BAB 34

Romance Series 351253

Adel merenung ke luar jendela. Diam tidak berkutik, asyik melabuhkan renungan ke luar. Saat ini, fikirannya bercelaru. Tidak dia sangka kalau selama ini, Mikael dan keluarganya merupakan keluarga kandung yang dia cari selama ini.

Betapa dunia ini terlalu kecil. Pantas sahaja dia merasakan keselesaan, kasih sayang dan renungan kasih yang diberikan kepada dirinya setiap kali mereka bertemu. Ahh, sukar untuk dia hadam namun itulah realitinya saat ini.

"Adel.." seru seseorang mematikan lamunan jauh Adel. Adel menoleh.

Mila melabuhkan duduk di kerusi yang tersedia. Direnung wajah anak gadisnya yang terpisah sekian lama.

Adel lemparkan sebuah senyuman. Tidak tawar, tidak juga manis.

"Ma..ma.." sahut Adel perlahan. Hampir tidak kedengaran.

Mila tersenyum. Diusap rambut panjang mengurai milik Adel. Disebak ke belakang.

"Adik rasa macam mana hari ni? Ada sakit kat mana-mana lagi ke?" tanya Mila prihatin.

Adel menggeleng lemah. Hatinya sahaja yang sakit saat ini. Sakit mengenangkan Angah yang masih terlantar. Sakit merindui Angah.

"Angah macam mana, Mama?" tanya Adel perlahan. Wajah mula menunduk menekur riba. Tubir mata terasa berat dengan air mata.

Mila tersentak. Namun, wajah dikawal sehabis baik.

"Angah macam biasa. Dia masih belum sedar lagi." ujar Mila perlahan.

Ikutkan rasa hati, mahu sahaja dia lampiaskan rasa amarah kepada keluarga angkat Adel. Sampai hati, lewat mereka beritakan mengenai kehilangan Adel kepada pengetahuan mereka. Adel itu anak mereka. Sudahlah terpisah sekian lama.

Mila tersentak saat merasakan bahu Adel yang terhincut-hincut menangis. Mila kalut. Pantas ditarik tubuh kurus Adel masuk ke dalam pelukannya.

"A..del rindu dia mama. Adel sayang dia." esak Adel tenggelam timbul.

Mila diam. Rambut Adel diusap. Dikucup tidak henti seolah melepaskan kerinduan yang dipendam sekian lama.

"Ya, mama tahu." sahut Mila sebak.

"Adel nak jumpa Angah, mama. Bawa Adel jumpa dia. Adel nak tengok Angah. Adel rindu dia." rintih Adel pilu.

"Nanti kita jumpa ya. Sekarang tak boleh lagi. Adel tak kuat lagi." pujuk Mila.

"Adik!" seru Nina dari muka pintu.

Adel tersentak. Mila terdiam. Pantas mata dibawa memanah ke muka pintu. Kelihatan Nina tercegat di muka pintu. Mila beriak biasa walau dalam hati menggelegak menahan rasa.

"Boleh saya masuk?" tanya Nina berbasa basi.

Adel bingung. Kenapa ibu perlu meminta kebenaran masuk terlebih dahulu? Wajah ibu kandung dan ibu angkatnya dipandang bersilih ganti.

"Ermm.." sahut Mila mendatar.

Nina melangkah masuk. Kaki diatur cermat maju ke arah kedua beranak tersebut yang berpelukan di atas katil. Sedikit sebanyak hati Nina dihurung rasa cemburu namun cepat ditepis.

Duduk dilabuhkan. Sebuah senyuman diberikan kepada Adel.

"Macam mana Adik hari ni? Sihat?" Ibu mengajukan soalan.

Adel mengangguk dalam kehibaan. Zahirnya dia sihat tapi batin menjerit kesakitan.

"Baguslah kalau macam tu." ujar Nina tersenyum pendek.

"Ibu.." seru Adel. Mila dan Nina masing-masing diam memasang telinga.

"Ya sayang." ujar Nina menyahut panggilan Adel.

Adel mencapai kedua belah tangan Nina. Digenggam kejap tangan si ibu.

"Adel nak jumpa Angah."

"Tak boleh!" Mila bersuara kuat.

Adel terkedu! Nina terdiam!

"Kenapa tak boleh?" tanya Adel gagap.

Mila berdehem. Nina menunduk.

"No, maksud mama buat masa sekarang tak boleh lagi. Angah kan belum sedar. Nanti bila Angah dah sedar, dah sihat baru lah Adel boleh jumpa Angah." terang Mila.

Sesekali dikerling wajah Nina yang sayu menunduk memandang jari di ribaan.

"Ibu, please. Adel nak jumpa Angah." rintih Adel pilu.

Nina sudah dilanda sebak. Bagaimana mahu dituruti permintaan Adel kalau dari awal lagi Mila memberi amaran agar mereka menjauhkan diri daripada Adel? Ahh, dia buntu.

Nina angkat wajah yang sedari tadi menunduk. Air mata disapu. Sebuah senyuman hambar diberikan.

"Nanti Angah dah sihat ibu bawa Adik jumpa Angah ye. Sekarang, adik kena sihat dulu baru boleh jumpa Angah." pujuk Nina berdalih.

Adel menunduk. Jujur, dia rindu. Rindu sangat-sangat pada Angah. Sebuah anggukan lemah diberikan. Mila menghembus nafas lega. Nina pula terus dipagut sayu.

"Okaylah, ibu balik dulu ye. Esok ibu datang lagi jenguk Adel. Cepat sihat anak ibu." ujar Nina sayu.

Adel mengangguk lemah. Pandangan sayu menghantar kepergian Nina. Nina pula sejurus menutup pintu wad Adel, menggapai dinding hospital. Sungguh dia lemah saat ini. Angah pula sehingga kini masih belum ada tanda-tanda untuk sedar. Mujur sahaja keadaan Angah stabil.

Kata doktor, mungkin semasa Angah jatuh kepalanya terhentak sedikit di batu atau kayu. Keadaan tersebut membuatkan Angah belum sedar sehingga sekarang. Ditambah dengan amaran Mila, makin membuatkan Nina dilanda dukacita.

••••

Seminggu kemudian

Adel menolak daun pintu wad yang menempatkan Angah. Mesin hayat yang berbunyi tidak dihiraukan. Setelah seminggu, akhirnya kini dia dapat menjenguk Angah. Itupun puas dia merayu kepada Mikael merangkap abang kandungnya. Mikael dengan bantuan Along berjaya menyelinap daripada pengetahuan Mila untuk membawa Adel ke bilik Angah.

"Pergilah. Abang dengan Along tunggu Adel kat sini." arah Mikael sambil memerhati sekeliling.

Adel merapatkan daun pintu. Dengan muka yang tersebek menahan tangis menghampiri katil Angah dengan pantas. Tak tertahan hatinya saat ini menanggung rindu.

Adel mampir hingga kakinya terpasak di sisi katil Angah. Wajah yang kacak itu seolah sedang lena nyenyak dibuai mimpi. Adel tersenyum hiba.

"Kacaknya sayang Adel ni." bisik Adel perlahan. Diusap wajah dan rambut Angah berkali-kali.

"Sorry, Adel baru sempat nak lawat abang hari ni. Mama tak benarkan Adel datang. Ni pun Adel curi-curi datang tengok abang." Adel berbisik perlahan. Dikucup wajah Angah.

"Lama lagi ke nak tidur sayang? Adel rindu. Bangunlah. Jangan tidur lama-lama." dari berbisik, kini ia bertukar menjadi sebuah tangisan.

Teresak-esak Adel melepaskan tangisan. Setitis dua menitis ke wajah Angah. Mikael dan Along yang turut mendengar sayup-sayup tangisan Adel turut dilanda sedih.

'Walau apa pun yang terjadi, jangan pernah salahkan diri kau'

Adel tidak sangka kalau ini kesudahan mereka. Dibelai wajah kaku milik Angah tanpa jemu.

"Cepat bangun sayang. Adel rindu. Sorry Adel tak boleh lama dekat sini. Nanti Adel datang lagi jumpa abang. I miss you sayang. I love you." Adel kucup lama dahi Angah.

Sebuah senyuman hambar diberikan. Sebelum melangkah keluar daripada wad Angah, sempat ditoleh memandang Angah yang terbaring kaku.

Adel memeluk Mikael erat. Menangis teresak di dada Mikael. Along memandang penuh kesayuan. Hati kecilnya dijentik rasa kepiluan yang bukan sedikit. Berharap Angah segera sembuh. Dia rindukan Angah.

"Jom, Abang bawa adik pergi bilik adik semula ya." Mikael memapah Adel menuju ke bilik wadnya semula.

Along mengangguk sebelum turut mengekori langkah Adel dan Mikael yang terlebih dahulu di hadapan. 

Maleek mengeluh. Direnung wajah Mila yang tegak memandang ke hadapan.

"Awak tak sepatutnya buat macam ni Mila. Awak tahu kan Adel dengan Angah tu macam mana. Awak sendiri boleh nampak." ujar Maleek memulakan butir bicara.

Mila diam. Hanya memandang jauh ke luar melihat jalan raya yang penuh dengan kenderaan lalu-lalang.

"Mila. Awak dengar tak apa yang abang cakap ni?" soal Maleek perlahan.

Mila mendengus.

"Abang nak saya cakap apa sebenarnya ni? Salah ke tindakan saya ni? Salah?" soal Mila berang.

Maleek mengeluh. Ditoleh sekilas ke arah Mila.

"Bukan macam tu maksud abang. Abang tak cakap salah, tapi awak kena faham. Bukan niat diorang nak ketepikan awak. Taknak beritahu awak tentang kehilangan Adel." jelas Maleek lembut.

Mila menoleh. Dipandang wajah sang suami yang fokus memandu.

"Abang tak faham perasaan saya. Kita ni dah terpisah lama dengan Adel. Lepas tu, Adel pula hilang. Tapi, diorang tak bagitahu kita. I mean, lewat inform kat kita. Kita ni ibu bapa kandung Adel, bang. Saya terkilan tahu tak. Bila Adel dah masuk hospital baru diorang bagitahu. I can't accept it abang. Saya rasa diorang gagal jaga Adel." ujar Mila pilu.

Maleek terdiam. Sedikit sebanyak dia memahami perasaan sang isteri. Terbayang-bayang keadaan sang isteri saat dikhabari Adel masuk hospital. Hari yang menjadi titik tolak Adel mengetahui segalanya.

"Ya, abang faham. Tapi, percayalah Mila. Bukan niat mereka nak ketepikan hak kita sebagai ibu bapa Adel. Mereka pada masa tu masih lagi dalam keadaan terkejut dan bingung. Kalau kita di tempat mereka pun, kita akan tetap buat perkara yang sama." Maleek masih lagi memujuk si isteri.

Mila menggeleng. Kedua belah tangan naik memeluk badan.

"Dah lah Abang. Cukup! Saya taknak bahas lagi perkara ni. Lepas ni kita ambil Adel balik, hidup semula dengan kita. Dah sampai masanya kita bersatu sebagai sebuah keluarga. Saya dah tak sanggup kehilangan Adel lagi." ujar Mila.

"Sayang, listen. Awak tak sepatutnya suruh mereka jauhkan diri daripada Adel. Adel tetap anak mereka. Jangan kerana kesilapan mereka, awak nak jauhkan Adel dari keluarga angkat dia." ujar Maleek

"Dah lama saya bagi peluang untuk mereka jaga Adel, bang. Sungguh saya terkilan. Adel anak saya. Saya berhak tahu." Mila bersuara perlahan.

Maleek mengangguk.

"Ya, saya tahu tapi tetap tak betul tindakan awak tu. Mana mungkin kita nak pisahkan Adel dengan keluarga angkat dia terutama Angah. Abang tak sanggup Mila. Bukankah kejam tindakan awak tu?"

Mila menentang wajah sang suami.

"Abang tak sanggup tapi Mila sanggup! I will do everything for her." putus Mila.

Maleek menggeleng.

"Tapi sayang.."

Mila mengangkat tangan seolah berikrar.

"Abang, cukup! Kan saya dah kata saya taknak bahas lagi tentang ni. Apa yang saya cuba buat sekarang ni adalah untuk pertahankan hak saya. Menjaga hak saya, ambil semula hak saya yang mereka nafikan." tegas Mila dihujung bicara.

Maleek tersentak. Direnung lama wajah Mila di sebelah. Sebuah keluhan lemah dilepaskan. Gear ditukar sebelum kereta meluncur laju membelah jalan raya yang sibuk dengan manusia.

••••

Adel hanya diam saat Ayana menarik tubuh kurus miliknya masuk ke dalam pelukan. Erat pelukan Ayana di tubuhnya.

"Kau sihat?" tanya Ayana kalut.

Adel tersenyum pendek. Sebuah anggukan diberikan. Ayana menggenggam kedua belah tangan Adel. Diusap jemari runcing itu tanpa henti.

"Aku rindukan kau Adel. Rindu sangat. Kau tak ada sunyi aku. Tak ada kawan nak borak, teman makan sama-sama." ujar Ayana.

Adel tersenyum.

"Alah, kawan-kawan kita yang lain kan ada." ujar Adel perlahan.

Ayana mencebik.

"Tak sama dengan kau. Kau sorang je yang boleh layan perangai gila-gila aku." dalih Ayana.

"Yelah tu. Entah-entah diorang taknak kawan dengan kau kut sebab kau kan cerewet. Nak pergi mana-mana bersiap dua tiga jam." bebel Adel.

Ayana menghamburkan ketawa.

"See? Kau sendiri tahu aku macam mana."

"Konon. Kau tu yang taknak 'berdunia'. Asyik sangat dengan game pubg kau tu." sindir Adel terus.

Ayana tertawa.

"Yelah, dah itu aku berminat nak buat. Lagipun malas lah nak berdunia, tak mengutuk orang, mesti membawang. Malas ah." ujar Ayana.

Adel tersenyum.

"Kau ada melawat Hayyan?" soal Ayana perlahan.

Adel hanya diam. Sebuah keluhan dilepaskan.

"Adel.." seru Ayana saat melihat wajah Adel yang muram tetiba saat nama Hayyan disebut.

"Kau kenapa ni? Muram je tetiba? Aku ada salah cakap ke babe?" tanya Ayana gusar. Mana tahu dia tersalah cakap hingga mengguris hati Adel.

Adel menggeleng. Sebak dikawal. Namun, tidak mampu menahan, Adel menekup kedua belah wajah. Ayana makin kalut. Dia cuba kuat depan Ayana tapi saat nama Angah disebut dia rapuh.

"Heyyy, kenapa ni. Allah, Adel bagitahu aku. Kau kenapa ni?" resah Ayana melihat Adel yang menangis tiba-tiba.

"Ak..aku rindukan Hayyan. Rindu sangat-sangat. Dia taknak bangun ke jumpa aku, Yana? Sampai bila dia nak tidur macam tu." rintih Adel.

Ayana turut dilanda sedih. Pantas ditarik Adel masuk ke dalam pelukannya. Digosok bahu Adel kuat menenangkan sahabatnya.

"Dia taknak jumpa aku dah ke Yana? Berapa lama lagi dia nak tidur? Aku tak sanggup hilang dia, Yana. Aku tak kuat." rintih Adel.

"Shhh, kau tak boleh cakap macam tu. Aku yakin Hayy kuat. InshaAllah dia akan sedar nanti. Apa yang penting sekarang, kau perlu berdoa. Minta supaya Hayyan cepat-cepat sedar." pujuk Ayana perlahan.

"Aku sentiasa doakan dia, Yana. Tak pernah sekalipun aku lupa dia dalam doa aku." ujar Adel perlahan.

Adel menyapu air mata yang mengalir jatuh ke pipi seolah tidak tahu untuk berhenti menodai pipinya. Diangguk kepala mengiakan kata-kata Ayana. 

"Ingat, apa pun yang berlaku kau kena kuat. Kena tabah. Hayy perlukan kau dan kau perlukan dia. Kau dan dia adalah satu, Adel. Remember that!" Ayana salurkan kata-kata semamgat.

Adel diam. Hanya mata merenung wajah Ayana.

"Adik.." Adel menoleh pantas saat terasa namanya diseru. Ayana turut berbuat demikian. Along melangkah masuk. Bibir diketap. Adel merenung dengan kerutan di dahi.

"Along.."

"Along.." Ayana menyapa Along.

Along tersenyum membalas sapaan Ayana. Ayana bingkas bangun. Memberi laluan kepada Along.

Along melabuhkan duduk tepat di sisi Adel. Diusap bahu kurus Adel. Renungan Adel dibalas dengan senyuman.

"Jom, ikut Along kejap." ajak Along tetiba.

Adel terngadah. Wajah Ayana dipandang sekilas.

"Ikut? Ikut pergi mana?" soal Adel ragu.

Ayana turut menanti penjelasan Along.

"Nanti adik akan tahu." ulas Along tidak mahu memanjangkan bicara.

Adel memandang Ayana yang turut merenungnya. Ayana mengangguk.

"Pergilah, Adel. Aku pun nak balik dah ni. Ada hal sikit. Esok aku datang melawat kau lagi. Semoga cepat sembuh. Aku sayang kau." pamit Ayana sebelum mengucup kedua belah pipi Adel.

Adel mengangguk sebelum menghamtar langkah kaki Ayana menuju keluar daripada wad Adel.

Adel merenung Along. Along memapah Adel bangun sebelum diletakkan Adel dengan cermat atas kerusi roda.

"Jom, Along bawa Adel."

Sepuluh minit perjalanan, mereka tiba di kawasan wad yang dicat berwarna kuning cair.

Adel mendongak memandang Along.

"Kita datang wad siapa ni Along?" tanya Adel bingung.

Along diam namun sebuah senyuman diberikan.

"Jom kita masuk dulu. Nanti adik akan tahu." ajak Along sebelum menolak kerusi roda Adel masuk ke dalam wad.

Adel tercengang namun dituruti juga Along. Saat mengangkat wajah, Adel dihurung rasa terkejut. Mata membulat besar merenung sekujur tubuh yang sedang menyandar kemas  tunak memandangnya saat ini.

"Angah!" jerit Adel sebelum bingkas bangun meluru laju ke arah seseorang. Angah pula seolah bersedia menyambut tubuh Adel masuk ke dalam pelukannya.

Kemas tautan keduanya. Adel memeluk erat tubuh Angah. Tidak dia sangka akhirnya doa dimakbulkan Tuhan. Ahh, syukurlah Angah dah sedar.

Nina dan Rizal menyapu air mata yang terasa mengalir di pipi. Perlahan-lahan langkah diatur keluar daripada bilik yang menempatkan Angah. 

Along dan Mikael juga turut berbuat demikian. Biarlah kedua adik mereka melepaskan rindu yang sekian lama terpendam. Sengaja ditinggalkan keduanya sementara untuk melampiaskan rasa rindu mereka. Pintu wad ditutup perlahan.

Angah turut memeluk erat tubuh Adel.

"I miss you sayang." bisik Angah perlahan.

Adel melonggarkan pelukan. Diusap wajah Angah tanpa henti. Angah tersenyum. Menikmati belaian di wajahnya.

"I miss you too. So much!" ucap Adel hiba. Hilang rasa segan saat membalas ucapan Angah.

"Kau sihat? Ada cedera mana-mana?" tanya Angah perlahan. Tubuh Adel dibelek beberapa kali.

Adel menggeleng.

"I thought I was losing you." Adel meluah rasa takut. Sebak dia bila mengenangkan Angah. Air mata menitis lagi.

Angah terdiam. Namun, cepat ditarik Adel ke dadanya kembali.

"Shuh, don't cry baby. I'm still here, right?" ujar Angah sambil mengucup rambut Adel.

"Adel takut kalau Adel kehilangan Angah. Tapi syukurlah Angah selamat sekarang." ucap Adel.

Angah mengangguk.

"You love me?" soal Angah. Mata merenung Adel.

Adel gigit bibir rapat. Namun, kepala tetap diangguk walaupun perasaan segan begitu menguasai mereka.

"Angah.." seru Adel perlahan.

Adel panggung wajah memandang Angah yang diam.

"Angah.." seru Adel sekali lagi. Kali ini beserta usapan di pipi Angah.

"Ermm, ya..ya.." sahut Angah kalut. Direnung Adel yang tunak memandangnya.

"Terima kasih sebab kembali. Terima kasih sebab bertahan." ujar Adel seraya mengucup kekura tangan milik Angah.

Adel mengangguk sambil tersenyum. Direnung tanpa kelip wajah cantik Adel yang masih galak mengalirkan air mata.

"Kau masih nak kahwin dengan aku kan?" tanya Angah perlahan. Anak mata Adel direnung menanti jawapan.

Adel kemam bibir. Perlahan, Adel anggukkan kepala. Angah sudah tersenyum lebar. Dikucup dahi Adel.

"Ehem!" deheman seseorang mematikan suasana romantis antara mereka. Adel termalu sendiri. Angah beriak selamba.

"Amboi, tak menyempat. Kasi halal dulu eh." usik Along.

"Sibuk je. Suka hati lah." balas Angah.

Angah mencebik. Adel tunduk memandang jemari di ribaan Angah. Wajah Angah dicuri-curi pandang. Melihat Angah yang ada di depan matanya saat ini benar-benar membuatkan dia bahagia.

yeayy!! Selamat membaca. Macam mana scene kali ni? best ke best sangat? Cer komen. Support sikit bosskuu!

Share this novel

norsila
2022-02-18 15:41:24 

hehehe suko2

Rimatanti Rasyid
2022-02-16 17:18:02 

best sgt episode ni... hehehehehe..tq


NovelPlus Premium

The best ads free experience