PULANG BAB 31 : BERITA GEMBIRA

Romance Completed 15562

SENYUMAN Ghan tidak lekang sejak melangkah keluar dari klinik. Dengan penuh hati-hati, dia memimpin Arisya ke tempat duduk penumpang di hadapan sebelum menutup pintu dengan lembut. Arisya segera menurunkan sedikit penyandar tempat duduk, mencari keselesaan.

Enjin dihidupkan dan Ghan perlahan-lahan mengundurkan kereta keluar dari kawasan parkir. Sekilas, dia melirik ke arah Arisya yang masih kelihatan lemah.

“Sayang okey?” tanyanya dengan nada prihatin.

Arisya mengangguk kecil, tetapi suaranya kedengaran perlahan. “Okey…”

“Nak makan tak?”

“Tak nak… Mengantuk,” balas Arisya, matanya sudah layu, hampir tertutup sepenuhnya.

Ghan mengerutkan dahi. “Mengantuk? Serius? Sayang tidur dari tengah hari semalam lagi,” ujarnya, sedikit hairan.

Arisya menghela nafas perlahan. “I don’t know… Cuma rasa mengantuk saja,” jawabnya malas, seakan tidak berdaya untuk berbual panjang.

Ghan tersenyum kecil, memahami keadaan isterinya. Dengan penuh kasih, dia mengusap lembut pipi Arisya sebelum berkata, “Okey, abang tapau je makanan untuk sayang, ya?”

Tanpa menunggu jawapan, dia membelok ke restoran kegemaran Arisya, memastikan isterinya tetap mendapat sesuatu untuk mengalas perut nanti.


SEWAKTU Ghan melintasi kamar Puan Halimah yang dibiarkan pintu terbuka, dia melihat ibunya sedang sibuk mengemas beg pakaian. Dahi Ghan berkerut sedikit sebelum dia menolak daun pintu dengan lebih luas.

“Eh, nak ke mana pula ni, Mama?” tegurnya, melangkah masuk sedikit.

Puan Halimah menoleh sekilas sambil terus memasukkan pakaian ke dalam beg. “Mama dengan abah nak pergi rumah adik abah. Ada kenduri dekat sana.”

“Aik, tak beritahu pun?”

Puan Halimah tersenyum nipis. “Mama lupa... Lagipun, kamu kerja kan? Sya pun masih tak sihat. Kesian pula kalau nak ajak dia jalan jauh.”

Ghan mengangguk kecil. Dia masih belum khabarkan berita gembira kepada ibunya tentang keadaan sebenar Arisya. "Okey, hati-hati drive." Pesannya sebelum melangkah keluar menuju ke dapur.

Di ruang tamu, Encik Ahmad baru sahaja masuk melalui pintu utama. Wajahnya penuh harapan. “Hah, macam mana? Ada good news ke?” tanyanya penuh minat.

Ghan tidak menjawab, hanya tersenyum sambil mengangkat ibu jarinya.

“Alhamdulillah...” Encik Ahmad mengangguk, senyuman syukur terukir di bibirnya.

Namun, Ghan tidak dapat menahan diri daripada berkongsi rasa syukurnya. “Ghan rasa kalau bukan sebab mama dengan abah, mungkin Arisya dah tak ada dengan Ghan saat ni.” Dia mengimbas kembali bagaimana kasih sayang kedua ibu bapanya telah membantu mempertahankan hubungan mereka.

Encik Ahmad menepuk bahu anaknya dengan lembut. “Dah memang jodoh kamu dengan Arisya. Kadang-kadang kita terlalu mengejar yang jauh sampai tak nampak yang ada di depan mata.”

Ghan tersentuh dengan kata-kata itu. Tanpa ragu, dia merapatkan diri dan memeluk bapanya erat. “Terima kasih, abah.”

Saat itu, Puan Halimah yang sedang menuju ke dapur berhenti langkah. Dia memandang kedua beranak itu dengan penuh kehairanan. “Ada apa ni?” Sergahnya dengan kening berkerut.

Ghan segera berpaling kepada ibunya. “Terima kasih, mama.” Tanpa menunggu, dia mencium pipi Puan Halimah, membuatkan wanita itu semakin bingung.

“Apa ni? Mama tak faham la?”

Encik Ahmad tertawa perlahan sebelum menjawab, “Anak awak ni tak lama lagi nak jadi bapa.”

“Hah?!” Puan Halimah membulatkan mata sebelum tangannya naik memegang kedua-dua pipi anaknya, seakan tidak percaya. "Betul ke ni, Ghan?”

Ghan hanya tersenyum, mengiyakan dengan penuh bahagia.

“Ya Allah... Alhamdulillah.” Mata Puan Halimah berkaca. “Mama tak sangka hubungan kamu berdua kekal sampai sekarang. Sebelum ni, mama dah hampir putus asa tengok kamu tak nak terima Sya...” keluhnya, seolah-olah melepaskan beban yang sekian lama bersarang di hatinya.

Ghan tersenyum lebih lebar. "Sya anugerah paling berharga dalam hidup Ghan, Ma.”

Puan Halimah tersenyum penuh rasa syukur, memeluk anaknya erat. “Mama doakan kamu berdua sentiasa bahagia.”


KEESOKAN paginya, Encik Ahmad dan Puan Halimah mula bertolak ke rumah saudara mereka.

“Bye, hati-hati!” ucap Ghan sambil melambai tangan di hadapan rumah, melihat kedua ibu bapanya berlalu pergi.

“Mama dengan abah pergi mana?” tegur satu suara dari belakang, membuatkan Ghan tersentak. Dia menoleh dan melihat Arisya yang baru muncul.

“Dah bangun?” tanyanya lembut.

Arisya mengangguk kecil. “Hmm...”

“Jom masuk. Nak makan?”

Sekali lagi, Arisya mengangguk. Tubuhnya terasa lebih segar pagi itu setelah dua hari berturut-turut asyik lesu.

Mereka melangkah ke ruang makan, dan Arisya menarik kerusi untuk duduk. “Mama pergi mana dengan abah? Dating ke?” usiknya sambil menyuap nasi goreng.

Ghan tertawa kecil. “Ada kenduri hujung minggu ni dekat rumah adik abah. Jadi, diorang pergi bermalam dekat sana dua tiga hari.”

“Ohh...” Arisya mengangguk sambil terus menikmati makanannya.

“Sayang dah okey ke? Hilang dah mood mengantuk?” soal Ghan, memerhatikan isterinya makan dengan lebih berselera.

“Hmm... ye kot.” jawab Arisya bersahaja.
Ghan tersenyum seraya menggelengkan kepala. Melihat isterinya sudah kembali bertenaga, hatinya terasa lega.

Seusai makan, Arisya bangun membawa pinggan mereka ke sinki.

“Eh, biar abang buat.”

“It’s okay, Sya buatkan.” Arisya menahan Ghan daripada mengambil alih.

Ghan mencubit pipi isterinya geram. Arisya hanya tersenyum manja.

Selepas makan mereka sama-sama ke ruang tamu, Ghan menarik nafas panjang sebelum bersuara. “Sayang, lepas ni duduk rumah saja, okey?”

Arisya mengerutkan dahi. “Kenapa?” soalnya, melabuhkan punggung di sofa.

Ghan duduk di sisinya. “Sayang kan baru first trimester...”

Arisya memandang suaminya dengan keliru. “Jap, first trimester? Apa maksud abang?”

Mata Ghan terbuntang. “Sayang? Mamai lagi ke ni?” tanyanya sambil menepuk pipi Arisya lembut.

“Err... kenapa?” Arisya masih kebingungan.

“Sayang ni dah lupa ke masa dekat klinik?” Ghan menggeleng tidak percaya isterinya boleh terlupa situasi yang baru berlaku.

Arisya termenung sejenak, cuba mengingat kembali. Kemudian, dia tersengih. “Oh...”

“Apa yang ‘oh’ nya, sayang oi?” Ghan menyoal sambil merenung tajam ke dalam anak mata isterinya.

Arisya tersengih lebih lebar. “dah ingat.”

Ghan menghela nafas lega. “Lepas ni jangan main lupa-lupa lagi tau.”

Arisya tidak membalas, tiba-tiba dia berpura merajuk. “Tapi bosanlah duduk di rumah saja. Abang kan busy” Dia melentok manja di bahu suaminya.

Ghan tersenyum,sedikit mengalah. “Ye lah... tapi jangan paksa diri. Beringat selalu, okey?”

Arisya tersenyum menang.

“Abang dah beli tiket balik KL.” ujar Ghan sambil menepuk paha Arisya.

Arisya mengangkat wajah, teruja. “Bila?”

“Bulan depan. Boleh singgah wedding Farisya juga.”

Arisya terus menjeling. “So, balik sebab nak jumpa Farisya je?”

Ghan tertawa kecil. “Mana ada...”

“Dah tu?”

“Family sayang kan dekat sana. Takkan tiba-tiba abang nak bawak sayang ke Kedah pulak?”

Arisya menjuih bibir. “Biar lah. Kedah pun best juga.”

Ghan mengusap kepala isterinya, seraya menggeleng. “Sayang ni, kalau dah jealous, ada je ayat nak pusing.”

Arisya hanya mendengus manja.

Ghan menarik tubuh isterinya ke dalam pelukannya. Tangannya menyentuh perut Arisya dengan lembut. “Sini kan dah ada pengikat kita berdua. Mana mungkin abang sia-siakan buah hati kesayangan abang ni?”

Arisya tersenyum gembira, membiarkan dirinya tenggelam dalam dakapan suaminya yang penuh kasih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience