BAB 19

Romance Completed 29369

"Ehem.. "

Pantas aku dan Amirul menoleh dengan wajah cuak. Serta-merta pelukan antara aku dan Amirul terlerai.

"A.. abang.. buat apa kat sini? " soalku.

"Abang yang patut tanya Ija soalan tu. Ija buat apa dengan Amirul kat luar malam-malam macam ni? Kalau iya pun nak bermanja, agak-agak lah. Jiran sebelah menyebelah nampak nanti, "

Aku tersenyum kelat. Pantas aku menjeling tajam Amirul yang tampak selamba saja. Semua salah Amirul! Kalau bukan kerana ayat-ayat manisnya yang lebih manis dari madu, pasti aku tidak memalukan diri sendiri seperti ini.

"Dah, dah. Kat luar ni sejuk. Meh masuk. " ajak Naem.

Naem kemudian melangkah masuk ke dalam rumah bersama briefcase miliknya. Sempat dia menoleh sambil berpeluk tubuh.

"Tercegat apa lagi? Masuk lah. Ke nak bentang karpet merah? " giat Naem.

Aku mencebik. "Ish, abang ni. Ija nak masuk lah ni. "

Amirul tersenyum melihat wajah cemberutku. Selamba saja dia memaut lenganku. Kemudian dia mencuit hidungku. Terbeliak besar mataku.

Amirul tersengih. "Comel sangat. Geram, "

***

"Tinggal sini?! "

Aku pantas memandang Amirul yang kelihatan sedang mengawal amarahnya. Aku mengetap bibir. Fahamlah jikalau Amirul tidak bersetuju dengan cadangan keluarga kami.

"Mana boleh macam ni, Umi. Nuriez isteri Mirul. Tak salah kalau dia tinggal dengan Mirul, " ujar Amirul cuba meyakinkan Uminya.

"Mirul.. Kami bukan nak pisahkan kamu suami isteri. Tapi inikan adat. Tak boleh tinggal serumah selagi belum selesai majlis. Nanti hilang serinya, " pujuk Mama.

Amirul mengeluh panjang. Terus dia duduk di atas sofa lalu mengurut dahi. Serabut otaknya memikirkan krisis yang sedang kami hadapi kini.

Mulanya aku terkejut juga. Papa menyuruh aku tinggal di sini sehingga majlis persandingan selesai. Aku dan Amirul tidak boleh tinggal serumah. Kata Umi dan Mama, nanti hilang seri pengantin. Aku berbelah bahagi. Amirul pun tidak mampu menerima hakikat.

"Tak lama pun, Mirul. Pejam celik pejam celik, dah habis majlis. " Ayah bersuara pula.

"Tapi... tapi... argh.. " Amirul mengeluh lagi.

Aku mengemam bibir. Aku faham perasaan Amirul. Aku pun tidak mahu berpisah dengan lelaki itu biarpun sementara. Baru saja mahu jadi pasangan musim bunga, sudah jadi begini.

"Mirul jangan risau. Mirul masih boleh hantar Nuriez pergi balik dari kerja. Masih boleh jumpa Nuriez. Cumanya tak serumah. " ujar Papa cuba berkompromi.

"Baik. Mirul setuju, "

Pantas aku mengangkat wajah memandang Amirul tidak percaya. Aku terkedu. Aku terkesima. Benar-benar terkejut.

"A.. awak.. "

"Nuriez, sini kejap. " panggil Amirul.

Lantas aku mengekori langkah Amirul ke luar rumah. Sebaik saja kaki menapak ke halaman rumah, Amirul terus memelukku erat.

"Saya pun tak berpisah dengan awak. Saya tak nak, Nuriez. Tapi keadaan ni yang memaksa. "

Aku mendongak. "Sampai hati awak tinggalkan saya? Awak kata awak tak nak tinggalkan saya? "

"Tak.. bukan macam tu. Nuriez, kita masih boleh jumpa, kan? Tak lama pun, Sayang. "

"Betul ni? "

Amirul menganggukkan kepala. "Betul, "

***

Amirul mengetap bibir. Berat hatinya mahu berpisah begini. Ikutkan hati, mahu saja dia melutut merayu pada Papa, Ayah, Mama dan Umi. Namun apakan daya, sendiri punya bodoh juga cakap setuju semalam.

"Alaa... jangan lah buat muka macam tu. Tak lama pun, kan? " giatku.

Amirul masih begitu. Masih dengan wajah cemberutnya yang mengundang geli hati. Naem di muka pintu pun kelihatan sedang menahan ketawa.

"Awak macam suka je nak berpisah dengan saya, kan? "

Membulat mataku mendengar kata-kata Amirul. "Eh..! Mana ada! Saya pun tak suka nak berpisah dengan awak. Alaa... sekejap aje. Sebulan dua tak lama, kan? " giatku.

Lambat-lambat Amirul mengangguk akur. Terus aku tersenyum nipis.

"Macam tu lah. Jangan sedih-sedih. Nanti saya lagi sedih kalau tengok awak sedih, "

"Janji dengan saya yang awak akan jawab kalau saya call and message. "

Aku mengangguk. "Janji, "

Amirul tersenyum. "Saya gerak dulu lah. Nak jumpa Ezwan, "

Aku mengangguk lagi. Lantas aku menyalami tangannya. "Hati-hati, "

"Hmm, "

"Papa, Naem, Mirul gerak dulu. " Amirul bersalaman dengan Papa dan Naem.

"Jangan risau. Isteri kau, aku jaga. " jamin Naem.

Amirul melangkah longlai menuju ke keretanya. Kasihan pula aku melihat. Lelaki itu kemudian melangkah masuk ke dalam keretanya lalu menghidupkan enjin. Kereta Honda Civic putih itu beransur-ansur keluar dari laman rumah menuju ke jalan besar. 1

Aku mengeluh perlahan. "Sabar aje lah. "

***

"Mirul.. oh Mirul...? " panggil Ezwan.

Amirul hanya diam. Langsung tidak menjawab. Malah lelaki itu termenung jauh. Ezwan sudah kerut dahi. Pantas dia memandang Danish.

Bibir Ezwan terkumat-kamit menyebut sesuatu. 'Kenapa tu?'

Danish angkat bahu. 'Tanya lah dia.'

Ezwan mengherot bibir. Alih-alih dia juga yang kena main peranan sebagai kaunselor tetap Amirul.

"Mirul, " bahu Amirul ditepuk perlahan.

"Hah? " pantas Amirul menoleh dengan wajah terpinga-pinga.

"Kau okay tak ni? Dari tadi muram semacam je, "

Terus Amirul mengeluh panjang. Dia meraup wajahnya. Satu lagi keluhan berat dilepaskan.

"Mirul, hang tau kan, kalau hang ada masalah hang boleh cerita kat kami. " pujuk Danish.

"Tapi masalah aku ni besar, " keluh Amirul.

"Tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan, Mirul. "

Amirul menghela nafas dalam-dalam. Betapa dia rindu mahu menatap wajah Nuriez. Rindu tahap petala langit ke tujuh.

"Parents aku dengan parents dia tak bagi aku dengan Nuriez duduk serumah, "

"Hah?! " serentak Ezwan dan Danish berdiri dek terkejut.

Amirul mengangguk. "Hari tu dia orang dah bincang nak buat majlis sanding. Nak tak nak, kena jugalah tak tinggal serumah. Adat, kan? Nanti hilang pula seri, "

"Lepas tu, kau ikut aje? Sanggup kau tinggal Nuriez kat rumah parents dia? " giat Ezwan.

"Kau nak aku buat macam mana? Mengamuk besar depan parents aku dan dia? Melutut merayu macam orang tak betul? " sindir Amirul.

Ezwan menggaru kepala yang tidak gatal. "Bro, bukan tu maksud aku. Relax lah. "

Amirul mendengus sebal. "Nak relax macam mana? Nuriez pun macam suka aje tinggal kat rumah parents dia. "

Ezwan dan Danish berpandangan. Masing-masing tahan ketawa. Geli hati melihat wajah cemberut Amirul.

"Tenang.. meh minum teh O ais ni. Boleh sejukkan hati yang panas tu, " Ezwan menghulur segelas teh O ais kepada Amirul.

Amirul hanya memandang tajam. Tahu jikalau Ezwan sedang memerli. Lantas dia meneguk sedikit teh O ais yang dihulur Ezwan tadi. Sejuk jugalah hatinya yang panas tadi.

"Haa.. jangan runsing, jangan keliru. Kami ada untuk membantu, " Ezwan mendabik ada.

Amirul mencebik. "Bantu konon, "

***

Amirul berkalih ke kanan. Kemudian ke kiri. Jam dinding dikerling sekilas. Sudah hampir pukul 12 setengah malam. Pun begitu masih juga dia tidak dapat melelapkan mata.

Dia mengeluh panjang. Menyesal pula membiarkan Nuriez tinggal di rumah ibu bapa isterinya itu. Sudahnya dia yang macam mat gian kemaruk rindu.

Parah ni Mirul oi!

Lantas dia bangkit. Telefon di atas almari lampu tidur dicapai. Nombor Danish dalam senarai kenalan dicari. Mahu tak mahu terpaksa juga merujuk mereka yang lebih berpengalaman.

"Assalamu'alaikum. Haa.. mimpi apa hang ni tiba-tiba call aku malam-malam buta? "

Amirul menggigit bibir. "Wa'alaikumussalam. Tolong aku, Nish. "

"Awat hang ni gelabah semacam? Tolong apa ni, Mirul? " soal Danish.

Amirul menggaru kepala. "Macam mana eh kau deal dengan situation kalau kau duduk jauh-jauh dengan bini kau? "

"Apa punya soalan hang ni, Mirul? "

Makin tidak keruan Amirul jadinya. Sekejap dia duduk, kemudian sekejap dia berdiri. Gian sangat ni Encik Amirul.

"Aku serius, Nish. "

"Call ja lah. Apa susahnya? Hang ni telefon sikit punya canggih tak mau guna. Baik hang sedekah ja telefon tu kat orang, " sindir Danish.

Amirul menggigit bibir. "Tak apa ke? "

"Mirul, jangan sampai aku panggil hang bodoh sat gi. " suara Danish di hujung talian sudah kedengaran tegang.

"Okay, okay. Terima kasih banyak-banyak, "

"Hmm, sama-sama. Aku nak pi tidoq dulu, "

Amirul tersenyum. "Thanks again. Bye, "

Amirul merebahkan diri ke atas katil. Tangan didepakan dengan senyuman yang masih tidak lekang dari bibir. Kurang sedikit beban hatinya setelah berbicara dengan Danish tadi.

"Call Nuriez! "

***

Sudah hampir satu jam aku cuba menelaah buku ini. Fikirku dengan membaca buku mampu membuatkan aku mengantuk. Namun makin segar pula jadinya.

Aku mengeluh panjang. Telefon dari dalam saku kardigan dikeluarkan. Langsung tiada mesej atau panggilan dari Amirul. Hatiku kecewa.

Adakah dia benar-benar mahu meninggalkan aku di sini?

Telefon aku campak ke atas katil. Sebal hatiku memikirkan yang Amirul benar-benar mahu berpisah denganku. Sanggup dia lakukan aku begini?

Tiba-tiba telefonku berdering. Pantas aku mencapai telefon di atas katil. Tidak semena-mena aku tersenyum melihat nama Amirul di atas skrin telefon.

"Assalamu'alaikum, "

Aku tersenyum. "Wa'alaikumussalam. Awak dah tidur? "

"Belum. Dari tadi tak boleh lelap. Sayang macam mana? " soal Amirul.

"Sama lah. Awak.. bila awak nak datang jumpa saya? "

"Eh, mana boleh. Dah malam sangat ni. Esok hari Isnin, kan? Nanti awal pagi saya datang ambik awak. Kita sarapan sama-sama. Lunch sama-sama. Dinner sama-sama. Lepas tu kita jalan-jalan. Nak? "

Aku mengangguk laju. "Nak! "

"Sayang... "

"Ya? "

"Berapa lama lagi ya agaknya macam ni? " soal Amirul.

"Alaa.. tak lama pun. Macam saya cakap sebelum ni, sebulan dua aje. Pejam celik pejam celik dah dua bulan. Sekejap aje, "

"Betul ni? " giat Amirul.

"Ya, Encik Amirul. "

"Awak kata tadi tak boleh tidur, kan? Apa kata kita bercerita? " cadang Amirul.

Aku kerut dahi. "Bercerita? "

"Ha'ah. Cerita lah pasal childhood ke, cerita-cerita kelakar ke. Nanti lama-lama awak mengantuk lah. "

"Nak, nak! "

Amboi, Ija. Dah macam kanak-kanak ribena dah kau ni. Terlebih gula ke apa?

"Okay, saya cerita dulu eh? "

"Ada seorang lelaki ni.. dia ada seorang isteri. Isteri dia cantik sangat-sangat. Macam bidadari kayangan. Lelaki ni sayang sangat-sangat dekat isteri dia. " cerita Amirul.

"Siapa lelaki tu? " soalku ingin tahu.

"Nama dia Amirul Rauf bin Ali Akbar, "

Aku mengherot bibir. "Isteri pula? "

"Nuriez Zulhijjah binti Nazmie, "

Aku tersenyum lebar. "Awak ni... "

"Saya cakap benda yang betul. Saya sayang awak sangat-sangat. Dunia akhirat, "

"Saya pun. Dunia akhirat, "

alooo siannya mirul dan ija..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience