SEJAK kejadian tempoh hari, Arisya mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada Ghan.
Dia tidak lagi menyediakan bekal pagi, tidak lagi menunggu kepulangan suaminya di ruang tamu, malah keberadaannya di rumah itu terasa seperti bayang-bayang yang semakin pudar.
Ghan sedar akan perubahan itu.
Namun, egonya terlalu besar untuk bertanya. Terlalu keras untuk mengakui bahawa dia… tidak menyukai jarak ini.
TOK! TOK!
“Masuk,” suara Arisya kedengaran tenang, tetapi kosong.
Pintu perlahan-lahan terbuka, menampakkan wajah lembut Puan Halimah. Wanita itu berdiri seketika, memerhati bilik yang hampir kosong, bagasi biru yang sudah terisi kemas di sudut katil.
“Dah siap mengemas?”
Arisya mengukir senyuman nipis, tetapi hatinya terasa berat.
“Hampir siap, mama…” jemarinya lincah melipat sehelai baju terakhir sebelum zip bagasi ditarik rapat.
Puan Halimah duduk di birai katil, menghela nafas perlahan. Dia tahu, kata-kata yang bakal dilafazkan ini mungkin menyakitkan, tetapi sebagai seorang ibu, dia tidak mahu lagi melihat Arisya terus terperangkap dalam perkahwinan yang penuh kesengsaraan.
“Mama tak kisah apa pun keputusan Sya nanti,” suara Puan Halimah lembut, tetapi tegas. “Mama sokong saja. Sya carilah kebahagiaan yang dah lama hilang sejak berkahwin dengan Ghan.”
Arisya diam. Matanya merenung bagasi yang tertutup rapat, seolah-olah di dalamnya tersimpan segala luka yang selama ini dipendam.
“…Andai Sya nak berpisah pun, mama setuju,” sambung Puan Halimah. “Jangan fikir apa orang nak kata. Jangan fikir nak jaga hati orang lain kalau hati sendiri terseksa. Utamakan diri sendiri dulu.”
Air mata Arisya hampir tumpah, tetapi dia pantas mengukir senyuman untuk menutup keresahan hatinya.
“Terima kasih, mama… Kalau bukan sebab mama dan abah, Sya takkan mampu bertahan selama ini.”
Puan Halimah tersenyum, tetapi hatinya pedih. Dia tahu, Arisya sudah membuat keputusan.
Di sebalik pintu yang sedikit terbuka…
Ghan berdiri kaku.
Jantungnya berdegup kencang, namun tubuhnya terasa seakan membatu. Setiap patah kata dari ibunya tadi menusuk masuk ke dalam dadanya, lebih tajam daripada belati.
Berpisah?
Arisya mahu pergi?
Jari-jarinya mengepal di sisi. Dada terasa sempit, seperti ada sesuatu yang menekan kuat di dalamnya.
Dia sepatutnya lega. Ini yang dia mahukan, bukan? Arisya pergi, dan dia bebas dari perkahwinan yang tidak pernah dia inginkan.
Tapi kenapa… Kenapa hatinya terasa sakit?
Nafasnya dihela panjang, cuba menenangkan diri. Tetapi matanya tetap terpaku pada bayangan Arisya di dalam bilik, sedang mengemas barang-barangnya.
Perlahan-lahan, Ghan merapatkan pintu, membiarkan dirinya tenggelam dalam kegelapan. Dia bersandar di dinding, kepala ditundukkan sedikit.
Seumur hidupnya, dia tidak pernah takut kehilangan sesiapa. Tapi kali ini.
SELEPAS makan malam, Arisya terus membantu Puan Halimah mengemas dapur sebelum menghilang ke dalam biliknya.
Di luar rumah, di ruang santai keluarga…
Ghan duduk diam, jari-jemarinya menatal skrin telefon, tetapi fikirannya jauh melayang.
“Kamu tak ikut balik KL ke?” tegur Encik Ahmad, matanya tidak lepas memerhati anak tunggalnya yang kelihatan tidak keruan.
“Tak. Tak dapat cuti,” balas Ghan sepatah, masih menatap skrin tanpa riak wajah.
Encik Ahmad mengerutkan dahi. “Sejak kamu kahwin, tak pernah pun kamu ambil cuti. Sampai hari cuti mingguan pun sibuk kerja. Takkanlah tak boleh mohon cuti sehari dua?”
Ghan mendongak, memandang bapanya. “Abah tahu kan kerja Ghan macam mana?”
Kepala Encik Ahmad digeleng perlahan. “Abah pun kerja macam kamu dulu. Sebab tu abah tanya.”
Sebagai bekas pegawai tinggi bomba, dia faham tuntutan tugas anaknya. Tapi bukan itu yang menjadi masalah sekarang. Apa yang dia lihat selama ini… Ghan tidak pernah cuba untuk mengutamakan rumah tangganya.
TING!
Telefon di tangan Ghan bergetar. Satu mesej masuk.
"Ghan, can we meet tomorrow?" [ Farisya.]
Dunia Ghan bagai terhenti.
Nama itu… orang yang dia nanti-nantikan selama ini.
Lidahnya kelu. Mesej itu dibaca berulang kali. Betulkah ini yang dia mahukan?
Jari-jemarinya pantas menaip jawapan.
"Bila? Di mana?" [ Ghan ]
"Tempat biasa, 5:00 petang." [Farisya]
"Okey, see you." [ Ghan]
Ghan menarik nafas dalam. Jantungnya berdegup laju, ada sesuatu dalam dirinya yang berkocak hebat. Antara keterujaan dan kekeliruan.
Tiba-tiba, matanya terpaku pada satu tarikh dalam kepala.
1 April.
Penerbangan Arisya.
6:00 petang.
Jarinya menggenggam erat telefon. Sempat ke nak hantar dia ni?
“Apa yang sempat?” Encik Ahmad tiba-tiba bersuara.
Terkejut dengan soalan bapanya, Ghan pantas menggeleng. “Tak ada apa… Ghan masuk bilik dulu.”
Ghan segera bangun, melangkah laju ke dalam rumah, cuba melarikan diri dari perasaan yang bercampur-baur.
Di belakangnya, Encik Ahmad hanya menghela nafas panjang, matanya mengekori kelibat anaknya yang hilang di balik pintu.
“Apa nak jadi dengan hidup anak aku ni?” Keluhnya berat, hati seorang ayah yang kecewa melihat rumah tangga anaknya semakin di hujung tanduk.
Share this novel