BAB 8

Romance Series 351310

Kejadian semalam berlalu sepi. Sunyi ruang makan pada pagi ini. Masing-masing menunduk sahaja menjamah makanan yang terhidang depan mata. Adel diam tidak berkutik di tepi Along. Angah duduk berhadapan dengannya.

"Adik. Macam mana sekolah? Okay ke?" soal papa tetiba.

Keadaan sunyi dan hening dipecahkan papa dengan mengajukan soalan. Adel tersentak. Perlahan, kepala didongakkan memandang wajah papa yang tunak memandangnya sambil tersenyum.

"Okay je papa. Best." balas Adel perlahan. Senyuman Rizal dibalas.

Rizal tersenyum.

"Baguslah kalau macam tu. Adik pun nak exam besar kan nanti." ujar Rizal.

Adel mengangguk.

"Adik exam bila sayang?" sampuk Nina yang sedari tadi diam sahaja mendengar celoteh sang suami dengan anak perempuan mereka.

"Bulan sembilan nanti ibu." jawab Adel mesra. Pandangan si ibu dibalas.

"Dulu ibu ada lah juga teman borak tapi sejak adik sekolah, busy tuisyen ibu dah tak ada kawan." rungut ibu perlahan. Sengaja menimbulkan suasana gembira antara mereka.

"Hai, abang dah beli macam-macam yang awak minta pun bosan lagi ke?" tukas Rizal tersenyum.

Nina mencebik.

"Memang lah. Tapi benda yang abang beli tu kan benda tak bernyawa. Tak boleh nak diajak berteman."

Rizal tertawa dengan omelan si isteri.

"Ciko kan ada. Main lah dengan Ciko." tukas Rizal. Disudu nasi goreng buatan si isteri.

"Ciko. Kerja tidur je dia tu." sela Along pula.

Seketika terasa geselan Ciko di kaki Adel. Adel pantas menunduk. Melihat Ciko yang sedang menggesel manja di kakinya.

"Meow!" Ciko mengeluarkan bunyi.

"Haa tu. Panjang umur Ciko." Rizal tertawa lagi.

Ciko adalah kucing peliharaan mereka. Sudah dua tahun Ciko menjadi sebahagian daripada mereka. Gelagatnya yang nakal tapi manja membuatkan mereka seringkali geram dengan Ciko. Tambahan pula, telatahnya yang bijak menjadikan Ciko kegemaran semua orang di dalam rumah ini.

"Hai Ciko. Good morning." Adel menyapa Ciko ramah.

Tubuhnya ditundukkan menggosok-gosok bulu Ciko yang lembut dan lebat. Hari-hari dimandikan, sebab itu Ciko sentiasa kelihatan bersih dan terjaga rapi. Ibu rajin benar kisah akan Ciko. Katanya Ciko itu ibarat anak ibu juga. Manjanya bukan main lagi. Mahu menempel sahaja di atas ribaan orang.

"Meow!" balas Ciko lagi.

"Ibu, Ciko dah makan ke?" soal Adel.

"Belum lagi. Tadi memang nak bagi tapi ibu terlupa pula. Tu yang sampai ke sini dia datang. Selalunya mana tahu dia nak masuk dapur." ujar Ibu panjang.

Adel tertawa.

"Jom kakak bagi Ciko makan. Kesian dia lapar ya. Jom." Adel menolak kerusi ke belakang. Tubuh ditunduk ke bawah.

Ciko yang gemuk dan besar didukung dan dibawa menuju ke belakang. Ciko apa lagi, habis dijilat muka Adel. Seronok dia dimanjai si kakak. Tidak habis-habis digeselkan bulu ke tubuh Adel. Adel tertawa kuat.

Adel menjauhkan wajah. Tertawa riang dia dengan gelagat Ciko. Sungguh bijak sekali Ciko ini. Ada sahaja akalnya untuk membodek penghuni rumah ini. Macam mana lah mereka tidak cair?

Angah menjeling tajam kelibat Adel yang hilang ke pintu belakang. Direnung pula wajah Along yang senyap tunduk mengunyah makan dalam mulut. Sedikit sebanyak dia terasa bersalah namun cepat sahaja ditepis jauh perasaan tersebut.

Kenapa perlu dia rasa bersalah sedangkan bukan salah dia juga semalam? Dia cuma berkata apa yang dia rasa. Jadi tidak ada sebab dia merasa bersalah dan perlu disalahkan? Adel memang layak menerima hamburan kata-katanya semalam. Biar perempuan itu sedar diri kalau dia bukan siapa-siapa dalam rumah ini.

"Angah." seru papa. Direnung anak bujang keduanya.

Angah melabuhkan renungannya ke arah papa. Sebuah senyuman diberikan.

"Ya pa." sahut Angah.

"Papa dengar Angah ada match bola kan hujung minggu ni?" soal Rizal.

Angah mengangguk teruja. Tersenyum girang dia mengenangkan perlawanan bola sepak peringkat daerah hujung minggu ini. Dia teruja namun pada masa yang sama dia berdebar. Sudahlah dia ayam tambatan sekolah. Harapan sekolah. Moga dia dapat buat yang terbaik kelak.

"Papa datang kan?" soal Angah teruja.

Rizal menghela nafas kecil. Bibir dijilat.

"Papa tak janji sama ada papa dapat tengok atau tidak. Tapi papa akan usahakan okay." ujar Rizal tidak terus berjanji.

Angah diam. Senyuman hambar diberikan kepada si bapa. Rizal mengerti kalau Angah sedikit hampa dengan kata-katanya tapi itulah hakikat yang sebenar. Lagi pula, sebelum-sebelum ini bukan dia tidak pernah hadir langsung.

"Tapi papa boleh kan hadir sekejap?" usul Angah perlahan. Mencari sedikit harapan.

Rizal tersenyum.

"Nanti papa usahakan okay. Yang penting, Angah buat yang terbaik. Kalah menang belakang kira. Just do your best. Promise?" Rizal memberikan kata-kata semangat.

Dia sebagai seorang bapa, mahu Angah tahu kalau dia mengambil berat akan anak-anaknya dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar perkara. Walaupun dia sibuk mencari rezeki, namun dia cuba sedaya upaya untuk tidak mengabaikan kebajikan isteri dan anak-anaknya.

"Okay papa. Terima kasih." ucap Angah.

Rizal mengangguk seraya tersenyum.

"Jangan risau, Along dengan adik kan ada. Nanti diorang datang tengok Angah. Tapi yang paling penting sekarang, Angah kena buat terbaik." pesan Ibu pula. Ditepuk bahu Angah beberapa kali.

"Ibu pun tak datang?" soal Angah kepada Nina.

Nina tersenyum. Diusap sayang rambut anak bujangnya.

"Mestilah ibu datang. Nanti ada orang tu cakap tak sayang dia pula." sindir Ibu berselitkan gurauan.

Angah tersengih.

"Along pergi tak tengok bola nanti?" soal papa. Kali ini ditujukan pula pertanyaan ke arah si anak bujangnya yang sulung.

Along tersenyum seraya mengangguk.

"Along pergi papa. Dah janji dengan adik. Nanti kalau tak pergi merajuk pula dia." sela Along.

Angah mendengus. Bosan dia! Asyik-asyik Adel, asyik-asyik Adel. Bingit telinga dia bila mana semua orang dalam rumah ini asyik menyebut-nyebut Adel. Hey, dia masih wujud okay dalam rumah ini. Along pun satu hal. Dia adik kandung lelaki itu. Seharusnya kalau Adel tidak mengajak Along sekalipun, Along akan pergi kerana adik kandungnya yang bermain.

Huh! Sebal dia dengan sikap Along. Tak habis-habis mahu memanjakan Adel. Dia pula terasa dianaktirikan dalam rumah ini.

Adel melangkah semula masuk ke dapur. Angah mengangkat wajah. Merenung Adel yang berjalan menunduk masuk ke dalam ruang dapur. Seketika, ditolak kasar kerusi ke belakang. Dengan sengaja bahu Adel dirempuh kuat. Adel tersentak. Bergegar bahunya.

"Angah!" seru papa kuat. Namun, Angah seolah sengaja berbuat pekak.

"Adik okay? Sakit tak?" soal Along prihatin. Digosok bahu Adel.

Adel menepis lembut. Digelengkan kepalanya seraya tersenyum.

"Takpa Along. Adel okay je. Tak sakit pun." nafi Adel perlahan. Walhal boleh tahan kuat juga bahunya dirempuh Angah sebentar tadi.

"Melampau saya tengok Angah tu. Ikutkan hati saya ni dah lama saya ajar dia. Makin menjadi-jadi." keluh papa kuat.

Ibu hanya diam. Renungan kasihan diberikan kepada Adel di sisi Along.

"Maafkan Angah ya sayang." pinta ibu perlahan. Kesal dia dengan layanan Angah pada Adel. Kalaulah Mila dan Maleek tahu pasti sudah lama dibawa Adel pergi daripada mereka.

'Ibu janji, suatu hari nanti ibu akan beri semula kebahagian sebenar Adel'

••••

"Along. Dah siap ke belum? Cepat lah. Game Angah nak mula dah tau." Adel melaung kuat.

Kedua belah tangan naik memeluk tubuh. Disandar tubuhnya ke sofa. Televisyen yang terpasang sedang memainkan cerita kartun dipandang sepi.

Sesekali, mata melirik memerhati jarum jam yang berdetak di pergelangan tangan. Lebih kurang sejam lagi masa yang tinggal sebelum perlawanan bola sepak akan berlangsung. Dilingas matanya ke tingkat atas. Menanti sosok tubuh si abang yang belum menampakkan bayangnya.

Adel mengeluh kuat. Along dia ni hidup ke mati kat atas tu? Dah lama dah rasanya dia bertapa di ruang tamu ni. Televisyen juga sudah memainkan beberapa buah rancangan sudah.

"Along!!" laung Adel sekali lagi.

"Yaaaa.." balas Along dari atas.

"Cepatlah. Buat apa lagi tu kat atas?" rungut Adel kuat. Tepi bibir digigit lembut.

"Kejap.." balas Along turut menjerit.

Adel menggeleng laju. Dipicit pelipisnya. Seketika, terdengar derap langkah kaki seseorang menuruni anak tangga. Adel menoleh deras.

"Sorry dik. Along lepas hajat besar tadi. Sekarang baru rasa lega." Along menyeringai sengih.

Adel mendengus. Sling beg yang terdampar di atas sofa dicapai.

"Patutlah kemain lambat. Melabur saham rupanya. Sempat basuh tak?" Adel menyindir.

Along tersedak. Tidak lama, kedengaran ketawa kuat meletus keluar dari bibir Along.

"Haish adik ni. Takkan tak basuh. Mahu pengsan adik nanti." seloroh Along.

Adel mencebik.

"Dah lah, jom. Angah nak start main dah tu. Ibu mana?" soal Adel bila merasakan kelibat si ibu tiada bersama mereka.

"Ibu tak sihat. Sakit kepala." jawab Along perlahan.

Kedudukan baju T-shirt kolar di tubuhnya dibetulkan. Dikerling Adel di sisi.

"Jomlah dik. Tadi dia juga yang beria." ajak Along seraya mengheret tangan Adel menuju ke luar.

Adel menyoroti langkah laju Along. Mereka serentak meloloskan diri ke dalam kereta. Sesaat, kereta yang dipandu Haidar mula menderum laju menyusur di jalan raya.

Dua puluh minit perjalanan, mereka tiba di sekolah. Dari kejauhan, sudah kedengaran sorakan para penonton yang hadir membanjiri padang sekolah. Terlihat warna warni jersi bola yang tersarung di tubuh para pemain. Adel mencari kelibat Angah. Teruja dia untuk melihat Angah beraksi.

"Adik, tunggulah Along." laung Along dari belakang.

Adel tertawa kecil. Hampir sahaja dia terlupa akan Along di belakangnya. Kakinya laju sahaja melangkah sebaik keluar dari kereta. Sekali lagi kedengaran sorakan bergema dari padang.

Angah meneguk air dalam botol yang tersedia di bangku simpanan pemain. Mata dilingas ke tepi padang. Mencari kelibat seseorang. Namun, masih jua tiada kelibat mereka yang dinanti. serta merta perasaan hampa bertandang.

Papa dah tentu-tentu tidak dapat datang, Ibu pula tidak sihat. Takkan Along dan Adel juga tidak datang? Keluarga pemain lain awal pagi sudah tercacak di tepi padang menyaksikan perlawanan mereka. Keluarga dia seorang pun tidak nampak bayang.

"Eh Hayy. Aku nampak Along dengan adik kau." celah Raid tetiba.

Angah segera panggungkan wajah. Melihat ke arah yang ditunjukkan Raid. Dari jauh, dia melihat Adel dan Along yang mengambil tempat di tepi padang. Bibir mulai melorek senyuman. Terasa semangat yang hilang kembali membara. Dia membalas lambaian Along dan...lambaian Adel juga.

Adel tersenyum girang. Lupa seketika sengketa antara dia dan Angah. Walaupun mereka seteru, namun dia tak pernah bencikan Angah. Dia tetap sayangkan Angah. Dia yakin kalau suatu hari nanti masih ada tempat untuk dia di hati Angah.

Tiupan wisel kembali merancakkan suasana. Angah bersama rakan-rakan sepasukannya mulai kembali masuk dalam gelangang perlawanan. Angah mengambil posisi sebagai striker. Tiupan sekali lagi wisel menandakan sepak mula dimainkan.

Pihak lawan mulai mengasak hebat. Mereka kini mula mengasak antara satu sama lain bagi menempah slot ke peringkat akhir perlawanan. Dari arah bertentangan Adel dapat melihat kumpulan sorak dari pasukan perempuan yang diketuai Amanda dan rakan-rakannya. Pandangan tajam diberikan kepada Adel.

Sehingga ke hari ini, dia masih tidak tahu kenapa Amanda seolah menjadikan mereka seteru sedangkan   seingat dia, tidak pernah dia menyibuk hal Amanda atau hubungannya dengan Angah. Adakah disebabkan Angah tidak menyukai dirinya, maka Amanda turut dingin dengannya? Entahlah, sukar untuk dia memahami perangai orang di sekelilingnya.

"Adel!!!!" jeritan suara seseorang menyentakkan Adel yang tenggelam dalam lamunan. Wajah ditoleh kembali ke arah permainan di padang. Namun, tanpa disangka sebiji bola menuju tepat ke arahnya dan buk! Tepat mengena di kepalanya.

"Adik!" jerit Along kuat. Tubuh Adel yang melorot jatuh dipangku dengan kadar segera.

Angah terkesima. Tidak sangka pihak lawan menjadikan Adel sebagai sasaran. Pantas dia berlari keluar daripada padang menuju ke arah Adel.

"Adik, bangun. Adel, bangun dik. Jangan buat Along takut." Along mengoncang tubuh Adel kuat. Kelihatan darah mengalir keluar daripada hidung Adel.

Angah merempuh mereka yang sedang menggerumuni Adel. Terbias di matanya Along yang sedang memangku tubuh kecil Adel dengan sebelah tangan menekup hidung Adel yang mengeluarkan darah merah.

"Bawa dia ke bilik rehat." arah seseorang dengan cemas.

Angah turut memangku Adel.

"Adel. Bangun!" pipi Adel ditepuk lembut.

"Hey, bangunlah." gesa Angah lagi. Betdebar kencang jantungnya saat ini.  Pipi Adel ditepuk lagi. Darah makin banyak keluar. Angah mulai gelisah. Dia takut!

"Adel ! Bangun aku cakap." arah Angah dengan suara bergetar. Makin erat dipangku tubuh Adel.

Along terpana. Terkejut dengan tindakan dan reaksi Angah. Diperhatikan gerak geri Angah yang tidak keruan. Sesaat, terasa sebuah pengusung dan beberapa orang mulai meminta untuk mengangkat tubuh Adel yang tidak sedarkan diri ke atas pengusung.

Dengan perlahan, tubuh Adel diangkat cermat. Diletakkan dengan perlahan ke atas pengusung sebelum dibawa lari menuju ke arah bilik rawatan. Angah meraup wajah. Merah mukanya menahan perasaan.

Tiupan wisel sekali lagi kedengaran. Along menepuk perlahan bahu Angah. Angah tersentak. Menoleh deras ke arah Along. Direnung lama mata Along. Seolah ingin menyatakan sesuatu.

"Pergilah. Do your best. Jangan risau, Adel tak ada apa-apa.Make her proud of you." ujar Along perlahan.

Along seolah dapat memahami perkara yang membelit di tangkai hatinya kini. Renungan dijatuhkan ke arah bilik rawatan yang sedang menempatkan Adel saat ini.

"Pergilah. Cepat. Along ada kat sini. Sokong Angah." bahunya ditolak perlahan.

Angah bingkas bangun. Wajahnya diraup sebelum kepala dianggukkan. Untuk kesekian kalinya, dikerling lagi ke arah bilik tersebut. Seketika, Angah berlari masuk semula ke dalam padang dan meneruskan perlawanan yang tergendala.

Tamat masa sembilan puluh minit. Pasukan Angah layak ke peringkat akhir. Along melangkah laju menuju ke arah bilik rawatan. Diselak tirai bilik tersebut. Terbias wajah Adel yang sedang terlantar di atas katil rawatan. Sebentar tadi dia sudah berlari meninggalkan padang untuk meninjau keadaan adik kesayangannya.

Along mengucap syukur dalam hati. Kata doktor, Adel tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Cuma hentaman bola yang mengena di kepalanya membuatkan Adel pitam dan ada sedikit pendarahan di hidung. Adel dibiarkan berehat seketika. Kelihatan lena benar Adel tidur.

"Along." seru Angah kalut.

Along tersentak. Tangan yang mengusap rambut Adel dialihkan perlahan.

"Adel macam mana?" soal Angah menapak ke sebelah kanan katil Adel.

Along tersenyum.

"Adik okay. Tak ada apa pun. Nanti adik bangunlah tu. " jawab Along perlahan. Bahu Angah ditepuk.

Angah mengeluh. Diteliti seraut wajah yang sedang terlentok lena itu.

"Angah okay?" soal Along.

Angah menganggukkan kepala. Cuba menyembunyikan kegusaran di hati.

"Along nak pergi toilet kejap. Angah nak duduk sini ke ?"

"Pergilah. Kejap lagi Angah keluar." ujar Angah perlahan.

Along mengangguk. Tubuh dipusingkan menuju keluar ke toilet. Dibiarkan Angah di bilik rawatan tersebut. Angah mengalih pandang. Direnung wajah Adel. Keluhan lemah dilepaskan.

Seketika, terdengar pengumuman meminta pasukan untuk final bola sepak berkumpul.

Angah memaut jemari Adel yang terkulai di sisi. Disulam jemari mereka.

"Tolonglah bangun. Kau buat aku rasa bersalah. Bangunlah. Kau janji nak sokong aku kan." pinta Angah bergetar. Direnung lagi wajah Adel yang sedang terpejam erat matanya. Sesaat, dua saat, tiada tanda-tanda Adel akan bangun.

Angah mengeluh lemah. Dilepaskan jemari mereka. Bibir diketap rapat dan dia terus melangkah meninggalkan Adel yang sedang terbaring di atas katil tersebut. Dia sangat berharap Adel bangun. Bersorak memberi sokongan padanya.

Adel mencelikkan matanya yang terasa kelat. Seketika, terasa berpinar matanya dipanah silau. Dipegang kepalanya yang terasa berpusing seperti gasing. Ditarik nafas dalam sebelum dihembus. Dipejam matanya lama sebelum dicelikkan kembali.

Dia mengucapkan syukur bila mana kepala dan mata mulai kembali ke posisi asal. Menemui titik tepat. Diselak selimut yang menutupi tubuhnya dan mulai menapak perlahan ke arah padang yang berteriak dengan sorakan para penyokong.

"Along."

Along yang sedang asyik memerhatikan perlawanan menoleh ke belakang.

"Adik!" jerit Along terkejut.

"Adik nak duduk." pinta Adel lembut.

Along segera menarik kerusi dan mendudukkan Adel di atas kerusi putih tersebut.

"Adik okay? Ada sakit mana-mana tak?" soal Along kalut.

Adel menggeleng. Memang ikutkan hati dia terasa lemah namun memikirkan Angah, dia kuatkan diri. Dia mahu memberikan sokongan pada Angah walaupun dia tahu Angah tidak memerlukan sokongan daripada dia.

"Adik okay. Along jangan risau. Adik tak ada apa-apa." ulas Adel menyedapkan hati si abang. Along mengangguk.

"Baguslah kalau macam tu. Risau Along tahu tak adik kena bola tadi. Rasa nak luruh jantung. Nak bernafas pun rasa tersekat." keluh Along.

Adel tertawa kecil.

"Adel okay dah kan? Along janganlah risau. Adik okay. Cuma lemah sikit." jelas Adel.

Along tersenyum.

"Baguslah kalau macam tu." ucap Along.

"Nafas rasa tersekat lagi tak?" seloroh Adel.

Along tertawa. Dipicit lembut hidung mancung Adel.

"Pandai eh usik Along."

Adel hanya tersengih lebar. Dibawa renungannya ke arah padang. Diperhatikan Angah yang lincah bermain di padang. Menyepak dan menyerang. Terserlah kegagahan Angah.

Tidak lama, wisel bertiup menandakan tamatnya acara final bola sepak peringkat daerah. Para penyokong bersorak kuat saat tiupan wisel kedengaran sekaligus menobatkan pasukan bola sepak sekolah kami menjuarai kejohanan bola sepak peringkat daerah.

Angah bersama para penyokong melompat girang. Angah dikerumuni oleh rakan sepasukannya. Mereka saling bersorak meraikan kemenangan. Akhirnya, setelah bertungkus lumus berlatih mereka sepasukan beroleh kemenangan. Angah berlari menuju ke tepi padang.

Dari kejauhan, Adel perasan kalau Angah tidak lepas memandangnya. Sesaat, terasa dia hilang dalam pelukan Angah. Angah mengangkat tinggi tubuhnya. Adel memaut leher Angah rapat. Gayat dia. Along terkedu. Tercengang dia dengan tindakan Angah.

Serasa otak dia jatuh ke tanah sebentar. Terkebil-kebil dia melihat adegan yang sedang berlangsung di depan dia sekarang Angah. Adel sedang diangkat tinggi oleh Angah. Tidak cukup dengan itu, dipusingkan tubuh mereka berdua. Sudahlah tadi selamba Angah memeluk Adel di depan matanya. Apa benda yang dia tengah tengok sekarang ini?

Terdengar hilai tawa Angah dan Adel yang bergabung. Makin kuat rasa pelik Along. Angah pantas meletakkan kembali Adel ke bawah setelah puas meraikan kemenangannya. Terlihat senyuman yang tidak dibuat-buat oleh Angah dan senyuman bahagia Adel di matanya kini.

"Ehem!" Along berdeham kuat. Serasa seolah dia tidak wujud pula di antara mereka saat ini.

Keduanya tersentak. Angah pantas memeluk tubuh Along pula. Melihat Adel sebentar tadi terasa hilang segala penatnya mengejar bola di dalam padang. Along tersenyum. Dipeluk kejap tubuh si adik.

"Tahniah Angah. Kami bangga dengan Angah." ujar Along bangga.

Adel tersenyum manis.

"Tahniah Angah." ujar Adel pula.

Pantas ditarik tubuh Along dan Adel ke dalam pelukannya. Dipeluk erat tubuh keduanya. Mereka membalas pelukan tersebut. Tanpa sedar, sebuah kucupan singgah di ubun-ubun Adel. Adel tersenyum.

"Tahniah Hayy!" ujar seseorang mengejutkan mereka yang asyik berpelukan.

Angah menoleh. Terbias wajah cantik Amanda. Tanpa sedia, tubuh Angah dirangkul namun cepat Angah menepis. Tidak suka dengan tindakan semberono Amanda. Adel mengerling ke arah lain. Along yang perasan akan hal itu pantas menarik tangan si adik. Adel tersentak. Dibawa renungannya ke arah Along.

"Adik. Jom kita pergi kat dewan sana. Sini panas. Sana ada kipas." ajak Along perlahan. Sakit juga matanya dengan gelagat Amanda.

Adel mengangguk. Menerima ajakan Along.

"Angah. Along dengan adik nak pergi duduk sana." ujar Along.

Angah melepaskan pegangan Amanda di lengannya.

"Angah nak ikut."

"Jomlah. Kesian adik panas."

"Jom." sahut Angah.

Serentak ketiga mereka berjalan menuju ke dewan tepi padang sekolah. Amanda mendengus sebal. Sakit hati dengan sikap Angah terhadap dia. Kurang ajar! Dipandang sahaja belakang tubuh mereka dengan nafas naik turun.

Happy reading. Thankyou.

Share this novel

Nora Muhamad
2021-09-07 13:19:07 

tak ada lagi ke

Nora Muhamad
2021-09-03 17:29:48 

Tak sabar nak tunggu update seterusnya


NovelPlus Premium

The best ads free experience