SEMINGGU berlalu. Tiga kali Arisya bertukar penginapan tanpa dia sendiri tahu sebabnya. Dia bukan jenis cerewet, tetapi entah kenapa, setiap kali dia menetap di satu tempat, hatinya resah dan gelisah.
Kini, dia duduk termenung di sebuah kafe sambil menongkat dagu, mengacau minuman ais yang hampir cair. Di hadapannya, Ghan hanya memerhati.
“Kalau lepas ni Arisya tak selesa juga duduk hotel, saya bawa balik rumah saya saja, okey?” ujar Ghan tiba-tiba, memecah keheningan.
Arisya mengangkat wajah, merenung lelaki itu sebelum kembali menyedut ketulan ais yang hampir lumat di dalam mulutnya.
“Esok pagi, bawa saya pergi jogging.” Balasnya, tanpa menghiraukan cadangan Ghan.
Lelaki itu tersengih. “Jogging? Okey. Tapi, nak ke tak?”
“Nak apa?” Arisya mengerutkan dahi. Dia langsung tidak fokus pada apa yang dibicarakan Ghan sejak tadi.
“Stay dekat rumah saya.” Jawab Ghan, masih tersenyum.
“Gila!” Arisya menjeling tajam, membuatkan Ghan ketawa kecil.
Namun, seketika kemudian, mata lelaki itu jatuh pada jari manis Arisya. Dia perasan cincin emas tersemat kemas di situ.
“Cantik cincin tu.”
Arisya menoleh ke arah jarinya sendiri. Cincin itu dipusing-pusing perlahan.
“Boyfriend saya bagi, kenapa?” Jawabnya bersahaja.
Senyuman Ghan melebar. Mata Arisya membulat.
“Kenapa senyum?” Dia memandang Ghan dengan pandangan curiga.
Lelaki itu menggeleng perlahan, masih tersenyum. Hatinya mendung. Cincin itu cincin yang sama dia sarungkan ke jari Arisya ketika isterinya itu terbaring koma selepas kemalangan.
Arisya mengetap bibir, tidak puas hati melihat reaksi Ghan yang tetap tersenyum seolah-olah dia menyimpan sesuatu.
“Kenapa senyum macam tu?” soalnya lagi, kali ini nadanya lebih mendesak.
Ghan menghela nafas, tangannya mencapai gelas kopinya yang hampir kosong. Matanya masih terpaku pada cincin di jari Arisya.
“Tak ada apa.” Dia akhirnya bersuara. “Cuma… pelik je. Boyfriend bagi cincin, tapi awak dah lupa siapa dia?”
Dahi Arisya berkerut. “Apa maksud awak?”
Ghan meletakkan gelasnya kembali ke meja. Kali ini, senyuman itu hilang sedikit demi sedikit, digantikan dengan sorot mata yang sukar ditafsirkan.
“Maksud saya, awak pernah fikir tak kenapa awak tak selesa duduk di lain-lain hotel sejak seminggu ni?”
Arisya diam. Dia memang merasakan sesuatu yang aneh. Setiap kali dia cuba menginap di satu tempat, ada sesuatu yang meresahkan jiwanya. Tetapi dia tidak pernah cuba memahami kenapa.
“Arisya…” Ghan bersandar ke belakang, menghela nafas berat. “Mungkin sebab tempat-tempat tu… bukan rumah awak yang sebenar.”
Arisya menggenggam jari-jarinya, merasakan cincin itu seakan semakin ketat di jarinya.
“Saya tak faham,” katanya perlahan, tetapi dalam hati ada sesuatu perasaan yang mula merayap yang dia sendiri tak mampu tafsirkan.
Ghan tersenyum lagi, kali ini dengan nada sayu.
“Tak apa. Esok pagi kita jogging dulu.” Suaranya lembut, tetapi penuh makna yang Arisya masih belum dapat teka.
JOGGING DI TAMAN KENANGAN
Keesokan pagi, seperti yang dijanjikan, Ghan menjemput Arisya ke sebuah taman rekreasi. Arisya pernah ke sini suatu ketika dahulu, sewaktu dia masih bergelar pelajar. Tempat ini menyimpan kenangan yang dia sendiri tidak tahu kenapa terasa dekat di hati.
Dia mengenakan t-shirt jersey lengan panjang warna ungu lembut, dipadankan dengan seluar tracksuit hitam. Tudung bawal sarungnya sedikit terangkat ditiup angin. Dia cepat-cepat membetulkan tudung itu, sedangkan Ghan hanya memerhati dari kerusi rehat di tepi trek jogging.
Langkah Arisya ringan pada awalnya. Dia cuba menikmati udara pagi, cuba mengosongkan fikiran. Namun, takdir seperti sengaja menguji.
“Ahh!”
Kakinya tersalah pijak. Dia terduduk, wajahnya mencerut menahan sakit.
“Arisya!” Ghan pantas berlari ke arahnya.
Air mata jatuh di pipi Arisya, bukan kerana terlampau sakit, tetapi kerana sesuatu dalam dirinya terasa remuk. Ghan tidak menunggu jawapan. Dengan cemas, dia membongkok dan terus mengangkat tubuh Arisya ke dalam dakapannya.
“Eh, awak buat apa ni? Letak saya!” Arisya meronta kecil, tetapi sakit di kakinya membuatkan dia tidak mampu berbuat apa-apa.
Ghan mendiamkan diri, langkahnya pantas menuju ke arah kereta.
“Awak nak bawa saya ke mana?” Suara Arisya bergetar dalam tangisan perlahan.
Tiada jawapan. Ghan hanya terus memandu, meninggalkan taman rekreasi di belakang.
DEJA VU DI RUMAH GHAN
Tidak lama kemudian, kereta berhenti di hadapan sebuah rumah banglo di kawasan kampung. Arisya menjenguk ke luar tingkap. Rumah ini... kenapa rasa macam dia pernah ke sini?
Pintu sebelahnya tiba-tiba dibuka. Sebelum sempat dia memprotes, tubuhnya sekali lagi digendong.
“Awak! Letak saya turunlah!”
Ghan tetap membisu. Langkahnya tegap menuju ke pintu utama.
“Assalamualaikum..Mama!” Laung Ghan sebaik tiba di hadapan pintu.
“Waalaikumsalam. Kamu ni kenapa, Ghan?” Seorang wanita separuh usia segera membuka pintu.
Namun, sebaik melihat wajah wanita itu, dada Arisya berdegup kencang.
"Eh? Arisya?"
Arisya terkedu. Wanita itu mengenalinya?
Pintu terbuka luas. Ghan terus melangkah masuk tanpa menunggu. Arisya hanya mampu membiarkan dirinya dibawa masuk ke dalam rumah dan terus ke dalam sebuah bilik yang terasa amat... familiar.
Katil di hadapannya. Langsir berwarna biru lembut yang menari-nari ditiup angin. Aroma bilik ini... seakan-akan dia pernah hidup di sini sebelum ini.
“Macam mana dia kenal aku?”bisik Arisya didalam hati.
Arisya keliru. Otaknya ligat berfikir. Tetapi, sebelum dia sempat menyusun fikiran, tubuhnya direbahkan perlahan di atas katil.
Ghan melutut di sisinya, membuka kasutnya dengan berhati-hati.
“Mama, boleh tengokkan kaki Sya? Rasa macam terseliuh,” ujar Ghan tanpa menoleh ke arah Arisya.
Puan Halimah, yang masih lagi berkhidmat sebagai jururawat, hanya mengangguk. Dia sudah biasa mengendalikan kecederaan ringan seperti ini.
“Macam mana boleh jatuh ni?” Soal wanita itu lembut, mengangkat kaki Arisya dan mengalasnya dengan bantal.
“Terpijak lubang…” Suara Arisya lirih.
“Tak apa, kita tuam dengan ais dulu. Kalau masih sakit nanti, Ghan bawa ke klinik untuk X-ray.”
Beberapa minit kemudian, Ghan kembali dengan pek ais. Tanpa banyak bicara, dia melutut semula di sisi katil dan meletakkan pek ais itu pada pergelangan kaki Arisya.
“Aduh!” Arisya tersentak. Matanya menjeling tajam ke arah Ghan.
“Sorry.” Ujar lelaki itu pendek, tanpa mengangkat kepala.
Puan Halimah yang memerhati hanya tersenyum kecil. Ada sesuatu dalam cara Ghan menjaga Arisya yang membuatkan wanita itu menghela nafas dalam.
"Sya, rehat dulu. Kalau nak ke tandas, panggil Ghan saja, ya? Mama nak ke dapur kejap."
Arisya membulatkan mata. "Hah? Saya tinggal berdua dengan dia?"
Puan Halimah hanya tersenyum sebelum meninggalkan mereka berdua di dalam bilik itu.
Jantung Arisya semakin kuat berdegup. Dia menelan liur.
“Rehat. Tak perlu fikir apa-apa. Saya takkan buat benda tak elok dekat Sya.”
Suara Ghan kedengaran tenang.
Dia bangun, melangkah ke jendela dan menolak daun tingkap. Udara pagi menyelusup masuk, membawa bersama aroma embun dan tanah basah.
Arisya hanya memandangnya dalam diam.
Hatinya masih bergetar.
Seakan ada sesuatu yang dia cuba ingat…
Tetapi tetap tak mampu. Dan di sebalik semua ini, satu rahsia besar masih tersembunyi.
Tentang siapa dirinya sebenarnya.
Share this novel