ARISYA mengeluh perlahan. Kerusi kayu di beranda rumah menjadi tempatnya melarikan diri setiap kali dia memerlukan ruang untuk berfikir. Angin petang bertiup lembut, menampar wajahnya yang redup.
Telefon di tangan masih terbuka pada aplikasi WhatsApp. Jarinya sekejap menaip, sekejap memadam ragu-ragu dengan keputusan yang ingin dibuat.
Akhirnya, dia menekan ikon hantar.
‘Sya nak balik KL awal bulan depan.’ [ Arisya]
Sebaik mesej itu dihantar, dia segera keluar dari aplikasi. Tak mahu menunggu reaksi Ghan. Takut jika dibantah.
Namun, tak sampai seminit.
TING!
Bunyi notifikasi masuk membuatkan Arisya tersentak. Matanya menala ke skrin.
‘Tarikh?’ [Ghan]
Cepatnya respond… gumam Arisya, sedikit terkejut. Jarinya laju menaip semula.
‘1 April, petang.’ [Arisya]
Tak sampai lima saat.
‘Okey.’ [Ghan]
Arisya terdiam. Hanya itu?
Keningnya terangkat sedikit. Tiada soalan lain? Tiada bantahan? Tiada sindiran?
Hanya… okey?
Dia menghela nafas, meletakkan telefon ke dalam poket sebelum bangun dari kerusi. Rasa gelisah yang tadinya bersarang di hati sedikit reda, tetapi entah kenapa, ada juga perasaan lain yang sukar diungkapkan.
Mungkin… dia berharap Ghan akan bertanya lebih daripada itu?
Arisya menggeleng perlahan, dia segera menyarung selipar. Dia memilih untuk mengalihkan fikirannya pada sesuatu yang lebih menenangkan pokok bunga yang baru ditanamnya di halaman rumah.
Sekurang-kurangnya, bunga tidak akan membuat hatinya berteka-teki.
ENCIK Ahmad memandang lama menantunya, cuba membaca isi hati yang terselindung di sebalik senyuman hambarnya.
Alpaca di kandang merengek kecil, meminta lebih makanan, tetapi perhatian Encik Ahmad masih pada Arisya. Gadis itu tampak tenang, tetapi jauh di sudut hati, dia tahu Arisya menyimpan luka.
"Sya kenapa tak jadi doktor haiwan? Abah tengok Sya cekap saja handle kesihatan haiwan-haiwan abah dekat sini."
Arisya tersenyum kecil sambil menabur makanan ke dalam bekas. "Hmm… ibu dengan Ayah tak izinkan. Dorang nak Sya jadi lawyer, tapi diam-diam Sya tukar course."
Dia tergelak perlahan, mengenang betapa beraninya dia melawan kehendak keluarganya dahulu.
"Lepas tu apa jadi?"
Senyumannya mula pudar. "Lepas tu macam sekarang lah…"
Dia menghela nafas, menarik paip panjang untuk mengisi air dalam bekas minuman haiwan peliharaan bapa mentuanya. "Sya terperangkap dalam perkahwinan yang diatur Farisya dan ibu."
Encik Ahmad mendengar penuh perhatian.
"Kamu tak suka ke kahwin dengan Ghan?"
Soalan itu membuatkan Arisya terdiam seketika sebelum dia tersenyum sendiri.
"Sya okey saja sebab memang dah redha, tapi… kadang-kadang letih juga la emosi ni."
Nada suaranya sayu, seolah-olah memendam sesuatu yang tidak mampu diluahkan.
"Kamu dah putus asa ke?" Encik Ahmad sengaja menyoal lagi, ingin melihat sejauh mana hati Arisya bertahan.
Arisya mengangguk tanpa ragu. "Setahun lebih, abang masih juga tak boleh terima Sya sebagai isteri dia."
Dia merenung jauh, tangannya menggenggam erat muncung paip yang masih mengalirkan air.
"Maybe dia masih berharap Farisya datang balik dalam hidup dia dan jadi isteri terbaik untuk dia, kan?"
Arisya ketawa kecil,tawa yang langsung tidak membawa bahagia.
Encik Ahmad terdiam. Hatinya sebak melihat kecekalan gadis ini.
Arisya menunduk, seolah-olah bercakap lebih kepada dirinya sendiri. "Kadang-kadang Sya tertanya-tanya untuk apa Sya tetap di sini, sedangkan orang yang Sya jaga hatinya langsung tak hargai kehadiran Sya?"
Dia menarik nafas dalam. "Sudah tiba masanya untuk Sya bebas dengan kehidupan sendiri. Kalau Farisya boleh lari ke luar negara untuk kejar cita-cita, kenapa Sya tak boleh?"
Encik Ahmad memandang Arisya dengan pandangan penuh makna.
Mungkin memang sudah tiba masanya Ghan belajar untuk kehilangan.
PAGI itu terasa lebih dingin dari biasa.
Seawal pagi lagi, Arisya sudah sibuk di dapur, menyediakan bekal untuk suaminya seperti kebiasaannya. Walaupun dia tahu layanan Ghan masih dingin, dia tetap menjalankan tanggungjawabnya.
Berseluar palazzo dan t-shirt longgar, dia melangkah ke ruang makan, membawa bekas makanan yang telah siap.
“Letak situ, nanti aku ambik.”
Arah Ghan tanpa menoleh, suaranya seperti biasa tanpa emosi.
Namun, Arisya masih berdiri di situ. Seakan mahu menunggu sesuatu. Mungkin sekadar sapaan. Mungkin sekadar terima kasih.
Tetapi, takdir pagi itu seolah-olah ingin menguji hatinya sekali lagi.
Ketika Ghan bangun, bahunya tanpa sengaja menolak tangan Arisya, menyebabkan bekas makanan itu jatuh ke lantai. Bunyi bekas yang padat dengan makanan itu bergema di ruang makan.
Mereka sama-sama terpaku.
Ghan menoleh ke arah Arisya,matanya terhenti pada air mata yang tiba-tiba mengalir di pipi isterinya.
Arisya hanya memandang makanan yang berselerak di lantai seolah-olah memandang kepingan hatinya yang bertaburan.
Dia tidak berkata apa-apa, tidak juga menoleh ke arah Ghan. Perlahan, dia menunduk, mengutip kembali bekas makanan yang telah kosong, lalu beredar ke dapur tanpa sepatah kata.
Ghan terkedu.
Dari jauh, Puan Halimah yang memerhati segera mendekati Arisya di dapur.
“Arisya? Kenapa?”
Arisya hanya diam. Dia membasuh bekas makanan itu seperti tiada apa yang berlaku, kemudian tanpa banyak bicara, dia menghilangkan diri ke dalam biliknya.
Puan Halimah mengerut dahi.
Dia melangkah ke ruang makan, memandang anaknya yang sedang membersihkan makanan yang tumpah.
“Ghan? Kenapa?”
Nada suaranya sedikit keras, tidak puas hati melihat Arisya berlalu dalam keadaan begitu.
“Tak sengaja la…” Ghan menjawab perlahan, tetapi ada nada kesal dalam suaranya.
Selesai mengemas, dia segera berlalu keluar ke kereta.
Puan Halimah hanya mampu menggeleng. Hatinya pedih melihat Arisya yang terus-menerus diuji.
TING!
Arisya mencapai telefon pintarnya.
‘Sorry. Tak sengaja.’ [Ghan]
Dia membaca pesanan itu. Tapi hatinya terlalu letih untuk membalas.
Telefon dicampak ke bawah bantal. Air matanya kembali jatuh.
Sementara itu, Ghan berkali-kali memeriksa telefonnya. Menunggu balasan yang tidak kunjung tiba.
Entah kenapa, perasaannya tiba-tiba terasa tidak tenang.
SEPANJANG hari itu, Arisya mengelak daripada bertembung dengan Ghan.
Dia hanya keluar dari bilik apabila perlu, memastikan dirinya sibuk di dapur atau di kandang haiwan milik Encik Ahmad. Namun, di sudut hatinya, dia tahu dia tidak boleh lari selamanya.
Malam itu, ketika dia selesai menyusun pakaian yang telah dilipat, telefon pintarnya berbunyi.
TING!
Satu lagi mesej masuk daripada Ghan.
‘Aku cakap sorry tadi. Kau tak nak maafkan ke?’ [ Ghan ]
Arisya merenung skrin. Lama. Hatinya ingin membalas, tetapi egonya menahan.
Dia mematikan skrin telefon dan meletakkannya ke tepi.
Tiba-tiba, bunyi ketukan di pintu biliknya membuatkan dia tersentak.
TOK! TOK!
“Arisya.”
Suara itu. Suara yang dia kenal.
Arisya menggigit bibir. Tidak mahu melayan, dia berbaring dan menarik selimut hingga ke dada.
Namun, ketukan itu tidak berhenti.
“Aku tahu kau belum tidur.”
Arisya menutup mata, berharap Ghan akan berputus asa.
Beberapa saat kemudian, suasana kembali sunyi. Tiada lagi ketukan.
Dia menarik nafas lega, tetapi belum sempat dia benar-benar merasa tenang, tombol pintu tiba-tiba diputar dari luar.
Pintu terbuka.
Arisya tersentak, pantas bangun dan duduk dikatil .
Ghan melangkah masuk tanpa izin, menutup pintu di belakangnya. Wajahnya sukar diteka dalam cahaya samar dari lampu meja.
“Kenapa kau lari dari aku?”
Arisya mengetap bibir. “Sya tak lari.”
Ghan bersandar di pintu, tangan di dalam poket. Matanya menikam tepat ke wajah isterinya.
“Jadi kenapa tak balas mesej aku?”
Arisya menghela nafas. “Abang dah kata tak sengaja. Sya faham. Tak ada apa nak dibalas.”
Ghan diam sejenak. Langkahnya diatur perlahan menghampiri Arisya.
“Sya…” Suaranya sedikit kendur, lebih lembut dari biasa. “Aku tak sengaja.”
Arisya mendongak, mencari kejujuran di mata lelaki itu. “Okey”
Ghan menghela nafas, kemudian dia turut duduk disisi Isterinya, cukup dekat untuk Arisya rasa kehadirannya.
“Tapi kenapa aku rasa kau marah?”
Jantung Arisya berdegup kencang. Dia menolak sedikit tubuh Ghan untuk mencipta jarak, tetapi lelaki itu tidak berganjak.
“Sya tak marah,” ucapnya perlahan.
“Kau tipu.”
Nada suara Ghan berubah. Kali ini lebih rendah. Lebih menghimpit.
Arisya menggeleng, enggan melayan emosi yang semakin bercelaru. “Sya cuma penat.”
Ghan mendekat lagi, hingga Arisya terdorong ke belakang, hampir terperangkap di antara tubuh lelaki itu dan kepala katil.
“Penat sebab apa?”
Arisya menggigit bibir. “Penat berharap pada sesuatu yang tak pasti.”
Mata mereka bertaut.
Ghan menatap wajah Arisya lama, seakan mencari sesuatu yang dia sendiri tidak pasti.
Kemudian, dengan suara yang lebih dalam, dia bersuara perlahan.
“Aku boleh bagi kau satu kepastian… Kalau kau tak nak jawab soalan aku lepas ni, aku akan”
Ghan menunduk sedikit, membiarkan kata-katanya tergantung di udara.
Arisya mengerutkan kening. “Akan apa?”
Mata Ghan jatuh ke bibir isterinya yang sedikit bergetar.
“Aku akan betul-betul cium kau.”
Arisya terkedu, wajahnya berubah merah serta-merta.
Jantungnya berdegup kencang, tetapi dia tahu Ghan tidak bergurau.
Matanya membulat, memandang wajah Ghan yang semakin menghampiri. Dia tidak berganjak, tetapi seluruh tubuhnya terasa beku.
“Abang jangan main-main,” suara Arisya hampir berbisik, tetapi cukup untuk Ghan dengar.
Ghan tersenyum tipis.
“Siapa cakap aku main-main?”
Arisya menelan liur. Jarak antara mereka terlalu dekat. Bau maskulin lelaki itu menyerbu deria, membuatkan dia semakin gelisah.
Dia cuba menoleh ke sisi, tetapi jari Ghan lebih pantas. Lembut tetapi tegas, jemarinya menyentuh dagu Arisya, menghalang pergerakan isterinya.
“Jawab soalan aku, Arisya.”
Nada suaranya rendah, hampir seperti bisikan.
Arisya menggigit bibir. Dia tahu Ghan tidak akan mengalah.
Lelaki itu menunggu.
“Sya dah cakap, Sya tak marah…”
Ghan menghela nafas, seakan tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Matanya tajam menikam terus ke dalam anak mata Arisya.
“Kau nak lari sampai bila?”
Arisya terdiam. Dia ingin menafikan, tetapi apa gunanya?
Ghan tidak akan percaya.
“Abang masih cintakan Farisya?.”Akhirnya, sengaja Arisya mengubah topik.
Kata-katanya seperti satu tamparan.
Ghan mengeras. Renungannya berubah.
Arisya menahan nafas, menunggu reaksi suaminya.
Tetapi apa yang berlaku selepas itu membuatkan jantungnya hampir gugur.
Tangan Ghan tiba-tiba menekan kepala katil jenis divan di sebelah kepalanya, menjebak Arisya di dalam ruang sempit antara tubuh mereka.
“Jadi itu sebabnya?”
Arisya mengetap bibir, tidak mahu menjawab.
“Kau nak aku lepaskan kau?” Ghan bertanya, nada suaranya tidak dapat diduga.
Arisya memejam mata seketika sebelum mengangguk.
Ghan tergelak kecil, tetapi tawanya penuh sarkastik.
“Kau fikir aku akan lepaskan kau macam tu saja?”
Arisya tersentak.
Dia tidak tahu bagaimana mahu membaca ekspresi suaminya saat itu.
“Kenapa?” akhirnya, dia bertanya.
Ghan senyap seketika, sebelum jemarinya perlahan menyentuh pipi Arisya.
“Sebab aku sendiri tak tahu… kenapa aku masih tak boleh lepaskan kau.”
Arisya kaku. Degup jantungnya semakin menggila.
Dia menatap mata suaminya lama dan di situ, ada sesuatu yang tidak pernah dia lihat sebelum ini.
Kekeliruan. Atau mungkin, sesuatu yang lain.
Share this novel