“Jemput masuk, Arisya… welcome home.”
Puan Zahira menyambut kepulangan anaknya dengan senyuman, namun dalam hatinya ada getar yang sukar diungkapkan. Arisya membalas senyuman itu, meskipun fikirannya masih kabur. Dia memandang ke sekeliling rumah seperti pertama kali menjejakkan kaki di situ.
Puan Zahira menuntun Arisya duduk di ruang tamu, lalu membawa keluar sebuah bakul berisi album-album lama. Dia berharap memori Arisya akan perlahan-lahan kembali.
“Ibu?”
Puan Zahira tersentak mendengar panggilan itu. Ada harapan menyelinap di hatinya.
“Sya ingat ibu?” soalnya, cuba menyembunyikan keterujaan.
Arisya menggeleng. “Dia bagitahu saya, auntie ni ibu saya.”
Senyuman Puan Zahira pudar. Ada sebak yang menyesak dada. Ini mungkin balasan Tuhan kerana pernah mengabaikan perasaan anaknya dahulu.
Arish, yang sejak tadi memerhati, menghampiri mereka berdua. Dia mengambil album lama, membuka halaman yang memuatkan gambar mereka sewaktu kecil.
“Ini gambar Arisya…” ujarnya, jari menunjuk kepada seorang kanak-kanak perempuan yang tersenyum manis.
“Yang ni pula Arish.” Dia menunjuk dirinya dalam gambar.
Arisya diam, hanya mendengar.
“Kita kembar, tau. Ini ibu kita.” Arish menambah sambil memeluk bahu Puan Zahira.
Arisya mengalihkan pandangan ke wajah ibunya. Dia cuba mencari rasa yang sepatutnya ada rasa kasih, rasa kenal. Namun, semuanya masih samar-samar.
“Ini siapa?” Arisya menunjuk gambar seorang lelaki.
“Ayah kita la. Dia belum balik kerja lagi.” Arish tersengih.
Arisya mengangguk perlahan dan terus membelek album dengan teliti.
“Ghan dah tahu ke Arisya discharge hari ni?” soal Puan Zahira.
“Dah.” Arish menjawab sambil masih leka dengan album.
“Siapa Ghan?”
Serentak, Puan Zahira dan Arish saling berpandangan.
“Err… Buah hati Arisya lah. Ingat tak? Dia ada dengan Sya dekat hospital sebelum ni” jawab Puan Zahira, cuba menguji.
Arisya mengerutkan dahi. Fikirannya cuba mengingati sesuatu, tetapi kosong.
“Ghan tu..”
Belum sempat Arish meneruskan kata-kata, mulutnya segera ditutup oleh ibunya.
“What?” Arish mengangkat kening.
Puan Zahira berbisik di telinga anaknya. “Biar Ghan sendiri yang urus. Bagi dia peluang cipta memori baru dengan adik kamu.”
Arish tersenyum faham. “Not bad jugak otak ibu.”
Puan Zahira menjongket kening. “Well, you know me right?”
“Ye, ibu memang banyak idea licik.”
Mereka ketawa kecil.
“Mana gambar Ghan?” soal Arisya, matanya masih meneliti album.
Tawa mereka terhenti.
“Zaman moden ni orang dah jarang print gambar dan simpan dalam album. Sekarang semua dalam handphone. Tapi phone Arisya kan rosak sebab accident,” terang Arish.
Arisya terdiam seketika. Matanya tertancap pada cincin di jari manisnya. Dia memusingkan cincin itu perlahan-lahan.
“Cincin ni?”
“Of course la, sweetheart yang bagi.”
Suara berat dari belakang membuat mereka berpaling serentak.
Encik Shamsudin baru saja pulang dari kerja, berdiri dengan senyuman penuh makna.
ARISYA duduk termenung, matanya meneroka segenap ruang bilik yang terasa asing. Walaupun mereka berkata ini rumahnya, biliknya, segalanya tetap terasa kosong dalam ingatannya.
Perlahan-lahan, dia bangun dan melangkah ke meja solek. Tangannya mencapai seutas jam tangan lelaki yang diletakkan di situ. Rekaan maskulin jam itu jelas bukan miliknya, namun ada sesuatu yang menarik perhatiannya.
Dia mengangkat jam itu ke hidung, menghirup aroma yang melekat pada tali kulitnya. Bau minyak wangi…
“Macam biasa bau saja perfume ni.”
Bisikannya tenggelam dalam kekeliruan. Hatinya mengatakan dia mengenali bau ini, tetapi akalnya tidak dapat mengingat dari mana atau siapa pemiliknya.
Meletakkan kembali jam itu, Arisya mengalihkan pandangannya ke tingkap. Langsir ditolak ke kanan, membiarkan cahaya matahari menyapa wajahnya. Langit biru terbentang luas di hadapannya, seolah-olah mengajaknya mengingat sesuatu yang hilang.
“Apa yang buat aku susah nak ingat, ya?” soalnya perlahan, jari jemarinya bermain pada langsir. “Siapa lelaki yang kerap muncul dalam mimpi aku?”
Wajah itu sayup, kabur, tetapi kehadirannya terasa nyata dalam setiap mimpi. Suara lelaki itu samar, tetapi cukup untuk mengganggu fikirannya.
Arisya berpaling ke almari pakaian. Matanya menangkap sesuatu tergantung pada tombol pintu,kad pelajar miliknya.
Dia melangkah perlahan dan meraih kad tersebut. Jari-jarinya menyentuh nama yang tertera, namun matanya lebih tertumpu pada satu perkataan lain di bawahnya.
“Sarawak.”
Sebutannya perlahan, tetapi cukup untuk membuat hatinya bergetar. Sesuatu tentang perkataan itu terasa penting, seolah-olah sebahagian daripada dirinya berada di sana.
HAMPIR sebulan Arisya menghabiskan masa bersama keluarganya. Walaupun ingatannya masih samar, dia tetap berusaha untuk menyesuaikan diri dan membina kembali hubungan dengan mereka. Namun, jauh di sudut hati, ada sesuatu yang masih terasa kosong seolah-olah ada bahagian dirinya yang belum ditemui.
TUT! TUT!
Telefon di tangan Ghan bergetar. Dia segera menjawab panggilan.
“Assalamualaikum, Ghan. Ini ibu… Busy ke?” suara Puan Zahira kedengaran di hujung talian.
Ghan meletakkan dokumen yang sedang dibacanya ke tepi. “Waalaikumsalam, ibu. Tak, kenapa? Sya okey ke?” soalnya, sedikit cemas.
“Alhamdulillah, dia baik-baik saja. Ibu cuma nak beritahu, minggu depan Sya akan ke sana. Seperti yang Arish dah ceritakan, ibu serahkan semuanya kepada Ghan untuk uruskan. Termasuk soal hubungan kamu berdua… Ibu nak Ghan sendiri yang jelaskan.”
Ghan menarik nafas dalam. Kata-kata Puan Zahira itu seakan memberi peluang kedua untuknya.
“Baik, ibu. InsyaAllah, Ghan akan buat yang terbaik untuk Arisya,” jawabnya penuh tekad.
“Bukan hanya untuk Arisya, Ghan… tapi untuk hubungan kamu berdua.”
Ghan tersenyum kecil. Dia tahu, hubungan mereka tidak pernah terputus secara rasmi, tetapi dia sedar dia masih perlu berusaha untuk mendapatkan kembali tempatnya di hati Arisya.
“Terima kasih, ibu, bagi Ghan peluang ini.”
Sebaik sahaja talian dimatikan, Ghan segera membuat permohonan cuti tanpa gaji. Dia tidak mahu melepaskan kesempatan ini untuk menebus segala kesilapan dan memastikan Arisya menerima dirinya kembali.
Share this novel