LAPANGAN terbang pagi itu dipenuhi suasana yang bercampur-baur, gembira, hiba, dan berat hati yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Arish berdiri di sisi bapanya, Encik Shamsudin, memerhati Arisya dan suaminya, Ghan, bersedia untuk berangkat pulang ke Sarawak. Namun, satu kelibat yang tiada di situ menambahkan kesayuan, Puan Zahira masih dengan egonya, memilih untuk menyendiri dalam diam.
“Sya, jaga diri baik-baik, ya.” Suara Encik Shamsudin bergetar dengan nada kesal. “Ayah minta maaf… selama ini ayah tak mampu melindungi anak perempuan ayah dengan baik.” Matanya berkaca, penyesalan terukir jelas di wajah seorang bapa yang pernah terbelenggu dalam kekerasan hati seorang isteri.
Arisya tersenyum lembut, namun ada sendu yang bergetar di hujung bibirnya. Dia merangkul tubuh lelaki separuh usia itu dalam pelukan yang hangat dan penuh makna. “Sya okey, ayah,” bisiknya, seolah-olah menenangkan hati yang luka.
Encik Shamsudin menepuk belakangnya perlahan sebelum meleraikan pelukan. Belum sempat air mata gugur, Arisya berpaling ke arah Arish, si kembar yang sentiasa menjadi pelindung setianya. Dengan mata berkaca, dia menghulurkan tangan sebelum akhirnya tubuh mereka bertaut erat dalam pelukan yang penuh kasih.
“Along…” suara Arisya lirih, seakan berat untuk melepaskan.
Arish tersenyum dalam kesayuan, menepuk perlahan belakang tubuh adik kesayangannya. “Hey, kau kena bahagia, okey? Tak perlu fikir benda lain, ikut kata hati kau. Sekarang kau dah ada suami yang boleh jaga kau untuk aku.”
Arisya tersengih kecil dalam tangis yang cuba disembunyikan. “Datanglah ke Sarawak nanti, mana tahu kau pun jumpa jodoh di sana.”
Arish ketawa kecil, cuba menceriakan suasana yang semakin sendu. “Kita tengoklah nanti.”
Kemudian, dia mengalihkan pandangan ke arah Ghan, lelaki yang kini bertanggungjawab ke atas adiknya. “Kau… jaga dia baik-baik. Jangan sesekali sakiti dia.” Suaranya tegas, namun dalamnya terselit kepercayaan dan harapan.
Ghan mengangguk dengan senyuman yakin. “Doakan yang terbaik untuk kami.” Dia bersalaman erat dengan Arish dan Encik Shamsudin sebelum menundukkan hormat.
“Terima kasih kerana menerima dan menjaga Arisya dengan baik,” ucap Encik Shamsudin, menepuk bahu Ghan dengan penuh penghargaan.
Saat perpisahan tiba, Arisya menarik nafas panjang sebelum melangkah masuk bersama Ghan ke ruang menunggu penerbangan. Langkahnya berat, namun tangannya erat dalam genggaman suaminya.
“Sayang okey?” tanya Ghan perlahan setelah mereka duduk bersebelahan di kerusi menunggu.
Arisya melentokkan kepalanya di bahu lelaki itu, jarinya lincah menatal skrin telefon sambil melayari aplikasi TikTok. “Okey je,” jawabnya ringkas, namun nada suaranya tidak seceria biasa.
Ghan mengusap lembut tangannya. “Kalau ada apa-apa, bagitahu abang, ya? Jangan pendam sendiri. Sayang tengah mengandung, tak elok kalau stress.” Suaranya penuh kebimbangan dan kasih sayang.
Arisya tersenyum kecil, matanya masih pada skrin, tapi jiwanya terbuai oleh kehangatan suara suaminya. “Okey, abang sayang…” balasnya manja, jari masih menari di skrin telefon.
Ghan tersenyum melihat gelagat isterinya. Walau hati Arisya masih sarat dengan perasaan yang bercampur-baur, dia tahu mereka akan melalui semua ini bersama.
“Jom, dah boleh masuk.”
Ghan bangkit, menghulurkan tangan untuk menggenggam jemari isterinya. Dengan langkah perlahan, mereka menuju ke pintu masuk penerbangan, meninggalkan kenangan di belakang, menuju ke lembaran baru dalam hidup mereka.
“SELAMAT pagi, tuan!” ucap seorang anggota yang baru masuk bertemu dengan Ghan pada hari pertama dia kembali bertugas selepas pulang bercuti.
“Ya, duduklah,” balas Ghan sambil menjemput anggota balai itu duduk di hadapannya.
“Muka nampak mengantuk saja, tuan baru sampai pagi ni ke?” tegur Amir, memandang wajah Ghan yang jelas keletihan.
“Eh, taklah. Saya sampai awal sehari. Cuma sekarang saya memang tak boleh tidur malam,” jawab Ghan sambil menggosok wajahnya untuk menghilangkan rasa mengantuk.
“Kenapa pula? Ada masalah ke?” Amir cuba mengorek cerita.
“Hmm… masalah ke tak ya? Rasa macam bukan masalah kot,” Ghan menggaru kepala yang tidak gatal.
“Macam pelik je bunyinya.” Amir berkerut dahi, tidak puas hati dengan jawapan itu.
Ghan tersengih sebelum akhirnya tertawa kecil. “Sebenarnya isteri saya tengah mengandung, tapi saya pula yang kena morning sickness. Pukul dua, tiga pagi saya dah mula bertapa depan sinki sampai dekat subuh.”
Amir terkekeh mendengar pengakuan itu. “Fuh… perit bunyinya, tapi tahniahlah. Semua tu kenangan manis nanti.”
Dia menyerahkan fail kepada Ghan sebelum teringat sesuatu. “Oh ya, tuan tahu kan pasal majlis makan malam nanti?”
“Ha’ah… saya baru teringat,” jawab Ghan, sedikit terpinga-pinga.
“Jangan lupa bawa cik puan sekali. Semua orang nak tengok siapa yang berjaya cairkan hati tuan.” Amir tersengih penuh makna. Semua di balai tertanya-tanya siapa wanita yang berjaya menjadi suri hati Ghan kerana selama ini dia begitu dingin terhadap mana-mana wanita sehingga mendapat gelaran ‘Frozen Heart’ dalam kalangan anggota.
Ghan hanya ketawa kecil. “Nanti saya tanya cik puan dulu, dia nak ikut ke tak.”
“Pujuklah sampai cik puan ikut. Saya gerak dulu.” Amir tersenyum sebelum beredar, meninggalkan Ghan yang menggeleng kepala dengan gelagatnya.
Arisya menyiapkan secawan teh panas yang dicampur lemon untuk suaminya selepas pulang dari tempat kerja.
“Dah mandi ke belum?” soal Arisya sambil menghulurkan mug berisi minuman kepada Ghan yang sedang bersandar di kerusi rehat luar rumah.
“Dah…” jawab Ghan seraya menghirup teh yang diberikan Arisya.
“Nak tidur?” tanya Arisya lagi, memerhati wajah letih suaminya.
Ghan menggeleng. “Lepas Isyak. Sayang, nanti nak ikut tak?”
“Ikut ke mana?” Arisya memandangnya hairan sambil menyarung selipar, bersedia untuk mengambil arnab kesayangannya yang sedang beristirehat.
“Dinner untuk semua anggota bomba daerah. Dekat hotel apa entah… abang lupa pula,” jawab Ghan, cuba mengingati tentatif majlis itu.
“Wajib ikut ke?” Arisya menggendong arnab kegemarannya sambil menghampiri tembok paras pinggang di ruang rehat.
“Wajiblah… takkan nak biar abang pergi seorang? Tak takut ada orang lain datang teman?” usik Ghan, menanti reaksi isterinya.
Seperti yang dijangka, Arisya sudah mengerutkan keningnya. “Abang jangan cari pasal,” tegasnya, nada suara sedikit geram.
“So, sayang ikut kan?”
“Ye lah, ikutlah,” jawab Arisya sebelum menggomol arnab di pelukannya, geram dengan usikan Ghan. Lelaki itu tersenyum, senang hati kerana begitu mudah ‘mengumpan’ isteri yang mudah cemburu itu.
“Sayang, bila appointment seterusnya?” tanya Ghan, teringatkan rutin pemeriksaan kandungan Arisya.
“Bulan depan,” jawab Arisya, melepaskan arnabnya kembali ke bawah sebelum mencuci tangan dan duduk berdekatan dengan suaminya.
“Sayang…” Ghan menarik tangan Arisya ke dadanya, membuatkan wanita itu menoleh ke arahnya.
“Sayang tak pernah pun balas…”
“Balas apa?” Arisya membulatkan mata, cuba memahami maksud suaminya.
“Ucapan abang…” ujar Ghan dengan nada sedikit suram.
“Ucapan apa tu?” Arisya masih tidak menangkap maksudnya.
“I love you…” ucap Ghan perlahan, memandang tepat ke dalam mata isterinya dengan penuh pengharapan.
Arisya tersedak kecil, lalu berdehem sebelum merapatkan diri dengan suaminya. Dengan suara perlahan, dia berbisik di telinga Ghan. “I love you too.”
Mata Ghan membulat sedikit, sebelum senyumannya melebar. Wajahnya jelas berseri mendengar kata-kata yang telah lama dinantikannya.
“Alhamdulillah… dapat juga abang dengar,” katanya, penuh syukur, lalu mengucup tangan Arisya dengan kasih.
Arisya hanya tersenyum dengan kerenah suaminya itu.
Share this novel