BAB 2

Romance Series 351310

BEBERAPA TAHUN KEMUDIAN..

Sekujur tubuh genit itu riang berjalan menuruni anak tangga dengan perlahan. Dengan cermat diatur derap langkahnya perlahan. Berhati-hati menapak anak tangga. Beg sekolah miliknya yang tergalas di belakang tubuh dibetulkan kedudukannya.

Terkedek-kedek tubuh itu menapak menuju ke ruang dapur. Dari kejauhan dia sudah mendengar sayup-sayup suara kedua abangnya sedang riuh berceloteh. Dia tersenyum. Derap langkahnya semakin dekat mencecah lantai.

"Eh, dah turun anak ibu. Meh sini sayang. Duduk sebelah sini." Nina menyeru mesra anak perempuannya.

Bibir pantas menguntum senyuman manis saat matanya menangkap sekujur tubuh genit anak daranya. Comel berbaju sekolah dengan rambut diikat ekor kuda.

Terasa namanya diseru, dengan pantas kaki pendek miliknya dibawa menghampiri meja makan yang dihuni oleh kedua abang dan papa mereka. Dilepasi tubuh kedua abangnya yang menunduk menyuap sarapan.

Dengan gerak perlahan, kerusi meja makan ditarik lembut. Diletakkan beg sekolah dihiasi dengan ilustrasi kartun Frozen ke tepi kaki kerusi.

"Adel nak makan apa? Ibu ambilkan." soal Datin Nina mesra. Diusap rambut ikal mayang milik anak gadisnya.

"Adel nak cornflakes dengan susu." petah si kecil itu menjawab sambil mengunjuk ke arah cornflakes berkotak kuning tersebut.

Tanpa lengah, Nina menuangkan sedikit conflakes ke dalam mangkuk sebelum dituang pula susu ke dalam mangkuk tersebut.

"Nah. Jangan lupa baca doa makan." ujar Nina mengingatkan si anak agar membaca doa makan terlebih dahulu.

Memang dia pantang jika anak-anaknya makan tanpa membaca doa terlebih dahulu. Makan bersama syaitan bilang dia. Oleh sebab itu, ketiga-tiga anaknya mematuhi salah satu peraturan itu. Baginya, walaupun dengan lafaz Bismillah sudah memadai namun digalakkan membaca doa penuh.

Riang si kecil menyambut huluran di tangan si ibu.

"Terima kasih, ibu." ucap Adel petah. Pantas disuap sesudu ke dalam mulutnya.

"Sama-sama sayang. Hah, along dengan angah ada nak tambah apa lagi ke? " soal ibu kepada kedua anak bujangnya yang senyap menunduk menyuap makan.

"Tak da apa dah ibu. Along dah kenyang. Angah nak apa-apa ke?" soal Along kepada Angah di sisi. 

Angah menggelengkan kepalanya perlahan. Makanan yang bersisa disuap laju ke dalam mulut. Sekali sekala dikerling tajam budak kecil di hadapannya yang sedang enak menyuap makan.

Adel berhenti menyuap saat terasa pandangan seseorang terarah ke arahnya. Perlahan, kunyahan dihentikan. Diangkat wajahnya merenung sepasang mata milik si Angah. Walaupun dia masih kecil setahun jagung namun dia tahu kalau Angah seakan tidak menyukainya.

Berbeza dengan Along yang melayannya dengan baik. Bila berada bersama Along, dia terasa seolah dia puteri. Dilayan segala kehendaknya. Katakan sahaja apa yang dia mahu pasti akan Along dapatkan untuk dia. Dengan Along dia selesa. Bergurau senda, bermain bersama. Tidak seperti Angah, yang tidak melayannya dengan baik.

"Along, Angah nanti jangan lupakan tengokkan adik sekali kat sekolah. Main-main juga. Adik kena tengok." ujar Papa perlahan. Surat khabar yang siap dibaca dilipat dan diletakkan ke meja.

Bebola mata naik merenung kedua anak lelaki di sebelah kiri meja.

"Dengar tak apa yang papa pesan tadi?" soal Papa.

"Baik papa. Nanti Along tengokkan adik." Along bertindak menjawab soalan si bapa.

Dikerling sekilas si angah di tepinya yang diam. Dia mengeluh. Nak harapkan angah menjawab, mimpi sahajalah. Memang selama ini dia yang mengambil tanggungjawab menjaga anak kecil mereka.

Angah, kalau disuruh tahu nak memberontak sahaja. Angin satu badan. Padahal, Adel adalah adik mereka. Salahkah jika angah turut menjaga si adik? Berkali-kali dia berpesan supaya angah melayan Adel dengan baik tapi tidak tahu kenapa angah seolah dingin.

"Angah, dengar tak apa yang papa cakap?"

Angah panggungkan wajah. Dengan riak sebal, dianggukkan kepalanya. Dijeling tajam Adel di hadapan yang menikus takut memandangnya.

"Dah cepat makan. Kejap lagi papa hantar pergi sekolah. Adik dah siap makan ke?" Datin Nina mengajukan soalan ke arah anak gadisnya di sebelah.

"Dah ibu." jawab Adel perlahan. Ditelan suapan terakhir di dalam mulut.

"Okay, kalau semua dah siap, jom. Papa nak kena sampai awal di pejabat pagi ini sebab ada meeting." ujar Rizal.

Tubuh dibingkas berdiri. Dicapai kot dan juga briefcase miliknya dan dijinjing keluar daripada ruang dapur menuju ke luar.

Adel turut bangun. Menyandang beg kartunnya ke belakang dan bergerak menyoroti langkah kedua abangnya dari belakang.

"Meh sini, along pakaikan stoking untuk adik."

Adel tersenyum girang. Along selalu sahaja memakaikan stoking di kakinya. Angah menjeling tajam. Menyampah saat matanya menangkap riak girang di wajah Adel. Pantas dirampas sebelah stoking dan dilempar jauh.

"Angah!" jerit Along geram.

Kepala digeleng perlahan. Ada sahaja perangai angah yang menyebalkan dia. Tidak memasal dia harus bergerak mencapai stoking sebelah lagi.

"Apa? Dia ada tangan kan boleh pakai sendiri? Along nak tolong pakaikan kenapa?" bentak Angah kuat.

"Angah jangan nak perangai macam-macam boleh tak?" tegur Along dingin.

Angah mencebik.

"Biarlah dia pakai sendiri. Along nak susah-susah tolong pakaikan kenapa?" selar Angah pantas. Sekali lagi diulang kata-katanya.

Adel menunduk merenung sebelah kaki yang tidak tersarung dengan stoking. Tidak berani memandang seraut wajah garang Angah di sebelahnya. Serasa mahu sahaja dia menangis. Tapi, tiada pula air mata yang mahu keluar.

"Suka hati Along lah. Angah nak marah-marah ni kenapa?" tukas Along kuat.

Angah mendengus kasar. Dirapatkan wajah merenung si adik yang tunduk menikus.

"Jangan nak menyusahkan Along aku. Lepas ni kau pakai sendiri. Kalau tidak aku bakar semua stoking kau." bisik Angah keras.

"Angah jangan cakap bukan-bukan dekat adik. Along bagitahu papa nanti. " ujar Along berselitkan rasa sebal.

"Ada Angah kisah? Bagitahu je. Angah tak takut pun lah."

Adel diam. Makin mengecil tubuhnya.
Along menggeleng. Ditolak tubuh Angah daripada menentang si adik. Jelas terpancar raut sedih bercampur takut di wajah itu. Dibawa tangannya menggosok kepala si adik.

"Bak sini kaki adik. Along pakaikan stoking. Dah, adik jangan sedih. Jangan pedulikan Angah tu. Dia takkan berani kacau adik." Along menyedapkan hatinya yang dilanda sedih. Perlahan, dianggukkan kepala. Tunak matanya memerhati Along yang lincah memakaikan stoking.

Usai, dipimpin tangan Adel menuju ke kereta. Dari dalam kereta dia dapat melihat Angah merenung tajam ke arah mereka. Dijeling tajam sebelum diluruskan pandangannya ke hadapan. Benci dia melihat kemesraan antara kedua itu.

Tidak berapa lama, lambaian ibu di muka pintu menghantar kepergian mereka ke sekolah. Adel menjeling sekilas Angah di hujung pintu tempat duduk belakang.

Perasan dengan pandangan itu, Angah menoleh ke arah Adel di hujung pintu. Wujud ruang besar antara mereka. Angah merengus sebelum dijegilkan matanya ke arah Adel. Pantas Adel meluruskan pandangan ke hadapan semula. Gerun dengan sepasang mata millik Angah.

••••

Adel menapak perlahan. Sebelah tangan kejap memegang jari-jemari Along. Angah seperti biasa, cepat sahaja diatur langkahnya menuju ke ruang kelas meninggalkan Along dan Adel di belakang.

Tak ingin dia hendak berjalan dengan Adel apatah lagi berpegangan tangan dengan si adik. Dia benci! Benci bila melihat seraut wajah comel itu tersenyum. Along juga melayan hingga kadangkala dia rasa terabai.

"Hayy!" laung seseorang mematikan lamunan Hayyan. Ditoleh wajahnya ke arah si pemanggil. Kelihatan Raid melambai dari anak tangga. Menunggu untuk menuju ke kelas bersama-sama.

Tanpa lengah, diatur derap langkah ke Raid yang tercegat di anak tangga. Sebelum itu, sempat dijeling ke arah Adel yang sudah menapak masuk ke kelas. Along pula dilihat sudah menuju ke kelasnya di hujung sana bersama rakan sekelasnya juga.

"Dah lah tu. Adik kau dah selamat masuk kelas dah. Sayang sungguh kat adik dia." sela Raid bila melihat Hayyan yang sedang ralit memerhati si adik.

Hayyan tersentak. Wajah Raid dipandang.

"Jangan nak merepek lah. Aku tengok Along aku." Hayyan berdalih.

"Yelah Hayy. Dah, jom. Dah la awal pagi subjek Sir Aneq. Macam kau tak tahu, lewat sikit dipiat telinga kita. " ditarik tangan Hayyan tangkas sebelum keduanya berlari anak mendaki tangga menuju ke kelas 3 Seroja. Seketika, mereka mulai ralit dengan pembelajaran masing-masing.

Adel menunggu di bangku sekolah. Memang kebiasaannya begitu. Dia sudah dipesan oleh kedua orang tua dan Alongnya agar menunggu mereka di tempat bangku menunggu yang sudah tersedia. Senang untuk diperhatikan oleh guard sekolah dan juga kedua abangnya.

Kejadian cubaan culik kanak-kanak sekolah yang pernah berlaku dahulu mengejutkan ramai pihak. Apatah lagi para waris. Nasib sahaja mereka yang berada ketika itu sempat bertindak. Jika tidak, sudah pasti kanak-kanak malang tersebut menjadi mangsa culik.

"Adik ni adik Hayyan Rifqi ke?" soal seorang budak perempuan yang cantik mengikat rambut dandan.

"Ya, saya adik dia." ujar Adel perlahan. Diperhatikan lagi wajah budak perempuan itu.

"Nah, tolong bagi pada Hayy ya. Cakap Amy kelas 3 Bakawali bagi. Terima kasih." sehelai surat diunjukkan ke arahnya.

Dengan perlahan, dicapai sampul surat yang berlipat elok. Wangi pula bila dihidu. Diperhatikan sampul surat warna biru cair itu. Cantik! Detik hatinya.

Sesaat, terasa seseorang berdiri tercegat di hadapannya. Angah! Dia pantas menundukkan wajah merenung kasut di kaki. Angah mengambil tempat di sebelahnya. Namun, masih ada jurang antara mereka.

"Angah.." perlahan sahaja suaranya menyeru si abang yang beriak dingin di sebelahnya.

Angah tersentak. Dengan malas, ditoleh wajahnya ke arah Adel. Diangkat keningnya bertanya. Adel menghulurkan sampul surat pemberian budak perempuan bernama Amy ke arah Angah.

"Nah, surat." Angah memandang tangan montel itu menghulurkan sekeping sampul surat ke arahnya. Geram dia melihat tangan bulat itu. Seakan mahu digigit sahaja tangan comel itu. Geram! Namun,cepat ditepis daripada fikirannya.

"Siapa bagi?" soal dia. Dicapai surat tersebut.

"Adel tak tahu. Kakak tu cakap nama dia Amy, kelas 3 Bakawali." ujar Adel perlahan. Dilarikan matanya daripada bertatapan dengan mata helang si Angah.

Hayyan mengeluh. Jemu dia dengan surat cinta bodoh tersebut yang terselit dengan ayat cintan-cintun. Tidak cukup, diselitkan pula kata-kata pujian kepada dirinya. Namun, malangnya sekalipun tidak pernah dibaca. Semuanya dibuang ke dalam tong sampah. Dikalih wajahnya ke arah Adel.

"Lain kali jangan ambil lagi dah. Kalau ada siapa-siapa bagi tak payah ambil. Ambil juga, siap kau. Aku sumbat mulut kau dengan surat tu. " pesan Angah tegas.

Adel mengangguk laju. Mengambil maklum pesanan Angah. Kecut dia dengan si abang. Mata melingas mencari kelibat Along kesayangan. Sesaat, terbias wajah Along yang sedang tersenyum melambai ke arahnya.

Dengan pantas, dia melompat turun sebelum terkedek-kedek berlari mendapatkan Along. Along mendepakan tangan bila melihat Adel menerpa ke arahnya. Dipeluk tubuh bulat si adik.

"Kenapa Along lambat? Penat adik tunggu tau." rengek Adel manja.

Along tersengih.

"Sorry, Along ada kerja sikit tadi. Angah mana?" soal Along sambil meliar mata mencari letak duduk seorang lagi adiknya.

"Tu, kat sana." tunding Adel ke arah Angah yang tegak memerhati kemesraan mereka. Seperti biasa, Angah dengan riak cemberutnya berpisah tiada.

"Dah, jom balik. Papa dah datang tu." ajak Along seraya memimpin tangan bulat Adel. Angah turut bingkas berdiri. Membetulkan beg sekolah sebelum menapak mengikuti langkah Along dan adiknya dari belakang.

Terdengar petah mulut kecil itu bercerita dengan si Along. Sekali-sekala terdengar tawa mereka bergabung menjadi satu. Terdetik rasa cemburu di hatinya saat ini. Makin bertambah kebencian terhadap si adik.

"Hayy, faster." jerit Rizal kuat memanggil anak lelakinya seorang lagi.

Malas untuk melengahkan masa, diatur laju langkah menuju ke kereta milik papa mereka. Dibuka pintu kereta hadapan sebelum tubuh dilolos masuk ke dalam kereta.

Sepasang telinga miliknya pantas menangkap celoteh kedua mereka di tempat duduk belakang. Terasa menyampah dan sebal, mata segera dipejamkan sebelum dia dijemput lena tanpa sedar.

••••

Salam Maghrib. Enjoy reading.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience