ARISYA merebahkan tubuhnya di atas sofa empuk di ruang tamu. Keletihan menyelimuti dirinya, seakan-akan setiap sendi meronta meminta rehat. Sudah 25 minggu dia membawa anugerah kecil itu dalam rahimnya, namun setiap hari ada saja dugaan baru yang mendatang. Kali ini, tubuhnya seakan menolak setiap suapan makanan. Loya, gatal-gatal, dan perutnya terasa bergelodak seperti laut yang tidak pernah tenang.
Sementara itu, alahan yang dialami Ghan sudah pun berakhir sejak Arisya melepasi fasa trimester pertama. Namun, Arisya masih bergelut dengan kehamilan yang penuh cabaran.
TOK! TOK!
“Assalamualaikum...” Ghan menolak pintu bilik perlahan. Pandangannya jatuh pada sosok Arisya yang terlena, berselimut hingga ke paras leher. Wajah isterinya tampak lesu. Tanpa berlengah, Ghan segera membersihkan diri dan menunaikan solat sebelum waktu habis.
Usai solat, dia melipat sejadah dan duduk di tepi katil. Tangannya mengusap pipi Arisya dengan penuh kasih. “Sayang...” panggilnya lembut, namun tiada sahutan. Ghan menepuk pipi isterinya perlahan, beberapa kali.
Kelopak mata Arisya bergetar sebelum terbuka. “Awal balik?” tanyanya dengan suara serak, menutup mulut kecilnya ketika menguap.
“Mana ada awal. Sayang okay ke ni?” Ghan berkerut, risau melihat wajah pucat isterinya.
“Tak boleh nak makan... Mama masak tadi, makan keluar balik. Sayang cuba masak sendiri pun sama,” ujar Arisya lemah.
Tanpa berfikir panjang, Ghan bingkas bangun. “Kalau macam tu, biar abang masakkan sesuatu untuk sayang.”
Di dapur, Puan Halimah baru sahaja membuka peti sejuk untuk melihat bahan-bahan yang ada.
“Bila kamu balik?” soalnya apabila menyedari kehadiran Ghan.
“Baru saja. Mama shift malam ke minggu ni?”
Puan Halimah mengangguk. “Ya, sejak bertukar ke hospital baru, mama kena mula kerja ikut giliran shift.”
“Mama rehatlah. Biar Ghan masak malam ni,” ujar Ghan sambil mengambil bahan dari tangan ibunya.
Puan Halimah tersenyum. “Bagusnya anak mama sekarang. Mujur Arisya penyabar. Kalau tidak, memang tak merasa la mama air tangan anak sendiri.”
Ghan ketawa kecil. “Mama ni perli ke puji?”
“Mana ada perli. Mama lega hati tengok kamu ambil berat.”
“Sayang tak makan langsung hari ni. Asyik muntah saja,” tambah Puan Halimah dengan nada risau.
Ghan mengangguk. “Sebab tu Ghan nak masak sesuatu yang ringan. Mana tahu, boleh masuk perut dia.”
“Baiklah, mama tolong potong-potong saja,” kata Puan Halimah sambil mencapai pisau.
“Terima kasih, mama.” Ghan tersenyum senang.
JARI jemari Arisya laju menatal skrin telefon, mencari anime kegemarannya di aplikasi streaming.
“Alaaa... kenapa belum keluar lagi episod baru ni?” rungutnya, tidak sedar suaminya baru melangkah masuk ke bilik.
“Abang baru saja masuk, sayang dah nak suruh keluar?” usik Ghan sambil menghampiri isterinya.
“Bukan abanglah! Kartun episod baru yang belum keluar lagi,” jawab Arisya, wajahnya merajuk comel.
Ghan tersenyum menggeleng kepala. “Jom makan.”
Arisya menghulurkan tangan untuk dibantu bangun. “Harap-harap boleh masuk perut kali ni,” katanya perlahan.
Ketika di meja makan, Puan Halimah memberikan pesanan. “Sya, kalau tak boleh makan juga, mama risau kamu kena tahan di hospital.”
Arisya menelan air liur. “Hospital? Err... InsyaAllah boleh kot makan ni,” katanya, tidak mahu berlama-lama di wad.
“Mama nak pergi kerja dah ni. Abah pergi masjid. Kamu berdua makanlah elok-elok,” pesan Puan Halimah sebelum keluar.
Ghan meletakkan pinggan di hadapan isterinya. “Malam ni kita ikut selera orang barat sikit. Abang masak chicken grill untuk sayang.”
Mata Arisya bersinar. “Wah, tak sangka abang ada bakat jadi chef ni!”
“Cik puan boleh buat food test dulu,” balas Ghan berseloroh.
Arisya mengambil potongan kecil ayam dan menyuapkan ke mulut. Tekstur lembut ayam bersama sos madu yang manis pedas menyapa lidahnya. Dia tersenyum puas. “Sedapnya. Terima kasih, abang.”
Ghan mengangkat kening. “Rasa nak keluar balik tak?”
Arisya menggeleng sambil menunggu reaksi perutnya. “Setakat ni okay lagi.”
Ghan ketawa kecil. “Nampak gaya, baby nak abang yang masak untuk sayanglah ni.”
Arisya tersenyum, mengusap perutnya yang semakin membesar. “Thank you, baby.”
Makan malam itu menjadi saat yang istimewa. Hidangan sederhana terasa luar biasa kerana ia disediakan dengan penuh kasih sayang.
SELESAI makan malam bersama mereka bersantai di sofa selepas makan, menonton drama secara rawak di televisyen.
“Kerja abang hari ni macam mana?” tanya Arisya lembut.
Ghan menghela nafas. “Biasa je. Ada mesyuarat tadi.”
“Abang jangan stress sangat. Kalau jatuh sakit, nanti abang pula masuk hospital,” pesan Arisya prihatin.
Ghan tersenyum, namun tiba-tiba telefon di atas meja berbunyi. Dia mencapai dan membuka pesanan WhatsApp. Ekspresinya berubah sedikit serius.
“Siapa mesej?” soal Arisya tanpa mengalihkan pandangan dari skrin televisyen.
Ghan berdehem perlahan. “Kawan kerja. Tanya kalau abang free nak bincang kerja malam ni.”
Arisya menoleh, matanya sedikit tajam menjeling skrin handphone. “Kawan kerja perempuan?”
Ghan tersenyum nipis. “Ya, tapi abang rasa tak penting. Esok boleh bincang di pejabat.” Dia segera membalas, menolak ajakan itu.
Arisya tersenyum kecil. “Baguslah abang tahu jaga batas.”
Ghan menggenggam tangannya. “Tak ada yang lebih penting daripada masa kita bersama.” Dia mengusap lembut perut Arisya.
Arisya bersandar di sofa sambil mengusap perutnya yang semakin membulat. Ghan duduk di sebelah, memandangnya dengan senyuman nakal.
“Sayang rasa… baby kita ni team abang ke team sayang?” soal Ghan, jari telunjuknya perlahan-lahan mengusap perut Arisya.
Arisya mengangkat kening. “Mestilah team sayang! Sebab sayang yang bawa dia ke mana-mana.”
Ghan menggeleng. “Tapi baby suka makanan abang masak. So, confirm dia team abang.”
Belum sempat Arisya membalas, tiba-tiba… DUK!
Mereka berdua tersentak. Arisya memegang perutnya dengan mata membulat. “Baby tendang!”
Ghan teruja, segera meletakkan tangannya di atas perut Arisya. “Baby, kalau awak team papa, tendang sekali lagi.”
Mereka menunggu. Tiada pergerakan.
Arisya tersengih menang. “Haa, tengok! Dia team mama!”
Ghan tidak mengalah. “Baby, kalau awak team papa, tendang dua kali.”
DUK!
Senyap.
Arisya bertepuk tangan. “Yes! Sayang menang!”
Ghan menghela nafas panjang. “Baby ni… awal-awal dah team mama. Habis laa papa nanti.”
Arisya ketawa kecil sambil menyandarkan kepalanya ke bahu suaminya. “Tak apa, abang. Walaupun baby team mama, mama tetap sayang team papa.”
Ghan tersenyum, mengusap lembut rambut isterinya. “Dan abang sayang kedua-duanya.”
Malam itu, mereka berbual lagi, menghabiskan masa dengan gurauan dan kasih sayang, sedangkan di dalam perut Arisya, si kecil terus mendengar dan mungkin juga tertawa dalam dunianya sendiri menanti saatnya untuk menyertai mereka dalam kebahagiaan yang penuh cinta.
Share this novel