PULANG BAB 5: Flashbacks 2 Rahsia di Sebalik Janji

Romance Completed 15562

PEJAM celik, pejam celik masa berlalu begitu pantas. Akhirnya, hari yang dinanti hampir tiba. Farisya dan Arisya kini bukan lagi mahasiswi, tetapi graduan yang menamatkan perjalanan ijazah mereka bersama. Namun bagi Farisya, kejayaan ini bukan sekadar tamatnya sebuah pengajian ia adalah satu titik perubahan besar dalam hidupnya.

Seperti yang dijanjikan, dia dan Ghan bakal disatukan dalam ikatan perkahwinan tidak lama lagi. Persiapan? Semua sudah tersedia. Dari pakaian hingga tempat penginapan keluarga Ghan, semuanya diuruskan dengan rapi oleh Farisya sendiri.

KRING! KRING!

Telefon di sisi berbunyi, memecah kesibukan malamnya. Dia menatap skrin sebentar sebelum menjawab.

“Hello, awak. Busy ke?” Suara Ghan kedengaran sedikit lelah di hujung talian. Dia baru sahaja pulang dari tugasan dan terus merebahkan diri ke katil, kepenatan jelas dalam nada suaranya.

“Busy sikit… Saya tengah kemas barang. Ada beberapa benda lagi nak kena siapkan untuk wedding nanti,” jawab Farisya sambil memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam bagasi besar. Tangannya cekap, tetapi fikirannya melayang ke tempat lain.

“Ada apa-apa yang saya boleh tolong?” Ghan cuba menawarkan diri, walaupun dia tahu jarak memisahkan mereka.

“It’s okay, awak. Semua dah saya uruskan. Awak datang je dengan family, tempat penginapan dan kenderaan semua saya dah aturkan,” ujar Farisya, meyakinkan lelaki itu.

Ghan menghela nafas lega. “Thank you, awak. Berdebar pula nak tunggu hari tu…” katanya sambil tersenyum sendiri.

Farisya ketawa kecil di hujung talian. Namun, senyumannya tawar terlalu banyak perkara yang disembunyikan di sebalik ketenangan suaranya.

Sejurus panggilan tamat, wajahnya berubah. Matanya menatap kosong ke arah pakaian yang tersusun dalam bagasi. Nafasnya terasa berat, seolah-olah membawa beban yang tidak mampu ditanggung.

“Maaf, Ghan… Aku ada rancangan sendiri untuk masa depan aku.”

Bisikan itu perlahan, tetapi tajam menusuk ke dalam hatinya sendiri.
Dia duduk di birai katil, jemarinya menggenggam erat telefon di tangan. Sebuah keluhan berat terlepas.

“Dan maaf juga, Arisya…”

Nama itu disebut dengan penuh rasa bersalah.

Air mata yang ditahannya sejak sekian lama bergenang di tubir mata. Ini bukan keputusan yang mudah, tetapi dia sudah nekad. Untuk mencapai apa yang diimpikan, dia harus mengorbankan sesuatu.

Atau seseorang.


"ANGAH, kau dah habis fikir ke ni?"
Suara tegas Arish Haikal memecah kesunyian malam. Dia berdiri berpeluk tubuh, memandang adiknya yang termenung di buaian besi di halaman rumah. Cahaya lampu jalan samar-samar menerangi wajah Arisya, yang kelihatan jauh dibawa arus fikiran sendiri.

Perlahan-lahan, dia menolak tanah dengan hujung kakinya, mengayunkan buaian tanpa arah.

"Entahlah, Along... Kau rasa?" Soal Arisya akhirnya, suaranya kedengaran kosong.

Arish menepuk dahinya berkali-kali, geram melihat sikap adiknya yang masih teragak-agak.

"Kau ni lembik sangatlah, Angah! Kau melawan hukum anak nombor dua ni, kau patut kena lawan!" Nada suaranya meninggi, menunjukkan betapa dia tidak bersetuju dengan keputusan Arisya.

"Habis tu? Sekarang ni dah sampai saat akhir, macam mana aku nak tarik diri? Ayah dengan ibu mesti mengamuk kalau aku buat hal!" Arisya cuba mempertahankan keputusannya, walaupun jauh di sudut hati, dia sendiri tahu betapa besarnya risiko yang bakal dihadapinya.

"Senang je, kau lari." Arish menjawab selamba, seolah-olah itu penyelesaian paling logik.

Arisya menjeling tajam. "Idea kau tu memang nak bagi aku kena tendang terus dari keluarga, kan? Nak aku berambus dari hidup kau ke?" Tangannya laju menumbuk perut Arish, tetapi lelaki itu sempat menahan serangan dengan cekap.

"Mana ada! Kita mana boleh berpisah," ujar Arish, ketawa kecil sebelum bersandar di penyandar buaian.

Arisya mendongak ke langit. Nafasnya dilepaskan berat. "Tak apalah, hadap je lah. Habis kuat pun, dia ceraikan aku nanti bila dia dapat tahu aku bukan perempuan yang dia cintai."

Arish menoleh pantas. "Muda-muda lagi dah nak jadi janda?"

"Why not? Status je pun. Orang luar yang sibuk nak label-label orang." Arisya menjawab malas, jari-jemarinya bermain dengan hujung lengan bajunya. Dia terlalu penat untuk terus berdebat, sedangkan keputusan sudah pun diambil.

"Kawan kau tu satu hal... Susah sangat ke nak terus terang dengan boyfriend dia tu?" Arish membebel sambil memeluk tubuh, nada suaranya jelas menyatakan rasa tidak puas hati.

"Entahlah, aku pun pelik macam mana aku boleh setuju dengan idea gila ni." Arisya menggeleng perlahan, mempersoalkan kewarasannya sendiri.

"Mentang-mentang nama kau dengan dia hampir sama, kau boleh pulak dipergunakan macam ni. Ni boleh kena saman tau!" Arish bangun berdiri, tangannya kini bertongkat di pinggang.

Arisya merenung gelagat abangnya yang bermundar-mandir seperti sedang menyusun strategi perang. "Habis tu, kau nak buat apa?"

Arish terhenti. Dia menarik nafas panjang sebelum mengangkat bahu. "Sesungguhnya, aku dah kehabisan idea yang bernas dan berkualiti."

Arisya menutup muka dengan kedua-dua belah tangan, mengeluh panjang. Apa yang dia setujui ini bukan sekadar satu kesilapan,ia mungkin perangkap yang akan menjerat hidupnya selama-lamanya.

HUJAN renyai di luar jendela membentuk corak-corak samar di atas kaca. Arisya duduk bersila di atas katil, memeluk bantal erat-erat. Matanya merenung kosong ke arah beg pakaian yang masih terbuka di lantai. Di dalamnya, baju-baju yang sudah dikemas sejak petang tadi kelihatan seakan menjerit kembali kepadanya, mengingatkannya tentang keputusan gila yang telah dibuat.

“Kenapa aku setuju?”

Bisikan itu terdetik di dalam hatinya. Jari-jemarinya menggenggam hujung cadar, cuba mencari sedikit kekuatan di dalam kekeliruan yang semakin menghimpit.

“Bodohnya aku…”

Arisya menggeleng, menutup mata rapat-rapat, seakan mahu melarikan diri daripada realiti yang menghantuinya.
Malam itu, dia masih ingat bagaimana Farisya datang kepadanya dengan wajah penuh harapan, air mata bertakung di tubir mata.

“Tolong aku, Sya… Aku tak boleh teruskan perkahwinan ni. Tapi aku tak boleh kecewakan semua orang. Kau sorang je yang boleh bantu aku.”

Pada saat itu, akalnya entah ke mana. Mungkin kerana rasa simpati. Mungkin kerana persahabatan yang sudah lama terjalin. Atau mungkin kerana dia sendiri tidak sedar bahawa dia sedang menyerahkan hidupnya kepada sesuatu yang dia sendiri tidak pasti.

Dan kini, dengan tinggal beberapa jam sahaja lagi, dia mula merasakan segala-galanya semakin menghimpit.

Tangan Arisya naik ke dada, cuba menenangkan debaran yang semakin menggila. Dia tidak pernah terfikir bahawa keputusannya malam itu akan membawanya ke dalam perangkap sebesar ini.

Matanya jatuh pada cermin di sudut bilik.

Di dalam pantulan itu, dia melihat dirinya sendiri tetapi wajah itu terasa asing.

Seorang gadis yang sepatutnya punya impian dan pilihan sendiri… tetapi kini tersepit di antara janji dan realiti yang menakutkan.

Air matanya menitis tanpa dia sedar.

“Aku tak boleh tarik balik keputusan ni…” suara Arisya hampir tidak kedengaran, seakan ditelan oleh kesunyian bilik.

Dan entah mengapa, untuk pertama kalinya sejak dia bersetuju dengan permintaan Farisya…

Dia benar-benar berharap dia tidak pernah mengatakannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience