BAB 2

Romance Completed 29336

"Argh! "

Terus aku memejam mata dan menutup telinga dengan kedua tangan. Sudahlah hanya aku seorang saja di sini. Lagi pula jadi begini, longgar lutut aku dibuatnya.

"Cik? "

"Tolong! "

Tidak semena-mena aku memeluk erat lengan lelaki yang menegur aku tadi. Mataku masih terpejam rapat. Ruang pejabat ini sungguh gelap hinggakan aku tidak berani mahu membuka mata.

"Er... Cik? Cik okay ke ni? "

Aku mendengus geram dengan mata yang masih terpejam rapat. "Nampak saya okay ke? Tak lah. Gelap ni, "

Lelaki itu ketawa kecil. Kemudian dia menggosok tengkuknya. "Tangan saya kebas Cik pegang macam tu, "

Aku tersentak. Kemudian aku membuka mata. Terkebil-kebil aku memandang tanganku yang mengenggam lengannya. Terus aku menelan air liur.

Tak senonoh betul kau ni, Ija.

"Cik? Tangan Cik tu... "

"Oh, sorry. "

Lekas-lekas aku melarikan tanganku yang memeluk lengan lelaki tadi. Tudung yang sedikit senget aku betulkan. Aku tersenyum kelat memandang lelaki itu.

"Saya terkejut tiba-tiba black out, " ujarku.

"Saya faham. Saya sebenarnya nak jumpa Encik Razak. "

"Oh... Encik Razak? Encik Razak dah balik tadi. Tinggal saya je dekat sini, " jawabku.

Lelaki itu mengangguk faham. Kemudian dia mengeluarkan telefon dari dalam saku seluarnya lalu menghidupkan lampu flashlight.

"Saya nak jumpa Encik Razak tadi. Baru saya jejak kaki, tiba-tiba gelap. Lepas tu saya terdengar awak jerit. Terus saya masuk sini, "

Terangguk-angguk kepalaku mendengar cerita lelaki itu. Padanlah tadi tiba-tiba sahaja muncul entah dari mana sedangkan aku tidak pernah pun berjumpa lelaki ini di pejabat.

"Jom, saya teman awak keluar. "

Aku mengangguk laju. "Jom, "

***

"Terima kasih tolong saya tadi, "

Aku tersenyum memandang lelaki itu. Baru aku sedar, lelaki ini adalah lelaki sama yang membantu aku tempoh hari. Mulanya aku sendiri tidak perasan dek keadaan pejabat yang gelap membataskan penglihatanku.

Wah, adakah ini petanda jodoh?

Aip, Ija. Kau dah bertunang. Ingat tu.

"Sama-sama. By the way, saya rasa macam pernah jumpa awak lah. Kita pernah jumpa ke? "

Aku tersenyum lagi. "Awak tolong saya hari tu, "

Dahi lelaki itu berkerut seketika sebelum tiba-tiba tersenyum lebar. "Oh...! Betul, betul. Kita pernah jumpa. Saya tolong awak masa ada seorang lelaki tu, kan? "

Aku mengangguk. "Thanks lagi sebab tolong saya hari tu. "

"It's okay. Er... boleh saya tahu siapa lelaki tu? "

Aku mengeluh perlahan kemudian menundukkan pandangan. "Dia tunang saya. Dia memang macam tu. Jujur saya kata, saya tak suka dia. Nasib baik lah awak datang masa tu. Kalau tak, saya tak tahu apa jadi dekat saya. "

"Kalau awak tak suka dia, kenapa nak tunang dengan dia? " soal lelaki itu.

Aku terkedu. Soalan dari lelaki itu benar-benar membuatkan aku berfikir panjang. Betul juga. Mengapa aku bersetuju untuk bertunang dengan Aniq sedangkan aku tahu dia bukan seorang lelaki yang baik?

"Cik? " panggilnya.

"Ya? "

Terus aku memandang lelaki sambil tersenyum kelat. Sempat pula aku termenung. "Saya sendiri pun tak tahu kenapa, "

"Tak apa. Saya doakan semoga awak jumpa lelaki yang lagi baik dari dia kalau dia bukan jodoh awak. Amin, "

Aku menganggukkan kepala. "Amin, "

"Saya balik dulu, "

Aku mengangguk. Mataku ralit memandang lelaki itu melangkah masuk ke dalam keretanya. Lelaki itu menoleh sekilas sambil tersenyum nipis. Spontan tangan kananku melambai ke arahnya.

Kereta yang dipandu lelaki itu mulai bergerak keluar dari kotak parkir kereta. Aku tersenyum kelat lalu mengeluh perlahan.

"Till we meet again, "

***

Ezwan mencebik. Rupanya sejak tadi dia berbual dengan tunggul pokok cengal gred A. Patutlah ditanya itu ini langsung diam. Serupa dia halimunan saja gamaknya.

"Hoi! "

Amirul mendengus perlahan. "Apa benda? "

"Kau dengar tak aku cakap apa tadi? " soal Ezwan.

Dahi Amirul terus berkerut. "Cakap apa? "

Terus Ezwan menepuk dahi sendiri. Sah, memang dari tadi dia berbual dengan tunggul pokok cengal gred A. Silap-silap gred A+.

"Nak berbuih mulut aku ni cakap seorang-seorang rupanya kau mengelamun, Mirul? Kau ni apa masalah sebenarnya? Dari pagi tadi lagi asyik termenung, "

Amirul lantas melepaskan satu keluhan berat. Teh tarik mamak diteguk perlahan sebelum dia kembali memandang sahabat baiknya itu.

"Kau ingat tak perempuan yang aku cerita dekat kau hari tu? "

Ezwan mengangguk. "Ingat. Apa hal dengan perempuan tu? "

"Petang tadi aku jumpa dia lagi, "

"Dekat mana? "

"Photography studio yang si Danish suruh aku pergi tu, "

Ezwan jongket sebelah kening. "Dia kerja kat situ ke? "

Amirul mengangguk.

"Lepas tu, tiba-tiba pejabat tu black out. Masa tu juga aku dengar suara perempuan menjerit. Aku kabut lah pergi masuk dalam pejabat tu. Kut-kut ada barang jatuh ke apa. Sekali tengok rupanya dia, "

Ezwan terus membetulkan duduknya. Cerita Amirul kedengaran sungguh menarik. Tidak salah rasanya jika dia mahu menadah telinga.

"Lepas tu? "

"Dia cengkam tangan aku ni bukan main kuat lagi weh. Kebas tangan aku, " Amirul menggeleng perlahan memikirkan peristiwa petang tadi.

Ezwan ketawa kecil. "So, sekarang cinta dah bertukar arah lah ni? Macam tu? " giatnya.

Amirul mencebik. "Tak ada istilah bertukar arah. Aku tetap tunang Wardah. Gila ke apa nak curang? "

Ezwan menggeleng perlahan. "Apa saja lah kau, Mirul. "

***

Aku menekup wajah. Mulutku tak henti-henti mengeluh. Pesanan ringkas dari Encik Razak tadi aku baca sekali lagi.

'I really need your help untuk shooting kat Melaka tu. Kurang crew kat sana.'
-Encik Razak.

Argh... Encik Razak...!

Aku menampar-nampar pipi sendiri. Pelbagai soalan bermain di fikiran. Mengapa harus aku? Mengapa tidak orang lain? Sungguh aku tidak mahu kejadian tiga bulan lalu berulang kembali.

Aku hairan, mengapa setiap kali ada penggambaran di Melaka, nama aku juga yang dipetik menjadi jurugambar? Apa tiada orang lainkah? Atau memang aku dan Melaka tidak boleh dipisahkan? Mengarut.

"Ui, kau dah kenapa? Macam kena sawan cicak dah aku tengok kau ni, " tegur Muizah.

Terus aku memandang Muizah yang sedang menyuap nasi goreng itu. "Kau pernah tengok ke cicak sawan macam mana? " soalku.

Muizah angkat bahu. "Cakap je, "

Aku mengemam bibir. Tangan kirinya aku genggam lembut. Tidak semena-mena dahi Muizah berkerut memandang aku.

"Apa hal kau ni? " soalnya.

"Tolong aku, "

"Tolong apa? "

"Aku ada trip pergi Melaka. "

Muizah menyisip air sirap limaunya. "So? Pergi aje lah, "

Aku mengetap bibir. "Masalahnya aku pergi seorang. Selalu Shu yang teman aku. Tapi dia ada kerja lain dekat Johor. "

Muizah merengus perlahan. Sudu di tangan diletakkan atas pinggan. Kemudian dia merenung wajahku dalam-dalam.

"Johor... dengan Melaka tu... dekat je lah, mangkuk. Boleh je kau nak minta Shu teman lepas dia dah habis kerja dia. Apa benda lah kau ni? Takut sangat sesat jalan, " bebel Muizah.

Padan dengan muka aku. Kena mangkuk seketul dengan Muizah. Aku tersenyum kelat memandang sahabat baikku itu.

"Kau tak boleh teman ke? " soalku.

"Eh, mana boleh! Kau ingat aku boleh ke suka-suka minta cuti dekat bos aku semata-mata nak teman kau? Kau jangan, Ija. Kena buang aku nanti, "

Aku menarik muncung. Aku bukanlah mahu memaksa Muizah. Sejujurnya aku tidak arif lagi dengan selok-belok Melaka. Risau pula aku andai tersesat seperti kejadian tiga bulan lalu. Aku betul-betul perlukan bantuan Muizah yang sememangnya pakar dengan selok-belok Melaka.

"Alaa... bagi lah alasan dekat bos kau yang kau nak balik kampung kau. " pujukku.

Muizah menggeleng laju. "Tak ada, tak ada. Kau jangan nak macam-macam. Sekarang zaman teknologi canggih. GPS kan ada? "

"Tapi tak sama macam kau dengan Shuda teman... " dalihku.

"Dah tu? Kau suruh je lah Aniq teman. " ujar Muizah selamba.

Terbeliak besar mataku. Pantas aku menggeleng laju. "Mati hidup balik pun aku tak nak dia teman aku pergi Melaka! "

"Haa... kalau macam tu, belajarlah berdikari Cik Ija oi. "

Aku mencebik. "Sampai hati, "

Muizah terus tersenyum. "Alang-alang sebut pasal Aniq, macam mana preparation kau nak kahwin ni? "

Aku terus mengeluh panjang. "Entah lah, Zah. Kadang aku rasa nak batalkan majlis tu. Tapi bila fikir balik, tak ke nanti Mama Papa aku juga yang malu? Haih... susah lah. " keluhku.

"Ija, kalau Aniq tu bukan jodoh kau, buat lah macam mana pun kau takkan kahwin dengan dia dan kalau Aniq tu memang jodoh kau, buat lah apa sekalipun dia tetap akan kahwin dengan kau. " pujuk Muizah.

Aku mengangkat wajah memandang Muizah sambil tersenyum hambar. Kata-kata Muizah ada benarnya.

"Kalau diberi pilihan, aku lebih rela jadi andartu dari terpaksa kahwin dengan lelaki talam dua muka macam Aniq tu. Tapi, kalau lah ada miracle yang jadi, kan bagus? "

"Tak mustahil, Ija. "

Dahiku serta-merta berkerut. "Maksud kau? "

"Ya lah. Tak mustahil miracle tu boleh jadi. Keajaiban ni salah satu kuasa Allah, kita tak boleh jangka. Mana lah tahu kut-kut jadi ke miracle kau tak kahwin dengan Aniq tapi kahwin dengan orang lain? Silap-silap kau kahwin dengan mamat yang tolong kau hari tu. " seloroh Muizah.

Aku ketawa kecil. "Ada ada je lah kau, "

"Eh, aku serius lah! "

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience