ANGIN malam menyapu lembut wajah Ghan saat dia keluar dari keretanya. Jantungnya masih berdegup kencang, fikirannya bercelaru. Sejak petang tadi, dia cuba menghubungi Arisya, namun talian tetap sepi.
Sesuatu tidak kena.
Dia melangkah pantas masuk ke dalam rumah, matanya mencari ibunya.
TOK! TOK!
Pintu bilik Puan Halimah diketuk kuat, membuatkan wanita itu terjaga dari tidurnya.
“Ya Allah, Ghan! Roboh pintu bilik mama nanti!” Puan Halimah membuka pintu dengan riak tidak puas hati.
“Mama, Sya ada call tak?”
Puan Halimah mengerutkan dahi.
“Tak ada pun. Dah malam kan, dia letih, terus tidur lah tu. Dah, pergi tidur.”
Wanita itu menutup kembali pintu, meninggalkan Ghan yang masih berdiri di luar.
Langkah Ghan perlahan. Fikirannya semakin serabut. Di hadapannya, pintu bilik Arisya tertutup rapat. Tangannya teragak-agak sebelum memulas tombol pintu.
Suis lampu ditekan, menerangi ruang yang kini kosong. Hatinya terasa kosong. Dia duduk di birai katil, memandang sekeliling. Walaupun Arisya sudah tiada, auranya masih melekat di dalam bilik ini.
Entah kenapa, dada Ghan terasa berat.
PAP!
Ghan tersentak. Matanya jatuh pada sesuatu yang terjatuh di lantai.
Sampul biru.
Tangannya pantas mencapai sampul itu, membukanya dengan jantung yang berdegup lebih kencang. Sebentuk cincin jatuh melantun ke lantai, bergolek perlahan sebelum terhenti di sisi kakinya.
Dia kaku.
Dengan tangan yang sedikit menggigil, dia menarik keluar sekeping surat. Tulisan tangan yang dia kenal sangat. Tulisan yang dulu penuh dengan janji dan harapan.
Sya pulangkan kembali cincin milik Farisya. Sorry tak dapat jadi isteri idaman. Sya tak akan ganggu abang lagi. Thank you!
[Arisya]
Sunyi. Teramat sunyi.
Ghan menatap skrin telefonnya sekali lagi, berharap akan ada panggilan atau pesanan daripada Arisya. Namun tetap kosong.
Dia menghempaskan diri ke tilam, memandang kipas yang berputar di siling. Matanya berkaca, dadanya sesak.
Kenapa, Sya?
Jemarinya menggenggam cincin itu erat, seakan cuba menggenggam sesuatu yang sudah pun hilang dari genggamannya. Bayangan Arisya melintas di fikiran.. senyumannya, tawanya, suara manjanya walaupun tidak dibalas dengan mesra kembali.
Kini, hanya keheningan yang menemani.
Tangannya mencapai telefon, menaip mesej yang tak pasti akan dibaca.
"Sya, jangan buat macam ni, Boleh kita cakap dulu? Please…"
Dihantar. Namun hanya satu tanda saja yang muncul.
Detik berlalu, berubah menjadi minit, bertukar ke jam. Masih tiada balasan.
Hatinya digenggam resah. Seakan baru tersedar bahawa kehilangan ini bukan sekadar kehilangan biasa. Ini kehilangan yang mungkin tiada ganti.
Malam itu, Ghan tak lena. Cincin di tangannya terasa lebih berat dari biasa bukan kerana logamnya, tetapi kerana maknanya yang sudah berubah.
KRING! KRING!
Bunyi deringan telefon memecah keheningan pejabat pada tengahari itu. Tanpa melihat skrin, Ghan terus mencapai telefon pintarnya.
“Arisya!” suaranya sedikit teruja, penuh harapan.
“Sorry, bukan Arisya.”
Ghan tersentak. Keningnya berkerut. Dia segera menjauhkan telefon dari telinga, melihat skrin.
Private number.
Hatinya tiba-tiba terasa tidak enak.
“Maaf, ada hal apa ya?” Suaranya kembali serius. Dia membetulkan duduknya, cuba mengawal nadanya agar lebih profesional.
“Aku ni Arish. Aku just nak bagitahu..”
“Maaf, kalau kau nak minta aku lepaskan Arisya, aku tak akan tunaikan.” Ghan memotong kasar. Dia sudah bersedia untuk melawan jika itu yang Arish mahukan.
Sunyi seketika.
Dan kemudian,
“Arisya kemalangan."
Ghan terasa jantungnya seakan terhenti.
“Apa?!”
Suara Ghan terjerit. Dia melompat bangun dari kerusinya.
“Keadaan Sya kritikal… masih lagi dalam dewan bedah.” Arish cuba menahan sebaknya, suaranya bergetar. Kepala Ghan terasa berpusing. Badannya terasa kebas.
“Send location hospital!” pintanya tanpa membuang masa.Tanpa menunggu, dia terus menamatkan talian.
Ghan berlari keluar dari pejabat, nafasnya berselang-seli dengan degupan jantung yang tidak menentu.
Tidak ada apa yang lebih penting sekarang.
Arisya.
Dia harus ke sana. Sekarang juga!
KUALA LUMPUR INTERNATIONAL AIRPORT
Ghan melangkah laju keluar dari balai ketibaan, jantungnya berdegup kencang. Nafasnya turun naik, bukan kerana kepenatan, tetapi kerana hatinya dipagut kebimbangan. Jari-jemarinya menggigil saat dia menekan skrin telefon, segera membuat tempahan e-hailing untuk ke hospital.
KRING! KRING!
Tanpa melihat nama pemanggil, Ghan terus menjawab.
"Kamu dekat mana?" Suara Puan Halimah kedengaran di hujung talian, nadanya penuh tanda tanya.
"Ghan on the way ke hospital," balasnya, suaranya serak menahan sebak.
"Hospital? Hospital mana? Siapa masuk hospital?" Soal ibunya bertalu-talu.
Ghan mengeluh perlahan, cuba mengawal getaran dalam suaranya. "Ghan dekat KL, ma. Arisya kemalangan."
Sunyi seketika. Hanya bunyi nafas Puan Halimah yang kedengaran.
"Hah?! Kamu biar betul, Ghan? Kenapa tak bagitahu mama awal-awal?" Suara ibunya bergetar, jelas cemas dan terkejut.
"Sorry, mama... Ghan tak dapat fikir apa-apa tadi. Ghan terus beli tiket, pakaian pun tak sempat bawa," jawabnya jujur, matanya memandang kosong ke luar tingkap kereta.
Puan Halimah menarik nafas panjang di hujung talian. "Ya Allah... Tak apa, nanti mama bagitahu abah. Apa-apa perkembangan, cepat inform mama."
Panggilan terputus. Ghan menggenggam erat telefon dalam genggaman, kepalanya bersandar ke belakang. Matanya terasa panas, tapi dia menahan.
"Tuan baru sampai dari mana?" suara pemandu e-hailing tiba-tiba memecah keheningan.
Ghan menarik nafas perlahan sebelum menjawab, "Sarawak."
Pemandu itu mengangguk sambil memandu tenang. "Siapa yang kemalangan, tuan?"
Ghan menelan liur, suaranya hampir tersekat di kerongkong. "Isteri saya."
Pemandu itu mengerling sekilas ke arah cermin pandang belakang. "Oh... patutlah tuan nampak risau. Biasa bila pasangan kita ditimpa musibah, memang rasa macam separuh jiwa kita hilang..."
Kata-kata itu menusuk hati Ghan. Dia mengangguk kecil, cuba menahan perasaan.
Sejurus tiba di hospital, Ghan menolak pintu kereta dengan tergesa-gesa. "Terima kasih," ucapnya ringkas sebelum menutup pintu dan berlari masuk ke perkarangan hospital, mencari satu-satunya insan yang selama ini dia butakan perasaan terhadapnya.
"Ghan?"
Suara Arish menyapa dari belakang. Dia baru saja kembali dari surau hospital setelah menunaikan solat sunat.
Ghan segera berpaling, wajahnya letih, namun matanya tetap tajam mencari jawapan.
"Bila sampai? Dari Sarawak ke?" Arish menyoal, sedikit bingung melihat lelaki itu masih lengkap dengan seragam kerjanya.
Ghan hanya mengangguk. "Arisya macam mana?" Suaranya cemas, jantungnya berdetak laju, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Arish menarik nafas sebelum menjawab, "Alhamdulillah… selamat. Masih dalam pemantauan sebelum dimasukkan ke ICU."
Ghan menghembus nafas berat, sedikit kelegaan terasa, tetapi resahnya belum hilang sepenuhnya.
"Jom duduk dulu. Habis kerja Kau terus datang dari sana ke?" Arish melabuhkan punggung di kerusi menunggu.
"Tak habis kerja lagi pun. Lepas dapat tahu, aku terus ke airport." Ghan menjawab jujur sebelum duduk bersebelahan Arish.
Arish menggeleng kepala, separuh kagum, separuh hairan. "Boleh tahan gila jugak kau ni."
Ghan tersenyum hambar. 'Gila kan Arisya.' Bisik suaranya perlahan. Dia meraup wajah, menahan rasa malu dengan sikapnya sendiri sebelum ini.
Arish diam sejenak, memerhati adik iparnya itu. Dia boleh rasa keikhlasan dalam nada suara Ghan. Lelaki ini benar-benar berubah atau mungkin, baru sedar akan perasaannya sendiri.
Dia menghela nafas panjang, berpeluk tubuh sambil merenung lantai. Perlu ke aku beri peluang kedua? Atau teruskan rancangan untuk keluarkan Arisya dari kehidupan yang tidak membahagiakan ini?
Persoalan itu berlegar-legar di mindanya.
Share this novel
thanks update author