BAB 33

Romance Series 351310

Adel mencelikkan mata secara perlahan-lahan. Badan cuba digerakkan namun sesaat terdengar ringisan kesakitan terluah daripada bibir merah miliknya.

"Aduhhh!" desis Adel perlahan. Kawasan hutan sekekeliling di perhatikan dengan mata separa terbuka. Terdengar bunyi cengkerik disertai dengan bunyi unggas lain yang saling bersahutan.

Cahaya matahari yang mulai pudar warnanya membuatkan Adel dihurung debar. Tangan cuba digerakkan namun pantas terasa sesuatu menyucuk di bahunya. Jemari dibawa menyentuh luka itu namun sekali lagi terdengar desisan sakit yang terluah.

Adel mengeluh. Nampak gayanya tangan sebelah kirinya tidak dapat berfungsi dengan baik. Lebam kelihatan hitam di bahagian bahu. Pasti ianya gara-gara dia jatuh gelongsor ke curam sebentar tadi. Mujur sahaja dia tersedar kembali daripada pengsan.

Ahh, dia tak kuat. Bagaimana kalau di mati di dalam hutan ini keseorangan? Adel meraup wajah yang terasa oanas dengan air mata. Nafas ditarik sebelum di hembus kuat. Tangan kanan menggapai akar kayu.

"Aku mesti cari jalan keluar dari sini." tekad Adel. Rambut yang berselerak dibetulkan. Tangan menggagau mencari beg galas di belakang namun tiada. Kepala ditoleh ke tempat dia pengsan. Aduh, baru dia perasan kalau begnya tercicir ketika dia jatuh bergolek ke curam.

Dengan memaut kejap pada akar pokok, Adel perlahan-lahan berusaha bangun. Menjenguk ke sekeliling, terasa gayat seketika. Mujur sahaja dia bergelongsor tidak menghala ke curam. Tapi, semangat dikuatkan supaya dia berjaya keluar. Hari pula kian menginjak ke malam.

Dengan kaki yang terhincut-hincut, Adel mengatur gerak langkah yang terasa pincang. Tangan meraba wajah. Jemari terhenti saat terasa ada cecair yang mengalir di dahi. Dibawa ke mata. Tersentak dirinya saat melihat ada titisan darah di wajahnya. Namun, diabaikan. Apa yang penting dia harus cari jalan keluar.

Langkah diatur dengan cermat. Diperhati sekeliling yang dilitupi dengan hutan. Beberapa lama melangkah, telinga menangkap desiran air. Adel hentikan langkah. Telinga dibuka luas mencari dari mana datangnya arah air yang berbunyi.

Mengikut pengiraannya, pasti ada sungai yang berdekatannya saat ini. Jika benar ada sungai, dia mahu ke sungai tersebut untuk membasuh darah-darah kering dan meneguk air. Tekaknya saat ini terasa sangat haus. Seakan orang yang tidak minum berbulan-bulan lagaknya.

Beberapa ketika melangkah, mata terpandangkan bayang-bayang air sungai yang mengalir. Pantas, kaki yang terhincut dilajukan langkah. Laluan yang dilitupi dengan anak pokok diredah. Saat melihatkan anak sungai yang terbentang, Adel sedikit lega. Teringat akan petua orang tua-tua yang pernah dia dengar, kalau sesat, nampak ada anak sungai atau sungai, ia merupakan sebuah petanda yang baik.

Adel pantas melabuhkan duduk di pinggir sungai. Air sungai diceduk menggunakan tangan. Diteguk rakus hingga berjejeran menitis di lehernya. Beberapa lama menceduk dan meneguk air sungai, Adel menghembus nafas kelegaan.

'dum'

Adel tersentak saat terasa terdengar bunyi dentuman guruh di langit. Wajah didongak memerhati awan yang mula berarak hitam petanda hujan bakal turun tidak lama lagi. Adel mengeluh. Sudahlah dia sesat, hujan pula akan turun. Di mana tempat dia akan berlindung? Sudahlah baju dia terkoyak rabak akan jatuh bergelongsor semalam.

Adel tersedar saat merasakan ada titisan hujan mulai berlumba-lumba menimpa wajahnya saat ini. Mata dilingas mencari tempat untuk berteduh. Melihat ada sebatang pokok besar yang boleh dijadikan sebagai pelindung, pantas Adel membawa kaki yang terhincut ke arah pokok besar tersebut.

Adel melabuhkan duduk. Disandar badannya ke arah pokok. Ditarik rapat kedua belah lututnya ke arah badan. Mujur batang pokok tersebut mempunyai ruang yang melekuk ke dalam membolehkan dirinya berlindung. Sebuah keluhan lemah dikeluarkan.

Mata merenung sayu titisan hujan yang semakin lama semakin lebat membasahi bumi. Adel kemam rapat kedua belah bibir. Sebak yang ditahan akhirnya terluah kuat. Teresak-esak dirinya mengeluarkan tangisan.

"Angah, Adel kat sini." bisik Adel perlahan.

••••

Masa dirasakan sangat mencemburui mereka. Kini, tepat lapan jam Adel hilang. Kawasan tapak perkhemahan yang dibasahi hujan direnung sayu oleh Angah. Perasaannya saat ini benar-benar bercampur baur. Resah, gelisah, takut, sedih bersatu menjadi satu menghentam kuat perasaannya.

Terbayang-bayang keadaan Adel sekarang saat ini di dalam hutan tebal sana. Hidup lagikah dia? Cederakah dia? Ahh, Angah benar-benar buntu saat ini. Mahu sahaja dilaungkan kekesalannya saat ini.

Angah panggung wajah saat terasa bayang-bayang Akmal bersama sekumpulan rakannya keluar daripada kawasan hutan. Tubuh pantas bingkas bangun menuju ke arah Akmal yang berwajah suram.

"Macam mana Akmal? Kau ada jumpa Adel?" Angah meluru tanya pada Akmal.

Akmal mengetap rapat bibir. Direnung wajah penuh mengharap Angah sebelum sebuah gelengan diberikan.

Angah ternganga. Tubuh melorot jatuh ke tanah. Raid yang melihat pantas meluru ke arah Angah yang sudah terduduk di atas tanah. Hujan yang menimpa membasahi tubuhnya sudah tidak dihiraukan.

Akmal memejamkan mata rapat. Kesemua yang lain turut tunduk menekur ke tanah. Mereka sudah berusaha sedaya upaya mencari di sepanjang trek namun tiada kesan yang dapat mereka perolehi untuk mengesan kedudukan Adel.

"Adel, mana kau sayang." rintih Angah pilu.

Raid pantas menepuk perlahan bahu Angah. Dia juga turut terasa akan kehilangan Adel. Adel tidak ubah seperti adiknya sendiri. Mata yang turut berasa panas dikerdipkan beberapa kali.

"Sabar Hayy. Aku yakin kita dapat jumpa Adel juga nanti." Raid hulurkan kata-kata penguat semangat.

Angah bingkas bangun. Tertolak badan Raid ke tanah. Raid membuntangkan mata dengan tindakan kasar Angah.

"Aku nak cari Adel." putus Angah sebelum kaki mula diatur melangkah laju menuju ke kawasan hutan.

Raid yang tersedar pantas meluru menuju ke arah Angah.

"Hayy!"

"Berhenti Hayy!" bahu Angah direngkuh kasar.

Akmal dan yang lain turut meluru ke arah Angah.

"Jangan sentuh aku, Id. Aku nak cari Adel. Kau tak faham ke?" jerkah Angah penuh emosi. Kaki meluru semula ingin ke dalam hutan.

"Aku cakap berhenti, Hayy!" jerit Raid kuat. Tersentak kesemua yang lain.

Raid mengeluh kuat.

"Ya, aku faham kau nak cari Adel. Kita semua nak cari Adel. Aku, Akmal, kawan-kawan kita yang lain semua nak cari Adel. Semua nak Adel selamat. Tapi bukan dengan cara macam ni kita nak cari Adel." ujar Raid perlahan.

Angah menunduk. Teresak-esak tubuhnya saat ini melepaskan tangisan. Jujur, dia takut. Takut akan kehilangan Adel.

Akmal mampir ke arah Angah. Sejujurnya, dia juga turut berasa sedih.

"Betul cakap Raid tu, Hayy. Jangan risau, nanti pihak penyelamat akan sampai. Buat masa sekarang belum lagi dua puluh empat jam. Apa yang mampu kita lakukan sekarang adalah berusaha cari setakat yang kita mampu. Percayalah, Adel akan selamat. Adik kau akan selamat. Kita semua nak dia selamat." Akmal titipkan kata-kata semangat.

"Betul tu Hayy." sahut rakan-rakan fasi yang lain.

"Jom kita pergi solat dulu. Tenangkan hati dan fikiran kau." ajak Raid sambil membawa tubuh Angah yang longlai ke arah khemah mereka.

Angah hanya diam teresak sendirian sambil membawa langkah longlai.

••••

Angah bangun perlahan-lahan. Badan digerakkan dengan kadar paling minimun. Gerakan jari jemari juga ditahan daripada mengeluarkan sebarang bunyi. Dipandang Raid yang terlentok lena di sisinya. Mata dibawa ke arah kawasan hutan yang gelap.

Bila terbayangkan keadaan Adel yang sendirian dalam hutan, dirinya dihambat rasa pilu yang begitu mencengkam dada. Tubir mata kembali panas. Sesak nafasnya menahan rasa sedih dan pilu. Kedua orang tuanya sudah dikhabarkan berita kehilangan Adel.

Namun, buat masa sekarang waris diminta untuk berada di rumah terlebih dahulu sebelum dibenarkan datang ke tempat kejadian. Ibu jatuh pengsan saat dikhabarkan hal tersebut. Along sudah tidak terkata apa. Hanya air mata yang menjadi peneman mereka tika ini. Papa juga turut terkedu. Anaknya hilang!

Angah merenung kawasan sekitar yang hanya diterangi lampu jalan dan cahaya bulan. Beberapa orang fasi dan pensyarah bersama dengan beberapa ketua penyelamat sedang berbincang. Angah bangun. Kali ini dia tekad, dia akan masuk cari Adel sendiri di dalam hutan. Hatinya kuat berkata, kalau Adel memerlukan dia saat ini.

Beberapa alatan penting dicapai oleh Angah. Sweater disarungkan ke tubuh. Baju T-shirt dan kelengkapan disumbat masuk ke dalam beg. Lampu picit dan lighter turut dicapai. Siap, Angah bingkas bangun. Direnung wajah Raid lama.

"Sorry Id. Aku terpaksa. Adel perlukan aku. Doakan aku dan Adel selamat. Terima kasih jadi sahabat terbaik aku." ujar Angah perlahan.

Usai, Angah bingkas bangun. Kaki diatur menyelinap menuju ke arah kawasan laluan hutan yang bakal membawanya ke arah Adel. Doa dibaca sebelum diaminkan.

"Ya Allah, Tuhan sekalian Alam yang menjadikan semua makhluk di atas muka bumimu ini. Aku mohon, permudahkanlah urusanku, iringi langkahku dengan lindungan daripadamu dan Malaikatmu. Amin Ya Rabbal Alamin." Angah berdoa penuh dengan rasa rendah diri.

Dengan langkah bismilah, Angah menuju masuk ke dalam hutan. Kepada Allah kini dia berlindung dan memohon ditunjukkan jalan.

Tepat jam lapan pagi, beberapa kenderaan penyelamat kelihatan penuh membanjiri kawasan tapak perkhemahan. Para pelajar yang cukup kesemuanya dihantar pulang kecuali Ayana. Ayana usah dikata, bengkak sudah kedua biji matanya kerana asyik menangis. Raid juga buntu untuk memujuknya. Sudahlah bangun-bangun pagi, mereka dikejutkan pula dengan kehilangan Angah.

Hati Raid kuat mengatakan kalau Angah mengambil risiko mencari Adel sendiri di dalam hutan. Rambut diserabutkan. Bibir diketap rapat. Dia benar-benar marah saat ini dengan tindakan semberono daripada Angah. Sudah berbuih mulutnya berpesan agar Angah jangan bersikap terburu-buru. Biar pihak berkuasa yang jalanhkan tugas mereka.

"Sabar Id." ujar Mark perlahan.

Raid mencekak pinggang. Dipandang sayup-sayup hutan yang berselimut tebal di hadapan mereka.

"Macam mana aku nak sabar Mark? Adel dengan Hayy hilang. Tak tahu mereka kat mana." ujar Raid sedih.

Mark mengeluh.

"Ya, aku pun risau. Tapi, pihak berkuasa akan cari diorang. Aku yakin diorang akan selamat." ucap Mark meyakinkan Raid yang kekusutan saat ini.

Raid diam. Hanya mata kini yang memandang dari kejauhan wajah kesedihan keluarga Angah yang sedang duduk bersama penyelamat. Kelihatan ibu Angah sedang teresak menangis di bahu Haidar, Along mereka. Raid turut mengesat pelupuk mata yang terasa berair.

"Walau kat mana pun korang berada, aku harap korang selamat. Aku sayangkan korang. Doa aku tak putus untuk korang." ucap Raid perlahan pada angin lalu.

Angah menyelusuri laluan yang dilalui oleh mereka pada aktiviti yang membawa kepada kehilangan Adel. Beg yang melorot jatuh dari bahu dibetulkan. Tangan menolak daun dan anak-anak pokok yang menghalang laluan.

Sesekali, nama Adel dilaung kuat. Namun, tiada sebarang sahutan diberikan. Sepanjang perjalanan, doa dan zikir tidak putus dialunkan. Angah menghentikan langkah ditempat yang membuatkan dia teringat saat dirinya terdengar jeritan. Direnung tapak sama yang dia menghentikan langkah.

Ya, dia yakin kalau disini tempatnya. Dilajukan langkahnya. Seingatnya kumpulan Adel berada di hadapan kumpulan mereka pada ketika itu.

'huh' 'huh'

Angah tersentak. Namun, bunyi tersebut dibiarkan. Kaki diatur semula. Asyik mengatur langkah, tanpa sedar kaki terpasak ke bumi. Mata membulat besar saat mata menangkap kelibat seekor babi tunggal besar sedang berkubang tidak jauh di hadapannya.

Angah mengundurkan langkah. Malangnya, derap kaki Angah berjaya menyedarkan babi tunggal tersebut akan kehadiran Angah berhampiran dengannya. Sesaat, Angah berlari laju bila mana terasa binatang tersebut laju mengejarnya.

Tidak sempat mengimbangi badan, Angah tergolek jatuh menuruni kawasan bercuram. Menyedari kawasan yang bercuram, Angah memaut sehabis mungkin akar kayu yang sempat tanganya gapai. Bergelongsor laju badannya sebelum terdampar di ke bawah. Mujur dirinya tidak menghala ke kawasan curam.

Adel menggosok badan yang terasa kedinginan. Berada dalam hutan ditemani dengan air sungai benar-benar membuatkan dirinya dihurung rasa sejuk. Menggeletar tubuh dan bibirnya saat ini. Hatinya tidak berhenti-henti berdoa agar dia dapat diselamatkan.

Angah menarik nafas kelegaan bila dirinya sempat berpaut pada akar yang kukuh. Bergantungan seketika dirinya di akar kayu tersebut.

"Erghh." Angah mengerang perlahan. Jemari kuat mengepal akal kayu. Dari atas sayup dia dapat melihat curam yang dalam. Dengan penuh kepayahan, kaki digerak berpaut pada batang kayu yang melintang di hadapan. Dilalui batang tersebut dengan cermat.

Baju yang terkoyak dipandang. Sebuah keluhan kelegaan dilepaskan. Diperhatikan ke sekeliling, mana tahu tiba-tiba muncul binatang liar sekali lagi. Lama diperhatikan sebelum langkah diatur. Namun, Angah bersiut kesakitan. Kaki seluar diselak. Kelihatan lebam buku lalinya disertai dengan luka panjang di bahagian kaki. Darah berjejeran menitis.

Misi mencari Adel diteruskan. Laluan yang dilitupi dengan anak pokok dan semak tebal diredah. Hari makin menginjak ke petang. Serasanya seakan baru sahaja dia masuk ke dalam hutan. Angah mengelap peluh di dahi. Langkah diteruskan sehingga sepasang kaki miliknya kini terpasak di hadapan sebatang sungai.

Melihat deruan air sungai, Angah meluru laju. Tubuh ditiarapkan perlahan-lahan. Mulut meneguk air sungai yang bersih ke dalam mulut. Dia benar-benar dahaga setelah seharian melalui onak dan duri mencari Adel.

'Sret sret sret'

Angah tersentak. Telinga menangkap bunyi sesuatu di sekitarnya. Pantas tubuh ditegak. Mata memanah ke sekeliling. Mencari jika-jika ada kelibat binatang liar atau buas saat inu. Namun, tiada.

"To..long.."

Sekali lagi Angah tersentak. Tidak jadi ingin meneguk kali kedua air.

'To..oo..lo..longggg.." sekali lagi telinga menangkap pantas suara orang meminta tolong.

Angah bingkas berdiri. Sedikit sebanyak dia dihurung rasa takut. Kaki diatur perlahan-lahan sambil mata melingas sekeliling.

"Tolong.." kali ini kedengaran dekat dan jelas.

Angah melangkah laju. Adakah pencariannya berjaya?

Dekat dan dekat..akhirnya mata terpandangkan sekujur tubuh yang menyandar lemah di dalam lekuk kayu yang melindungi tubuh kurus seseorang yang dicari.

"Adel!" jerit Angah.

Adel yang lemah hanya mampu mencelikkan separa mata. Namun, bayang-bayang Angah dapat dilihat samar-samar.

"Angah.." sahut Adel lemah. Mata terasa mula mengeluarkan air mata.

Angah pantas meluru ke arah Adel. Tubuh lemah Adel dipangku ke dadanya. Hiba hatinya saat melihatkan lebam dan darah kering di wajah Adel. Dengan baju yang terkoyak rabak di bahagian badan. Ya Allah, kasihannya Adel.

"Sayang..." ucap Angah penuh hiba. Dikucup wajah Adel bertalu-talu. Dipeluk tubuh Adel kejap.

Adel mencelikkan mata saat terasa wajahnya dikucup tidak berhenti.

"Angah.." seru Adel sekali lagi.

Angah duduk. Kepala Adel dipangku kejap. Diusap wajah Adel tanpa henti. Sesekali dilabuhkan ciuman di wajah pucat itu.

"Ya sayang. Ni aku. Aku ada dengan kau sekarang." ujar Angah pilu. Air mata jatuh berjejeran menitis membasahi wajah Adel.

Adel tersenyum dalam kepayahan. Doanya dimakbulkan.

"Adel haus." ujar Adel perlahan.

"Kejap, aku ambilkan air untuk kau." balas Angah kalut.

Sehelai daun keladi diambil. Diceduk air sungai masuk ke dalam daun keladi tersebut. Kepala Adel dipangku kembali. Adel menyandar di dada Angah. Diteguk air sungai tersebut menuruni tekaknya yang kering.

"Nak air lagi?" tanya Angah prihatin. Sisa air di bibir Adel disapu.

Adel menggeleng lemah. Didongak wajahnya memandang wajah Angah yang menangis hiba saat ini.

"Kenapa Angah menangis?" tanya Adel.

Makin kuat tangisan Angah saat ini. Dilabuhkan kucupan lama di dahi Adel yang lebam sana sini.

"Aku takut. Aku takut kalau aku hilang kau. A..aku..aku.." Angah tidak mampu meneruskan kata-kata. Dipeluk lagi Adel erat ke dadanya.

Adel tersenyum. Mata dipejamkan perlahan. Berada dalam pelukan Angah membuatkan dia rasa selamat. Hilang ketakutan yang dirasai selama sehari semalam dia bertapa dalam hutan.

"Adel, buka mata sayang. Jangan buat aku takut." wajah Adel ditepuk.

Adel mencelikkan mata perlahan.

"Terima kasih sebab selamatkan Adel." ucap Adel perlahan.

Angah mengangguk dalam kehibaan.

"Terima kasih sebab masih bertahan." ucap Angah.

••••

Kawasan tapak perkhemahan kini dipenuhi dan dibanjiri dengan trak-trak para penyelamat. Para pensyarah juga turut sama bersekang mata mencari keberadaan keduanya.

Hasil pencarian, terdapat ada tanda-tanda bahawa keduanya dapat dijejaki. Team penyelamat sudah dikerah tenaga mereka mencari dan menyelamat Adel dan Angah. Solat hajat dan bacaan tidak putus-putus dilakukan dengan harapan agar keduanya dapat ditemui dengan selamat.

"Nina.." seru Rizal perlahan.

Nina panggung wajah yang sembab.

"Makan sikit sayang. Awak dari semalam tak jamah apa. Minum air sahaja tak cukup." ujar Rizal.

Nina menggeleng lemah.

"Saya tak ada selera nak makan, bang. Hati saya ni tak tenteram. Asyik teringatkan diorang je. Macam mana lah keadaan anak-anak kita kat dalam sana tu. Ya Allah, tak sanggup saya, bang. Sungguh saya tak sanggup." rintih Nina sebak.

Nak menangis, serasa sudah kering air matanya saat ini. Hanya doa dipanjatkan ke hadrat Ilahi agar kedua anaknya selamat.

Rizal mengeluh.

"InshaaAllah, anak kita akan selamat. Saya tahu mereka kuat. Diorang akan kembali."

"Macam mana kalau mereka.." Nina menekup wajah.

"Nina. Percaya cakap abang. Diorang akan selamat. Akan balik semula pada kita. Abang yakin! Lagipun pihak penyelamat pun dah cakap ada harapan untuk mereka balik pada kita semula. Sekarang ni, awak makan sikit. Nanti awak pula jatuh sakit." arah Rizal memujuk lembut.

Nina mengangguk dalam kelemahan. Along turut mengangguk. Dia yakin kalau adik-adiknya akan selamat.

Angah merenung Adel yang terlentok lena di dadanya. Diusap wajah Adel.

"Maafkan aku. Sebab aku, kau jadi macam ni." ujar Angah perlahan. Darah kering sudah tidak lagi kelihatan.

Badan Adel dibalut dengan sweater tebal miliknya. Dipeluk tubuh Adel rapat ke tubuhnya. Titisan hujan kelihatan sudah berhenti.

"Sayang.." seru Angah.

Adel masih lena di dada Angah.

" Sayangg.." seru Angah sekali lagi. Diusap wajah Adel.

Adel mencelikkan mata. Terasa nyenyak lenanya saat hangat dipangku oleh Angah.

"Ermm.."

"Kita bangun. Kita cari jalan keluar daripada sini. Okay?" ajak Angah lembut.

Adel bingkas bangun membetulkan duduk sambil dibantu Angah. Angah membetulkan rambut Adel yang berjuraian jatuh ke depan.

"Boleh jalan tak?" tanya Angah.

Adel mengangguk. Sedikit sebanyak keberadaan Angah menyuntik semangatnya.

"Okay good girl. Jom." Angah bingkas berdiri. Dibangunkan Adel dengan cermat.

Tangan Adel digenggam erat sebelum langkah keduanya kini bergerak menyusuri laluan sungai sebagai penunjuk arah mereka.

Sejam perjalanan, mereka tidak temui sebarang petanda yang bakal membawa mereka ke tapak perkhemahan. Angah melepaskan keluhan. Direnung Adel yang turut menghembus nafas penat di sisinya. Laluan yang bercuram sedikit membahayakan. Ditambah dengan hari yang makin gelap ke arah malam semakin sukar untuk mereka.

"Baby, jom kita pergi sana." Angah menarik tangan Adel menuju ke arah tebing yang mendatar.

Adel menuruti langkah Angah. Terasa penat tubuhnya saat ini namun pantas dikuatkan semangat.

"Come, sini." panggil Angah. Adel melabuhkan duduk di sisi Angah. Angah menyelongkar mencari sesuatu di dalam poket.

"Cari apa?" soal Adel.

"Lighter."

"Nak buat apa?"

"Nak nyalakan api lah sayang. Sekurangnya haba api boleh kurangkan sejuk kita. Lagi satu, sebagai petanda kita kat sini." jawab Angah.

Adel mengangguk. Mata merenung Angah yang lincah menyalakan api. Api yang marak berjaya menghalau kedinginan yang menguasai mereka saat ini.

"Sejuk?" soal Angah berbisik perlahan.

Adel mengangguk.

"Sini.." arah Angah.

Adel tersentak.

"Sinilah." panggil Angah lagi.

Adel merangkak perlahan ke arah Angah. Disauk tubuh Adel masuk ke dalam pelukannya. Adel rebahkan kepala di leher Angah. Angah pula merenung jauh ke unggun api yang menyala. Adel mendongak merenung wajah Angah.

"Kenapa?" tanya Angah menunduk membalas renungan Adel.

"Terima kasih sebab selamatkan Adel. Terima kasih sebab cari Adel. Terima kasih sebab tetap peduli pasal Adel." ucap Adel perlahan.

Angah tersenyum. Sebuah kucupan hinggap di wajah Adel.

"Then, marry me!" ujar Angah spontan.

Adel tersentak. Diam kelu mulutnya saat ini. Mata merenung Angah tanpa kelip. Angah diam.

Adel telan liur. Jangan cakap Angah propose dia sekarang? Serius Angah lamar dia? Tapi kenapa mesti lamar dalam keadaan mereka yang sedang sesat dalam hutan? Arghh, seorang Hayyan memang susah dijangka.

"Will you marry me, Adelia Mikayla?" tanya Angah perlahan.

Adel masih lagi tergamam.

"Sayang.." wajah Adel diusap.

Adel tersedar. Anak mata hazel milik Angah dicari.

"Ermm.." sahut Adel debar.

"Will you marry me?" soal Angah sekali lagi.

"I will.." sahut Adel perlahan. Wajah disorokkan di celahan leher Angah. Malu teramat saat ini dilamar. Namun, dirinya masih dihurung rasa percaya dengan tidak. Tapi, hatinya kuat mengatakan ini semua bukan mimpi.

Angah tersenyum mekar.

"Thanks sayang.." bisik Angah di telinga Adel. Adel ketap bibir. Meremang dia dengan sifat romantis Angah.

Sungguh dia tidak sangka, kalau dirinya dilamar dalam hutan.

••••

Adel memaut kejap jemari Angah. Dalam mencari jalan keluar, tidak sedar kalau mereka dihambat oleh babi tunggal itu kembali. Sambil berlari, kepala laju menoleh ke belakang.

Angah menelan liur saat terasa mereka harus melintasi sungai jika ingin mengelak daripada babi tunggal berbadan besar itu. Adel menelan liur yang terasa kering. Direnung wajah Angah dan sungai bersilih ganti.

"Macam mana kita nak lalu?" soal Adel perlahan.

Angah diam. Minda merangka cara untuk menyemberangi sungai di hadapan. Angah meminta Adel memijak kakinya sebagai penahan untuk maju ke hadapan.

"Cepat sayang. Pijak kaki aku." arah Angah.

Adel mengetap rapat bibir sebelum kaki naik memijak peha Angah. Angah mengetap rapat bibir menahan rasa ngilu. Kakinya terpaksa dikerah walaupun sakit terasa mencucuk-cucuk.

'Prak prak prak'

Bunyi ranting kayu dipijak benar-benar mencemaskan mereka berdua.

"Cepat!" arah Angah.

Adel pantas melompat ke seberang.  Adel menekup mulut saat mata menangkap kelibat si jahat yang terpasak memerhati mereka.

Angah menoleh memandang ke belakang. Tersentak dirinya saat memandang babi tunggal tegak merenung mereka. Tidak tunggu lama, Angah pantas melompat. Namun, tidak tahu dimana silapnya batang kayu terputus dua. Adel pantas menarik sebelah tangan Angah yang bergayutan.

"Angahhhh!" jerit Adel

Tenaga dikerah sehabis mungkin untuk menarik Angah namun tidak bergerak malah pautan antara mereka makin melorot ingin terlepas. Adel sudah mulai menangis.

"Go Adel. Pergi. Selamatkan diri kau." arah Angah yang sudah lelah.

Adel menggeleng laju dalam tangisan. Mana mungkin dia meninggalkan Angah? No! Dia tak sanggup.

"Pergi Adel. Dah tak jauh tapak khemah dari kita. Pergi Adel. Pergi!" jerit Angah.

Adel sudah teresak. Tersepit di antara dua pilihan. Sekali lagi, cuba ditarik tangan Angah namun sungguh dia tak berdaya.

"Ingat, walau apa pun yang terjadi, jangan pernah salahkan diri kau." pesan Angah sebelum pautan dilepaskan dan Angah bergelongsor jatuh ke bawah.

"No!!!!!!!!" jerit Adel kuat. Ternganga mulutnya saat Angah sudah bergelongsor jatuh ke bawah. Terduduk dirinya.

Tidak betah lagi, Adel berlari keluar. Angah mesti diselamatkan. Air mata disapu sebelum kaki melangkah berlari laju menuju keluar dari hutan. Angah mesti selamat! Tekadnya dalam hati. 

••••

Kesemuanya tersentak, terkedu dan terkelu saat melihat Adel yang berlari keluar daripada hutan sebelum melorot jatuh.

Penyelamat bergegas mendapatkan Adel yang melorot sambil menangis.

"Angah. To..long selamatkan Angah saya. Tolong.." Adel mengongoi sambil menggoncangkan tangan seorang bomba yang mengelilinginya. Air mata usah dikata. Berderai jatuh ke bumi.

"Team, gerak sekarang. Berdasarkan keadaan mangsa, kita dapat rasakan seorang lagi mangsa berada tak jauh dari sini. Standby, now go." arah ketua penyelamat bertubuh tegap sebelum arahan diterima dan saki baki team yang ada bergerak menuju masuk ke dalam hutan.

"Adel, anak mama!" jerit Nina dari kejauhan.

Adel panggung wajah. Makin lebat air mata yang mengalir saat melihatkan keluarganya yang meluru ke arahnya.

"Mama!" jerit Adel. Nina memeluk erat tubuh si anak. Rizal turut bertinggung memeluk Adel. Along menadah tangan memanjat kesyukuran salah sorang adiknya sudah selamat.

Namun, mengenangkan Angah yang masih belum lagi ditemui, hati kembali tidak tenteram.

"Puan, kami minta laluan. Nak bawa anak puan ke khemah untuk kami rawat. Mohon kerjasama ye puan, tuan." pinta salah seorang ahli perubatan yang segak berbaju kot putih.

Nina melepaskan pelukan. Sebuah anggukan diberikan. Tubuh Adel yang dibawa naik strechter direnung. Dipandang sayup ke dalam hutan.

'Angah, keluarlah sayang. Mama rindu. Mama sayang Angah sangat-sangat. Jangan tinggalkan mama' rintih Nina dalam hati.

Setelah terlalu banyak cabaran dan rintangan yang dihadapi, akhirnya tepat jam 7 petang Angah akhirnya berjaya ditemui. Nina menjerit kuat saat kelihatan beberapa ahli bomba menuruni cerun bukit keluar dari hutan dengan membawa pengusung.  Sekujur tubuh Angah terbaring kaku di atas pengusung tersebut.

Adel meluru laju ke arah sang penyelamat. Saat melihatkan sekujur tubuh yang sudah ditutupi dengan sehelai kain, Adel serasa mahu pitam. Hati menjerit nyaring.

Dengan jari yang mengigil Adel menatap wajah Angah yang calar, terkoyak dan lebam sana sini.  Tersayat hatinya saat melihatkan wajah sekujur tubuh yang cedera ini sanggup berkorban untuk dirinya.

Wajah dibawa mendekati wajah Angah yang tidak sedar. Diusap wajah lelaki itu dengan penuh kelembutan. Setitis demi setitis sebelum makin lebat air mata mencurah membasahi wajah Angah.

"Please, bangun sayang. I need you. I love you." bisik Adel perlahan. Dikucup wajah Angah tanpa rasa jijik.

"Please wake up. Tolonglah bangun." rintih Adel teresak sendirian. Sungguh dia tidak kuat.

Angah dibawa menuju ke arah ambulans yang sudah bersedia untuk membawa mereka ke hospital. Adel turut dipapah menuju ke arah ambulans bersama Angah. Ahli keluarga diminta ke hospital menaiki kenderaan sendiri.

Adel merenung wajah Angah yang seakan sedang lena. Digenggam tangan Angah kuat. Dikucup tangan kekar itu berkali-kali. Doanya, agar Angah baik-baik sahaja.

"Please kuat sayang. I love you so much." bisik Adel sebak.

Macam mana bab kali ni? okay ke tak? sedih ke tak? siapa yg kecam Hayyan tu? Jangan lupa komen. Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience