PULANG BAB 8 : FLASHBACKS 5 ORANG ASING

Romance Completed 15562

PINTU bilik tetamu dibuka luas. Ghan melangkah masuk, menarik bagasi Arisya dan meletakkannya di dalam bilik.

“Kau tidur dalam bilik ni,” ujar Ghan, suaranya datar, tiada nada mesra.

Arisya yang berdiri di hadapannya sekadar mengangguk. “Alhamdulillah. Okey.” Dia melangkah masuk dan menutup pintu rapat tanpa menoleh ke belakang.

Ghan mengerutkan dahi. “Alhamdulillah?” gumamnya perlahan, sedikit pelik dengan reaksi gadis itu.

Saat dia berpaling ibunya, Puan Halimah, muncul dari dapur. “Arisya mana?” soal wanita itu apabila menyedari kelibat menantu barunya tiada di ruang tamu.

“Dalam bilik tu,” jawab Ghan sambil memandang ke arah pintu bilik tetamu yang sudah tertutup.

Puan Halimah memandang anak lelakinya dengan wajah hairan. “Kenapa dia tidur dalam bilik tetamu? Bilik kamu kenapa? Bersepah? Tak sempat kemas?”

Soalan bertubi-tubi itu membuatkan Ghan mengeluh perlahan. Dia mengetap bibir sebelum menjawab, “Panjang ceritanya, mama. Pendekkan cerita Ghan kahwin dengan orang yang salah.”

Tombol pintu biliknya dipulas, dan dia melangkah masuk. Puan Halimah mengekori dengan wajah penuh tanda tanya. “Apa maksud kamu, Ghan? Mama tak faham.”

Ghan membaringkan diri di atas katil, matanya menatap siling. “The real girlfriend Ghan yang buat semua ni. Dia pilih untuk sambung belajar, dan dia gantikan tempatnya dengan Arisya. Kebetulan nama mereka hampir sama. Ghan tak pernah terfikir perkara ni boleh jadi sampai macam ni.”

Puan Halimah terdiam seketika cuba mencerna situasi, sebelum menghela nafas panjang. “Astaghfirullahalazim… Tapi kalau Ghan dah tahu sebelum akad nikah, kenapa masih teruskan?”

Ghan menoleh ke arah ibunya. “Mama… takkan Ghan nak tarik diri saat akhir? Apa kata keluarga? Apa kata orang? Itu bukan cara lelaki, mama.”

Puan Halimah menggeleng kecil. “Ikut kamulah, Ghan. Benda pun dah terjadi. Mungkin ini takdir yang Allah dah tetapkan untuk kamu berdua.”

Dia menepuk bahu anaknya sebelum melangkah keluar. Namun, sebelum pintu ditutup, dia sempat memberi pesanan, “Kalau hati tak boleh terima, jangan sesekali menganiaya anak orang. Dia pun tak minta semua ni berlaku.”

Ghan menutup mata, mengeluh panjang. Apa yang bakal berlaku selepas ini?
Dia sendiri tidak pasti.

ARISYA menyusun pakaian ke dalam almari satu persatu. Sejak menjejakkan kaki ke lapangan terbang pagi tadi, dia sudah menutup lembaran cita-citanya. Tiada guna menoleh ke belakang. Hakikatnya, dia kini seorang isteri walaupun suaminya sendiri tidak pernah memilihnya.

Selagi Ghan tidak menceraikannya, dia perlu belajar menjadi isteri yang baik. Itu sahaja yang dia mampu fikirkan sekarang.

TOK! TOK!

“Sya, kalau lapar datang dapur ya,” suara Puan Halimah kedengaran dari luar bilik.

Arisya tersenyum kecil, segera melangkah dan menarik daun pintu. “Mama nak masak ke?” tanyanya lembut.

Puan Halimah yang berbaju kelawar hitam tersenyum. “Mama dah masak tadi. Nak makan, jomlah.”

“Okey.” Arisya keluar dari bilik, membetulkan ikatan rambutnya yang sedikit terlerai.

Ketika mereka hampir sampai di dapur, Puan Halimah menoleh. “Panggil suami kamu sekali. Suruh dia makan.”

Arisya mengetap bibir. Adakah ibu mentuanya sudah mengetahui situasi sebenar antara mereka? Sejak dari tadi, Puan Halimah kelihatan seperti mahu menyatukan mereka berdua.

Tanpa banyak soal, Arisya mengetuk pintu bilik Ghan.

Pintu terbuka sedikit, memperlihatkan wajah lelaki itu yang jelas masih mamai. Arisya tidak menunggu lama. “Mama ajak makan.” Suaranya ringkas sebelum dia terus melangkah ke dapur, meninggalkan Ghan yang masih terpinga-pinga.

MAKAN MALAM YANG CANGGUNG

Di meja makan, Arisya menarik kerusi dan duduk. Dia mencapai bekas nasi dan menyenduk ke pinggan ibu dan bapa mentuanya sebelum mengisi pinggannya sendiri.

“Mana Ghan?” Encik Ahmad bertanya sambil memandang ke arah pintu bilik anak lelakinya.

Arisya tersentak seketika. “Err… dekat bilik kot. Sya dah bagitahu tadi.” Jawapannya teragak-agak.

Tidak lama selepas itu, Ghan muncul dan duduk di sebelahnya. Tanpa disuruh, Arisya mengambil senduk dan mengisi nasi ke pinggannya.

“Ghan, bila mula kerja?” tanya Encik Ahmad setelah beberapa suapan.

“Minggu depan,” jawab Ghan perlahan.
Encik Ahmad mengangguk. “Eloklah tu. Sebelum mula kerja, bawaklah Sya jalan-jalan dulu.”

Cadangan itu bukan sekadar untuk bersiar-siar. Dia mahu Ghan mula belajar menerima kenyataan yang dia sendiri pilih.

Namun, Ghan hanya tersenyum hambar. “Dia study sini sebelum ni. Mesti dah pergi macam-macam tempat.” Nada suaranya seakan menolak cadangan tersebut. Dia tidak mahu meluangkan masa dengan Arisya.

Puan Halimah segera mencelah. “Eh, kamu ni. Itu masa dia dengan kawan-kawan. Tak salah kalau pergi dengan suami pula, kan?”

Arisya hanya tersenyum, tidak mahu memanjangkan isu itu. “It’s okay, Sya okay saja duduk rumah. Nampak macam best kawasan kampung ni. Maklumlah, lahir-lahir saja terus tengah bandar.”

Teruja. Itu yang dia rasa sejak tiba di rumah keluarga mentuanya. Kehidupan di kampung tampak lebih damai dan tenang.

Sesi makan malam mereka berakhir dengan aman. Seperti sudah memahami peranannya, Arisya membantu Puan Halimah di dapur. Ghan pula menghilang ke luar rumah, mengambil angin seorang diri.

Di ruang tamu, Encik Ahmad duduk menonton televisyen seperti rutin malamnya.

Arisya membasuh pinggan dengan teliti, air suam mengalir perlahan dari paip. Di sebelahnya, Puan Halimah menyusun bekas lauk yang sudah dibersihkan ke dalam rak.

“Sya… macam mana dengan Ghan?” tiba-tiba ibu mentuanya bersuara.

Arisya terhenti seketika, tetapi cepat-cepat mengawal riak wajahnya. “Macam mana… maksud mama?”

Puan Halimah menghela nafas perlahan. “Mama perasan sesuatu antara kamu berdua. Sejak dari tadi, kamu dan Ghan tak banyak bercakap. Bukan macam pengantin baru.” sengaja Puan Halimah berkata-kata sedangkan dia sudah pun mengetahui hakikat asal.

Arisya tersenyum kecil, cuba menyembunyikan rasa hatinya. “Kami masih dalam proses mengenali, mama. Mungkin Ghan perlukan masa.”

Puan Halimah mengangguk perlahan, tetapi wajahnya jelas menggambarkan kebimbangan. Dia seorang ibu hati kecilnya sudah tahu ada sesuatu yang tidak kena.

“Sya, mama tahu ini bukan pilihan kamu atau Ghan. Tapi apa pun yang berlaku, jangan biarkan diri rasa tersisih. Mama akan selalu ada untuk Sya, okey?”

Kata-kata itu menyentuh hati Arisya. Selama ini, dia tidak mengharapkan apa-apa daripada perkahwinan ini, apatah lagi penerimaan daripada keluarga Ghan. Namun, layanan Puan Halimah benar-benar memberi sedikit kelegaan dalam hatinya.

Dia mengangguk sambil tersenyum. “Terima kasih, mama.”

Puan Halimah membalas senyuman itu, kemudian menepuk perlahan bahu menantunya. “Dah, pergi rehat. Esok mama tunjuk macam mana nak buat kuih kegemaran Ghan.”

Arisya tersenyum sambil mengangguk sebelum melangkah keluar dari dapur.
Namun dalam hati, dia tertanya-tanya… adakah Ghan akan peduli?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience