SUARA merdu burung murai mengisi ruang udara pagi, mencipta melodi ceria yang berpadu dengan cuaca yang nyaman. Angin sepoi-sepoi meniup lembut dedaunan, menambah ketenangan suasana.
Di bawah rimbunan pohon yang rendang, Arisya duduk di atas rumput halus yang lembut dan tebal seperti karpet. Tangannya lembut menghulurkan sebatang lobak merah kepada arnab-arnab yang mengelilinginya, manja dan jinak. Tidak jauh dari situ, Ghan sedang mengisi bekas minuman, memastikan arnab-arnab itu tidak kehausan.
“Abang umur berapa sekarang?” soal Arisya tiba-tiba, memandang Ghan yang masih sibuk menuang air.
Ghan menghentikan pergerakannya seketika. Dia menoleh ke arah Arisya, keningnya sedikit terangkat, seolah-olah tidak percaya dengan soalan itu. Kemudian, dia mendekati Arisya dan melabuhkan punggung di sisi isterinya itu.
“Serius la sayang?” Matanya berkedip beberapa kali, menatap wajah Arisya dengan ekspresi keliru.
Arisya hanya tersengih kecil. “Tak ingat la…” katanya sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Ghan menghela nafas ringan sebelum tersenyum. “Abang dah masuk three series dah, sayang. Lepas habis degree terus dapat interview untuk jawatan sekarang ni. Sebelum tu, dari zaman belajar lagi, abang memang aktif jadi sukarelawan bomba.” Tangannya bergerak mengusap lembut kepala salah seekor arnab yang menghampirinya.
“Ohhh… okey. Thank you,” balas Arisya sambil mengangguk perlahan.
Ghan memandangnya dengan kening berkerut. “Itu saja?” tanyanya, seolah-olah menunggu reaksi lain daripada wanita kesayangannya itu.
Arisya sekadar menggumam sambil meneruskan kerjanya, menghulurkan lagi lobak merah kepada arnab yang sudah selesa bertenggek di atas ribanya.
Namun, Ghan tidak mengalihkan pandangannya. Wajah Arisya tampak berbeza hari ini,keningnya kerap berkerut seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang berat. Nalurinya sebagai seorang lelaki, sebagai seseorang yang menyayangi wanita itu, mula berasa gelisah.
“Sayang… okey ke ni?” soalnya perlahan, lalu menyentuh tangan Arisya dengan penuh kelembutan.
Arisya tersentak kecil sebelum mengangkat wajah. Dia tersenyum nipis. “Okey je la…”
Ghan tidak membalas, tetapi matanya masih tajam memerhati. Senyuman itu tidak seperti kebiasaannya. Ada sesuatu yang terselindung di sebaliknya dan itu cukup untuk membuat jantungnya berdegup sedikit lebih laju.
"UWEK! UWEK!"
Bunyi muntah yang bergema dari bilik mandi mengejutkan Arisya daripada lenanya. Dia membuka mata perlahan, mengerling ke sisi. Kosong. Ghan tiada di sebelahnya.
“Abang… are you okay?” suaranya serak, penuh kebimbangan, sambil mengetuk pintu bilik mandi.
Tiada jawapan. Hanya bunyi muntah yang berulang-ulang. Tanpa berlengah, Arisya menolak pintu gelangsar hingga terbuka. Pandangannya terus menangkap susuk tubuh suaminya yang membongkok di sinki, tangannya menggenggam kuat permukaan marmar.
“Abang makan apa semalam?” soalnya cemas, tangannya segera mengusap belakang suaminya dengan lembut.
Ghan hanya menggeleng. Segala yang ada dalam perutnya sudah habis dimuntahkan, hingga tubuhnya terasa lemah longlai.
“Nak pergi klinik?” tanya Arisya lagi, hatinya makin risau melihat wajah pucat Ghan yang terpantul di cermin.
“Tak apa… abang okey.” Ghan cuba meyakinkan, meskipun suaranya kedengaran lemah. Dia mencapai segelas air, berkumur sebelum menghembus nafas perlahan.
Arisya membantu suaminya keluar dari bilik mandi, memimpin langkahnya menuju ke katil. Ghan duduk bersandar di kepala katil, matanya terpejam seketika, cuba mengumpul tenaga.
Arisya meletakkan telapak tangan di dahi suaminya. Tak panas.
“Sayang ada balm? Minyak Cap Kapak ke?” suara Ghan lirih, tangannya sudah memicit kepala sendiri.
Arisya segera menggeledah beg tangannya. Minyak angin cap kapak memang sentiasa dibawa ke mana-mana. Setelah menemukannya, dia segera membuka penutup dan menghulurkannya kepada Ghan.
“Nah…”
Ghan menyapu minyak itu ke dahi dan hidung, berharap rasa mualnya berkurang.
“Betul abang okey ni?” Arisya masih tidak puas hati.
Ghan tersenyum tipis. “Abang okey la…”
Namun, belum sempat dia benar-benar berehat, tubuhnya tiba-tiba menegang. Dia menutup mulutnya dan segera bangkit. Lari ke bilik mandi.
Sekali lagi, muntahannya memenuhi sinki.
Arisya menggigit bibir. Ini dah lebih daripada sekadar sakit perut biasa. Dengan langkah pantas, dia menuju ke dapur, mengambil sebotol air mineral sebelum kembali ke bilik.
“Minum air dulu, nanti dehidrasi pula,” katanya, menghulurkan segelas air kosong kepada suaminya yang kini duduk lemah di birai katil. Selebihnya, dia letakkan di meja sisi.
Ghan mengambilnya tanpa banyak bicara, meneguk perlahan.
“Nanti siang kita pergi klinik, ya?” pujuk Arisya sambil memicit lembut kepala suaminya.
Kali ini, Ghan tidak membantah. Dia hanya mengangguk perlahan, terasa seolah-olah semua isi perutnya sudah kosong pagi itu.
SELEPAS pulang dari klinik, Ghan terus merebahkan diri di atas katil. Badannya terasa terlalu lemah untuk bergerak, sendi-sendi seakan kehilangan tenaga.
Arisya yang duduk di sisi hanya mampu memandang dengan hati yang berat. Rasa kasihan melihat keadaan suaminya yang langsung tidak bertenaga. Tanpa berlengah, dia mencapai telefon bimbit dan menghubungi ibu mentuanya.
“Hello, mama… Sya nak tanya sikit ni.”
“Tanya apa, Sya?”
“Abang dari awal pagi asyik muntah saja. Makan pun muntah balik. Dah pergi klinik buat ujian semua, tapi result okey saja… risau pula tengok.”
Sejenak, talian di hujung sana senyap sebelum suara Puan Halimah kedengaran semula.
“Result okey? Muntah-muntah dari awal pagi? Sekarang masih lagi?”
“Sekarang tak, cuma abang cakap dia langsung tak ada tenaga. Tidur saja.”
Tiba-tiba, ibu mentuanya tergelak kecil.
Arisya mengerutkan dahi. Apa yang kelakar?
“Kenapa mama ketawa?” tanyanya, semakin bingung dengan reaksi itu.
“Cakap dengan Ghan, dulu abah dia pun macam tu juga masa mama mengandungkan dia.”
Arisya terdiam. Eh?
“Aik… macam tu pun boleh ke?” Soalnya dengan nada tidak percaya. Dia yang mengandung, orang lain pula kena alahan?
“Biasalah… dia sayang Sya lebih, jadi biarlah dia sama-sama merasa,” ujar Puan Halimah, suaranya masih mengandungi sisa tawa.
Arisya mengetap bibir, merenung suaminya yang masih lena. Boleh jadi ke macam ni?
“Ye ke? Tak apa ke ni? Kalau pengsan macam mana?”
“Tak apa. Sya tengok-tengokkan la. Yang penting, pastikan dia cukup minum air.” Puan Halimah berpesan sebelum menamatkan panggilan.
Arisya meletakkan telefon di meja sisi dan duduk di birai katil, merenung wajah suaminya yang lena dalam keletihan. Matanya meneliti setiap inci wajah itu, garis-garis halus keletihan yang terukir, bibir yang sedikit terbuka dan dada yang turun naik perlahan.
“Bernafas lagi ke husband aku ni?” bisiknya sendiri, separuh bergurau, separuh risau.
Jari halusnya didekatkan ke hidung Ghan. Sejenak, dia merasakan hembusan hangat nafas suaminya. Arisya mengangguk laju, lega.
Dia menarik selimut hingga ke paras dada Ghan, memastikan suaminya benar-benar selesa sebelum bangun dan melangkah keluar dari bilik.
Di dapur, dia berdiri sejenak, termenung ke arah peti sejuk.
“Apa makanan yang sesuai?” bisiknya perlahan, sebelum segera mencapai telefon pintar untuk mencari resipi yang sesuai.
Beberapa minit berlalu, dia mengeluh kecil.
“Haish, macam rumit je masalah ni. Buat moi sup je lah… aku pun boleh tumpang makan.”
Kepalanya digaru walaupun tidak gatal. Lalu, dia teruskan memasak dengan fokus, memastikan hidangan siap secepat mungkin.
WAKTU berlalu, aroma sup yang panas mengisi ruang dapur. Arisya sedang mencedok sedikit kuah ke dalam sudu, meniup perlahan sebelum merasa sendiri kehangatan sup yang telah siap.
Tiba-tiba, ada tangan yang merangkul pinggangnya dari belakang.
“Sayang… masak apa ni?”
Suara serak itu membuatkan Arisya tersentak kecil. Dia segera menoleh, melihat wajah Ghan yang masih sedikit pucat tetapi kini dihiasi senyuman nipis.
“Eh, dah bangun? Dah okey ke?”
Ghan mengangguk perlahan. “Okey lepas tidur tadi.”
Arisya menarik nafas lega. “Baguslah. Jangan pagi nanti kena lagi dah la.”
Ghan mendengus kecil, berpura-pura merajuk. “Jangan la cakap macam tu. Rasa macam nak melayang je nyawa abang tau.”
Arisya ketawa perlahan. "Abang lapar?"
Ghan menggeleng. "Kejap lagi lah"
"Okey," balas Arisya lalu tangannya mencapai tangan Ghan, menggenggamnya erat sebelum menarik suaminya keluar dari dapur.
“Nak pergi mana?” tanya Ghan, menurut langkah isterinya.
“Tengok drama Jepun.”
Ghan mengangkat kening. “Best ke?”
“Best je… dari dulu Sya selalu layan drama atau movie Japan je.”
Langkah Ghan terhenti. “Dari dulu?”
Arisya mengangguk tanpa menoleh, menekan butang remote control setelah duduk di sofa. Ghan, yang kini duduk di sisinya, tidak segera memandang skrin.
Sebaliknya, dia terus memerhatikan Arisya, matanya dipenuhi seribu satu perasaan yang sukar dijelaskan.
Arisya yang menyedari tatapan itu menoleh semula. Keningnya sedikit berkerut sebelum tangannya perlahan-lahan menepuk lembut pipi suaminya.
“Kenapa pandang macam tu?”
Namun, Ghan tetap diam. Hanya hatinya yang berbicara, menyimpan sesuatu yang mungkin hanya dia sendiri yang tahu.
Share this novel