PULANG BAB 40 : KUNJUNGAN KELUARGA

Romance Completed 15562

HARI yang dinanti-nantikan oleh Arisya akhirnya tiba, membawa bersamanya debaran yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Keluarganya telah selamat tiba di lapangan terbang dan kini dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta sewa yang telah diuruskan oleh Arish demi keselesaan mereka sepanjang berada di sana.

Arisya duduk di sofa, tubuhnya bersandar lesu, tetapi fikirannya tidak pernah tenang. Jari-jarinya menggenggam erat telefon bimbit, matanya tidak henti-henti menatap skrin, memastikan semuanya berjalan lancar. Hatinya sarat dengan kegelisahan yang sukar dijinakkan.

“Sayang, okey ke tak ni?” Suara Ghan yang lembut memecah kebisuan, penuh dengan perhatian dan kasih sayang. Dia duduk di sisi isterinya, menatap wajah wanita itu dengan penuh pengertian.

Arisya menghela nafas perlahan. “Okey,” balasnya ringkas, namun nada suaranya tidak mampu menyembunyikan keresahan yang bersarang dalam hati.

Ghan mengusap perlahan tangan isterinya, jari-jarinya menyelusuri jemari halus itu dengan penuh kasih. “Jangan risau, abang ada,” katanya, suaranya seperti belaian yang menenangkan.

Dia tahu, dalam benak Arisya, bukan sekadar pertemuan yang menjadi kerisauan, tetapi bayangan lalu yang masih berbekas di jiwa. Hubungan dengan Puan Zahira tidak pernah mudah, dan harapan Ghan hanyalah satu agar pertemuan kali ini tidak mengulangi drama yang pernah melukakan hati isterinya.

Arisya memejamkan mata seketika, membiarkan kehangatan genggaman Ghan meresap ke dalam dirinya. Hanya suami itu yang mengerti, hanya dia yang sentiasa ada. Dan dalam debar yang belum reda, sekurang-kurangnya Arisya tahu, dia tidak perlu menghadapi segalanya sendirian.

Bunyi deruman enjin mula kedengaran di seluruh perkarangan rumah itu. Puan Halimah dan Encik Ahmad berdiri di hadapan pintu, menanti dengan senyuman penuh kemesraan.

“Assalamualaikum…” sapa Encik Shamsudin sebaik melangkah keluar dari kenderaan. Di sebelahnya, Puan Zahira tersenyum mesra bersama Arish, anak sulung mereka.

“Waalaikumsalam… macam mana perjalanan hari ni? Lancar ke?” Encik Ahmad menyambut seperti seorang sahabat lama. Mereka berjabat tangan erat, seolah-olah mahu menghapuskan jarak yang memisahkan selama ini.

“Jemput masuk,” ajak Puan Halimah dengan senyuman manis yang menyambut tetamu seperti keluarga sendiri.

Arish melangkah ke dalam, matanya melilau mencari seseorang yang dirinduinya. “Sya mana?” soalnya, pelik tidak melihat kelibat adik kesayangannya.

“Ada, dalam rumah. Perut dah makin berat, biar dia berehat,” jawab Puan Halimah lembut, sambil tersenyum memahami.

Tanpa berlengah, Arish melangkah masuk. Melihat Arisya yang sedang bersandar di sofa, dia segera bersuara, “Hai mak buyung, tak keluar sambut aku pun?” Usikannya disertai gelak kecil, menandakan hubungan mereka yang akrab.

Arisya mengangkat wajah, menjeling mesra. “Biar la, kan kau masuk jugak,” balasnya, separuh malas tetapi penuh kasih.

Ghan muncul dari dapur, membawa dulang berisi minuman untuk tetamu. Peluh halus di dahinya menandakan kesungguhannya memastikan keselesaan semua.

“Makin sihat kau sekarang, Ghan,” gurau Arish sambil ketawa kecil, matanya memerhati tubuh adik iparnya yang sedikit berisi.

Ghan tersengih. “Nak buat macam mana, kena habiskan makanan orang tu,” balasnya sambil mengerling Arisya, penuh sayang.

Arisya hanya tersenyum kecil, hatinya dipenuhi rasa syukur. Dalam kehangatan suasana itu, dia sedar betapa berharga kasih sayang keluarga. Walaupun tubuhnya kini sarat membawa amanah bahagia, kehadiran insan-insan tercinta di sekelilingnya membuatkan segala penat dan lelah hilang dalam sekelip mata.

“Sya, sihat ke?” Encik Shamsudin menghampiri Arisya dengan pandangan penuh kasih, suaranya lembut memecah suasana yang terasa sedikit janggal. Arisya segera menghulurkan tangan, mencium tangan bapanya dengan penuh hormat.

“Alhamdulillah... sihat, ayah,” jawab Arisya, cuba menyembunyikan keletihan yang tersirat di wajahnya dengan senyuman mesra.

“Jemput duduk. Air dah siap, panas-panas lagi ni,” jemput Ghan sambil melirik ke arah isterinya. Namun, dia perasan ada sedikit perubahan pada wajah Arisya saat kelibat ibunya, Puan Zahira, mula duduk di sofa berhampiran.

“Berapa hari bercuti? Dah plan nak ke mana?” Puan Halimah cuba memecahkan keheningan, menyedari situasi canggung antara menantunya dan Puan Zahira.

“Boleh la, seminggu saja,” jawab Arish santai sambil tersenyum. Tetapi matanya tidak lepas dari memerhati ibunya yang kelihatan serba salah. Dia tahu betapa berat kesalahan yang cuba ditebus Puan Zahira sejak beberapa bulan lalu.

Selepas insiden yang melukakan hati Arisya, Puan Zahira sering bermuhasabah. Kata-katanya dahulu, yang sarat dengan amarah dan kekecewaan, kini menjadi beban kesalan yang tidak henti-henti menghambat hatinya. Namun, setiap kali bertemu Arisya, rasa malu dan bersalah menjadikan bibirnya terkunci.

“Abang... Sayang nak masuk bilik,” bisik Arisya perlahan kepada Ghan, cuba menyembunyikan kegelisahannya.

“Okey, jom abang hantar,” balas Ghan lembut, menarik pinggang isterinya untuk membantu dia bangun. Ghan dapat merasakan beban emosi yang ditanggung Arisya, namun dia memilih untuk tidak memaksa.

“Kau nak tinggal aku ke?” usik Arish, cuba menceriakan suasana yang sedikit muram.

“Kejap la, aku nak baring kejap,” balas Arisya dengan nada lembut tetapi tegas. Dia tahu dirinya tidak mampu bertahan lama di hadapan seorang insan yang pernah membuangnya tanpa belas.
Arisya melangkah perlahan menuju bilik, meninggalkan ruang tamu yang kini diselubungi sunyi. Puan Zahira memandang bayangan anaknya yang semakin menjauh, hati dihimpit rasa bersalah yang semakin membukit. Namun, lidahnya tetap kelu.

Di dalam bilik, Arisya merebahkan tubuhnya, memejamkan mata sambil cuba menenangkan hati. Ghan duduk di sisinya, mengusap lembut rambutnya. Dalam hati, Arisya berdoa, semoga ada ruang untuk ibunya belajar melepaskan ego dan memulihkan kasih yang pernah terputus.

“Sayang rehat dulu okey? Abang nak keluar ke depan” ujar Ghan seraya mengucup dahi Arisya yang sudah pejamkan mata.

Ghan melangkah menghampiri ahli keluarganya yang rancak berborak.
Masing-masing berlagak seperti tiada apa yang pernah terjadi.

“Makin dekat nak bersalin, makin letih la jadinya” kata Puan Halimah menjaga air muka menantunya. Masing-masing mengangguk setuju walaupun tahu ada sebab lain Arisya mengelak untuk duduk bersama.

MALAM semakin larut. Suasana di ruang rehat luar rumah begitu tenang, hanya dihiasi oleh bunyi cengkerik. Arish, Arisya dan Ghan duduk bersantai, berbual ringan.

Tiba-tiba, Arish tersengih seorang diri.
“Kau dah kenapa, Along?” tanya Arisya sambil mengerutkan kening, pelik melihat gelagat abangnya.

Arish menggeleng sambil ketawa kecil. “Entahlah, bila kenang balik kisah korang berdua... rasa macam kelakar pun ada.”
Ghan hanya tersenyum di sisi.

“Apa yang kelakar sangat tu?” soal Arisya, nada sedikit mendesak.

“Tak ada apa-apa,” jawab Arish, namun tawa kecilnya masih bersisa.

Arisya mendengus tidak puas hati.
Seketika kemudian, suasana berubah. Arish memandang Arisya dengan riak yang lebih serius.

“Angah, kau tak nak cakap dengan ibu ke?” tanyanya perlahan tetapi tegas.

Arisya segera memandang abangnya dengan wajah tegang. “Untuk apa?” balasnya dingin, namun nada suaranya menggambarkan luka yang tersimpan.

Ghan, menyedari perubahan emosi isterinya segera menggenggam tangan Arisya cuba menenangkan wanita itu.

“Ibu dah berubah,” ujar Arish tenang tetapi penuh makna. Dia tahu adiknya meskipun lembut pada luaran namun hatinya agal keras untuk perkara-perkara tertentu.

Arisya mengalihkan pandangannya ke arah lain. “Okey,” balasnya ringkas seperti tidak mahu melanjutkan perbualan itu.

Bagi Arisya, Puan Zahira masih sama tidak ikhlas, terpaksa atau mungkin menyimpan agenda tersendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience