PULANG BAB 23 : BERSATU

Romance Completed 15562

SETIAP tempat yang Ghan bawa Arisya singgah, terasa seperti déjà vu bagi Arisya. Seolah-olah dia pernah berada di situ sebelum ini, namun dia tidak pasti bila dan dalam keadaan apa.

Hari itu, Arisya mengajak Ghan mencari cenderahati untuk dibawa pulang. Ghan hanya menurut, menikmati setiap detik bersamanya memandangkan dia masih bercuti.

Ketika mereka melangkah beriringan di dalam kompleks jualan barangan tradisional, Arisya menghentikan langkah sejenak. Matanya meneliti sekeliling, hatinya berasa aneh.

“Kita pernah datang sini ke?” soalnya, memandang Ghan dengan riak ingin tahu.

Ghan menoleh, memerhatikan wajah isterinya yang jelas kelihatan keliru.

“Sya pernah study sini dulu… jadi mestilah Sya pernah datang, kan?” jawab Ghan, sedikit teragak-agak.

Arisya mengangguk kecil, namun fikirannya masih bermain dengan persoalan yang tidak berjawab.

“Hmm… datang dengan siapa?” soalnya lagi.

“Kawan-kawan la kot,” balas Ghan perlahan, suaranya sedikit tenggelam.

Arisya mengerutkan dahi. Dia menoleh pantas ke arah Ghan.

“Saya ada kawan ke?”

Ghan terkaku. Bibirnya seakan terkunci.
Hendak dijawab, dia takut pertanyaan itu berpanjangan. Tidak mahu nama Farisya muncul dalam hidup mereka lagi. Tidak mahu masa lalu merosakkan apa yang sedang dia bina bersama Arisya kini.

Sebelum Arisya sempat menyoal lebih lanjut, matanya tertancap pada sebuah kedai minuman segera yang mereka lalui.

“Nak minum tak?” soal Arisya.

Ghan yang sememangnya perlu masa untuk menyusun fikiran, terus mengangguk. “Okey jugak. Sya order je apa-apa untuk abang. Abang nak jawab call kejap.”

Dia menarik telefon dari poketnya, meleret butang received call dari tempat kerja.

Arisya hanya mengangguk sebelum melangkah ke kaunter. Matanya meneliti setiap menu yang terpampang di skrin sebelum membuat keputusan.

Matcha latte untuknya. Dark chocolate untuk Ghan.

Entah kenapa, tangannya memilih menu itu secara automatik. Seperti sudah biasa dengan pilihan itu.

Seperti hatinya sudah mengenali lelaki itu jauh lebih lama daripada ingatannya sendiri.


“HAI awak. Wah, ada jodoh lagi kita nampaknya.”

Ghan baru sahaja selesai menjawab panggilan apabila suara lembut namun penuh sindiran itu menyapa dari belakang. Dia segera menoleh dan seperti yang dijangka, pemilik suara itu bukan orang lain,Farisya.

Ghan menghela nafas berat. Kenapa dia masih ada di sini?

“Buat apa lagi dekat sini?” soalnya, jelas tidak senang dengan kehadiran wanita itu.

Namun Farisya hanya tersenyum, melangkah lebih dekat dengan gaya menggoda. Penampilannya yang seksi menarik perhatian, tetapi bagi Ghan, ia hanya menambah rasa rimas.

“Saja jalan-jalan. Kebetulan pulak jumpa boyfriend kesayangan saya,” ujar Farisya, langsung merapatkan diri dan memeluk erat lengan Ghan sebelum melentokkan kepalanya di bahu lelaki itu.

Ghan terkedu.

“Eh, kau ni dah kenapa?” Dia segera menolak Farisya menjauhinya.

“Eleh, kedekut. Tak luak pun,” balas Farisya sambil mencebik.

Ghan menghela nafas, matanya melilau sekeliling dengan risau. Jika Arisya nampak.

Dari jauh, Arisya berdiri kaku dengan mata membulat, bibir sedikit melopong. Jelas adegan mesra itu sudah tersaji di hadapan matanya.

Ghan segera berkalih kembali ke arah Farisya. “Ada masalah ke?” soalnya dengan nada lebih tegas.

Namun, Farisya hanya tersenyum sinis. “Kesian Arisya… dulu awak seksa jiwa dan emosi dia. Alih-alih sekarang nak jatuh cinta dengan dia pulak?” sindirnya sambil memeluk tubuh.

Ghan mengetap rahang. “Salah ke nak fall in love dengan isteri sendiri?”

“Awak patut ucap terima kasih dekat saya. Kalau bukan sebab saya, korang berdua takkan kahwin,” ujar Farisya mengungkit seolah-olah dia yang menentukan takdir mereka.

Ghan tersenyum sinis. “Alhamdulillah… sekarang aku nampak hikmah berjodoh dengan Arisya.”

Farisya menjulingkan mata keatas, sebelum tersenyum tipis. “Good luck!” ucapnya, lalu berpaling dan berlalu pergi.

Namun sebelum benar-benar pergi, dia sempat melambai ke arah Arisya. “Bye Arisya!”

Jantung Ghan berdegup kencang.
Dia segera berpaling, di belakangnya Arisya sudah berdiri tegak. Pandangannya bukan pada Ghan, tetapi pada Farisya yang melenggang pergi, umpama model di pentas pertunjukan fesyen.

“Dah lama ke Sya dekat belakang abang?” soal Ghan, cuba berlagak tenang. Tangannya menggaru kepala, walaupun tiada rasa gatal.

Arisya akhirnya mengalihkan pandangan kepada Ghan. Bibirnya mengukir senyuman nipis, tetapi jelas sekali ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik senyuman itu.

“Tak lama sangat… tapi cukup lama untuk nampak abang berpeluk dengan dia.”

Kata-kata itu ibarat satu tamparan buat Ghan.

Sebelum dia sempat berkata apa-apa, Arisya sudah pun berpaling dan berjalan menjauh.

Ghan ingin menahannya, tetapi langkahnya Arisya pantas meninggalkannya dibelakang.

Arisya meletak tapak tangan didadanya “Ada masalah jantung ke aku ni?” rungut Arisya perlahan, lebih kepada dirinya sendiri. Dadanya terasa bagai dicucuk.

Namun, dia tetap melajukan langkah. Dia hanya mahu pulang. Hanya mahu tidur.
Seperti selalu, apabila ‘sakit’ itu muncul, hanya tidur yang mampu menenangkan segalanya.

Namun kali ini, Ghan tidak akan membiarkannya pergi begitu saja.

“Sya, tunggu dulu! Bagi abang explain.” Ghan segera mengejar, mendekati Arisya.

Namun Arisya langsung tidak berpaling.
“No. I need a rest now. Sya nak balik rehat.”

Nada suaranya dingin. Tanpa menunggu lagi, dia terus berjalan, meninggalkan Ghan di belakang.

Ghan tahu, Arisya sudah mula cemburu dengannya.


ARISYA menghenyak tubuh di atas katil.
Sejak dia kembali ke rumah ini, Ghan membiarkannya tidur di dalam bilik Ghan sendiri, sementara dia mengambil tempat di bilik tetamu.

Namun, hati Arisya terasa gelisah. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
Dia bangun perlahan, duduk di birai katil, memerhatikan sekeliling bilik. Setiap sudut direnung dengan teliti, seolah-olah cuba mencari sesuatu yang dapat menjawab persoalan yang bermain di benaknya.

Mata Arisya akhirnya tertancap pada laci meja solek. Perasaan aneh menyelinap ke dalam dirinya.

Dengan langkah perlahan, Arisya menghampiri meja solek itu, tangannya menarik laci sedikit demi sedikit.
Sebuah album gambar. Jari-jemarinya menggigil saat dia mengangkat album itu keluar dan membuka helaian pertamanya.

Satu per satu gambar ditatap.
Sehinggalah dia tiba pada halaman yang memaparkan gambarnya bersama Ghan dalam persalinan pengantin.

Jantungnya berdegup laju.


TUT! TUT!

Panggilan telefon masuk mengejutkannya daripada lamunan. Dengan tangan masih memegang album, dia menekan butang hijau di skrin.

"Hello, Along… ada apa call?”

Dari hujung talian, suara Arish kedengaran ceria seperti biasa.
Namun, Arisya tidak ada masa untuk berbasa-basi.

“Along, alang-alang kau call ni.. aku nak kau jujur dengan aku.”

Nada suaranya tegang, membuatkan Arish sedikit terkejut.

"Eh, jujur pasal apa ni? Suspen pula aku.”

Arisya menarik nafas dalam. Tangannya menggenggam album erat.
“Aku dah kahwin ke belum?”

UHUK!

Tersedak Arish mendengar soalan itu.
‘Laa… mamat ni tak terus terang lagi ke apa?’ rungut Arish dalam hati.

"Kenapa tanya macam tu?" Arish cuba mengumpul ayat terbaik.

“Aku nampak gambar kahwin aku dengan Ghan.”

Helaian album masih berada di pangkuannya. Setiap keping gambar direnung seolah-olah cuba mengingati sesuatu yang samar-samar.

Arish menggaru kepala. "Errr… kalau dah nampak gambar tu, kira betul la tu.”
Arisya terkedu.

"Jadi maknanya aku ni isteri Ghan? Kenapa tak ada sesiapa pun yang beritahu aku?" Suaranya sedikit bergetar marah, keliru, dan kecewa bercampur menjadi satu.

"Buat apa marah aku? Marah la laki kau sana,” bebel Arish pula.

"Hish., menyampah!" Arisya mendengus geram sebelum menamatkan panggilan.

Telefon dicampak ke sisi katil. Kepalanya terasa berat dengan segala maklumat yang baru diterimanya.

Tanpa sedar, tubuhnya merebah sendiri ke atas tilam, matanya semakin memberat dan dalam keadaan kaki masih tergantung di birai katil, Arisya tertidur dengan album gambar di tangan.


GHAN masih mundar-mandir di hadapan pintu bilik.

Fikirannya kusut, mencari alasan yang sesuai untuk diberikan kepada Arisya.

Akhirnya, dia memberanikan diri.

TOK! TOK!

“Sya, abang masuk boleh?”

Tiada jawapan.

Ghan berdiri seketika di hadapan pintu, menanti. Namun, hanya kesunyian yang membalas. Perlahan-lahan, dia memulas tombol pintu dan menolaknya.

Sebaik sahaja pintu terbuka, matanya terus tertumpu pada Arisya yang terlena di atas katil. Wajah isterinya kelihatan begitu tenang tetapi Ghan tahu, di sebalik ketenangan itu, tersembunyi luka yang belum sembuh sepenuhnya.

Langkahnya diatur perlahan. Nafasnya terasa berat saat melihat tangan Arisya masih menggenggam erat sebuah album gambar, album yang penuh dengan kenangan mereka.

Dengan hati-hati, dia duduk di birai katil, jari-jemarinya menyentuh album itu dan membuka helaian demi helaian. Setiap gambar yang dilihat membawa kembali memori lama, memori yang membuat hatinya kembali bergetar.

Setahun lebih yang lalu…

Rasa sesal menusuk sanubari.
“I’m sorry, sayang…” bisiknya perlahan.

Tangannya bergerak, menyentuh jemari Arisya yang terletak di atas perutnya. Dengan penuh kasih, dia menggenggamnya erat, seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu yang telah lama dipendam.

"Andai masa boleh diundur… kita tak perlu lalui semua ini."

Dia menatap wajah isterinya lama. Tidurnya tampak lena, seakan-akan tiada apa yang berlaku. Tetapi Ghan tahu, jauh di sudut hati wanita itu, ada perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Perlahan-lahan, Ghan menundukkan wajahnya hampir menyentuh bibir isterinya. Namun, sebaik teringat segala yang telah berlaku antara mereka dahulu, dia segera membatalkan niat itu.

Tetapi tanpa dia sangka. Arisya yang tiba-tiba bergerak untuk ubah posisi tidur, tanpa disengajakan pergerakannya membuatkan bibir mereka bersatu dalam sentuhan yang tidak dirancang.

Terkejut dengan aksi spontan itu, Ghan segera menjauh bimbang jika Arisya sedar dan salah faham. Namun sebelum sempat dia menarik diri sepenuhnya, Arisya tiba-tiba merapatkan tubuhnya. Dalam tidur yang nyenyak, dia memeluk erat suaminya seolah-olah sedang memeluk bantal dakap.

Ghan terdiam.

Dadanya berombak, emosinya bergetar dalam keheningan yang hanya mereka fahami.

Pada malam itu, buat pertama kalinya sejak mereka disatukan jurang yang memisahkan akhirnya lenyap. Dua jiwa yang pernah terpisah kini saling mencari dan menemukan dalam kehangatan yang tidak lagi terbendung.

Arisya terus memejamkan mata, membiarkan setiap sentuhan membisikkan rasa yang tidak pernah terungkap dengan kata-kata. Dalam kelembutan itu, dia merasakan sesuatu yang lebih dari sekadar kehadiran, sebuah penerimaan dan sebuah keikhlasan.

Waktu seakan berhenti, membiarkan mereka menikmati detik ini tanpa bayang-bayang masa lalu. Hanya kasih yang tulus mengalir tanpa ragu merapatkan kembali apa yang pernah retak.

Ghan tahu, esok segalanya mungkin akan berubah.

Tetapi untuk malam ini, biarlah mereka menikmati kebersamaan ini tanpa sebarang gangguan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience