PULANG BAB 16 : FLASHBACKS 13 MENYESAL

Romance Completed 15562

SUDAH seminggu Arisya bertarung di Unit Rawatan Rapi sebelum dipindahkan ke wad biasa. Walaupun keadaannya semakin stabil, dia masih belum sedarkan diri. Arish memastikan adiknya ditempatkan di wad kelas pertama, memudahkan mereka bergilir menjaga tanpa gangguan.

Hari pertama Arisya dipindahkan, kedua-dua keluarga berkumpul di biliknya. Suasana sunyi, hanya bunyi mesin pemantau denyutan jantung sesekali berbunyi. Puan Halimah duduk di sisi katil, mengusap perlahan rambut menantunya.

“Sya, mama dengan abah balik hari ni ya… Nanti ada masa, kami datang lagi,” bisiknya lembut ke telinga Arisya, berharap kata-katanya mampu sampai ke hati gadis itu.

Di sofa tetamu, Puan Zahira menoleh ke arah Puan Halimah. “Flight malam ni pukul berapa?”

Puan Halimah bangun dan berjalan mendekati mereka. “Pukul sembilan nanti.”

Encik Shamsudin melirik jam di pergelangan tangan. “Eloklah kita beransur sekarang. Biar Ayah dan Ibu saja yang hantar. Arish nak ikut ke ada hal lain?” suaranya tenang, nada seorang profesor yang sentiasa profesional.

Arish yang sejak tadi sibuk dengan telefon pintar, menjawab tanpa mengangkat kepala, “Nak singgah pejabat sekejap. Ada kerja sikit.”

Di sudut bilik, Ghan tetap setia di kerusi sebelah katil Arisya. Dari tadi, dia lebih banyak diam, hanya memerhati dan sesekali memegang telefon untuk urusan kerja. Namun hakikatnya, fikirannya jauh lebih berserabut dari apa yang terlihat.

Puan Halimah mendekati anaknya, mencuit bahunya perlahan. “Ghan, mama dengan abah balik dulu, okay?”

Ghan tersentak, segera bangun dan mencium tangan ibunya. “Take care, dah sampai nanti call Ghan,” pesannya.

Encik Ahmad mendekat, menepuk bahu anak lelakinya sebelum berbisik perlahan, “Abah harap kamu tak menyesal kemudian hari.”

Kata-kata itu singkat, tetapi menikam ke dalam. Ghan mengetap bibir, tak tahu bagaimana harus dia balas. Yang pasti, bayangan Arisya terbaring di katil itu menghantui fikirannya tanpa henti.


SUASANA bilik wad itu sunyi, hanya bunyi mesin patient monitor yang terus berbunyi, menghitung setiap degupan jantung Arisya. Ghan menghela nafas berat, matanya tak lepas dari wajah pucat isterinya. Kesan lebam dan luka akibat kemalangan masih jelas kelihatan, membuatkan hatinya semakin pedih.

Perlahan, tangannya mencapai jemari Arisya yang sejuk, menggenggam erat sebelum membawa ke bibirnya. Satu nafas panjang dihela, cuba menahan rasa bersalah yang semakin menyesakkan dada.

“I’m sorry, Sya…” suara Ghan bergetar, serak menahan sebak. “Tolong bagi abang peluang lagi sekali… Abang tak tahu Sya boleh dengar atau tak…”

Kata-katanya mati di situ. Bahunya mula terhinjut-hinjut menahan tangis yang semakin kuat. Air matanya jatuh tanpa mampu ditahan lagi.

“…tapi abang cuma nak minta maaf sebab terlalu ikutkan perasaan bodoh. Baru abang sedar selama ni abang dah salah sangka.”

Ghan mengesat air mata dengan lengan bajunya, namun wajah Arisya tetap tiada reaksi. Hanya dadanya yang perlahan naik turun menandakan dia masih bernafas.

“First time kita jumpa dulu, jantung abang sentiasa berdebar-debar… abang sangka Farisya yang buat abang rasa macam tu. Tapi rupanya tidak…”

Ghan menunduk, menggenggam erat tangan Arisya sekali lagi. Dahulu, dia begitu yakin perasaan yang hadir setiap kali bersama Farisya adalah tanda dia telah jatuh cinta. Namun kini, segalanya terbongkar.

Selama ini, setiap debaran, setiap ketenangan yang dia rasa, bukan kerana Farisya. Tetapi kerana Arisya.

Dia pernah bersumpah pada dirinya sendiri hanya wanita yang mampu membuat hatinya bergetar, yang akan dia pilih sebagai teman hidup.

Namun, takdir punya caranya sendiri. Tanpa dia sedari, wanita itu telah lama hadir, menjadi bahagian dari hari-harinya, mengisi ruang yang tak pernah dia sedar kosong sebelum ini. Dan hanya ketika dia hampir kehilangannya, barulah dia tersentak oleh satu kesedaran yang menyakitkan bahawa dia telah mencintai wanita itu jauh sebelum hatinya sempat mengakuinya.

Saat itulah dia mengerti, cinta sejati bukan tentang mencari, tetapi tentang menyedari kehadiran yang selama ini sudah ditakdirkan untuknya.


ARISH menolak pintu wad dengan perlahan, membawa plastik makanan yang dibeli khas untuk Ghan. Sebaik melangkah masuk, matanya tertancap pada Ghan yang tertidur di sisi katil Arisya, jemari mereka masih bertaut. Hatinya terasa sayu melihat adik iparnya itu, seolah-olah baru menyedari betapa berharganya Arisya dalam hidupnya.
Dia menghampiri dan mencuit bahu Ghan perlahan.

"Ghan, bangun… dah masuk Maghrib. Aku ada belikan makanan untuk kau, rasanya ini makanan kegemaran kau. Aku ingat Arisya pernah bagitahu dulu," ujar Arish sambil meletakkan plastik makanan di meja kecil sebelah katil hospital.

Ghan tersentak dari lena. Dia memandang makanan itu sebelum beralih kepada Arish dengan wajah bingung.

"Arisya tahu makanan kegemaran aku?" soalnya perlahan, seolah-olah tidak percaya.

Arish menggeleng sambil menghempaskan diri ke atas sofa, tangannya mencapai alat kawalan jauh televisyen.

"Setiap inci pasal kau dia tahu, Ghan. Kau je yang tak pernah ambil tahu pasal dia, kan?" balasnya selamba.

Ghan terdiam. Dia menghela nafas perlahan sebelum bangkit dan melangkah ke bilik air dalam wad itu. Arish hanya memandang, fikirannya mula menerawang jauh. Dia ingin tahu, sejauh mana perasaan Ghan terhadap adiknya yang selama ini lebih banyak berkorban daripada menerima kasih sayang.


SELEPAS menunaikan solat Maghrib di dalam bilik wad, mereka kembali duduk berhadapan di sofa. Suasana sunyi seketika sebelum Arish membuka mulut.

"Okey, man to man talk. Kau sayang adik aku ke tak?" soalnya serius.

Ghan bersandar, matanya tepat pada Arish.

"Kau rasa dengan semua yang aku buat sekarang, aku benci dia ke?" balasnya tenang.

Arish mendengus kecil, sebelum meneguk kopi panas yang dibelinya di kafe hospital.

"Arisya ni, dia over-loving kalau kau nak tahu. Dia sanggup buat apa saja untuk orang-orang yang dia sayang."

Ghan diam, memberi perhatian penuh.

"Aku dah banyak kali marah dia pasal ni. Dia sanggup ikut cakap Farisya, sanggup patuh pada arahan ibu walaupun dia tak suka. Cuma bab tukar bidang kerja tu, dia boleh pulak buat ikut kemahuan sendiri." Arish menggaru kepala, mengeluh panjang.

Ghan menghela nafas, sedikit sebanyak terasa pedih dengan kenyataan itu.

"So, Arisya selalu mengadu pasal aku ke?" soalnya ingin tahu.

Arish memandangnya tajam.

"Of course. Tapi macam biasalah, dia tetap jugak nak backup kau walaupun kau tak pernah anggap dia isteri."

Ghan terkedu. Hatinya semakin berat dengan rasa bersalah.

Arish memandang ke luar tingkap, menikmati pemandangan kota yang diterangi cahaya lampu malam. Kemudian, dia berpaling semula kepada Ghan, senyumannya sedikit sinis.

"Korang tak pernah tidur sebilik kan? Maksudnya, tak pernah… ‘bersama’ lah kan?"

UHUK!

Bersembur air yang baru diteguk oleh Ghan. Dia terbatuk-batuk, wajahnya berubah merah padam.

Arish tersengih. "Kalau bercerai pun, tak perlu tunggu tiga kali suci dah."

Ghan berdehem berkali-kali sebelum bersuara.

"Aku dah cakap, aku tak akan lepaskan Arisya." Nada suaranya tegas, walaupun sisa batuknya masih ada.

Arish menyilangkan tangan, bersandar pada dinding dengan ekspresi mencabar.

"Kau yakin Arisya akan terima kau balik?"
Ghan terdiam.

Matanya beralih ke arah Arisya yang masih terbaring lemah di katil. Wajah isterinya itu direnung lama.

Dalam hatinya, persoalan itu mula menghantui fikirannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience