PULANG BAB 10 : FLASHBACKS 7 MENAFIKAN

Romance Completed 15562

HARI berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Namun, Ghan masih enggan menerima kenyataan.

Arisya, sebaliknya, sudah reda dengan takdir hidupnya. Walaupun suaminya kekal dingin terhadapnya, dia tetap melayan Ghan dengan penuh setia dan sabar. Dia bersyukur kerana keluarga mentuanya tidak pernah mengabaikannya, malah sentiasa memberi sokongan tanpa syarat.

Pada suatu petang, Encik Ahmad duduk berdua dengan anak tunggalnya di ruang tamu. Suasana sepi seketika sebelum bapanya itu akhirnya bersuara.

“Sampai bila Ghan nak layan Arisya macam orang asing?” soalnya, nada tegas tetapi sarat dengan kekecewaan.

Ghan menghela nafas panjang sebelum menjawab, “Sampai bila-bila. Ghan tak pernah suka dia, tak pernah pun paksa dia jadi isteri Ghan. Ghan tetap dengan pilihan hati Ghan.” Kata-katanya dingin, seolah-olah kehadiran Arisya dalam hidupnya hanyalah satu beban.

Encik Ahmad menggeleng perlahan. “Habis tu, mana pilihan hati kamu tu? Wanita kejam macam tu juga yang kamu masih harapkan?” Tempelaknya.

Di belakang sofa, Arisya berdiri kaku sambil menatang dulang berisi kopi panas dan cucur udang. Jelas sekali, dia telah mendengar setiap butir perbualan mereka. Hatinya sedikit tercalar, namun dia tetap berlagak tenang. Dengan langkah perlahan, dia menghampiri meja dan meletakkan hidangan petang itu.

“Sya, duduklah sekali,” pelawa Encik Ahmad apabila melihat Arisya bersedia untuk beredar.

Arisya tersenyum nipis, menolak dengan sopan. “Tak apa, Sya tak nak ganggu. Sya nak keluar sekejap.” Tanpa menunggu lama, dia melangkah ke halaman rumah, mencari ketenangan di sisi arnab-arnab peliharaan bapa mentuanya.

Encik Ahmad kembali memandang anaknya. “Kalau dah tak suka, kenapa tak serahkan dia semula kepada keluarganya?” soalnya lagi sambil menghirup kopi.

Ghan terdiam. Kata-kata bapanya seolah-olah mengetuk sesuatu dalam jiwanya. Sudah lebih setahun berlalu, tetapi dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya berat untuk melepaskan Arisya pergi.

“Kamu dah sia-siakan hidup Arisya, Ghan.” Suara Encik Ahmad kedengaran lagi, kali ini lebih perlahan tetapi penuh makna. “Sepatutnya dia boleh bahagia dengan kerjaya yang dia minati.”

“Dia sendiri yang memilih untuk hidup macam ni. Ghan Cuma ikut saja,” balas Ghan, masih berkeras dengan egonya.

Encik Ahmad menggeleng perlahan, menarik nafas panjang. “Abah harap kamu akan sedar sebelum semuanya terlambat.”

Ruang tamu kembali sunyi. Namun, kata-kata itu terus bergema dalam fikiran Ghan.


“AUNTY, kenapa menangis?” tegur seorang kanak-kanak lelaki yang kerap datang bermain dengan arnab di rumah mentuanya.

Arisya cepat-cepat mengesat air mata yang bertakung di tubir matanya, kemudian tersenyum lembut. “Aunty rindu kembar Aunty je,” jawabnya sambil membelai arnab putih yang sudah selesa bertenggek di atas ribanya.

“Ohhh… Aunty ada kembar ya? Mesti comel macam Aunty kan?” Kanak-kanak itu, Edward namanya, bertanya dengan wajah penuh keingintahuan. Dia anak kepada pasangan campuran British dan Sarawak yang sering datang bermain di halaman rumah mentuanya.

Arisya tertawa kecil mendengar soalan polos itu. “Kembar Aunty lelaki, jadi dia kacak macam Edward lah,” usiknya, lalu mencubit pipi gebu Edward dengan geram.

Edward tergelak kecil, kemudian menyoal lagi dengan penuh semangat. “Kembar Aunty nama apa? Boleh tengok gambar dia tak?” Dia segera melepaskan arnab yang dipegangnya ke sisi, menunggu dengan penuh keterujaan.

Arisya tersenyum sebelum mengeluarkan telefon pintarnya dari poket seluar. Jarinya pantas menatal skrin, mencari album gambar untuk ditunjukkan kepada Edward.

Dari kejauhan, Ghan memerhati gelagat Arisya dan Edward. Dia sendiri tidak pasti sejak bila anak kecil itu menjadi begitu rapat dengan Arisya. Sesekali hatinya tersentuh melihat wanita itu tersenyum, namun secepat mungkin dia menepis perasaan itu menggantinya dengan bayangan Farisya yang masih kukuh bertakhta dalam fikirannya.

“Wahhh! Memang handsome lah twin Aunty! Bila dia nak datang sini?” Edward meneliti setiap gambar yang ditunjukkan oleh Arisya dengan penuh minat.

Arisya tersengih. “Dia sibuk kerja, belum sempat nak datang jalan-jalan sini. Tapi kalau dia datang, Aunty mesti bagitahu Edward dulu,” katanya sambil mengusap kepala kanak-kanak itu dengan penuh kasih sayang.

Sejak berada di rumah mentuanya, Edward menjadi satu-satunya teman yang mengisi kesunyian Arisya. Setiap hari, selain menemani Edward bermain, dia juga membantu Encik Ahmad di kandang haiwan yang terletak berhampiran rumah.

Itulah rutin hariannya, cara dia cuba menenangkan hati yang sering terluka dalam diam.


MALAM itu, seperti biasa Arisya hanya masuk ke bilik Ghan untuk menghantar pakaian kerja suaminya. Dia tidak pernah bermalam di bilik ini. Hubungan mereka masih kekal hambar, sekadar suami isteri di atas kertas.

Dengan langkah tenang, dia menghampiri almari pakaian dan meletakkan sepasang uniform kerja yang sudah siap digosok. Tidak ada sapaan, tidak ada bicara. Dia hanya mahu menyelesaikan tugasnya dan beredar seperti selalu.

Namun, sebelum sempat dia berbalik, suara Ghan tiba-tiba memecah kesunyian.

“Kenapa kau buat semua ni?”

Arisya terpaku sejenak. Dia tahu soalan itu bukan tentang pakaian yang dihantarnya, tetapi tentang sesuatu yang lebih besar, tentang keputusan yang pernah diambilnya dulu.

“Apa maksud abang?” Dia cuba mengelak.

Ghan berdiri, mendekati perlahan. “Jangan pura-pura tak faham, Arisya.” Nadanya tegang. “Kenapa kau sanggup ganti tempat Farisya? Kau boleh tolak. Tapi kau tetap terima. Kenapa?”

Arisya menggenggam jari-jarinya erat, berusaha menahan debar di dada. “Itu dah jadi takdir.”

Ghan mendengus sinis. “Takdir? Atau kau ada agenda lain? ”

Arisya hanya diam. Dia mahu segera keluar dari bilik ini, tetapi Ghan melangkah lebih dekat, membuatkan dia terpaksa mengundur.

“Aku tanya kau ni, jawab!” Ghan semakin geram dengan sikapnya yang berdiam diri.

“Sya tak perlu jelaskan apa-apa pada abang.” Suara Arisya tetap tenang, tetapi matanya bersinar dengan ketegasan.

Kesabaran Ghan semakin menipis. “Kau ni degil jugak kan?”

Dengan sekali langkah, Arisya kini terperangkap antara tubuh Ghan dan pintu yang tertutup. Mata mereka bertentang saling mencabar, saling menilai.

Ghan mengangkat satu tangan, menyandarkannya ke pintu di sebelah kepala Arisya, menutup segala ruang untuk isterinya mengelak. “Aku boleh paksa kau untuk bercakap, kau tahu?”

Arisya mengetap bibir. “Abang boleh paksa apa pun, tapi Sya takkan cakap.”

Ghan tersenyum sinis, matanya jatuh ke bibir merah jambu isterinya. “Masih tak nak cerita?”

Arisya menelan liur, tetapi dia enggan menunjukkan ketakutan.

“Baik. Kalau kau masih degil…” Ghan bersuara perlahan tetapi penuh ancaman. “Aku tak akan teragak-agak untuk ambil jawapan dengan cara lain.”

Pandangan matanya turun ke bibir Arisya, sengaja memberi ugutan halus.

Arisya tersentak, tetapi dia tidak mahu mengalah. “Kalau itu yang abang nak, silakan.” Suaranya sedikit bergetar, namun tetap mencabar.

Ghan terkedu. Dia tidak menjangka wanita itu akan berani membalas begitu.

Tangannya mengepal di sisi, dadanya berombak. Ada sesuatu dalam mata Arisya, sesuatu yang tidak dapat dia tafsirkan.

Dan tanpa dia sedar, jantungnya sendiri berdegup lebih pantas.

Ghan mengetap rahang, hatinya berperang dengan sesuatu yang dia sendiri tidak fahami. Arisya masih berdiri tegak di hadapannya, wajahnya langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengalah.

Jari-jemari Ghan mengepal di sisi, cuba mengawal diri. Matanya masih terkunci pada wajah isterinya, wanita yang selama ini dia anggap sebagai beban, tetapi entah mengapa, malam ini kehadirannya seakan-akan menghantui.

“Kau betul-betul berani cabar aku, ya?” suaranya kedengaran bergetar, bukan kerana marah, tetapi kerana sesuatu yang lebih dalam dari itu.

Arisya tidak berganjak. “Sya tak mencabar sesiapa pun.”

Ghan tersenyum sinis. “Jangan buat aku hilang sabar, Arisya.”

“Abang memang dah hilang sabar sejak dulu lagi.” Arisya membalas dengan tenang.

Dada Ghan berombak. Dia tidak suka melihat wanita ini begitu tenang di hadapannya, seolah-olah tidak gentar sedikit pun dengan ancaman yang dia berikan. Tangannya yang bersandar pada pintu mengetat, dan tanpa sedar, dia semakin merapatkan diri.

Arisya menelan liur. Jarak mereka terlalu dekat. Nafas Ghan yang hangat terasa menyentuh wajahnya, tetapi dia enggan berundur.

“Masih tak nak bercakap?” suara Ghan lebih perlahan, hampir seperti bisikan yang menggoda bahaya.

Arisya menggeleng perlahan. “Sya tak akan bagi jawapan yang abang nak dengar.”

Ghan menarik nafas panjang, cuba menahan perasaan yang semakin menyesakkan dadanya. Wajah Arisya hanya beberapa inci dari wajahnya.

“Kalau macam tu…” dia bersuara perlahan, matanya tajam menikam mata isterinya. “Jangan salahkan aku kalau aku ambil cara lain.”

Jarinya perlahan-lahan mengangkat dagu Arisya, memaksa wanita itu terus memandangnya.

Arisya terkedu, tetapi dia masih bertahan. “Abang takkan buat.”

“Kau yang cabar aku!”

Suasana semakin tegang. Detik berlalu dengan perlahan. Arisya dapat merasakan hembusan nafas Ghan yang kian dekat.

Namun, saat bibir mereka hampir bersentuhan.

“Cukup, Abang.”

Ghan tersentak. Matanya mencari mata Arisya.

“Jangan rendahkan diri abang hanya sebab nak menang dalam perbalahan ni.” Suara Arisya bergetar, tetapi bukan kerana takut sebaliknya kerana kecewa.

Seketika, dunia terasa sunyi. Ghan masih tidak berganjak, tetapi kata-kata isterinya seolah-olah mengetuk sesuatu dalam dirinya.

Akhirnya, dengan helaan nafas kasar, dia melangkah ke belakang, melepaskan wanita itu dari perangkapnya.

“Keluar.”

Arisya masih berdiri seketika, menatap wajah suaminya yang kelihatan kacau. Namun, dia tidak berkata apa-apa.

Dengan langkah perlahan, dia mencapai tombol pintu dan beredar dari bilik itu meninggalkan Ghan yang masih terpaku di tempatnya, bergelut dengan perasaan yang semakin sukar dia fahami.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience