BAB 32

Romance Series 351253

Sebulan kemudian..

Adel mengendong beg galas yang berisi segala kelengkapan untuk kem kepimpinan. Seawal jam tujuh pagi mereka dikehendaki untuk berada di tapak dewan bagi melancarkan urusan ke kem tersebut. Kepala ditoleh di sisi.

Melihatkan keterujaan di wajah Ayana, menggamit gelengan di wajah Adel. Adel melingas ke sekeliling dewan. Mencari kelibat Angah memandangkan Angah merupakan seorang fasilitator mereka. Dalam masa yang sama Adel dihurung debar.

Tidak tahu bagaimana dengan penerimaan Angah andai mengetahui kalau dia turut ikut serta dalam kem ini. Doanya, semoga Angah baik-baik sahaja kerana reaksi dan sikap lelaki itu mudah berubah-ubah hingga dia naik pusing kadangkala.

Adel tersentak saat mata terpandangkan Affan di hujung sana asyik bergelak ketawa dengan junior atau freshie baru. Adel mencebik. Dasar buaya! Meluat dia melihatnya. Mujur sahaja Angah tidak berperangai sedemikian rupa.

Kurang lima saat, mata terpandangkan pula Angah yang baru tiba di dewan Adel mengukir senyuman. Segak Angah pagi ini. Dengan seluar jeans dipadankan dengan T-shirt dark grey menambahkan kekacakan wajah yang sedia kacak tersebut.

Elok sahaja tubuh bingkas berdiri mahu mampir ke arah Angah, muncul pula Hayra menarik tangan Angah ke satu sudut. Adel pakukan kaki. Hanya mata memandang keduanya berlalu ke sudut tepi tangga. Entah apa yang dibincangkan juga dia tidak pasti. Tubuh dilabuhkan kembali di sebelah Ayana yang asyik mendengar lagu.

"Okay semua. Boleh bergerak ke arah yang ada kat hujung sana. Pastikan tak ada barang yang tertinggal sebab kita takkan patah balik. So make sure everything done." ujar salah seorang fasi yang bertugas.

Adel senggol bahu Ayana. Ayana jungkit kening. Earphone dilepaskan dari telinga dan disimpan di dalam beg galasnya.

"Jom gerak. Bas kat sana." ajak Adel menyoroti langkah peserta-peserta lain.

Ayana mengangguk. Beg dikendong kemas. Adel menoleh memandang Angah di belakang yang masih tidak perasan akan kehadirannya menyertai kem tersebut. Sebuah keluhan dilepaskan sebelum Adel mendaki tangga lolos masuk ke dalam bas.

Setengah jam, bas mulai bergerak perlahan menuju ke Johor. Adel hampa mengenangkan Angah yang tidak menaiki bas yang sama. Dengar kata, semua fasi menaiki bas bersama para pelajar baharu. Mengenangkan itu, Adel dihurung rasa hampa. Ayan sudah santai menyandar ke kerusi ingin lena. Dia pula tidak dapat melelapkan mata kerana ralit dihantui rasa hampa dan terkilan.

Lebih kurang lima hingga enam jam menaiki bas, mereka tiba di Kem wawasan yang terletak di Batu Pahat, Johor.

"Yana.." seru Adel perlahan.

Ayana membuka mata yang terasa kelat.

"Hmmm, dah sampai ke?" tanya Ayana bersuara serak. Tubuh digeliatkan kiri dan kanan.

Adel mengangguk sebelum menarik tirai tingkap bas. Kelihatan beberapa orang fasi sudah turun menuju ke dewan terlebih dahulu disambut dengan beberapa orang kampung.

"Dah sampai. Boleh turun." laung pemandu bas di hadapan.

Serentak kesemua pelajar mulai bingkas berdiri. Masing-masing sibuk mengambil beg yang diletakkan di atas kepala. Seorang demi seorang mulai menuruni tangga bas. Adel mengemaskan beg di kendongan. Langkah mulai diatur menyoroti langkah mereka yang lain yang maju ke hadapan.

Soal Angajmh dilupa kerana dari jauh dia dapat melihat kalau Angah sibuk bersama-sama freshie yang seorang dua gatal menyapa dan bergelak tawa bersama Angah. Angah pula dilihat biasa-biasa sahaja. Tidak terbias riak keterujaan di wajah itu. Melihatkan itu, dia menarik nafas lega.

"Hayyan tahu tak kau datang kem ni?" soal Ayana tiba-tiba.

Adel diam.

"Tak.." jawab Adel sepatah.

Ayana kerutkan dahi.

"Lah, kenapa kau tak bagitahu dia?"

"Bukan aku taknak bagitahu dia tapi kami tak ada jumpa." jelas Adel.

Ayana mengeluh.

"Telefon kan ada. Call lah bagitahu." ujar Ayana.

"Aku bukan apa, malas nak ganggu dia. Kebiasaannya dia yang contact aku dulu. Kalau dia tak contact aku, means dia busy lah."

Ayana tercengang.

"Macam tu pula. Kau biar betul Adel. Sepatutnya kau kena lah call atau whatsapp dia bagitahu dia kau ikut kem ni juga. Tak ada singa tu angin nanti. Kau ni macam tak kenal pula perangai buah hati kau tu macam mana. Datang angin puting beliung dia, habis melayang kami nanti." Ayana membebel panjang.

Geram dia dengan sikap Adel kadangkala. Sudah tahu Angah itu cepat berangin orangnya, masih lagi degil tidak mahu memaklumkan pada Angah. Hanya gelengang yang mampu diberikan.

Adel tersentak mendengar bebelan Ayana. Dada dihurung debar sekali lagi. Bila Ayana membebel, baru terasa kalau dia salah tidak memberitahu pada Angah.

"Kau ni Yana. Tak baik cakap macam tu. Buat aku takut pula." Adel bersuara perlahan.

Ayana mengeluh.

"Aku ni bukan nak takutkan kau Adel. Tapi benda betul. Kau pun tahu perangai Hayy tu macam mana. Aku cuma takut dia marahkan kau je sebab kau tak bagitahu dia. Nanti kau juga yang melalak." bebel Ayana lagi.

Adel mengeluh. Tubuh tegap Angah dipandang dari jauh dengan hati yang gusar.

"Tak ada apalah. Dia okay je tu rasanya." Adel luahkan ayat penyedap hati walhal ikutkan hati mahu sahaja dia cabut lari sekarang.

Ayana mengeluh sebelum mengatur langkah menuju ke dewan Wawasan. Adel menarik nafas dalam sebelum dihembus panjang. Langkah Ayana disoroti dari belakang.

"Penuhkan bahagian hadapan adik-adik." jerit salah seorang kakak Fasi yang dikenali sebagai Aida.

Melihatkan Angah yang tercegat di hadapan memerhatikan para peserta membuatkan Adel tidak jadi untuk bergerak memenuhi ruang hadapan. Ayana yang perasan Adel yang berdiri tercegat mematung memandang ke hadapan menggoncang tubuh Adel.

Adel tersentak. Ditoleh ke arah Ayana yang memandangnya hairan.

"Kenapa? Jomlah pergi depan." ajak Ayana.

Adel memaut jemari Ayana yang ingin mengatur langkah ke hadapan.

"Kita duduk belakang jelah Ayana. Senang nak pergi toilet." Adel tersengih kekok. Alasan tak munasabah diberikan.

Ayana tercengang. Kening dikerutkan sebelum sebuah anggukan diberikan. Duduk dilabuhkan di barisan kedua terakhir. Geng pelajar baharu yang terdiri daripada freshie kelihatan memenuhi ruang hadapan. Adel melepaskan sebuah keluhan.

••••

Ayana membuat reaksi muka tercebik-cebik. Memuncung sahaja mulutnya bila mana dirinya dan Adel terpisah kumpulan. Memandangkan kedua mereka berbeza bulan kelahiran, makanya mereka terpaksa berpisah. Mujur sahaja mereka ditakdirkan berkongsi khemah yang sama.

Adel membalas tatapan Affan yang merenungnya dari jauh. Adel membuat muka tegang. Mengingatkan Affan yang menjadi punca dia dan Angah bergaduh membuatkan Adel dihurung rasa benci terhadap Affan saat ini.

Mengenangkan malam yang beransur berinjak ke senja, para peserta mulai diarahkan bergerak ke kawasan tapak perkhemahan yang kiri kanannya diselimuti hutan. Ayana memegang erat lengan Adel di sisi. Adel hanya tersenyum menggeleng.

"Yana.." seru Adel perlahan.

Ayana ayun dagu ke hadapan.

"Aku nak terkencing." ujar Adel.

"Nak aku temankan ke?" tanya Ayana.

Adel menggeleng.

"Tak payah lah. Cuma, aku nak tanya toilet kat mana eh kakak fasi tu bagitahu tadi? Aku terlupa arah mana."

Ayana diam mengingat kembali kedudukan tandas berdekatan mereka.

"Rasanya dia bagitahu tadi kat sebelah kanan ni kut." jawab Ayana ragu sambil jari telunjuk dihala ke arah kanan kawasan khemah mereka. Kurang pasti juga dia sebenarnya di mana kedudukan tandas. Namun, seingat dia di sebelah kanan.

Adel mengangguk. Tubuh bingkas bangun. Ayana mendongakkan wajah.

"Kau okay ke pergi sorang ni? Nak aku temankan tak?" tanya Ayana meminta kepastian sekali lagi.

Adel mengangguk.

"Ya, takpa. Aku boleh je pergi sorang. Rasanya ramai je yang pergi tu." jawab Adel yakin.

Ayana mengangguk lambat-lambat.

"Okay, kalau ada apa-apa kau jerit kuat-kuat tau." pesan Ayana.

Adel tertawa.

"Hati-hati Adel." pesan Ayana tidak putus. Gusar dengan keberanian Adel.

Adel mengangguk sekali lagi sebelum tubuh kurus itu hilang dari pandangan matanya.

Adel melintasi khemah peserta-peserta lain. Laluan pejalan kaki yang hanya dihampari dengan simen dilalui dengan cermat. Sesekali mata melingas mencari kelibat Angah. Namun, hampa saat dia menyedari kelibat lelaki itu tidak terbias di ruang mata.

Adel kaku saat merasakan kalau hanya dia seorang sahaja yang berada di kawasan tandas tersebut. Kaki serta merta terpaku di depan pintu tandas. Kepala menoleh ke sekeliling. Nak berpatah balik, dia sudah tidak tahan untuk kencing. Nafas dihembus sebelum doa masuk tandas dibaca.

Berada berseorangan di dalam tandas, Adel dihambat rasa gusar. Seram juga dia berseorangan. Usai, cepat-cepat tangan dibasuh sebelum kaki melangkah laju keluar daripada tandas. Tiga langkah berjalan, terasa pinggangnya ditarik dari tepi. Adel terjerit kecil sebelum mata dipejam rapat.

Serta merta mata terbayangkan Affan. Menyedari nafas hangat yang berhembus mengenai wajahnya, Adel mencelikkan mata perlahan-lahan. Saat melihatkan wajah Angah di hadapan, Adel menghembuskan nafas. Sebuah senyuman diberikan. Namun, reaksi yang diberikan Angah berlainan sekali. Beku sahaja riak wajahnya saat ini.

Adel mulai tidak sedap hati. Baru sahaja mahu merangkul tubuh Angah, Angah pantas menjarakkan kedudukan tubuh mereka. Adel tercengang. Kaku gerak gerinya saat ini. Adel merenung Angah. Mujur sahaja mereka agak terlindung daripada perhatian orang.

"Angah.." Adel menyeru perlahan.

"Hmmm.." Angah membalas.

"Angah buat apa kat sini? Guna tandas juga ke?" Adel menyoal kekok walaupun saat ini dia sendiri dapat rasakan aura ketegangan antara mereka.

"Kenapa tak bagitahu kau ikut serta kem ni juga?" Angah menyoal dingin. Namun, jelas kelihatan suaranya yang tidak senang.

Adel mengetap bibir. Serta merta dada berdebar. Jemari cuba menggapai tangan Angah namun Angah membawa lari tangannya dari disentuh Adel. Adel tergamam.

"Sorry, Adel bukan taknak bagitahu Angah."

"Then?" pintas Angah tanpa tangguh.

"Adel sebenarnya takut menganggu sebab Angah sibuk lately ni." ujar Adel.

Angah tersenyum sinis.

"Ohh, takut menganggu. Pastu tiba-tiba datang kem ni. Tanpa beritahu aku sepatah pun. Haa, baguslah macam tu. Memang aku ni tak penting pun pada kau." Angah mulai berang.

Adel menggeleng laju. Menafikan kata-kata Angah.

"Tak, tak. Angah jangan salah faham. Betul, bukan sengaja Adel taknak bagitahu Angah tapi Adel takut kalau Adel menganggu. Angah sendiri bagitahu kalau Angah very busy lately. Dan lagi satu, Angah penting pada Adel.." ujar Adel sayu.

Adel menunduk. Gerun melihat reaksi menyinga dari Angah saat ini. Angah menghembus nafas kuat.

"Adelia Mikayla. Kalau betul pun aku ni busy, boleh je kau whatsapp aku. Bagitahu aku kalau kau join kem ni. Itu pun nasib baik Raid yang bagitahu aku yang kau ada sekali kat kem ni." ujar Angah kesal.

Adel panggung wajah.

"Sorry. Adel minta maaf. Sungguh, Adel bukan sengaja." pinta Adel.

Angah menggelengkan kepala. Kesal dia dengan sikap Adel. Tidakkah selama ini Adel hadam bagaimana sikapnya? Kenapa Adel perlu sahaja menguji kesabarannya?

"Dah lah. Sebab aku ni tak penting pada kau. Sebab tu kau tak bagitahu aku. Okay fine, buatlah yang mana kau rasa betul." ujar Angah kecewa sebelum bergerak meninggalkan Adel yang terkedu sendirian.

Adel cuba menggapai tangan Angah. Namun, sekali lagi dengan laju Angah melarikan jemarinya. Adel memejam mata rapat sambil mengemam bibir. Sebuah keluhan kuat dilepaskan.

Adelia Mikayla, what you have done this time?

••••

Adel perhatikan gerak geri Angah yang sedikitpun tidak pedulikan dirinya walaupun jauh di sudut hati, Adel tahu kalau Angah perasankan dirinya. Adel dilanda rasa sedih bila mana Angah dengan sengaja berpura-pura tidak melihat dirinya. Sesekali, Adel dapat melihat kalau Hayra mendekati Angah.

Adel tersentak saat terasa bahunya diusap lembut oleh seseorang. Pandangan kasihan Ayana dibalas Adel sayu. Ayana juga tidak mampu berkata apa kerana sedikit sebanyak salah itu datang dari Adel juga.

Malam itu, usai menunaikan solat maghrib dan isyak, kesemua peserta dan fasi dikehendaki berada di dewan Wawasan untuk mendengar sedikit taklimat berkaitan dengan tentatif program mereka selama seminggu. Adel sengaja mengambil tempat di belakang. Tiada semangat hendak mendengar taklimat tersebut. Sesekali mata singgah di wajah Angah. Angah, Adel rindu!

"Okay adik-adik. Tadi, kita dah bahagikan kamu kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada bulan kelahiran masing-masing. Jadi, sila berkumpul dalam kumpulan masing-masing sekarang." arahan lantang kedengaran jelas diberikan oleh Akmal, merangkap salah seorang fasi.

Ayana mencebik perlahan bila mereka harus berpisah sementara. Adel hanya tersenyum hambar. Perlahan, kaki mengatur langkah bergerak ke arah kumpulan masing-masing. Adel labuhkan duduk perlahan. Senyuman rakan kumpulan yang lain dibalas. Adel merupakan kumpulan ketiga yang terakhir memandangkan mereka lahir pada bulan Oktober.

Setiap kumpulan, akan diberikan seorang fasi yang akan memantau dan menjaga sepanjang program kepimpinan. Sebarang arahan yang diberikan harus dipatuhi oleh kumpulan masing-masing. Adel abaikan rasa moody yang bertandang. Kalaulah rumahnya dekat, sudah lama dia berambus balik ke rumah.

"Hayy, kau kumpulan sepuluh."

Spontan, Adel panggung wajah. Wajah yang kelat dan muram sebentar tadi, terasa bersinar-sinar bila mana Angah akan berada bersama dengan kumpulan mereka. Angah pantas leraikan renungan antara mereka.

Dapat dilihat, Angah menuju ke arah salah seorang fasi lelaki yang lain. Adel tidak dapat pastikan apa yang dibualkan keduanya. Namun, bila menyedari Angah bergerak ke kumpulan Hayra, tahulah dia kalau Angah minta tukar kumpulan.

"Fiq, kau pergi kumpulan sepuluh." arah Akmal.

Adel menunduk. Terasa panas biji mata. Namun, cepat dikawal. Nafas ditarik dalam sebelum dihembus. Sudah terang, lagi bersuluh kalau Angah menolak untuk bersama dengan kumpulan mereka. Pandangan sayu Ayana dibalas dari jauh dengan mata berkaca.

'Ayana, I need you right now'

Seawal pagi, mereka sudah dikejutkan oleh para fasi untuk bangun dan menunaikan solat subuh secara berjemaah. Para peserta yang terdiri daripada bukan agama islam diminta berada di dalam khemah.

Angin bayu pagi yang dingin membuatkan kesemua peserta dihurung sejuk. Adel merenung Angah yang segak berkain pelikat dan berbaju melayu serta songkok. Kelihatan Angah sudah bergerak mengambil tempat di saf hadapan.

Usai solat berjemaah, peserta dikehendaki bergerak ke dewan terbuka bagi mengisi perut terlebih dahulu sebelum memulaikan aktiviti pagi ini. Adel bergerak perlahan bersama Ayana menuju ke dewan terbuka.

Masing-masing bersedia memegang cawan dan pinggan plastik untuk menu sarapan pada pagi itu. Sarapan nasi lemak dan teh tarik benar-benar membuatkan kesemua mereka menelan liur. Ayana sudah beriak teruja. Saat terpandangkan wajah Angah yang sedang menjaga air, Adel dihurung rasa teruja.

Adel suakan cawan plastik kepada Angah. Angah menyambut tanpa riak. Adel merenung Angah tanpa sekalipun menoleh ke arah lain.

"Morning Angah.." ucap Adel.

Angah diam tanpa kata. Malah, dengan sengaja dia buat seolah kalau Adel tidak wujud di hadapannya saat ini. Air yang berisi penuh dalam cawan Adel ambil. Adel dipalu sedih. Dengan peserta yang beratur di belakangnya,boleh pula Angah lemparkan senyuman. Adel berjalan longlai menuju ke arah Ayana yang sudah siap mengambil tempat duduk.

"Adel.." seru Ayana perlahan.

Adel menoleh ke sisi. Nasi yang masih banyak bersisa dikuis-kuis ke sekeliling pinggan. Ayana mengeluh. Sedari tadi dia melihat Adel bermain dengan nasi di dalam pinggan. Sekala-sekala bersulamkan keluhan.

"Kau tak ada selera nak makan ke?" soal Ayana bernada perlahan.

Adel menggeleng.

"Dah tu, makanlah sikit. Nanti kita nak masuk hutan. Buat aktiviti. Kalau kau tak makan macam mana nak join aktiviti diorang. Jadi apa-apa nanti susah." pujuk Ayana. Bahu Adel diusap lembut.

Adel mengangguk perlahan. Nasi lemak disuap payah ke dalam mulut. Walaupun, dia tidak punya selera sekarang namun mengenangkan aktiviti mencabar yang bakal mereka lalui sekejap lagi memaksanya untuk menelan juga makanan dalam pinggan. Bak kata Ayana, susah jika apa-apa terjadi nanti.

••••

Adel merenung kawasan sekeliling yang dilitupi dengan hutan tebal. Kelihatan pokok kayu balak memenuhi ruang denai yang dilalui oleh mereka. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia menjejakkan kaki masuk ke hutan tebal begini. Diri dihurung rasa teruja.

Adel mengelap peluh yang merenik di dahi. Dari hadapan, kelihatan fasi yang bertauliah sebagai jurupandu sibuk memberi arahan dan mengingatkan peserta agar berhati-hati semasa berjalan.

Setiap kumpulan dilepaskan masuk secara berperingkat dan mengikut turutan kumpulan masing-masing. Akmal selaku ketua fasilitator sekali lagi mengingatkan peserta agar tidak panik dan takut jika peserta hilang arah dan jejak semasa dalam aktiviti jungle tracking.

Peluh yang menitis sekali lagi dikesat dengan tangan. Adel menghentikan langkah seketika. Mencari ruang menarik mafas yang terasa semput yang menghentam dada. Rakan kumpulan yang lain kelihatan agak sedikit ke hadapan.

Beginilah asbabnya jika kurang bersenam. Nafas mudah semput, mudah pancit awal. Stamina juga kurang. Buktinya, sekarang dia terpaksa berhenti seketika mencari nafas sebelum memulakan perjalanan kembali.

Bunyian unggas yang riuh rendah disulami dengan bunyi desiran air sungai membangkitkan suasana tenang namun pada masa yang sama terselit juga rasa takut dan gerun. Bimbang juga berada dalam hutan tebal begini. Sudahlah jauh dari petempatan biasa.

"Adel, okay tak?" tanya Fiq selaku fasi kumpulan mereka yang muncul dari belakang.

Adel menoleh pantas. Sebuah senyuman diberikan.

"Okay bang. Cuma biasalah, penat sikit." jawab Adel tersengih kekok.

Fiq turut tersengih. Mujurlah sekarang mereka sudah berada di checkpoint kedua. Tali berwarna oren merupakan penanda aras bagi setiap checkpoint yang wajib mereka lalui. Jadi, setiap peserta harus peka dengan setiap checkpoint tersebut supaya laluan yang mereka lalui betul.

"Okay semua." Akmal bersuara kuat. Tangan ditepuk beberapa kali sekaligus menarik perhatian para peserta.

Serentak, kesemuanya menoleh ke arah Akmal yang berada tepat di hadapan mereka.

"Okay, sekarang saya nak fasi bagi setiap kumpulan kira terlebih dahulu ahli kumpulan masing-masing. Saya beri masa selama 10 minit." arah Akmal.

Fiq selaku fasi memulakan kiraan bagi kumpulan Adel. Fiq tersenyum saat kiraan bagi setiap ahli kumpulannya cukup. Lega rasa di hati.

"Fiq, group kau cukup tak?" soal Akmal.

Fiq mengangguk. Isyarat bagus diangkat ke arah Akmal sebelum sebuah anggukan dibalas ke arah Fiq tanda maklum.

"Okay semua. Sila beri perhatian terhadap apa yang saya nak maklumkan pada kamu semua sekarang. Tolong dengar baik-baik." ujar Akmal tegas dan serius.

Adel memasang telinga. Kelihatannya, semua peserta memberi sepenuh perhatian. Tidak terkecuali para fasi setiap kumpulan.

"Untuk checkpoint yang ketiga ini, laluan yang harus kamu lalui adalah sedikit mencabar. Kenapa saya kata mencabar? Sebab kamu kena menyemberangi anak sungai dan laluan yang agak curam. Jadi, saya mohon kamu semua agar sentiasa peka pada langkah kamu. Supaya, kejadian-kejadian yang tidak kita ingini takkan berlaku. Faham?" tanya Akmal di akhir bicara.

"Faham.." serentak kedengaran suara para peserta memberi maklum balas.

"Dan lagi satu. Jika kamu berasa sakit, tidak selesa dan sebagainya sila maklumkan kepada fasi masing-masing terus. Memandangkan semua dah faham, kita mulakan perjalanan kita sekarang." Akmal bingkas bangun sebelum bergerak maju ke hadapan memulakan perjalanan mereka kembali.

Adel mengipas belakang punggung. Beg yang melorot jatuh dikemaskan kembali. Doanya, agar urusan aktiviti mereka berjalan dengan lancar.

"Pegang tangan atau tali beg kawan kamu. Ingat laluan track kali ni agak mencabar." laung Akmal.

Adel pegang dada yang terasa semput kembali. Nafas ditarik dalam sebelum dihembus. Turun naik nafasnya yang termengah-mengah. Dada diurut perlahan. Tubuh yang membongkok ditegakkan.

Mata merenung wajah batang tubuh rakan-rakan yang jauh ke depan meninggalkan dirinya yang ketinggalan di belakang. Nak menjerit memanggil rasa tidak punya daya sudah menahan nafas yang termengah-mengah. Kelibat Fiq dicari namun tiada.

Adel mula dihurung rasa debar. Bukankan Fiq sepatutnya berada di belakang mengawasi mereka? Takkan dia sudah sesat? Tidak mungkin memandangkan laluan yang dia pijak sekarang masih sama. Tambahan pula, ada kain berwarna oren di setiap batang pokok sebagai penunjuk arah. Adel cuba sedapkan hati.

Botol air yang berada dalam kendongan dikeluarkan. Penutup air dibuka dan pantas diteguk rakus. Jujur, dia diserang rasa dahaga. Sudahlah hati berdebar mengenangkan dia sudah ketinggalan dari ahli kumpulannya. Ditambah dengan rasa haus yang begitu mengasak tekak.

Adel kuatkan semangat. Berkira-kira dalam hati kalau rakan sekumpulan yang berada di hadapan boleh masih dikejar lagi langkah mereka dari belakang. Langkah diatur selaju yang boleh namun langkah di atur dengan cermat. Sudahlah boleh tahan dalam curamnya.

Mata melingas sekeliling sambil kepala menjenguk ke hadapan. Namun, malangnya tiada satupun kelibat rakan kumpulannya. Takkan cepat benar mereka berjalan hingga bayang seorang pun tidak kelihatan? Diperhatikan ke segenap pokok, namun tiada tali berwarna oren yang dijumpai.

"Fiq!" seru Adel kuat.

Sepi! Tiada sahutan balas yang kedengaran.

"Fiq!" sekali lagi Adel menyeru kuat.

Namun, ia tetap sepi. Tubir mata mulai terasa panas. Adakah dia sudah sesat? Serta merta terbayang wajah keluarganya. Adel meraup wajah yang basah dengan peluh. Di hadapan matanya kini terbentang tiga jalan yang kecil. Dia kini di persimpangan laluan mana yang harus diambil.

Mata dipejam rapat, nafas ditarik dalam sebelum dihembus. Kaki diatur ke arah laluan kanan. Adel mengatur langkah. Kelihatan ada kesan bahawa laluan ini pernah dilalui oleh manusia. Buktinya, ada kesan pijakan pada ranting-ranting kayu yang patah.

Mata dihunus ke hadapan mencari kelibat rakan sekumpulan, mana tahu jika-jika mereka ada di hadapannya.

"Fiq! Akmal!" laung Adel.

Tidak putus asa, Adel melaung lagi.

"Akmal, Syafiq!!" Adel menjerit kuat.

Lagi dan lagi, tiada satupun sahutan yang kedengaran. Serentak itu, Adel terjelepuk duduk. Serta merta tangisan keluar daripada seulas bibir merah miliknya. Terhinggut-hinggut bahunya mengeluarkan tangisan.

Dia dah sesat!

Prak! Prak! Prak!

Adel bingkas bangun dengan tergesa-gesa. Berhenti mendadak tangisannya. Perlahan, badan ditoleh ke belakang. Bibir bergetar menahan rasa takut yang bertalu-talu menghentam dada. Air mata disapu kasar. Kaki perlahan-lahan mengundur ke belakang.

Prak! Prak! Prak!

Sekali lagi bunyi itu kedengaran. Kali ini bunyinya seakan dekat menghampiri dirinya. Sesaat, Adel membulatkan mata bila mata terpasak kemas pada seekor babi hutan tunggal yang sedang pegun tidak jauh darinya. Kedengaran dengusan daripada binatang liar tersebut.

Tidak tunggu lama, Adel memecut lari. Larian sekuat hati dilakukan. Sambil berlari, dapat dia dengar bunyi larian binatang tersebut mengejarnya. Adel memecut kuat. Sudah tidak dihiraukan lagi bahaya dan curam yang menantinya.

Entah dimana silapnya, asyik berlari ingin menyelamatkan diri, terasa diri melayang jatuh sebelum terasa badannya bergolek jatuh bergelongsor menuruni curam.

"Arghhhhhh!!" Adel menjerit lantang. Tangan menggapai akar pokok yang berada di sampingnya.

Saat sampai ke dasar curam, Adel pengsan tidak sedar akan dimana dan apa yang terjadi terhadap dirinya.

Angah yang berjalan mengiringi kumpulan tersentak saat telinga dapat mendengar jeritan seseorang. Pantas, langkah dihentikan sebelum mata merenung sekeliling. Tidak tahu kenapa, hatinya dilanda rasa tidak enak. Berdegup kencang dadanya saat ini.

"Adel.." bibir menyebut nama Adel perlahan.

"Hayy.." seru Raid perlahan. Bahu Angah ditepuk.

Angah tersentak. Mata merenung Raid.

"Kau kenapa ni tetiba berhenti?" soal Raid bingung.

Angah diam sebelum menggeleng perlahan.

"Tak ada apa lah." nafi Angah.

Raid mengangguk. Bahu Angah ditepuk perlahan.

"Jom sambung gerak. Nak sampai dah ni." ujar Raid.

Angah mengangguk perlahan. Rasa debar dan tidak sedap yang melanda di hati dikunci kejap daripada pengetahuan Raid.

••••

Hampir dua jam meredah sungai dan mendaki cerunan, kesemua kumpulan akhirnya tiba tapak kem mereka kembali. Terpancar kepuasan dan keterujaan di wajah masing-masing. Ada yang sudah terduduk kepenatan, tidak kurang ada juga yang asyik mengelap peluh yang berjejeran di dahi dan pipi.

Pendek kata, masing-masing sudah mengambil tempat untuk melepaskan lelah. Masing-masing sudah bertempiaran menuju ke arah kawan dan geng masing-masing.

Ayana bingkas bangun. Botol air ditutup cermat. Belakang punggung ditepuk beberapa kali menghilangkan debu dan kotor yang melekat di belakang baju. Argh, tak sabar nak mandi dan merebahkan tubuh. Serasa mahu tercabut segala sendi tubuhnya saat ini. Mana pernah dia masuk hutan buat aktiviti mendaki begini?

Mata liar mencari kelibat Adel. Kepala dijenguk dan mata fokus memerhati seorang demi seorang. Namun, wajah dikerutkan saat mata tidak dapat menangkap kelibat Adel. Bibir digigit. Kepala digaru. Kaki diatur perlahan mencari kelibat Adel. Hati mula terasa lain.

Nampak sahaja kelibat Syafiq sekalu fasi kumpulan mereka, Ayana bergegas ke arah jejaka tersebut.

"Fiq!" seru Ayana.

Syafiq yang ingin melangkah ke arah Angah menghentikan langkah.

"Ada apa Yana?" soal Fiq.

Ayana tersengih.

"Ada nampak Adel tak?" tanya Ayana.

Fiq mengerutkan dahi.

"Adel?"

Ayana mengangguk laju.

"Dia tak ada ke?"

Ayana menggeleng pula.

"Dia pergi tandas kut. Yana dah pergi cari dia kat tandas ke belum?" soal Fiq gusar.

Ayana mengangguk.

"Ishh, biar betul." desis Fiq perlahan.

"Yana tunggu kejap. Saya pergi sana." arah Fiq.

Ayana mengangguk.

Dari jauh, terkocoh-kocoh Fiq berlari kumpulan sepuluh. Dibilang secara perlahan. Sah! Memang tak cukup seorang. Adel tiada! Ahh sudah. Fiq sudah bercekak pinggang dengan bibir digigit rapat.

Tidak betah, Fiq berlari anak menuju ke arah Akmal yang rancak bersembang dengan Angah, Raid bersama beberapa orang fasi yang terlibat.

"Akmal.." panggil Fiq kalut.

Akmal tersentak. Wajah dipanggung.

"Kenapa Fiq? Ada apa kau panggil aku?" tanya Akmal terus. Direnung wajah gusar Syafiq.

"Sorang peserta kita tak ada." ujar Fiq cemas.

Akmal tersentak. Tubuh dibingkas bangun dengan laju. Kesemua fasi yang ada maju mendekat ke arah Fiq yang berwajah pucat.

"Siapa?" tanya Akmal tanpa lengah.

Fiq menelan liur.

"Adel." Ujar Fiq.

Sesaat, Angah merempuh laju Akmal di hadapan. Membuntang matanya saat mendengar nama Adel disebut Fiq. Akmal mendesis sakit dirempuh badan tegap Angah.

"Ka..kau cakap apa? Adel hilang?" tanya Angah penuh getar. Debaran di dada usah dikata. Serasa mahu luruh jantungnya saat ini.

Fiq sekali lagi menelan liur. Kepala diangguk laju.

"Tak guna! Macam mana kau jaga kumpulan kau!" jerit Angah lantang sekaligus menarik perhatian semua orang. Dicekak kolar baju Fiq.

Fiq yang tidak bersedia tersentak kuat saat diamuk Angah. Benar-benar gerun dengan tempikan Angah.

"A..aku tak tahu Hayy. A..aku ingatkan Adel ada dalam kumpulan. Ta..tapi bila aku kira semula, sorang tak..tak cukup.." tutur Fiq gagap.

Angah mengetap rapat bibirnya saat ini. Makin kuat tangannya mengepal mencekak kolar baju Fiq. Fiq makin cemas. Serasa sesak nafasnya menahan rasa.

"Sial kau Syafiq!" maki Angah sebelum sebuah penumbuk ingin dilayangkan ke wajah Fiq.

Fiq memejam mata rapat.

"Hayy, stop Hayy. Stop!" jerit Raid. Tubuh Angah ditarik ke arahnya. Ditolak tubuh Fiq menjauh. Namun, Angah meluru lagi tapi cepat digapai Raid.

"Hayyan, stop!" jerit Raid. Dipeluk Angah yang turun naik nafasnya saat ini.

"Sabar Hayyan. Kau tak boleh macam ni." ujar Raid cuba menenangkan Angah.

Angah meraup wajah. Tubir mata terasa panas. Serta merta terbayang wajah Adel. Di manakah dia? Selamatkah dia? Arghhhh! Dia tak kuat!

"Adel, dia tak ada, Id. Adel hilang." rintih Angah perlahan.

Raid mengangguk. Dia juga gusar dan cemas kini.

Akmal yang tercengang menarik nafas dalam. Pandangan dilemparkan ke sekeliling. Wajah Fiq yang pucat direnung.

"Kau dah cari semua tempat?" tanya Akmal serius.

Fiq menggeleng.

"Okay, now semua kita berpecah. Cari dalam kawasan tapak kem kita dulu. Nanti kita kumpul sini semula. Okay, gerak sekarang." arah Akmal kuat.

Serentak kesemuanya mengangguk sebelum bergerak terus ke kawasan tapak kem.

"Jom kita cari Adel dekat-dekat sini dulu. Mana tahu dia ada." ajak Raid pantas.

Angah diam. Hanya pandangan sayu diberikan bersama anggukan lemah.

Angah mengelipkan mata. Tidak sedar setitis air mata mengalir jatuh ke pipinya saat ini. Dia seolah orang bodoh ketika ini. Apa telinganya salah dengar? Adel hilang? Tak! Tak mungkin!

Assalamualaikum. Selamat membaca. Jangan lupa komen. Terima kasih atas support dari semua. Harap Adel baik2 saja.

Share this novel

Esjasz Malek
2022-03-01 20:20:53 

padan muka angah..ego sgt

Nur Azlina
2022-02-14 22:36:26 

ego angah ni padam muka.adel hilang baru nk meroyan bagai apa kes

Antarasuka
2022-02-14 17:15:02 

eihsshh. angah ni. biar adel hilang ingatan. lupakan angah baru padan muka dia. biar keluarga Mika ambik adel balik.


NovelPlus Premium

The best ads free experience