AIR terjun di hadapan mereka mengalir tenang, mencipta bunyi yang mendamaikan. Arisya berdiri di tepi batu besar, membiarkan angin sejuk menyapa wajahnya. Air jernih mengalir perlahan di bawah kakinya yang sudah tenggelam separuh.
Dia menarik nafas dalam, merasakan ketenangan yang sukar digambarkan. Entah kenapa, tempat ini terasa begitu… dekat.
“Selesa?” Suara Ghan memecah kesunyian.
Arisya menoleh, melihat lelaki itu berdiri tidak jauh darinya dengan senyuman tipis.
Dia mengangguk. “Tempat ni cantik. Macam…” Dia terhenti, tidak pasti bagaimana mahu menyambung.
“…macam pernah buat awak rasa tenang?” Ghan menyambung bagi pihaknya, matanya penuh kelembutan.
Arisya terdiam sebelum perlahan-lahan mengangguk. “Mungkin.”
Ghan tersenyum sedikit, kemudian melangkah mendekatinya. “Saya ingat awak jenis suka tempat bising. Shopping mall, kafe, tempat ramai orang.”
Arisya tergelak kecil. “Saya pun ingat macam tu.”
“Jadi, awak terkejut sebab awak suka tempat macam ni?”
Arisya menggigit bibir, memandang air yang mengalir jernih di bawah. Dia tak pasti bagaimana mahu menjelaskannya. Ada sesuatu dalam dirinya yang terasa aneh seolah-olah hati dan fikirannya sedang bertentangan.
“Entahlah.” Dia menggeleng perlahan. “Saya rasa macam… tempat ni bagi saya rasa tenang. Tapi pada masa yang sama, saya tak tahu kenapa.”
Ghan diam seketika, kemudian menyeluk tangannya ke dalam poket. “Mungkin sebab awak sedang belajar dengar kata hati.”
Arisya menoleh, dahi berkerut. “Maksud awak?”
Ghan hanya tersenyum. “Kadang-kadang, jawapan yang kita cari tak datang dalam bentuk ingatan. Tapi dalam bentuk perasaan.”
Arisya memandangnya lama. Kata-kata itu terasa jauh lebih dalam daripada yang sepatutnya.
Dia mengalihkan pandangan kembali ke arah air terjun. Angin sejuk bertiup lembut, membawa ketenangan yang sukar dijelaskan. Dia tidak tahu kenapa, tapi dalam saat ini… dia rasa selamat.
Lebih mengejutkan, dia rasa selamat bila bersama Ghan.
Jari-jemarinya mengetat di sisi, cuba memahami perasaan sendiri. Dia tak ingat apa-apa, tapi entah kenapa, dia tidak mahu rasa ini hilang.
Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman kecil.
“Sya.”
Arisya menoleh. Ghan menghulurkan tangannya.
“Jom.”
Arisya memandang tangan itu sejenak. Ada sesuatu dalam dadanya yang bergetar halus. Dia tak tahu apa yang menantinya selepas ini. Tapi untuk kali pertama sejak dia kehilangan ingatan, dia memilih untuk mendengar kata hatinya.
Dia menyambut huluran itu.Saat jemari mereka bersatu, dia merasakan sesuatu dalam dirinya mulai pulih.
SELEPAS pulang dari mencari jawapan di kawasan air terjun. Ghan membawa Arisya pulang. Sebaik sahaja sampai di bawah parking, Ghan pantas bukakan pintu tempat duduk Arisya seraya menarik tangannya untuk ke suatu tempat.
“Eh, awak bawa saya ke mana ni?” Arisya bertanya dengan dahi berkerut, langkahnya perlahan mengekori Ghan yang berjalan mendahuluinya.
Ghan menoleh dengan senyuman nakal. “Sabar, sekejap lagi awak tahu.”
Mereka kini berada di perkarangan rumah keluarga Ghan. Kawasan itu lapang, dihiasi dengan pokok-pokok rendang dan sebuah kandang kecil di satu sudut. Arisya memandang sekeliling dengan penuh tanda tanya.
Tiba-tiba, satu pergerakan kecil menarik perhatiannya. Dari dalam kandang, beberapa ekor arnab berbulu gebu melompat-lompat ke arah pagar kayu.
Arisya membulatkan mata. “Arnab?”
Ghan tergelak kecil melihat reaksinya. “Haah. Abah saya bela dari dulu lagi.”
Arisya melangkah lebih dekat, mencangkung di hadapan pagar kandang. Seekor arnab berwarna putih tulen mendekatinya, hidung kecilnya bergerak-gerak mencium tangan Arisya yang terjulur ke dalam.
“Comelnya…” Arisya berbisik perlahan, jari-jemarinya membelai bulu lembut arnab itu. Hatinya tiba-tiba terasa hangat dengan perasaan yang sukar dijelaskan.
Ghan tersenyum sambil melipat lengan bajunya. “Nak pegang?”
Arisya mengangguk tanpa berfikir panjang. Ghan membuka pagar kandang, lalu dengan berhati-hati, dia mengangkat seekor arnab kelabu dan menyerahkannya kepada Arisya.
“Awak kena pegang betul-betul, jangan biar dia terkejut,” pesannya.
Arisya menerima arnab itu ke dalam pelukannya, tangannya berhati-hati membelai kepala kecil haiwan itu. Senyumannya semakin melebar apabila arnab itu menggeliat manja, seolah-olah selesa berada dalam dakapannya.
“Dia suka awak,” ujar Ghan, matanya tidak lepas daripada wajah Arisya yang kelihatan begitu ceria.
Arisya mendongak, mata mereka bertemu seketika. Jantungnya terasa berdegup sedikit laju. Dia segera menunduk semula, berpura-pura fokus pada arnab di tangannya.
“Dia tak takut langsung, kan?” Arisya cuba mengalihkan perbualan.
“Arnab ni boleh rasa kalau orang yang pegang dia ada niat baik,” balas Ghan. Dia tahu arnab disitu sudah biasa dengan kehadiran Arisya.
Arisya tersenyum kecil. Tangannya masih membelai bulu lembut arnab dalam pelukannya. “Maksudnya, dia percayakan saya?”
Ghan mengangguk perlahan. “Mungkin sebab awak sendiri ada hati yang baik.”
Arisya terdiam. Kata-kata itu membuatkan dadanya terasa hangat sekali lagi.
Tanpa sedar, dia mula menikmati momen itu bersama Ghan dengan kebahagiaan yang terasa begitu sederhana tetapi sangat bermakna.
Langit mula berubah warna jingga bercampur merah lembut menghiasi petang yang hampir berlabuh. Suasana di belakang rumah itu terasa damai, hanya bunyi dedaunan yang berbisik bersama angin dan sesekali suara arnab yang melompat-lompat dalam kandang.
Arisya masih duduk di bangku kayu kecil, arnab kelabu tadi sudah lena dalam pangkuannya. Ghan pula bersandar di pagar kandang, kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar, memerhatikan Arisya dalam diam.
“Awak selalu luangkan masa dengan arnab-arnab ni?” Arisya akhirnya bersuara, suaranya lembut, seolah-olah takut mengganggu keheningan yang menyenangkan.
Ghan tersenyum sedikit. “Dulu selalu. Tapi sejak sibuk dengan kerja, jarang dah.”
Arisya mengangguk perlahan, jari-jemarinya masih membelai bulu lembut arnab di pangkuannya. Hatinya terasa tenang. Dia tidak ingat bila kali terakhir dia rasa sebegini bebas, ringan, bahagia dalam cara yang sederhana.
Dia menoleh ke arah Ghan. “Terima kasih.”
Ghan mengangkat kening. “Untuk apa?”
Arisya menarik nafas perlahan. “Untuk bawa saya ke sini. Untuk layan saya dengan baik. Untuk buat saya rasa saya masih ada tempat...”
Ghan merenungnya lama sebelum akhirnya dia tersenyum. “Sya… awak tak pernah hilang tempat.”
Arisya terdiam. Kata-kata itu menyentuh sesuatu jauh di dalam dirinya.
Ghan menghela nafas perlahan, kemudian duduk di sisi Arisya, cukup dekat sehingga bahu mereka hampir bersentuhan. “Saya tahu awak masih cuba ingat semuanya. Saya takkan paksa. Tapi saya nak awak tahu… awak tak keseorangan dalam semua ni.”
Arisya menggigit bibir. Matanya terasa sedikit panas. Entah kenapa dia rasa kata-kata itu lebih dalam dari yang sepatutnya.
Ghan tersenyum kecil, cuba menceriakan suasana. “Kalau awak nak tahu, arnab kelabu tu dah jadi kawan baik awak sekarang.”
Arisya tergelak kecil sambil membetulkan posisi arnab yang masih lena. “Dia selesa dengan saya.”
“Macam awak,” balas Ghan tiba-tiba.
Arisya mengerutkan dahi. “Apa maksud awak?”
Ghan tidak terus menjawab. Dia hanya tersenyum, kemudian bangun dan menepuk kepala arnab itu perlahan.
“Mungkin awak pun sebenarnya selesa dengan saya,” katanya sebelum melangkah ke arah rumah.
Arisya terkedu. Jantungnya berdegup sedikit laju.
Dia memandang ke arah Ghan yang sudah pun masuk ke dalam rumah, meninggalkannya dengan hati yang tiba-tiba terasa penuh dengan sesuatu.
Sesuatu yang dia sendiri belum mampu ungkapkan.
Tetapi satu perkara dia pasti,Rasa itu tak pernah hilang.
Share this novel