BAB 11

Romance Completed 29369

"Saya pergi dulu, "

"Haa... nanti jangan lupa jalan balik. "

Aku mengetap bibir. Sempat pula Amirul menyindir. Lantas aku menghempas pintu keretanya.

Puas hati aku!

Amirul kemudian menurunkan cermin keretanya. Dia mengerling aku dengan wajah tanpa ekspresinya itu. Sengaja dia menongkat dagu dengan sebelah tangan.

"Kalau pintu kereta aku ni rosak, kau kena bayarkan maintenance tau. "

Aku mencebik. "Ya lah, ya lah. Lain kali saya tak buat dah. Berapa nak kena bayar ni? "

Amirul tahan senyum. Geli hatinya melihat wajahku yang cemberut. "Tak payah lah buat muka macam tu. Aku bukannya minta kau bayar betul-betul pun, "

Terus aku memandang Amirul dengan mata dikerdipkan beberapa kali. Hairan betul aku dengan Amirul. Tadi suruh aku membayar, sekarang tak mahu pula?

Sejak kebelakangan ini Amirul semakin galak menyakat aku. Kadangkala hinggakan aku kehilangan idea mahu membalas. Di sebalik Amirul yang begitu dingin, rupanya dia seorang yang suka bergurau. Sadisnya, aku juga yang menjadi mangsa usikannya.

"Laa.. tak nak masuk kerja ke? Nak tengok muka aku sampai esok? " tegur Amirul.

Serta-merta aku mengalihkan pandangan ke tempat lain. Wajahku sudah rasa berbahang. Malu kerana tertangkap berkhayal oleh Amirul.

"Aku gerak dulu lah eh? Lama-lama nanti takut muka kau pula yang makin merah, "

Amirul menaikkan cermin keretanya. Tangannya menukar gear kereta sebelum menekan pedal minyak. Kereta Amirul beransur-ansur keluar ke jalan besar. Sempat dia melambai kecil sambil tersenyum nakal.

Tanganku naik menyentuh pipi. Panas sudah seperti orang demam. Kemudian aku mengambil cermin kecil dari dalam beg tangan. Mataku terbeliak melihat wajah sendiri yang merah sudah seperti strawberi.

Hanya Allah saja yang tahu betapa malunya aku. Bertambah malu kerana Amirul yang menegurku tadi. Malu yang amat sangat!

"Ija, "

Aku merengus geram. Aniq sudah tiada kerja lainkah selain mahu mengganggu aku? Atau lelaki ini sudah tiada rasa malu?

"Awak nak apa lagi? "

"Saya nak cakap dengan awak. Sekejap pun tak apa, "

Aku mengerling Aniq sekilas. Aku mengeluh perlahan.

***

"Cakap apa awak nak cakap. Lima minit, "

Aniq tersenyum. Kopi dalam cawan disisip perlahan. Kemudian dia menyilang tangan memeluk tubuh.

"Awak bahagia? "

"Lebih bahagia, "

"Walaupun Amirul tak pernah anggap awak isteri dia? " soal Aniq sengaja menduga aku.

Aku mengerutkan dahi. Apa sebenarnya yang Aniq cuba sampaikan? Apa yang Aniq mahu dari aku?

"Maksud awak? "

"Jangan buat-buat tak faham, Ija. Untuk apa lagi awak setia kalau tak dihargai? Berbaloi ke semua tu kalau dia sendiri pun tak pernah anggap awak sebagai isteri dia? "

Aku mengetap bibir. Kata-kata Aniq sudah melampau. Berdesing telingaku mendengar.

"Saya isteri dia. Saya tetap isteri dia walaupun dia tak anggap saya ni isteri dia sampai dia ceraikan saya. Awak tak ada hak untuk mempersoalkan kesetiaan saya. "

"Jadi, awak memang berharap dia ceraikan awak? "

Aku tersenyum sinis. "Saya dan dia terlalu bahagia. Terlalu bahagia sampai langsung tak terlintas untuk bercerai. "

Aniq berdehem. Egonya sedikit tercabar mendengar kata-kataku itu. Wajahnya sudah berubah kelat.

"Awak yakin dia boleh bahagiakan awak? " giatnya.

Aku mengangguk. "Saya yakin. Malah saya rasa lagi bahagia dengan dia berbanding dengan awak dulu. " tegasku.

Orang seperti Aniq perlu diajar. Jika dibiar saja, makin menjadi-jadi pula perangainya. Kali ini aku tidak akan berlembut lagi dengannya.

"Awak rasa dia ikhlas ke kahwin dengan awak? "

"Dia ikhlas. Dia tak cakap pun saya tahu dia ikhlas. Inilah bezanya awak dengan dia, Aniq. Malam tu dia boleh aje lepas tangan sebab saya dan dia sama-sama tak salah. Tapi sebabkan dia bertanggungjawab, dia sanggup kahwin dengan saya. "

"Macam ni lah, Aniq. Saya betul-betul harap awak takkan ganggu kebahagiaan saya dan Amirul lagi. Mulakan hidup baru, lupakan saya. Lagi satu, baik awak cepat-cepat keluar dari sini. Jangan sampai saya panggil security guard pula untuk halau awak keluar, "

Puas hatiku setelah meluahkan segalanya pada Aniq. Biar dia sedar yang aku tidak perlukan dia lagi dalam hidupku.

"Balik, Aniq. "

Aku bangkit dari kerusi pantry lalu melangkah ke ruang pejabat meninggalkan Aniq sendirian. Aniq mengetap bibir. Sungguh dia merasa terhina.

"Kau takkan selamanya bahagia, Nuriez Zulhijjah. "

***

Amirul memasukkan wang baki ke dalam dompet. Niatnya hari ini mahu membuat kejutan buat Nuriez. Kononnya mahu memasak.

Tengah hari tadi dia sudah menelefon Uminya mahu bertanyakan resepi sup ayam. Umi bukannya mahu memberi resepi malah mentertawakannya pula. Ya lah, dia mana pernah mahu memasak. Paling tidak pun membeli makanan di gerai.

Tiba-tiba telefonnya berdering. Lantas dia menyeluk saku bahagian belakang seluar jeans yang dipakai. Dia mencebik tatkala melihat nama Ezwan di skrin telefon.

"Hah, nak apa? "

"Kau ni dah tak reti bagi salam ke? " perli Ezwan.

Amirul mendengus. "Assalamu'alaikum. "

"Wa'alaikumussalam. Haa.. baru nampak macam suami mithali sikit. Kau tengah buat apa tu? "

"Beli barang masak, "

"Beli barang masak? " ulang Ezwan.

Terus kedengaran suara Ezwan ketawa berdekah-dekah. Amirul mengetap bibirnya. Entah apa yang kelakar sangat dia pun tidak tahu.

"Kau nak apa? Straight to the point je lah, "

"Aku nak tanya kau pasal pelan projek yang kita discuss minggu lepas tu, "

"Kau nak tengok pelan tu ke? " soal Amirul.

"Ha'ah. Aku ingat nak tanya kau hari ni tapi lupa pula kau cuti. "

"Ada je kat meja aku. Kau check kat briefcase tepi kaki meja tu. Tu lah dia, "

"Yang warna hitam jalur biru tu? "

"Haa.. yang tu.. "

"Jumpa dah. Thanks, Mirul. Oh, ya. Selamat memasak. Ada lebih jangan lupa hantar rumah aku ya? Bye... "

Amirul mengetap bibir. Berdesing telinganya mendengar kata-kata Ezwan yang sengaja mahu mendidihkan amarahnya. Telefon diletak kembali dalam saku seluar.

Niatnya mahu meneruskan langkah terbantut tatkala matanya tertancap pada dua figura yang juga sedang memandangkan tepat ke arahnya.

"Mirul... "

***

"Macam mana? Sedap? "

Aku mengerling Amirul. Sudu di tangan aku letak ke dalam mangkuk. Aku berdehem beberapa kali.

"Kenapa awak tiba-tiba masak sup ni? " soalku.

"Berdosa ke? "

Aku menggeleng laju. "Eh, saya tak cakap berdosa. Saya tanya aje. Tiba-tiba awak masak. Sebelum ni tak pernah-pernah pun. "

"Tak nak sudah. Meh sini aku buang. "

Selamba Amirul bangkit mengambil mangkuk berisi sup di hadapanku lalu dia menuju ke sinki.

"Eh, eh! Jangan, jangan! "

Automatik aku berdiri lalu mengejar Amirul. Tanganku laju saja menghalang Amirul yang mahu menuang sup itu ke dalam sinki. Namun, sudah terlambat. Kuah sup itu sudah selamat masuk ke dalam sinki.

"Laa... kenapa nak buang? Awak dah penat-penat masak kut, "

"Dah kau macam tak suka je, aku buang je lah. " rajuk Amirul.

"Eh... siapa kata tak sedap? "

Aku tersenyum kelat. Jujur aku kata, rasanya tidaklah sesedap rupanya. Namun demi mahu menjaga hati Amirul, aku sanggup menelan biarpun rasanya masin.

"Hmm, "

Amirul meletakkan mangkuk tadi di tepi sinki. Kemudian dia melangkah ke meja makan. Terus aku menarik nafas lega.

Nasib baik!

Aku mencapai mangkuk kecil di atas pepara sebelah sinki. Kuah sup di dalam periuk aku seduk sedikit bersama isi ayam. Aku melangkah ke ruang makan.

Lama aku merenung kuah sup itu sebelum aku campurkan bersama nasi dan sayur tumis atas pinggan. Malam ini benar-benar aku boleh dapat penyakit darah tinggi. Semua makanan masin belaka!

"Tak sedap cakap lah. "

"Eh, mana tak sedap. Okay aje lah. "

"Nuriez, jangan menipu. Lidah aku ni bukan lidah batu. Aku dah rasa tadi. "

Aku tersenyum kelat. "Tapi tak elok membazir. Membazir amalan syaitan. Lagipun, tak kisah lah masak terlebih manis ke terlebih masin ke terlebih pedas ke, yang penting effort tu. Effort tu jauh lebih bernilai berbanding rasa makanan. "

Amirul sekadar mendiamkan diri. Hatinya tiba-tiba rasa terharu mendengar kata-kataku tadi.

"Membazir amalan syaitan, kan? Haa.. habiskan. "

Aku menganggukkan kepala. "Baik, Encik Amirul. Kita habiskan sama-sama! "

Amirul tersenyum nipis sekaligus membuatkan aku terpanar seketika. Tidak sangka, Amirul tahu senyum rupanya.

"Pandang apa? Makan cepat, " arahnya.

"Mana ada pandang! Tak pandang pun. Tengah makan lah ni, " dalihku.

Sempat aku mengerling sekilas Amirul yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut. Aku tersenyum sendiri. Kalau lah setiap hari begini...

chef mirul inda haus.. rasa makanan tak penting, yang penting effort..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience