ARISYA terbaring lemah di atas katil bersalin, wajahnya pucat dan bibirnya kering. Peluh dingin membasahi dahinya, matanya kabur memandang sekeliling, cuba memahami kekalutan yang berlaku. Suara mesin monitor yang berbunyi tanpa henti semakin menambah debaran di ruang dewan bersalin itu.
“Tekanan darahnya turun! Tumpah darah!” suara doktor bergema, tegas namun sarat dengan kebimbangan.
Jururawat- jururawat bertindak pantas, berlari-lari kecil sambil membawa peralatan. Seorang daripadanya menggenggam tangan Arisya dengan lembut, cuba menenangkan Arisya yang kelihatan semakin lemah.
“Puan Arisya. Jangan tidur ! Kami akan buat yang terbaik untuk puan,” katanya dengan nada penuh empati.
Di sudut ruangan, Ghan telah diminta keluar dari dewan bersalin.Wajahnya jelas menggambarkan seribu keresahan.Mulutnya terkumat-kamit berdoa, berharap keajaiban berlaku untuk menyelamatkan isterinya.
“Doktor, kami sudah sediakan darah tambahan!” salah seorang jururawat melaporkan.
Doktor segera memberikan arahan, “Sambungkan segera! Kita perlu hentikan pendarahan .”
Arisya cuba membuka matanya, tetapi pandangannya kabur. Dia merasakan tubuhnya semakin dingin, satu per satu wajah-wajah insan yang disayangi mula muncul dalam ingatannya.
Setelah bertungkus lumus, pendarahan akhirnya dapat dikawal. Suasana di dewan bersalin perlahan-lahan kembali tenang. Arisya terselamat, namun tubuhnya lemah tidak bermaya. Bayinya yang selamat dilahirkan kini berada dalam dakapan jururawat, menangis nyaring seolah-olah menuntut pelukan ibunya.
"ALHAMDULILLAH... isteri encik sudah stabil. Kami akan pindahkan dia ke wad sebentar lagi," ujar jururawat bertugas kepada Ghan selepas beberapa jam Arisya berada di bawah pemantauan.
Ghan mengangguk sambil menarik nafas lega, namun debaran di hatinya belum reda. Selagi Arisya tidak berada di hadapannya, selagi itu hatinya tidak tenang.
"Sementara itu, kalau encik nak tengok baby, boleh pergi ke wad baby ya," pesan jururawat itu lembut.
"Baik, terima kasih," balas Ghan dengan senyuman kecil, cuba menyembunyikan keresahan yang masih bersisa di dalam hatinya.
JAM sudah hampir pukul sembilan malam, namun Ghan tetap setia di sisi katil Arisya di dalam bilik wad persendirian. Wajah isterinya yang masih lena, tidak sedarkan diri menjadi satu-satunya pemandangan yang dia tatap sejak tadi. Hatinya bagai dihimpit batu sarat dengan kebimbangan dan debaran yang tak pernah surut.
Tangan halus Arisya diusap perlahan, seolah-olah usapan itu mampu membangkitkan keajaiban. Memori lalu kembali menghantui saat dia pernah berada dalam situasi ini menunggu dan berharap, menjaga Arisya yang pernah koma suatu ketika dahulu.
“Sayang... Wake up please,” suara Ghan serak, hampir pecah kerana menahan sebak. Dia tunduk, mengucup lembut tangan isterinya sebelum meletakkannya di pipi. Hangatnya terasa seperti harapan yang hampir pudar.
Tiba-tiba, dia melihat bebola mata Arisya bergerak-gerak. Kelopak mata Arisya terbuka perlahan-lahan, namun ekspresi di wajahnya berubah saat kesakitan mula kembali menyapa.
“Abang…” suara Arisya keluar perlahan, serak dan lemah. Dia berdehem, mencuba menstabilkan nada yang hilang.
“Sayang okey?” Ghan bertanya cemas, matanya bersinar dengan kelegaan yang bercampur ragu.
Arisya mengangguk lemah sambil tersenyum kecil. Pandangannya melilau ke sekeliling, seolah-olah mencari sesuatu.
“Sayang cari baby ya?” soal Ghan lembut, cuba memahami gelagat isterinya.
Arisya hanya mengangguk, matanya masih berkaca.
“Baby ada dekat wad lagi, nanti nurse bawa dia ke sini,” Ghan menjelaskan dengan senyuman kecil, cuba menenangkan hati isterinya. Dia segera menuang air kosong ke dalam gelas di meja sisi, lalu menekan butang untuk menaikkan posisi belakang katil Arisya.
Dengan hati-hati dia menghulurkan gelas itu kepada Arisya. Tangannya sempat menyentuh tangan Arisya yang masih lemah. Dalam setiap gerak-gerinya, Ghan berharap dan berdoa agar semuanya akan kembali seperti dulu sempurna bersama.
TOK!TOK!
Pintu bilik wad perlahan-lahan terbuka memecahkan keheningan. Seorang jururawat muncul menolak sebuah katil baby yang dihuni si kecil sedang nyenyak tidur. Langkahnya diiringi oleh doktor bertugas yang kelihatan tenang.
“Selamat malam, Puan. Puan rasa okey? Ada apa-apa yang tak selesa?” tanya doktor, suaranya penuh perhatian.
Arisya mengukir senyuman lemah sambil mengangguk perlahan.
“Alhamdulillah, baby puan pun sihat. Tak ada sebarang masalah. Nanti Puan boleh terus menyusukan baby ya. Kalau ada apa-apa keperluan, panggil sahaja jururawat bertugas,” pesan doktor dengan senyuman profesional.
“Terima kasih doktor, nurse,” ucap Ghan penuh penghargaan, matanya tak lepas daripada memandang dua insan yang kini menjadi dunianya.
Sebaik sahaja kelibat doktor dan jururawat hilang di sebalik pintu, tangisan halus mula kedengaran dari katil bayi . Ghan segera bangun, langkahnya pantas namun berhati-hati menuju ke arah anak kecil mereka. Wajahnya bercahaya dengan rasa cinta yang tak terucapkan.
“Assalamualaikum, Aira Imani,” ucap Ghan lembut, menyentuh wajah mulus itu sebelum mengangkatnya ke dalam dakapan. Nama yang telah lama dia simpan di dalam hati akhirnya dipanggil buat pertama kali.
Arisya tersenyum kecil, matanya berkaca. Dia tahu, pemilik nama itu adalah hadiah pertama Ghan buat mereka berdua . Arisya, Ghan, dan si kecil yang kini menjadi penyambung cinta mereka.
“Aira nak jumpa mummy tak?” usik Ghan dengan senyuman nakal, jari-jarinya mencuit lembut bibir anaknya yang bergerak-gerak, seperti memahami.
Arisya menghulurkan tangannya, menyambut bayi kecil itu dengan penuh kasih sayang. Pelukan pertama sebagai seorang ibu.
“Hi, sayang…” bisik Arisya, matanya memandang tepat ke dalam mata si kecil itu. “Thank you for being a part of mummy’s life.” Suaranya bergetar, namun dipenuhi rasa syukur. Dia mengucup lembut pipi Aira, merasakan kehangatan yang hanya seorang ibu dapat fahami.
Bibir kecil Aira bergerak-gerak lagi, tanda lapar. Arisya bersedia menyusukan anaknya, membiarkan momen itu menjadi saksi cinta antara ibu dan anak.
Dari sisi, Ghan memerhati. Senyumannya meluas, hatinya penuh dengan kebahagiaan. Ini adalah permulaan baru sebuah kehidupan yang selama ini dia impikan.
****
“ANGAH, aku dah booking tiket flight untuk korang tau,” suara ceria Arish memecah kesunyian di hujung talian.
“Hah? Bila?” soal Arisya, terkejut dengan berita tiba-tiba itu.
“Bulan depan lah. Aku dah inform Ghan dah.”
Arisya mengerutkan dahi. “Aikk? Kenapa aku tak tahu apa-apa pun?”
“Surprise lah! Saja nak bagi kau rest dengan baby dulu,” jawab Arish sambil tergelak kecil, suaranya penuh semangat.
“Apa yang surprise sangat tu?” Arisya bertanya lagi, namun sebelum sempat dia mendapat jawapan...
TUT! TUT!
Talian dimatikan. Arisya ternganga. “Arish ni betul-betul cari pasal!”
Dia berpaling tepat pada masanya melihat Ghan muncul di pintu bilik. Langkah suaminya tenang.
“Abang, kenapa tak cakap nak balik sana?” tanya Arisya, nada suaranya sedikit mendesak.
Ghan mengangkat sebelah kening, seolah-olah tidak faham persoalan itu. “Arish yang suruh rahsiakan.”
“Sebab?”
Ghan ketawa kecil, memandang isterinya dengan senyuman . “Dia nak kahwin dah,” jawabnya ringkas, melangkah mendekati Arisya.
“What?! How dare you, Along!” Arisya separuh berbisik, namun nada geramnya jelas.
“Arish tak nak sayang risau pasal dia. Dia tahu sayang perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan baby,” balas Ghan sambil tangannya melingkar lembut di pinggang Arisya, menarik rapat ke tubuhnya. Sentuhannya penuh dengan ketenangan yang mampu meleraikan segala kegelisahan.
Arisya menarik nafas panjang, cuba meredakan debaran hatinya. Dia mengalihkan pandangannya kepada Aira yang sedang tidur dengan begitu tenang.
“Dah tiga bulan…” bisiknya perlahan, matanya berkaca. Hidupnya kini berubah sepenuhnya dengan kehadiran si kecil itu dan kini, ada pula berita bahagia dari Arish.
Ghan memeluknya erat. “Kita balik nanti, bukan sekadar meraikan perkahwinan Arish, tapi juga mencipta memori baru dengan Aira.”
Arisya mengangguk perlahan, akhirnya mengukir senyuman kecil.
***
Kuala Lumpur International Airport
ARISYA menolak troli bagasi, langkahnya laju namun sarat dengan emosi yang cuba ditahan. Wajahnya jelas menzahirkan rasa tidak puas hati. Di belakangnya, Aira sudah terlena dalam pelukan Ghan, lena sekali, seolah-olah suasana di sekeliling tidak pernah terusik.
“Panjang semeter la mulut tu,” usik Arish, cuba menarik perhatian sambil tersenyum melihat bibir Arisya yang sudah muncung, tanda protes yang terlalu jelas.
Arisya menjeling sekilas, tetapi langkahnya tidak terhenti. “Biar lah,” balasnya pendek, suaranya penuh nada sindiran yang disengajakan.
Arish hanya ketawa kecil. “Eh, dah jadi mak orang pun tak ubah macam budak-budak,” tambahnya lagi, sengaja mencabar kesabaran adiknya.
“Menyampah!” balas Arisya geram, tangannya pantas menarik pintu tempat duduk belakang, membuka ruang untuk Ghan yang sedang mendukung Aira masuk ke dalam kereta.
Ghan tersenyum kecil sambil menggeleng kepala. “Mujur Aira tidur, kalau tak boleh dah tengok mummy dengan uncle gaduh” katanya perlahan, namun cukup untuk membuat Arish tersengih.
Arisya menghela nafas panjang sebelum masuk ke dalam kereta. Di dalam perjalanan, suasana sunyi. Masing-masing sedang melayan fikiran.
“Flight mentua kau dua hari sebelum kenduri kan?” Soal Arish memecahkan kesunyian.
“Ya..” balas Arisya pendek.
Arish mengangguk perlahan.
***
SUASANA dewan hotel dihiasi indah, serba putih dengan sentuhan emas yang memukau pandangan. Lampu candelier memancarkan cahaya lembut, memberikan suasana tenang dan khusyuk. Di tengah dewan, meja akad nikah dihias sederhana tetapi elegan, dengan bunga ros putih segar sebagai penyeri.
Arish duduk di hadapan jurunikah, mengenakan baju Melayu putih bersih. Wajahnya tenang di luar, tetapi jemarinya menggenggam erat kain songket di pangkuannya. Di hadapannya, bapa pengantin perempuan menanti dengan penuh sabar, bersedia untuk lafaz keramat itu.
Pengantin perempuan pula duduk tidak jauh dari situ, anggun dalam kebaya putih gading. Layah lembut menutupi wajahnya yang tersipu, tetapi senyuman kecil di bibirnya menceritakan segalanya.
“Arish Haikal bin Shamsudin, saya nikahkan kamu dengan anak saya, Sofea binti Zulkifli, dengan mas kahwin RM3000 tunai.”
Arish menarik nafas, suaranya lantang dan jelas ketika melafazkan akad. “Saya terima nikah Sofea binti Zulkifli dengan mas kahwin tersebut.”
Suasana hening sebelum saksi mengesahkan, “Sah!”
Dewan bergema dengan ucapan syukur, senyuman merekah di wajah semua yang hadir. Di pelamin kecil yang sederhana tetapi mempesonakan pasangan pengantin kini bersatu, melakar lembaran baharu dalam hidup mereka.
“Tahniah, bertambah lagi ahli keluarga,” ucap Puan Halimah kepada Puan Zahira ketika mereka sudah pun selesai menjamu selera di meja makan. Senyuman manis menghiasi wajahnya, jelas terpancar rasa bahagia.
“Alhamdulillah... lega saya semuanya dah selesai,” balas Puan Zahira sambil tersenyum. Ada kelegaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Puan Halimah mengangguk perlahan, pandangannya tertumpu ke arah Ghan yang sedang bermain dengan Aira. Anak kecil itu ketawa riang dalam pelukan Arisya, momen yang membuatkan hati siapa pun cair.
“Itulah... lega juga saya tengok anak-anak happy,” kata Puan Halimah, nada suaranya penuh keikhlasan.
Puan Zahira turut memandang ke arah anak perempuannya. Wajah Arisya yang lembut bersama Aira membuat hatinya penuh dengan rasa syukur. “Takdir... kadang-kadang datang dengan cara yang kita tak pernah sangka,” katanya perlahan, suaranya hampir berbisik.
Puan Halimah mengangguk lagi, matanya berkaca. “Ya... yang penting, bahagia itu akhirnya milik mereka.”
“Sayang...” Ghan memanggil perlahan, suaranya lembut tetapi penuh makna. Ketika itu, mereka sedang leka bermain dengan Aira yang ketawa kecil dalam pelukan.
Arisya menoleh, keningnya terangkat sedikit, memberi isyarat bahawa dia mendengar. Mata mereka bertaut, ada kehangatan di antara pandangan itu yang hanya mereka berdua fahami.
“I love you...” bisik Ghan di telinga Arisya, nadanya seperti angin lembut yang menyentuh hati.
Arisya tersenyum, senyuman yang cukup untuk membuat dunia Ghan terasa lengkap. Dia memandang suaminya, matanya bersinar dengan cinta yang tidak terungkapkan dengan kata-kata.
“I love you more than you love me,” balas Arisya dengan nada manja, suaranya sedikit menggoda.
Jantung Ghan terasa seperti berhenti seketika. Kata-kata itu, meskipun sederhana, membuat jantungnya berdetak laju, seolah-olah baru pertama kali dia mendengar ungkapan cinta dari isterinya. Senyuman di bibirnya melebar, tidak mampu ditahan. Dia memandang Arisya dengan penuh rasa syukur, menyedari betapa beruntungnya dia memiliki wanita itu dalam hidupnya.
Thank you reader's
Share this novel