BAB 2 – PELUANG YANG TAK SEPATUTNYA DILEPASKAN

Romance Completed 15562

PAGI itu terasa lebih berat dari biasa. Udara di dapur yang dipenuhi aroma kopi dan bihun goreng sepatutnya menenangkan, tetapi sebaliknya, ia hanya menambah kekusutan di kepala Ghan.

“Tak bawa Arisya balik sini?” Suara garau Encik Ahmad memecah keheningan.

Ghan, yang sedang menguis bihun goreng di pinggannya, hanya menghela nafas perlahan. Pandangannya kosong. “Hmm... belum ada peluang yang sesuai lagi,” jawabnya tanpa semangat.

Puan Halimah yang duduk bertentangan dengannya menghela nafas panjang. “Peluang cuma datang sekali saja, Ghan.”

Encik Ahmad menambah dengan nada lebih berat. “Kalau betul sayang, jangan tunggu lama-lama. Nanti melepas.”

Ghan mendongak, menjeling ayahnya. “Abah... Sya masih isteri Ghan yang sah, okey..” Nada suaranya sedikit keras, tanda dia mula risau dengan kenyataan yang bakal muncul.

Encik Ahmad tersenyum sinis, menghirup kopinya sebelum bersuara lagi. “Isteri sah tu betul lah. Tapi dalam hati Sya, kamu masih ada ke?”

Ghan terdiam. Cawan di tangannya diletakkan kembali ke atas meja. Hatinya bergetar. Kata-kata ayahnya benar-benar menikam tepat ke lubuk hatinya yang selama ini cuba menafikan kebimbangan yang sama.

Sebulan dia mengambil cuti tanpa gaji sejak dapat tahu tentang kepulangan Arisya melalui panggilan dari Puan Zahira ibu mentuanya.Ghan cuba mencari cara untuk memperbaiki keadaan.

“Sya mungkin dah lupakan kamu, Ghan,” suara ibunya lebih perlahan, seolah-olah memahami beban yang sedang dipikul anaknya. “Dah lama Sya bersabar, mungkin dia pun dah penat untuk menunggu.”

Ghan mengusap wajahnya, kepalanya tunduk. Dia tahu ibunya betul. Dan yang lebih menakutkan, dia sendiri tidak pasti sama ada Arisya masih mahukan dia atau sebenarnya sudah mula belajar hidup tanpa dia.


KRING! KRING!

Nada dering telefon memecah keheningan. Ghan yang sedang memaksa giginya kunyah makanan tersentak. Tangannya pantas mencapai telefon yang terletak di meja. Pandangannya jatuh pada nama yang tertera di skrin—“MySweetWife”.

Hujung bibirnya terangkat sedikit. Namun, sebelum sempat dia bersuara, suara lembut tetapi bernada tegas itu sudah terlebih dahulu menyapanya.

“Hello, awak!”

Ghan tegak duduk, refleks tangannya sudah mencapai kunci kereta di atas meja.

“Ya?”

“Ambil saya dalam sepuluh minit lagi. Okey, bye!”

Tut! Tut!

Panggilan terputus begitu sahaja. Ghan terkebil-kebil memandang skrin telefonnya yang kini kembali gelap. Dahi berkerut, namun bibirnya menguntum senyum kecil.

“Macam tu je dia ‘order’ aku?” gumamnya sendiri.

Senyumannya semakin melebar. “Nasib baik dah fall in love ”

Tanpa membuang masa, dia bangkit, menghidupkan enjin SUV hitamnya dan memecut menuju ke tempat penginapan Arisya.

BAM!

Pintu penumpang dihempas kuat sebaik sahaja Arisya melangkah masuk. Gadis itu kelihatan letih, wajahnya redup tanpa secalit senyuman.

“Nak pergi mana?” soal Ghan, memandang sekilas ke arahnya.

“Makan.”

Jawapan itu pendek, ringkas, tetapi cukup untuk memberi isyarat bahawa mood Arisya tidak begitu baik. Matanya terpejam sejenak, seolah-olah cuba mencuri sedikit rehat dalam keselesaan kenderaan Ghan.

Ghan melirik sekilas. “Tak tidur ke semalam?”

Arisya menguap kecil, matanya masih tertutup. “Tak boleh tidur. Ada hotel lain tak?”

“Kenapa? Ada yang tak kena?”

Arisya membuka sebelah mata, menoleh malas ke arahnya. “Tak tahu. Ada hantu kot.”

Ghan berkerut dahi. “Hantu?”

Arisya mengangguk kecil.

Ghan tersenyum nipis. “Tak apalah, kejap lagi saya cari hotel lain yang tak ada hantu.”

Arisya membuka luas matanya kali ini. Seakan-akan ada sesuatu dalam kata-kata Ghan yang mencuri perhatiannya. “Awak boleh nampak hantu ke?”

Ghan tersenyum penuh makna. “Saya tak boleh nampak, tapi saya boleh halau.”

Kening Arisya terangkat sedikit. “Macam mana?”

Ghan mengangkat kening, bibirnya melakar senyuman nakal. “Dengan doa dan ayat-ayat suci.”

Arisya tergelak kecil, pertama kali senyuman menghiasi wajahnya sejak mereka bertemu hari ini. Dia menggeleng perlahan sebelum kembali menyandarkan kepalanya ke kerusi.

Ghan menjeling sekilas, senyuman masih bermain di bibirnya.


SELEPAS beberapa minit memandu mereka singgah di sebuah gerai jalanan yang terkenal dengan hidangan sarapan pagi yang enak.

“Awak duduk dulu, takut tak ada tempat nanti,” arah Ghan.

Arisya menurut, memilih meja berhampiran taman mini yang menghijau.

Beberapa minit kemudian, Ghan datang dengan dulang berisi hidangan. “Nah, untuk Arisya,” katanya, meletakkan pinggan berisi nasi lemak sambal paru dan segelas air coklat ais di hadapan Arisya.

Arisya terpaku, merenung makanan di hadapannya. Dalam fikirannya, status hubungan mereka berlegar-legar.

“Kenapa?” soal Ghan apabila melihat Arisya tidak menyentuh makanannya.

Arisya tersentak, lalu menggeleng. “Tak ada apa.” Dia mula menyuap makanan.

“Dah ada plan ke nak ke mana lepas ni?”
Arisya menggeleng lagi, matanya lebih tertarik memerhati sekeliling. Suasana meriah di gerai itu membuatkan dia terhibur. Matanya terhenti pada seorang bayi di meja sebelah. Senyumannya terukir melihat bayi itu ketawa dalam dakapan ibunya.

“Suka baby ke?” bisik Ghan perlahan.

Arisya tersenyum tanpa menjawab.

“Kalau Arisya suka baby...” Ghan mendekatkan wajahnya sedikit. “Saya boleh tolong.”

Arisya tersedak serta-merta.

Ghan tertawa kecil, lalu bangun menuju ke kaunter pembayaran, meninggalkan Arisya yang masih tergamam dengan kata-katanya.

Dan di situ, dalam kekalutan dan kelucuan yang berselang-seli, hati Arisya mula rindukan seseorang yang dia sendiri tidak pasti.

Arisya masih duduk di tempatnya, jari-jarinya menggenggam gelas air coklat yang kini tinggal separuh. Kata-kata Ghan masih berlegar-legar di benaknya, dan tanpa sedar, pipinya terasa hangat.

Dia menarik nafas dalam, cuba mengabaikan perasaan aneh yang mula menyelinap dalam hatinya.

“Dah habis makan?” Ghan kembali duduk di hadapannya, memerhati wajahnya yang jelas masih terganggu.

Arisya mengangguk kecil, menyuap suapan terakhir nasi lemaknya sebelum meletakkan sudu di pinggan.

Ghan menyandarkan tubuh pada kerusi, lengannya disilangkan di dada. “Kenapa pandang macam tu?”

Arisya tersentak. “Macam mana?”

“Macam tengah fikir sesuatu… atau seseorang.” Ghan mengangkat sebelah kening, matanya tajam meneliti.

Arisya cepat-cepat mengalihkan pandangan, menatap taman mini di sebelah mereka. “Tak ada apa-apalah.”

“Habis tu, kenapa muka merah?”

Arisya menahan nafas. Dia benar-benar mahu menafikan, tetapi getaran kecil dalam suaranya mungkin akan mengkhianati dirinya sendiri.

Ghan ketawa kecil. “Kalau saya cakap tadi tu betul-betul, Arisya setuju?”

“Cakap apa?”

“Pasal baby.” Ghan bersandar ke depan, matanya redup namun ada usikan nakal di sebaliknya.

Arisya mengetap bibir, mencari kata-kata yang sesuai untuk membalas, tetapi kepalanya terasa kosong.

Ghan tertawa perlahan melihat reaksi Arisya.

Arisya menarik nafas perlahan, cuba mengawal debar di dadanya. Dia menunduk sedikit, menggenggam jemarinya sendiri.

“Saya pun tak tahu saya tengah fikir apa,” bisik Arisya perlahan.

Ghan tidak terus menjawab, hanya memerhati. Angin pagi yang sepoi-sepoi bertiup membawa keheningan seketika di antara mereka.

Kemudian, dengan suara yang lebih lembut, Ghan bersuara, “Tak apa. Saya tunggu sampai Arisya tahu.”

Arisya mendongak, menatapnya. Dan untuk pertama kalinya, dia sedar mungkin selama ini, hatinya memang sedang menunggu seseorang.


ANGIN malam berhembus lembut, membawa bersama haruman bunga yang mekar di sepanjang laluan taman rekreasi. Lampu-lampu kecil di tepi jalan berkelip samar, mencipta suasana tenang yang hanya ditemani bunyi cengkerik dan deruan air pancut di tengah tasik.

Ghan berjalan di sebelah Arisya, langkah mereka perlahan seolah-olah menikmati setiap detik dalam keheningan malam itu. Namun, dia tidak terlepas pandang pada wajah Arisya yang kelihatan lebih tenang berbanding tadi, tetapi masih ada sesuatu yang tersembunyi dalam sorot matanya.

Arisya memandang Ghan sekilas sebelum kembali menumpukan perhatian pada jalan berbatu di taman rekreasi itu. Langkahnya perlahan, tangannya dimasukkan ke dalam poket hoodie yang dipakainya. Malam semakin dingin, tetapi hatinya terasa lebih dingin dengan perasaan aneh yang tidak dapat dia tafsirkan sejak beberapa hari ini.

“Hmm..awak,” Arisya memecah kesunyian.

“Ya?”

“Awak dah lama buat kerja ni?”

Ghan menoleh, keningnya sedikit berkerut. “Kerja apa?”

“Jadi pemandu pelancong.”

Langkah Ghan terhenti seketika, tetapi dia segera menyambung berjalan agar Arisya tidak perasan reaksi terkejutnya.

“Kenapa tanya macam tu?” Dia cuba mengekalkan nada suaranya seperti biasa.

Arisya mengangkat bahu. “Saja. Saya rasa awak bukan macam pemandu pelancong yang biasa. Awak terlalu…” Dia berfikir sejenak. “Terlalu ambil berat.”

Ghan menelan liur. Ambil berat?
“Mungkin sebab kerja saya bukan sekadar bawa awak jalan-jalan. Ibu awak pesan suruh saya jaga awak baik-baik sepanjang percutian ni.”

Arisya mengangguk kecil, menerima jawapan itu tanpa curiga. “Baguslah. Saya rasa selamat bila dengan awak.”

Kata-kata itu sepatutnya membuatkan Ghan lega, tetapi sebaliknya, dadanya terasa semakin berat.

Selamat dengan suaminya sendiri, tetapi dia tidak tahu hakikat itu.

“Awak takut saya tinggalkan awak ke?”
Soalan Arisya membuatkan Ghan tersentak.

Dia menoleh, memandang gadis itu yang masih berjalan di sisinya, wajahnya samar-samar diterangi lampu jalan yang malap.

“Kenapa awak cakap macam tu?”

Arisya menarik nafas panjang sebelum menjawab, “Err...saya tak tahu… Rasa macam awak penting dalam hidup saya. Tapi pada masa yang sama, saya rasa kita baru kenal. Rasa tu pelik.”

Jantung Ghan berdegup lebih laju.
Dia ingin memberitahu perkara sebenar. Ingin menarik Arisya ke dalam pelukannya dan berkata, “Kita bukan baru kenal, sayang. Kita dah berkahwin. Awak isteri saya.”

Tetapi dia tahu, jika dia mendesak tanpa bukti yang cukup, Arisya mungkin akan lebih keliru,mungkin juga akan menjauh daripadanya.

Jadi, dia hanya tersenyum nipis dan berkata, “Tak kira apa pun yang jadi, saya tetap akan ada untuk awak.”

Dan Arisya hanya membalas dengan senyuman kecil senyuman yang pernah hiasi hidupnya, tetapi kini terasa begitu jauh daripadanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience