BAB 10

Romance Series 351310

"Hayy! Hayy! Tunggu!" laungan suara seseorang di belakang membuatkan Hayyan merengus kasar.

"Hayyan, Tunggulah!" kedengaran lagi suara laungan milik seorang gadis di belakang.

Angah mendecit perlahan. Kaki yang melangkah laju perlahan-lahan berubah rentak menjadi perlahan sebelum berhenti. Terasa sebal dengan laungan kuat yang menyeru namanya. Rimas dia dibuatnya.

Nafas ditarik dalam sebelum dihembus dengan kuat. Dengan perlahan, tubuh dibalik dengan perlahan-lahan. Sejenak, wajah milik Amanda terbias di ruang kornea mata miliknya. Angah mencekak sisi pinggang.

Dilarikan mata ke sekeliling kawasan tepi padang. Riuh suasana rehat yang terisi dengan kelibat para pelajar untuk mengisi perut. Ada sesetengah yang membawa bekal sedang menjamah makanan di pondok yang tersedia.

Angah mengeluh.

"Ermm, ada apa awak panggil saya?" soal Angah terus tanpa tangguh.

Amanda tersenyum nipis. Ditatap wajah Angah yang tidak beriak. Angah malah seolah mengelak dari memadang matanya.

"Tak ada apa. Cuma, saya pelik sejak dua menjak ni." tutur Amanda lembut. Senyuman masih menguntum di wajah gadis itu.

Angah beriak biasa.

"Pelik? Apa yang pelik? Saya rasa biasa je. Tak ada apa yang pelik pun." balas Angah acuh tidak acuh.

Sekali-sekala, dilingaskan mata di sekeliling mereka.

"Bagi awak tak pelik, tapi bagi saya pelik. Saya hairan, kenapa saya tengok awak macam mengelak daripada saya sekarang? Apa salah saya?" soal Amanda sambil menghasilkan kerutan di dahi.

Angah tersenyum sinis. Amanda tersentak dengan reaksi Angah. Dirinya dihurung rasa debar.

"Awak jangan ingat saya tak tahu Amanda kalau sebenarnya awak yang minta budak tu sepak bola ke arah Adel kan?" tanya Angah seraya merenung tajam mata Amanda.

Amanda terpana! Matanya membulat besar. Renungan tajam Hayyan dibalas sepi. Terasa getar mulai menyerang dirinya. Bibir bergetar tanpa sedar.

Angah tersenyum senget. Dipanah mata bulat milik Amanda. Malah dengan sengaja riak muka dibengiskan.

"Awak cakap apa ni Hayy?" suara dikawal sebaik mungkin namun masih lagi kedengaran getar.

Angah tertawa kuat.

"Kau tanya aku apa yang aku cakap? Sepatutnya aku yang tanya kau, kenapa kau buat Adel macam tu? Apa salah dia pada kau selama ni?" soal Angah kembali seakan peluru yang bertalu-talu mencari mangsa. Kecil besar kecil besar sahaja dia melihat Amanda ketika ini.

Amanda diam. Namun, riak muka masih lagi dikawal sebaik mungkin.

"Sampai hati awak tuduh macam tu pada saya. Kenapa pula mesti saya mesti buat macam tu pada adik awak? Saya tak sejahat tu lah." balas Amanda kembali. Masih cuba menutup bangkai sendiri.

Angah mengetap bibir menahan geram. Ikutkan hati dia, sudah lama ditempeleng wajah gadis yang acah baik ini tapi hatinya busuk seperti Amanda ini!

"Kau cakap aku tuduh kau? Kau ingat aku jahat macam kau lah nak tuduh membuta tuli?" soal Angah kasar. Geram dia dengan Amanda yang masih lagi ingin berdalih.

Amanda melukiskan riak sedih. Angah mencebik!

"Sudah lah Manda. Kau ingat aku tak tahu ke? Ini Hayyan Rifqi lah. Kau jangan ingat aku nak biar je benda tu berlaku tanpa aku ambil tahu punca dia. Kau silap Manda. Aku bukan orang yang boleh kau perbodohkan." selar Angah sinis.

Amanda mengetap rapat bibir. Kedengaran gigi miliknya berlaga sesama sendiri.

"Saya masih tak faham apa yang awak  cakapkan ni Hayy. Saya tak buat semua tu. Sungguh, saya sayangkan awak, mana mungkin saya sanggup nak buat macam tu pada adik awak."

Hayyan tertawa kuat. Terasa digeletek perutnya dengan kata-kata Amanda. Amanda ini memang boleh jadi pelakon yang hebat. Kalaulah dia tangkap cintan dengan Amanda, sudah pasti dia mati-mati akan termakan dengan kata-kata yang diucapkan Amanda.

"Kau cakap apa tadi? Sayang? Aku rasa macam nak muntah sekarang juga Manda. Dah lah, kau cakap lah apa sekalipun, aku tetap takkan percaya. Sebab aku tahu kau dan juga kata-kata kau tak boleh dipercayai." hambur Angah kasar.

Amanda ingat dia dungu, dia pemain bola sepak. Maka, dia tahu kalau bola itu sengaja disepak atau tersepak keluar tanpa sengaja. Pada awalnya, dia seboleh mungkin cuba untuk berprasangka baik namun memandang bukan dia seorang sahaja yang perasan akan kejadian itu, maka dia menyiasat.

Amanda masih lagi dengan penafiannya. Hanya matanya sahaja yang terkebil-kebil memandang wajah tampan Angah. Liur yang ditelan terasa kesat.

"Hayy, saya tak buat semua tu."

"Masih nak nafikan lagi?" selar Angah.

Amanda diam tidak berkutik. Wajah spontan beriak bengis.

"Ya, memang saya yang suruh budak tu sepak bola pada adik awak. Memang saya, so awak nak buat apa?" tanya Amanda angkuh. Sedikitpun tiada perasaan bersalah di hatinya.

Angah tersentak. Mendengarkan ujaran tersebut, serta-merta terasa menggelegak darahnya. Bibir dikemam. Rahang diketap rapat. Tangan dikepal kuat.

"Akhirnya mengaku juga kau kan. Aku ingat masih lagi nak berdalih. Kau dengar sini Amanda, sekali lagi kau berani nak sentuh Adel, aku akan buat kau lebih teruk lagi." Angah berbisik rapat. Turun naik dadanya menahan rasa amarah.

Amanda merenung tajam. Angah mengendahkan renungan tajam milik Amanda. Sedikitpun dia tidak gentarlah dengan renungan tersebut. Apa Amanda ingat dia boleh terlepas begitu sahaja? Jangan harap! Sesiapa pun dia tidak benarkan mengusik dan menganayai Adel.

Tanpa mahu berlama-lama, kaki segera diangkat meninggalkan Amanda keseorangan di belakang yang sedang dilanda rasa bengang.

••••

"Anda ada masa lima belas minit sahaja lagi." sekali lagi kedengaran suara kuat pengawas peperiksaan pada petang itu bergema kuat dalam dewan besar peperiksaan.

Angah panggung wajah yang sedari tadi menunduk menulis jawapan di meja. Dikerling sekilas jam yang terbentang di depan dewan. Diliarkan matanya ke arah rakan-rakan lain yang kesemuanya masih lagi menunduk menulis jawapan.

Melihatkan masa yang sedikit sahaja lagi tersisa, Angah kembali tunduk. Bersedia untuk menulis ayat yang terakhir. Jarum pendek dan panjang yang masing-masing menunjukkan ke arah angka empat dan enam serentak mengakhiri peperiksaan kertas terakhir mereka pada hari tersebut.

"Masa menjawab sudah pun tamat. Semua calon dikehendaki berhenti menulis. Pengawas peperiksaan akan mulai mengutip kertas jawapan anda." Suara pengawas peperiksaan kembali bergema.

Angah menghela nafas panjang. Maka, dengan ini tamat sudah perjuangan mereka sedari dari tingkatan satu. Setelah masing-masing saling berhempas pulas, akhirnya mereka berjaya juga menghabiskan pengajian.

Kepala dilenturkan ke arah kiri dan kanan. Kertas jawapan dibelek untuk kali yang terakhir. Berpuas hati, diletakkan kertas jawapan di bahagian kiri bucu meja. Ditoleh ke sebelah kanan. Rakan sekelas, Mira tersenyum ke arahnya. Angah membalas.

"Okay semua, selamat maju jaya!" kata-kata terakhir pengawasa peperiksaan disambut dengan anggukan dan senyuman oleh mereka. Tidak lama, masing-masing mulai melangkah menuju keluar daripada dewan besar peperiksaan. Serentak, bergema sorakan lantang masing-masing.

"Yuhuuuu!"

"Yeayyyyy!"

"Whoaaaaa!"

Angah menggendong beg ke belakang. Tergeleng kepalanya dengan reaksi daripada rakan-rakan sekelas dan juga setingkatan dengannya. Tertawa kecil dia dibuatnya dengan gelagat mereka yang meraikan tamatnya zaman sekolah menengah.

Jujur, sesungguhnya hati memang terasa berat. Berat untuk meninggalkan sekolah, rakan-rakan dan juga guru-guru yang selama ini banyak menabur ilmu pada mereka. Tapi, apakan daya, masa begitu mencemburui mereka. Keluhan panjang dilepaskan.

"Hayy!" laung seseorang dari belakang.

Angah menoleh. Sejenak, senyuman lebar Raid dibalas. Raid melajukan langkah. Beg yang melorot jatuh dikemaskan kembali di bahu. Angah menanti.

"Macam mana exam tadi? Okay?" soal Raid sesudah sampai di hadapan Angah.

Angah tersengih.

"Okay la. Apa yang aku target masuk. So boleh la jawab. Kau pula macam mana tadi? Okay?" soal Angah kembali. Sebelah tangan diseluk masuk ke dalam poket seluar sekolah.

Raid mengangguk. Direnung wajah kacak milik Angah.

"Boleh lah. Cuma ada lah satu dua soalan yang aku macam keliru sikit. Tapi boleh lah. Kau tak apa lah, memang dah sedia pandai. Tidur dalam kelas pun boleh straight A's." ujar Raid. Ditumbuk perlahan bahu Angah.

Angah mencebik.

"Kau kalau tak perli aku memang tak boleh eh? Memandai je. Tak ada maknanya gifted. Biasa je lah." nafi Angah.

Raid tertawa kuat.

"Eleh, ingat aku baru kawan dengan kau sehari dua ke Hayy? Aku tahu lah kau punya bijak macam mana."

Angah hanya menggeleng.

"Bijak apanya? Biasa-biasa je." sela Angah.

"Tak bijak lagi ke, trial SPM hari tu semua subjek kau bantai A. Tak sangka, dalam ponteng kelas pun kau boleh balun semua A. Memang mantap!" puji Raid pula kali ini.

Angah mencebikkan bibir.

"Kau pun bijak juga kan?" tukas Angah.

Raid tersengih.

"Tapi tak sebijak kau lah Hayy." tukas Raid.

"Eh, ni kau nak balik terus ke macam mana? Geng kelas ajak lepak dulu sebelum balik. Al-maklumlah lepas ni masing-masing dah bawa haluan. Jumpa tak jumpa masa ambil result nanti lah pula." Raid bertanya perlahan.

Sesekali, mata melingas ke arah para pelajar yang masih lagi berpusu-pusu. Ada yang sudah balik tidak kurang masih ada ramai lagi yang sedang bergambar, bersembang dan menangis bersama rakan mereka.

"Macam mana? Nak join tak?"

Angah mengigit tepi bibir.

"Memang kena join ke?" soal Angah kembali.

Raid mengangkat bahu.

"Terpulanglah. Tapi macam yang aku cakap, lepas ni memang susah dah nak jumpa. So, jom jelah. Nanti apa pula diorang cakap." ajak Raid lagi.

Angah menghela nafas kecil. Ajakan Raid ditimbang tara. Seminit, akhirnya kepala diangguk. Raid tersenyum. Dengan pantas, bahu Angah dipaut sebelum mereka berdua mulai melangkah ke kenderaan masing-masing sebelum menderum menuju ke tempat lepak mereka untuk kali terakhir.  

••••

Angah tiba di perkarangan rumah. Suasana rumah yang sepi membuatkan dia hairan. Diri tertanya sendiri. Kebiasaannya, pulang sahaja dari sekolah, dia sudah dijamu dengan kelibat ibu dan penghuni rumah mereka yang lain.

Beg yang disandang diletakkan ke sofa ruang tamu. Angah menghempas tubuh di sofa. Usai melepak dan tangkap gambar bersama rakan-rakan sekelas, terus diri dibawa pulang ke rumah. Angah membaringkan diri di sayap sofa.

Mata dipejam. Terasa dirinya dijemput rasa kantuk setelah semalam dia hanya sempat tidur lima jam sahaja angkara mengulang kaji pelajaran. Maka, sekarang tidak hairanlah kenapa dia dihurung rasa mengantuk. Otak memberi isyarat untuk lelap sebentar.

Adel melangkah menuruni tangga dengan cermat. Rambut yang panjang mengurai diselit di tepi telinga. Mulut menyanyi kecil sambil kaki diatur menuju ke ruang besar dapur milik mereka. Sejenak, hujung mata terperasankan sekujur tubuh tegap milik Angah yang sedang beradu di sofa.

Gerak kaki dilencongkan ke arah Angah. Perlahan sahaja langkah kaki miliknya. Tidak berniat untuk menganggu lena Angah yang pulas. Kedengaran desir nafas Angah yang beralun tenang. Bibir serta merta melorek senyum. Tubuh dibongkokkan.

Adel meneliti seraut wajah kacak milik Angah. Dibelek dengan penuh minat wajah putih tanpa cela Angah. Dari alis kening yang terbentuk cantik hinggalah ke seulas bibir merah tanda tidak merokok oleh Angah.

"Kacaknya.." bisik Adel tanpa sedar.

Angah menggeliat kecil. Adel tersentak. Dengan cepat, tubuh ditegakkan kembali.

"Ermmm.." Angah merengek perlahan. Adel tersenyum. Comel sahaja Angah dia rasakan bila tidur. Serasa seperti bayi sahaja. Terasa ringan sahaja dia mahu membelai seraut wajah yang sentiasa sahaja dingin dengannya. Entah bila seulas bibir merah itu akan menguntum senyum dan bercakap lembut dengannya.

Adel menjarakkan kedudukan. Dihela nafas lembut dari bibir. Teringat kembali tujuan dia turun ke bawah, pantas diatur kembali langkah ke ruang dapur. Sebelum melangkah pergi, sempat dibetulkan kedudukan kepala Angah yang terlentok lena do sayap sofa.

"Sleep well baby boy." bisik Adel perlahan dan bergerak menuju ke ruang dapur.

Angah menggeliat kecil. Mata yang terasa kelat diusap beberapa kali untuk menghilangkan rasa kantuk. Dipejam dan ditutup sebelum dibuka semula. Diulang beberapa kali. Tubuh yang terasa sengal dibangun dengan perlahan.

Dibawa menyandar di sayap sofa yang menjadi alas kepala sebentar tadi. Keluhan kecil dilepaskan. Sesaat, mata terperasankan sebiji bantal kecil yang dijadikan sebagai bantal tidur. Serasanya, dia lena tadi bantal berada di hujung kaki.

Tubuh direnggangkan. Dilenturkan ke kiri dan kanan menghilangkan rasa sengal yang menjalar di tubuh badan.

Prang!

Angah tersentak. Membulat besar matanya seketika. Tubuh sepantas kilat dibangungkan. Dengan langkah pantas, kaki diayunkan menuju ke ruang dapur.

"Aduh!" Adel mendesis perlahan. Bibir digigit kuat. Diperhatikan jari yang mengeluarkan darah.

"Adel!" Angah menerpa ke arah Adel yang sedang meringis sakit.

"Kau buat apa tu?" soal Angah kuat.

Terinjut bahu Adel dengan sergahan Angah. Dipanggungkan kepalanya lambat-lambat menentang seraut wajah Angah yang beriak cemas.

Angah terpana saat melihat ada titisan darah di lantai. Angah pantas mencangkung setara dengan kedudukan Adel. Dilihat wajah berkerut sakit milik Adel bersilih ganti dengan jari yang sedang menitiskan darah.

"A..adel nak bancuh air." Adel bersuara perlahan.

"Lain kali ada mata tu guna. Bukan tangan pegang mug, mata pandang lain. Itu pun nak kena bagitahu ke? Huh!" marah Angah perlahan tanpa sedar.

Adel tersentak namun didiamkan sahaja mendengar amarah Angah terhadapnya.

Ditarik tangan Adel sebelum didudukkan Adel dengan cermat di kerusi meja makan. Angah berpaling mencapai tisu. Dilap lembut darah yang menitis keluar. Adel diam memerhati. Diperhati pula Angah yang datang dengan first Aid di tangan.

Sekeping plaster dicapai sebelum dibalut cermat di jari Adel. Adel simpan senyum. Entah kenapa dia rasakan Angah sekarang makin sweet dengannya. Dia cair! Rasa mahu melompat kegembiraan diberikan perhatian oleh Angah.

Angah kerling sekilas Adel yang sedang tersenyum tanpa sedar. Alatan first Aid dikemaskan dan tubuh dibangunkan untuk menyimpan kembali bekas tersebut.

Adel bangun. Angah merenung tajam Adel yang terkial-kial cuba bangun.

"Kau nak pergi mana tu?" soal Angah kuat.

Adel mengurut dada.

"Nak kemas kaca tu." ujar Adel.

"Tak payah. Biar aku yang kemas. Tangan sakit ada hati lagi nak kemas. Dah, duduk. Nanti tak pasal dapat sakit lain pula." arah Angah tidak bernada.

Adel kembali melabuhkan duduk dengan perlahan. Bibir digigit lembut. Dipandang sahaja Angah yang lincah menyapu kaca yang berselerak di lantai sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Angah menoleh mencari wajah Adel yang diam tidak berkutik di kerusi.

"Kau nak minum air apa?" soal Angah.

Adel tersentak.

"Huh?"

Angah mendengus.

"Aku tanya kau nak minum air apa?" soalan diulang kembali dengan nada lebih kuat.

"Milo." sepatah sahaja balasan diberikan.

Angah mengangguk. Usai, dibawa sebiji mug putih yang berisi dengan air milo. Diletakkan tepat di hadapan Adel.

"Nah, minum." pelawa Angah beriak biasa.

Adel diam.

"Angah tak minum sekali?" soal Adel lembut.

Angah menggeleng.

"Kau minum lah. Aku keluar dulu."

Ikut hati mahu sahaja dia duduk sekali, namun entah kenapa serasa ada sesuatu yang menghalang. Tanpa pamit, Angah membawa langkah menuju keluar daripada ruang dapur meninggalkan Adel yang terkebil-kebil seorang diri.

"Terima kasih babyboy." ucap Adel sambil mata tunak memandang kelibat Angah yang hilang dari pandangan dengan senyuman. Dibawa mug ke bibir sebelum dihirup aie milo buatan Angah. Sedap! Dihirup lagi dengan senyuman lebar kali ini. Terasa hilang sakit di jarinya.

Selamat malam. Buat apa tu semua? Jangan lupa komen. Enjoy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience