BAB 3

Romance Series 351253

Adel menundukkan kepala. Tangan asyik mewarna lukisan putih yang terdampar di lantai. Satu demi satu warna ditarik keluar daripada kotak jenama LUNA. Dialurkan warna tersebut dengan cermat di atas lukisan tersebut.

Masih dia teringat akan kata-kata ibu dan papanya. Kerap kali mereka memuji-muji lukisan yang seringkali dia lukis dan warnakan. Dia suka. Dia merasakan bahawa melukis itu sangat dekat dengan jiwanya. Oleh sebab itu, seringkali dia berseorangan di taman belakang melukis dan mewarna.

Hari ini dia lebih suka untuk berada di ruang tamu. Santai di situ sambil mewarna. Sesekali dijeling kelibat ibu yang asyik mundar mandir menyediakan juadah makan petang di dapur. Terhidu semerbak haruman cucur cempedak yang sedang digoreng ibu.

Sekali sekali televisyen yang terpasang diintai. Terdengar gelak ketawanya yang mengekek bila mana cerita spongebob sedang ditayangkan.   Ibu hanya tersenyum senang melihat telatah anak perempuannya yang sedang mengekek ketawa di ruang tamu.

Adel masih lagi mengekek gelak. Terhibur dengan telatah kartun tersebut. Ditekup mulut dengan tangan comelnya bila terasa gelak tawa miliknya bergema kuat. Angah menuruni anak tangga dengan kasar. Sengaja dihentak-hentak setiap anak tangga yang dicecah.

Geram punya pasal melihat si adik yang mengekek gelak tak ingat dunia. Diperhati tubuh comel bulat itu dengan mata yang terkebil-kebil sambil mulut tersengih lebar. Entah kenapa dia meluat dengan gelagat si adik. Dengan riak sebal, langkah dihalakan ke arah Adel.

Sengaja diperlahankan langkahnya. Tercegat berdiri di belakang tubuh kecil Adel. Tangan naik mencekak kedua belah sisi pinggang. Mata diliarkan mencari kelibat remote televisyen. Tidak lain tidak bukan, mesti ada sahaja idea bernas untuk mendajal Adel.

Beberapa lama mencari, akhirnya benda yang dicari akhirnya terbias di ruang mata. Bibir melorek senyuman sinis. Rasakan kau budak! Dicapai pantas remote televisyen di atas sofa merah hitam itu. Dengan riak muka menyeringai sinis, ditekan kuat butang off.

Sekelip mata, televisyen yang rancak memainkan cerita kartun hilang. Serta merta gelap skrin televisyen yang sebentar tadi cerah. Serentak itu juga ketawa Adel terhenti. Dari skrin televisyen besar yang terpasang, dapat dia lihat sekujur tubuh Angahnya sedang berdiri tercegat di belakang.

Adel menoleh lambat-lambat ke belakang. Bertaut pandangannya dengan si Angah yang menyeringai sinis memandangnya. Perlahan, dilarikan tatapan matanya. Wajah ditundukkan merenung jari jemari sendiri di ribaan. Meramas sesama sendiri. Terkebil-kebil dia di situ. Membatu!

"Hah, kenapa tak gelak lagi? Gelaklah, gelak kuat-kuat. Biar satu rumah ni dengar. " provok Angah kuat.

Adel diam. Menunduk sahaja wajahnya sedari tadi. Angah tersenyum sinis. Puas hatinya saat melihatkan wajah muram dan cemberut Adel kerana tindakan dia. Sungguh hatinya puas. Seakan mahu sahaja dia bersorak kuat dalam hati.

Seketika, terbias pula alatan mewarna milik Adel di lantai. Berada dekat berhampiran Adel yang sedang duduk bersila bermain dengan jemarinya. Dibawa langkahnya ke lukisan yang sudah separuh diwarnakan.

Tubuh dicangkungkan. Dicapai kertas lukisan tersebut. Adel menjeling dengan ekor mata. Memerhati Angah yang sedang membelek kertas lukisannya. Seketika, matanya membuntang luas bila melihat jemari Angah mula merenyukkan lukisan tersebut.

Pantas, dipanggungkan wajahnya. Menentang Angah dengan pandangan yang sudah kabur dengan air mata. Sekali lagi Angah tersenyum puas. Puas bila melihatkan ada air mata yang bergenang di pelupuk mata Adel. Bergetar bibir kecil itu menahan tangis.

"Kertas kau? " soal Angah sinis.

Adel diam. Hanya bebola mata sahaja yang bergerak melihat kertas lukisannya yang sudah hancur renyuk dikerjakana oleh Angah. Sungguh, dia sendiri tidak faham mengapa sebegitu sekali kejamnya si Angah pada dirinya. Apa salah dia?  Apa dosa dia hingga diperlakukan sedemikian rupa?

"Aku tanya ni. Kertas kau ke? Kau bisu dah kenapa? " Angah berbisik keras.

Adel mengangguk laju. Tersebek-sebek wajahnya menahan tangis yang bila-bila masa sahaja boleh terletus kuat.

"Ya, kertas Adel. " jawab Adel bergetar.

Angah tertawa kuat. Rasa digeletek hatinya dengan jawapan yang diberikan Adel. Serasa tidak terkeluar suara si adik di pendegarannya.

Kertas yang sudah direnyuk dicampak ke muka Adel. Tidak kuat namun cukup untuk membuatkan Adel dihurung rasa sakit hati yang amat sangat hingga tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Hanya mata sahaja yang menceritakan segalanya.

"Oh, ada je suara. Aku ingat bisu dah." sela Angah tertawa sinis.

"Kenapa Angah rosakkan kertas Adel?" soal Adel perlahan.

Angah diam. Tubuh dibingkas berdiri. 

"Sebab memang aku nak rosakkan pun. Aku suka nak rosakkan barang kau. " ujar Angah megah.

Adel diam. Hanya air mata yang galak mengalir di tubir mata. Sebelum berlalu, Angah turut menyepak kotak warnanya. Terkeluar kesemua warna yang telah disusun elok. Berselerakan ke serata tempat.

Adel tersentak. Terinjut bahunya dengan tindakan kasar Angah. Wajah tidak berani diangkat sebaliknya makin tunduk. Terhinggut-hinggut bahunya melepaskan tangisan. Digenggam kuat baju di sisinya.

"Angah!!" jerit ibu lantang.

Angah yang asyik berdiri tertawa sinis terkejut. Pantas tubuh ditoleh ke arah ruang dapur. Terbuntang matanya melihat sekujur tubuh si ibu sedang mencekak pinggang meluru ke arahnya.

Angah tergamam. Hanya berdiri tercegat tanpa sempat untuk mengelak daripada diterpa oleh ibu. Adel turut terkejut. Wajah yang sedari tunduk dipanggungkan. Air mata yang berjejeran di pipi dikesat dengan tangan bulatnya.

"Apa masalah Angah sebenarnya? " soal ibu nyaring. Lantang bergema segenap ruang tamu.

Diperhatikan pula Adel yang bersila di permaidani yang basah wajahnya.

"Masalah apa pula ibu ni?" soal Angaj kembali tanpa perasaan bersalah.

"Angah tanya ibu, masalah apa? Angah tu yang menjadi masalah sekarang ni. Tak habis-habis nak kacau Adel. Tahu tak Adel ni adik Angah?" bergema lagi suara Nina di ruang tamu.

Angah mendengus kuat. Direnung wajah Adel di bawah.

"Dia bukan adik Angah!" tukas Angah kuat.

"Apa Angah cakap ni? " soal Nina perlahan namun dingin suaranya.

Dahinya berkerut seribu. Daripada mana Angah mendapat tahu kalau Adel bukan adiknya? Serasa selama ini hanya dia dan suaminya sahaja yang tahu. Cuma, Along baru-baru ini sahaja diceritakan oleh mereka.

Nasib sahaja Along bersikap tenang. Menerima perkara tersebut dengan berlapang dada. Buktinya, Along tetap melayan Adel dengan baik.

Angah membalas renungan si ibu dengan berani.

"Adel bukan adik Angah." ditekankan suaranya.

Ibu terdiam. Adel terkesima! Matanya naik merenung Angah. Angah menjeling tajam. Ibu mengawal sebaik mungkin rasa terkejutnya. Ditarik dan dihembus perlahan nafasnya.

"Angah, listen. Adel adik Angah. Jadi tolong, layan Adel dengan baik. Okay fine, walaupun Angah tetap berkeras mengatakan Adel bukan adik Angah sekalipun, tapi ibu minta Angah layan Adel dengan baik. Itu sahaja." ujar ibu cuma berdiplomasi bersama si anak.

"Kenapa perlu Angah kena layan dia dengan baik kalau dia bukan adik Angah?" soal Angah kembali.

Layan Adel dengan baik? No way! Tidak mungkin sama sekali. Takkan pernah!

"Hayyan Rifqi! Tolong jaga percakapan kamu. Ibu tak pernah ajar kamu jadi biadap macam ni." ibu bersuara keras.

"Ibu sama je dengan Along dengan papa. Tak habis-habis nak menangkan budak ni. Apa lebihnya dia? Apa kurangnya Angah?" bentak Angah kuat. Bergetar suaranya menahan rasa.

Dipanah wajah Adel dengan tajam. Dia benci melihat Adel yang diam membatu menangis seolah dia memukul dirinya. Turun naik nafasnya saat ini.

Ibu menggelengkan kepala. Pusing dengan perangai anak terunanya. Berbeza sungguh dengan Along yang menyenangkan hati mereka. Pelipis dipicit kuat.

"Sudah lah Angah. Ibu dengan papa tak pernah lebihkan siapa-siapa pun. Ibu sayang kamu bertiga sama rata. Tiada yang lebih, tiada yang kurang." pujuk si ibu perlahan. Diusap rambut Angah.

Angah menggelengkan kepala. Ditepis perlahan tangan si ibu yang bermain di kepalanya.

"Tak. Ibu tipu! Angah benci dia!" jari telunjuk Angah tepat menghala Adel.

Adel tersentak. Jadi, benar tekaaannya selama ini benar. Angah membencinya! Dia bukan adik Angah.  Sebab itu, Angah secara terang-terangan mengatakan kalau dia bencikan Adel.

Nina mengeluh kuat.

"Angah! Sekali lagi ibu nampak Angah buat perangai bukan-bukan pada Adel, ibu beritahu papa. Biar papa yang uruskan Angah. Senang! " dititipkan pesanan kepada si anak.

Angah diam. Hanya matanya sahaja yang membuntang tunak merenung wajah Adel yang turut terkebil memandangnya.

"Adel okay sayang?" Ibu bertanya.

Adel menganggukkan kepalanya lambat-lambat. Disapu air mata yang berjejeran di sekitar pipinya. Dikutip pensel warna yang bertaburan di lantai. Ada yang terlepas ke bawah meja televisyen.

Ibu turut membantu mengutip pensel warna si anak. Angah hanya diam membatu memeluk tubuh. Sebal dia rasakan kini!

"Nah. Sekarang jom kita pergi dapur. Makan cucur cempedak. Adik suka kan? " ibu bersuara mesra. Mendukung anak perempuannya ke dapur. Dikucup sayang pipi anaknya.

Adel hanya mengiakan kata-kata si ibu. Sebelum berlalu, sempat dilabuhkan renungannya ke arah si abang yang masih tercegat di ruang tamu. Angah menunjukkan penumbuk. Pantas, dibenamkan mukanya ke bahu si ibu. Gerun dengan wajah si abang.

Angah mendengus kasar sebaik kelibat keduanya hilang. Dihentak kakinya kuat. Seolah melampiaskan rasa amarah! Tidak betah berada di rumah, dia bergegas keluar. Lebih baik ke taman permainan bermain basikal bersama Raid dan rakan-rakannya yang lain.

••••

Masa menginjak pantas. Pejam celik pejam celik menghadap kebencian Angah, Adel kini sudah berusia sepuluh tahun. Angah dan Along pula masing-masing berusia dua belas dan empat belas tahun.

Adel merenung nasi di dalam pinggan. Menyuap perlahan masuk ke dalam mulut. Dipandang wajah putih Ayana yang turut diam menjamu selera. Seketika, terbias wajah Angah yang sedang bergelak tawa bersama dengan beberapa orang rakannya berjalan masuk ke arah kantin sekolah.

Adel menundukkan wajah. Disuap dengan kalut nasi ke dalam mulut.

"Adel, kau okay ke? Asal kalut sangat makan tu? Pelan-pelanlah. Tercekik nanti. " Ayana menegur.

Hairan dia melihat Adel yang gopoh menyuap nasi ayam ke dalam mulut. Serasa dia masih panjang waktu rehat. Masa ada lebih kurang dua puluh minit lagi hendak sampai ke penghujung waktu rehat mereka.

Adel diam tidak berkutik. Hanya diam menyuap dan menelan makanan dalam mulut. Soalan Ayanan dibiarkan sepi. Ayana mengerutkan dahi melihat reaksi Adel.

"Eh, tengok ada siapa kat sini. Adella Mikayla lah.." kedengaran kuat suara seseorang yang sedang sinis berkata-kata.

Angah yang rancak bersembang bersama kumpulan rakannya menoleh pantas ke kawasan kanan kantin. Dia tersentak. Dari jauh dia dapat melihat Mimi Qaisara sedang berdiri tercegat di hadapan Adel. Dikalih tubuhnya memandang ke arah keduanya.

Adel mendongakkan wajahnya lambat-lambat. Terbias di ruang kornea mata sekujur tubuh budak perempuan bernama Mimi Qaisara. Budak perempuan yang paling terkenal di sekolah. Ayana turut panggungkan wajah. Memerhati wajah Sara.

Selain daripada memiliki rupa paras yang cantik, Sara juga bijak dan aktif dalam sukan. Tambahan, dengan gelaran anak kepada salah seorang Dato menjadi batu loncatan untuknya menjadi lebih terkenal dalam kalangan guru mahupun pelajar sekolah.

"Kak Sara nak apa?" soal Adel bernada biasa.

Sara bergerak menapak lebih dekat ke arah Adel. Kepala Adel ditunjal kasar. Adel menepis perlahan. Tidak suka diperlakukan dengan biadap sebegitu. Ayana terkedu. Perasaan panas mula membelit hatinya saat ini.
Kecil besar kecil besar sahaja dipandang wajah Qaisara.

"Bagitahu lah. Kak Sara nak apa. Kalau tak ada apa-apa, tolong pergi. Saya nak makan. Terima kasih." ujar Adel masih mengawal nada suaranya.

Sara tertawa sinis.

"Aku tak nak apa. Cuma aku nak kacau kau sahaja. Takkan tak boleh kut. Lagipun aku dengar satu sekolah asyik sebut nama kau. Nak juga aku beramah mesra. " tukas Qaisara berbisik sinis di wajah Adel.

"Saya tak berminat nak beramah mesra dengan Kak Sara." ujar Adel tenang.

Sara mendecit perlahan.

"Tak sangka kau ni belagak nak mampus. Macam mana lah kau boleh jadi terkenal dengan perangai kau yang belagak macam ni?" selar Sara kuat.

Adel diam. Malas untuk membalas ujaran Sara. Malah, Adel kembali menunduk menyuap makanan ke dalam mulut. Seketika, terasa pinggan nasi ayamnya ditolak kasar. Telangkup pinggan tersebut di atas meja. Habis tumpah kesemua nasinya.

Adel mengetap rapat bibirnya. Bibir dikebam kuat. Mata segera terasa panas bergenang.

Angah tersentak. Tidak sangka Qaisara akan bertindak dengan sebegitu rupa sekali. Bila diamati memang melampau dan biadap perilaku Qaisara terhadap Adel.

"Hayy, kau taknak pergi tolong adik kau ke? Geram je aku tengok budak Sara ni. Melampau!" Raid pantas bersuara.

"Entah. Dia ingat dia anak Dato, dia boleh sesuka hati je buat macam-macam kat orang. Eii, sabar je aku dengan budak perempuan tu. " sahut seorang lagi rakannya, Helmi.

Angah diam. Diperhati sahaja adegan tersebut tanpa niat mahu membantu. Dibiarkan bebelan Raid dan Helmi menyapa halwa telinganya. Matanya masih lagi memerhatikan tingkah Adel dan Sara yang nampak gayanya seperti tidak mahu berganjak sahaja.

Adel bingkas ingin berdiri. Bertindak untuk lari daripada ketegangan. Mata dikelip-kelip ingin menghapuskan air mata. Dilepasi tubuh milik Sara. Qaisara mendengus geram. Bengang dengan respon tenang daripada Adel, pantas dilelar pergelangan Adel daripada belakang.

Angah membuntangkan mata. Kesemua yang lain juga berdebar dengan tindakan yang bakal dilakukan terhadap Adel. Tapi, mereka tidak berani untuk bersuara walau sepatah kata. Kerana mereka cukup tahu akan padahnya jika berani untuk melaporkan perangai Sara kepada pihak sekolah.

Tersentak tubuh Adel ke belakang. Sara mencerlung tajam ke arah wajah Adel. Dia benci akan ketenangan yang dipamerkan si gadis. Dia benci bila telinganya kerap mendengar orang bercerita dan memuji-muji Adel. Adel cantik, Adel comel, Adel bijak, Adel baik. Dia benci! Bingit telinga saat kata-kata pujian diberikan kepada Adel.

Baginya, hanya dia sahaja yang patut mendapat kata-kata pujian tersebut. Bukan Adel atau orang lain. Hanya dia! Sebab itu, dia benci kepada Adel walaupun sebelum ini dia tidak pernah kenal dan ambil tahu pasal budak perempuan itu.

"Kau ni memang betul-betul menguji kesabaran aku. " ujar Sara kuat.

Tangan diangkat tinggi. Berniat untuk memberikan sebuah tamparan di wajah gebu Adel. Dia sudah benar-benar dirasuk amarah dan geram. Apa sahaja yang terlintas di fikirannya saat ini ialah melampiaskan rasa tersebut sebelum ia menjadi nanah.

Adel hanya mampu memejamkan mata. Sesaat, dua saat, tiga saat terasa lambat tamparan tersebut singgah di wajahnya. Dengan gerak perlahan, mata dibuka sedikit demi sedikit.

Terkejut dirinya bila mana sekujur tubuh milik Angah kini sedang menjadi penghadang antara dirinya dan Sara. Erat tangan Angah menggengam tangan Sara sebelum di lepaskan kuat jatuh ke sisi. Sara mendesis kesakitan. Terpana dia bila seraut wajah kacak milik Hayyan menerpa di wajahnya. Sekaligus menghalang tamparan tersebut.

"Aku nak ingatkan kau, hanya aku yang boleh sentuh dia. " bisik Angah keras di wajah Sara yang tidak berkelip merenung wajah kacaknya.

"Baik kau berambus sebelum aku ubah fikiran." bisik Hayyan lagi.

Mengigil Sara dengan kata-kata berbaur amaran sinis tersebut.

"Berambus!" jerit Hayyan lantang.

Tanpa lengah, terkocoh-kocoh Sara bersama rakan kumpulannya berlari mencicit keluar daripada kawasan kantin sekolah. Gerun dengan aura sinis yang ditonjolkan Hayyan.

Adel masih lagi tergamam. Berdiri tercegat mematung memandang belakang Angah. Angah menoleh merenung wajah muram Adel. Terasa terusik sedikit hatinya. Memang, dia tidak nafikan kalau dia tidak suka kepada Adel. Dia benci tapi dia bukanlah seorang yang tidak berhati perut.

Seteruk dan sebenci mana pun dia pada Adel, masih terselit rasa kasihan bila melihat Adel yang sedang menjamah makanan diperlakukan dengan biadap. Tidak tega melihat wajah muram Adel saat makanan yang masih bersisa ditolak kasar oleh Sara. Habis tumpah nasi di dalam pinggan itu.

"Angah." bisik Adel sebak. Tidak sangka Angah sanggup melindunginya daripada tamparan kuat Sara.

"Ermm, aku. Kenapa?" Angah bersuara dingin. Pandangan dan sengihan berserta isyarat bagus daripada rakan-rakannya diabaikan. Malas dia mahu melayan.

Adel menggeleng sayu. Jujur, dia terharu dengan Angah saat ini. Serasa mahu sahaja dipeluk tubuh tegap itu menyatakan rasa terharunya. Angah menarik tangan Adel. Menuju ke kaunter makanan.

"Kau nak apa?" soal Angah tidak bernada.

Adel merenung Angah. Sekali lagi dia tidak percaya. Jatuh rahangnya dengan sikap Angah hari ini.

"Cepatlah. Tenung muka aku bukan boleh kenyang pun. " tukas Angah dingin.

Adel tersentak. Merah mukanya ditangkap oleh Angah.

"Adel nak karipap dengan kek coklat." Adel mengunjuk ke arah kedua jenis makanan tersebut.

Angah pantas mencapai plastik kecil berwarna putih. Diletakkan dua ketul karipap dan dua potong kek coklat. Dihulurkan dua keping not seringgit. Kemudian, disua ke arah Adel di sisinya. Adel tersenyum. Angah diam. Dibawa kembali Adel di tempat duduknya sebelum dia kembali menuju ke arah sekumpulan rakan-rakannya.

"Terima kasih, Angah." diucapkan ucapan tersebut. Namun, Angah tetap Angah. Dibiarkan ucapan tersebut dibawa angin lalu. Adel tidak terasa. Sebaliknya, untuk pertama kalinya dia terasa bahagia kerana Angah sudi melindungi dan peduli akan dirinya.

"Untunglah ada abang kat sekolah." sindir Ayana perlahan.

"Padan muka Sara tu. Aku ingat kau nak buat je tadi, Hayy. Tak sangka pula kau pergi marah Sara tu. "

"Kalau Adel tu adik kau, mesti kau akan buat benda yang sama juga kan. Macam tu juga lah Hayy. Dah Adel tu adik dia. Memang mendapat lah si Sara tu. Jahat sangat." selar Raid panjang.

Puas hatinya Sara diperlakukan Hayyan seperti itu. Baru dia tahu langit itu tinggi ke rendah. Baru ada akai orang utagha kata.

Hayyan diam. Hanya sekali sekala dijeling Adel yang sudah tersenyum sedang asyik berceloteh bersama Ayana sambil mengunyah makanan yang dia belikan sebentar tadi. Tidak sedar, sedikit senyuman turut terlorek di wajahnya.

••••

Enjoy reading. Jangan lupa komen. Terima kasih.

Share this novel

Ziera
2021-08-25 22:22:14 

terima kasih kak. teruskan baca ye.

Juliana Hassim
2021-08-24 22:50:54 

#ayat mudh difahmi xberat just santai tp da msej teruskn usaha

Juliana Hassim
2021-08-24 22:49:27 

salam tahniah dik best citer adik story yg lg 1 pun best ...bahasa susun atur


NovelPlus Premium

The best ads free experience