk orang lain?" soalnya, sebelum kembali fokus pada pemanduan.

Arisya diam.

Dia tahu Ghan tidak akan berhenti bertanya, tetapi memilih untuk tidak menjawab. Membisu lebih mudah daripada menjelaskan sesuatu yang dia sendiri sukar ungkapkan.

Kesabaran Ghan akhirnya menipis. "Susah sangat ke kau nak terus terang?" Kali ini, nada suara Ghan lebih tinggi, tegang dengan rasa tidak puas hati.
Arisya masih membatu.

Ghan menggenggam stereng dengan lebih kuat, urat di tangannya menegang. Hatinya membuak-buak dengan rasa geram. Berkali-kali dia cuba mengorek kebenaran, tetapi Arisya tetap memilih untuk berdiam diri.

"Sorry." Itu sahaja yang keluar dari bibir Arisya, lirih dan tidak bernyawa.

Tanpa amaran, Ghan menghentak stereng kereta dengan kasar. Bunyi dentuman memenuhi ruang kecil itu, membuatkan Arisya tersentak.

Dengan rahang mengeras dan ekspresi dingin, lelaki itu terus memecut laju, membawa mereka pulang dalam keheningan yang lebih berat daripada sebelumnya.

SUASANA pagi yang damai menyaksikan Arisya dan Ghan di muka pintu, dalam adegan yang sarat dengan ketegangan.

“Boleh tak kau jangan ganggu aku?” Ghan bersuara dingin sambil menyarungkan but, bersiap untuk keluar bekerja.

Arisya yang berdiri di hadapannya tetap tersenyum, seolah-olah tidak terkesan dengan layanan suaminya yang dingin. “Sya nak bagi bekal yang Mama buat untuk abang ni haa…” katanya lembut, menghulurkan beg bekal makanan.

“Letaklah situ, nanti aku ambik,” balas Ghan tanpa menoleh, masih sibuk meneliti tali kasutnya.

Namun, Arisya tidak berganjak. Dia masih tercegat di situ, menunggu. Saat Ghan akhirnya beralih ke arahnya, dia pantas menghulurkan bekal itu dengan harapan lelaki itu akan menerimanya dengan baik.

Ghan menghela nafas kasar. Geram. Kenapa wanita ini begitu degil? Dengan malas, dia menghulurkan tangan untuk mengambil bekal, tetapi Arisya sempat menariknya kembali.

“Salam dulu, baru Sya bagi,” ujar Arisya sambil tersenyum.

Ghan mengetap rahang, mata mendongak ke atas tanda menyampah. Namun, sebelum dia sempat melepaskan rungutan, satu deheman kuat kedengaran.

“Ehem!”

Encik Ahmad, yang berdiri tidak jauh dari mereka, menyiram pokok sambil memerhati dengan ekor mata.

Ghan menghembus nafas berat sebelum akhirnya menghulurkan tangan. Dengan senang hati, Arisya menyambutnya dan mengucup tangan suaminya seperti biasa walaupun dia tahu lelaki itu hanya melakukannya kerana terpaksa.

Tanpa sepatah kata lagi, Ghan segera menarik bekal dari tangan Arisya dan melangkah keluar.

Di tempat letak kereta, dia menghela nafas panjang sebelum menghidupkan enjin.

Rasa serabut.

Rasa keliru.

Dan entah kenapa, rasa aneh mula menjalar di hatinya.

ARISYA berdiri di ambang pintu, memerhati kelibat Ghan yang semakin menjauh. Bunyi enjin kereta memecah kesunyian pagi sebelum kenderaan itu meluncur keluar dari perkarangan rumah. Dia menghela nafas perlahan, menahan rasa yang hanya dia sendiri tahu.

Setiap hari, dia cuba memahami takdir yang sedang dilaluinya. Menghulurkan kebaikan walau sering dibalas dengan dingin. Mencari makna dalam hubungan yang terbina atas dasar yang dia sendiri tidak pernah bayangkan.

Matanya beralih ke arah Encik Ahmad yang masih menyiram pokok, tenang seperti biasa. Seolah-olah semuanya baik-baik saja.

“Sya okey?” tegur bapa mentuanya, nada suara penuh makna.

Arisya mengukir senyuman kecil, walaupun hatinya sendiri tidak pasti akan jawapannya. “Okey, abah.”

Angin pagi menyapa lembut, membelai pipinya.

Mungkin inilah jalan hidupnya. Jalan yang dia tidak pernah jangka, tetapi tetap akan diteruskan.

Biar masa yang menentukan segalanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience