Hara memandang kosong televisyen yang berada di hadapannya. Duduk di dalam wad hospital membuatkannya lebih tertekan. Langsung tak membantunya hilangkan tekanan.
"Assalamualaikum." Hara memandang ke pintu. Mulutnya sudah bersedia mahu memarahi Iqbal jika lelaki itu datang. Hatinya masih tidak ingin memaafkan lelaki itu. Sikit pun tak ingin.
"Assalamualaikum Ara. Awak sihat?"
"Bera..." Hara terdiam. Bukan.. Bukan Iqbal.. Hara memandang lelaki itu dengan penuh tanda tanya. 'Macam mana dia tahu aku masuk hospital ni?'
"Sihat je. Duduklah Fatah." Hara menjawab.
Fatah duduk di kerusi sebelah katil Hara. "Apa dah jadi ni awak? Macam mana boleh jatuh?"
"Macam mana awak tahu saya dekat sini? Macam mana awak tahu saya jatuh?" soalan yang berjawab soalan. Hara ingin tahu bagaimana Fatah mengetahui apa yang berlaku tentang dirinya sekarang.
"Ada orang bagitahu saya. Risau saya dengar. Terus saya datang sini tengok awak."
Hati Hara tersentuh mendengar kata-kata Fatah. Ah! Fatah.. Kalaulah kau yang menjadi suami aku pasti hidup aku penuh dengan debunga indah. "Emm saya tak ada apalah. Okay je ni. Jatuh sikit je." Hara berkata lembut. Sangat berbeza ketika dia berjumpa Fatah dulu.
"Sikit apa kalau sampai masuk hospital ni."
"Iyelah awak. Sikit je ni. Tak ada luka apa pun."
"Haa yela-yela. Awak dah makan?" Fatah bertanya. Ditatap mata Hara yang cantik itu. Hatinya sedikit gembira bila Hara tidak lagi memarahinya. Tidak lagi menengkingnya seperti dulu. Dia rindukan Hara yang ini. Yang lembut tutur bicaranya. Yang sopan dalam bahasanya.
Hara mengelengkan kepalanya. Memang belum makan sejak pagi. Sarapan yang pihak hospital sediakan memang langsung tak membuka seleranya.
"Kenapa tak makan lagi..? Awak ni. Dah lah tak sihat lepas tu tak makan." Fatah memberanikan diri meraih tangan Hara. Dia tersenyum. Hara tidak melawan. Nampaknya wanita itu mungkin sudah berubah hati. Dibelai tangan Hara lembut sambil menatap wajah wanita itu.
"Makanan dekat sini tak sedap. Tak selera." kata Hara. Suaranya mengada. Betul-betul seperti ingin bermanja dengan Fatah. Tangannya yang dibelai oleh Fatah dibiarkan dan dinikmati sepenuhnya rasa itu. Rasa marah yang terbuku di hatinya selama ini, tiba-tiba lenyap begitu saja. Tidak ada lagi rasa sakit hati yang menjalar di dalam hatinya. Semuanya hilang. Hilang ditimbus rasa sayang yang Fatah pamerkan.
"Ala. Makanlah buat alas perut. Ni perut kosong mesti sakit masuk makanan nanti. Takpe. Sekarang memandangkan saya ada dekat sini , awak cakap je nak makan apa. Saya akan belikan."
"Betul ni?"
"Ye saya."
"Yey! Okay. Saya nak makan chicken chop boleh?" Hara memegang tangan Fatah yang sedang membelai tangannya itu. Lelaki itu seperti mengerti , digenggam tangan Hara kemas.
"Ohh.. Mengidam eh? Hahaha."
"Ish awak ni. Takdelah. Teringin je nak makan. Bolehkan beli?"
"Iye... Boleh. Untuk awak yang tersayang ni lautan api pun sanggup saya renangi. Tapi tu lah lautan api takde tak dapat saya nak buktikan betapa sayangnya saya dekat awak."
Hara terdiam. Seperti tersedar dari mimpi. Hara kembali ke alam realiti. Dia menarik tangannya dari terus digenggam Fatah. "Maafkan saya." ucapnya. Matanya beralih ke arah lain.
Fatah menghela nafas berat. "Tak apa. Awak tunggu ye. Nanti saya datang bawa makanan. Saya pergi dulu." ujar Fatah. Dia segera beredar meninggalkan Hara keseorangan di situ.
Hara memerhati Fatah pergi dengan anak matanya. Herm. Mungkin ini permintaan yang tak masuk akal , tapi dia berharap sangat yang masa boleh diputar kembali. Kembali ke masa segala-galanya masih indah dan tak rumit seperti ini. Kembali ke masa di mana dia hanya tahu tertawa tanpa mengerti akan keperitan yang akan dilalui di masa hadapan. Andainya terjadi, dia pasti tak akan mengulangi kesilapan yang sama. Dia tak akan berikan sekeping hatinya yang rapuh kepada dua lelaki yang betul-betul mengoyakkan hatinya menjadi keping-keping halus yang amat sukar dicantum kembali walau guna gam yang paling bagus sekali pun. Tak akan menjadi elok. Tak akan.
***
"Nah... Kami bawa makanan untuk kau." Azimah tersengih sambil meletakkan bungkusan makanan di atas meja depan Hara.
"Makan okay. Mahal tahu aku beli. Dah la Azimah ni tak nak tong tong." Haris menjeling Azimah yang turut sedang menjelingnya. Sejak pertemuan kali kedua di hospital , dirinya dan Azimah tiba-tiba menjadi rapat. Secara semulajadi. Tanpa dipaksa atau pun usaha. Tiba-tiba sahaja rapat.
"Hahaha terima kasih Haris, Mah." Hara memegang tangan Azimah. Kemudian dia mencapai bungkusan makanan yang diletakkan di atas meja.
"Kau dah rasa okay sikit Ara?" Azimah memulakan bicara.
"Alhamdulillah. Makin okay. Doktor kata dalam minggu ni kalau tak ada apa masalah boleh discharge."
"Alhamdulillah. Kau lepas ni jaga diri kau elok-elok. Jangan ganas-ganas pula." Azimah berpesan.
Hara menganggukkan kepalanya. Bungkusan makanan dibuka dan dilihat isi dalamnya. Nasi ayam daripada Chicken Rice Shop itu dihidu. Kemudian diikat kembali. "Nanti petang aku makan. Aku baru lepas makan tengahari tadi." ucapnya. Takut Azimah dengan Haris berkecil hati pula nanti. Baik berterus terang.
Azimah tersenyum. "Tak apa.. Yang penting kau makan. Bukan senang Haris nak belanja makan. Dia ni kedekut." Azimah mencebik.
"Eh eh kau ni. Kau tu yang kedekut tak nak tong-tong dengan aku."
"Tengok Ara. Sibuk nak tong tong. Sape yang kedekut sekarang ni?"
Hara ketawa kecil. "Sudahlah korang. Ish. Asyik bergaduh je dari sampai tadi."
"Haris ni lah."
"Apa aku pula? Kau lah."
"Ah! Sudahlah. Ara , Iqbal mana?"
Serta merta senyuman di bibir Hara hilang. Moodnya yang tadi gembira melihat telatah Azimah dan Haris kini bertukar menjadi muram. Dia tunduk.
Keadaan menjadi sunyi seketika. Timbul rasa bersalah dihati Azimah melihat Hara tiba-tiba berubah.
"Ala.. Biarkanlah Iqbal tu. Dia busy dekat kedai tu. Nahh.. Sekarang ni kau rilek je dekat sini Ara. Pasal Iqbal jangan risau. Dia buat hal aku sekeh kepala dia. Aku back up kau okay?" Haris mengenyitkan matanya memandang Hara. Dia cuba untuk mencipta mood ceria kembali.
"Kau ni gila eh? Ara dekat sini boleh buat apa je? Memang rilek 24 jam kot.. Aduii.." Azimah menjawab. Ada sahaja yang ingin dibalas bila Haris berkata.
"Kau diamlah. Aku bukan cakap dengan kau. Sibuk betul. Aku tampar kang."
"Ewah. Kau ingat pipi aku ni apa? Sesuka hati nak tampar?"
"Pipi kau tu pipi pau...." selamber Haris berkata.
"Haris....!" Azimah sudah berdiri. Dia mendekati Haris.
"Azimah....." panggil Haris. Mengejek cara Azimah memanggilnya tadi.
"Kau ni!"
Pakk!
Satu pukulan hinggap di bahu Haris. Lelaki itu mengaduh.
Hara yang memerhati tergelak. Dibenaknya terfikir. Bagaimanalah rasanya kena pukul sebegitu kuat dengan Azimah. Tangan wanita itu bukan main-main. Keras seperti kayu. Memang padanlah dengan badannya yang besar. Dia yang selalu jadi mangsa pukul oleh Azimah kadang-kadang menyeringai kesakitan walaupun wanita itu hanya memukulnya perlahan.
"Sakitlah gila!" Haris memegang bahunya yang dipukul Azimah.
"Padanlah muka kau! Huh!" Azimah kembali melabuhkan punggungnya disisi Hara sebelum berkata. "Ara... Kalau aku tanya ni kau jangan sedih pula ye."
"Tanyalah Mah. Aku okay je." jawab Hara. Dia tahu perkara apa yang ingin Azimah bicarakan. Wartawan tak bertauliah. Tak akan berhenti selagi tak dapat jawapan yang dia inginkan. Nak tak nak Hara terpaksa menjawab kalau tidak sampai ke sudah Azimah akan cari jalan untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi. Kadang-kadang dia sendiri kagum dengan semangat kawannya itu tapi tu lah kadang-kadang tu over sangat.
"Apa yang jadi?" Azimah bertanya. Satu soalan yang memerlukan beribu jawapan untuk menjelaskan segalanya.
Hara menarik nafas. Dia dah agak dah. Matanya melirik memandang Haris. Timbul rasa tak selesa hendak bercerita jika Haris berada disitu.
"Ara, ceritalah. Apa yang jadi?" sekali lagi Azimah bertanya setelah tiada jawapan yang diterima daripada Hara.
Hara memandang Azimah. Kemudian memandang Haris.
Bagai mengerti. Azimah bingkas bangun. "Kau tunggu dekat luar. Pergi." Azimah menarik tangan Haris. Membawanya pergi ke pintu.
"Apasal pula? Aku pun nak dengar Ara cerita." Haris membantah. Dia cuba melawan tarikan Azimah. Dia juga ingin mengetahui kebenaran di sebalik semua ini.
"Eeee keluarlah. Orang perempuan cerita mana kau boleh dengar. Duduk luar nanti aku panggil masuk balik."
Haris akur. Badannya ditolak Azimah keluar dari bilik yang menempatkan Hara. "Suka hati dia je tolak-tolak aku. Kuat betul tenaga dia. Tak padan dengan perempuan." bebel Haris. Dia mengambil tempat duduk di tempat menunggu. "Emm tapi bila difikirkan balik bagus juga kalau ada isteri macam tu. Boleh suruh angkat macam-macam tak payah harap aku je. Muehehe." sambung Haris lagi. Dia tersenyum jahat.
Setelah pintu ditutup. Azimah kembali disisi Ara. "Okay... Sekarang kau boleh cerita tanpa ada gangguan. Cepat.. Aku nak dengar."
Hara menarik nafas sedalamnya sebelum memulakan cerita. "Sebenarnya Mah..."
Share this novel