SATU keluhan terluah daripada mulut Idayu. Dia benar-benar tidak selesa berada di pejabat. Seharian berada di tempat kerja, namun segala urusan pekerjaannya menjadi tergendala. Sejak pagi sehingga petang, para pekerja di pejabat tidak putus-putus mendatanginya seorang demi seorang. Semuanya bersikap baik dan prihatin kepadanya. Idayu tahu, mereka itu semuanya sekadar ingin mengampu setelah mengetahui dirinya adalah isteri kepada majikan mereka. Bahkan identiti Idayu sebagai anak kepada pemilik syarikat ELBY, perusahaan tekstil terbesar dalam negara lebih mengujakan mereka. Demi menjaga hati setiap orang, Idayu terpaksa jua melayan kerenah para pekerja di sana yang ingin mendekatinya. Malah Idayu juga turut menerima pelbagai jenis hadiah sebagai tanda pertemanan daripada teman sepejabatnya.
Padahal selama bekerja di sana, cuma beberapa orang sahaja yang sudi menjadi kawannya. Dia sebagai pendatang baru di syarikat malah sering bertukar-tukar jabatan membuatkan Idayu kurang dikenali sebelumnya. Jika sebelum ini terdapat beberapa orang yang mempertikaikan kemampuan Idayu yang menjawat sebagai ketua jabatan dalam masa yang singkat, kini semuanya terbungkam. Tiada siapa lagi yang berani untuk mempersoalkan hal tersebut malah yang ada cumanyalah kata-kata pujian dan sanjungan kepada Idayu. Sikap bermuka-muka sebegitu sangat tidak disukai oleh Idayu namun dia terpaksa memperlakukan semua orang dengan baik dan sama rata.
Tamat waktu bekerja, Idayu segera keluar dari biliknya. Dia ingin bergegas untuk menemui Adam dan pulang ke rumah bersama suaminya itu. Kepalanya masih berserabut kerana pada hari tersebut, tiada satu pun pekerjaannya berhasil kerana gangguan dari para pengampu. Tiba di bilik Adam, Idayu langsung menerpa masuk setelah mengetuk pintu. Tanpa disuruh oleh Adam, Idayu segera melabuhkan punggungnya dikerusi dan duduk bertentangan dengan Adam pada meja kerja suaminya itu.
"Kenapa ni? Nampak masam je.. ada apa-apa yang tak kena ke?" Adam segera bertanya setelah melihat reaksi wajah isterinya.
"Hari ni, langsung tak boleh buat apa-apa kerja.. lepas sorang-sorang, datang nak berbaik.. ada yang bawa makanan la, minuman la.. bagi hadiah la.." Idayu mula meluah perasaan.
"Aik, kenapa pulak? hari ni bukan birthday sayang kan?" Adam bingung seketika.
"Birthday apa pulak.. ni semua abang punya pasal la.."
"Eh, apa pulak salah abang?"
"Ye la... sebab abang mengaku, bagitau kita ni suami isteri la.. habis pekerja kat pejabat ni datang nak berbaik.. sampai nak buat kerja pun tak boleh."
"Macam tu pulak.. habis tu, sayang tak suka la kalau abang umumkan pernikahan kita?" Adam bertanya. Idayu terdiam seketika sambil merenung suaminya itu dengan mulutnya sedikit dimuncungkan.
"Bukannya tak suka.. tapi itulah.. kalau orang kat pejabat ni tahu, macam ni la jadinya.."
"Pasal tu abang tak boleh buat apa la.. abang kan duduk kat bilik ni, mana la tahu apa yang jadi kat luar tu.. tapi sayang sebagai ma'am besar kat syarikat ni, sayang sendiri la arahkan diorang.. suruh diorang buat kerja, jangan duk mengampu kat pejabat.." Adam memberikan saran.
"Ish, tak nak la sayang duk bagi arahan macam tu.. nanti dikata orang, melebih-lebih pulak sejak dah jadi bini bos.."
"Lebih tak lebih, hakikatnya sayang memang isteri bos.. jangan duk bagi muka sangat.. kalau duk biarkan, nanti apa kerja pun tak jalan.. lepas tu, syarikat pula yang rugi, menanggung beban.. gaji bayar tapi hasil takde.. dah semua pakat sibuk duk mengampu, bukan nak bekerja.."
"Hmm.. betul jugak.. tapi sayang tak sanggup la nak kata, nak bagi arahan kat orang.."
"Laa.. kan sayang tu ketua jabatan.. memang ada kuasa untuk arahkan orang kat jabatan design tu.."
"Ye tak ye jugak kan.." Idayu tersengih kerana baru menyedari jawatan yang telah disandangnya sebelum ini memberikannya kuasa untuk mengendalikan pekerja bawahannya.
"Bang, banyak lagi ke kerja nak disiapkan? jom la balik.." Idayu kemudian terus mengajak Adam untuk pulang ke rumah mereka.
"Emm.. banyak lagi ni.. rasanya setengah jam pun tak sempat siap ni.. mungkin dalam sejam lagi kot.. sayang boleh tunggu tak?" Adam menunjukkan timbunan fail di atas meja kerjanya.
"Sejam? hmm.. kalau tahu jadi macam ni sayang datang sendiri je pagi tadi.. emm.. kalau sayang naik grab boleh tak?"
"Naik grab pulak dah.. suka hati sayang la.. kalau nak balik dengan abang, tunggu je abang siapkan kerja ni dulu.. kalau nak balik sekarang dengan grab pun, terserah.. kerja ni urgent, abang kena siapkan hari ni jugak.." Adam membalas.
"Maaf mengganggu.." Tiba-tiba Fairuz muncul di depan muka pintu bilik Adam. Idayu dan Adam segera berpaling melihat ke arah pendatang yang tak di undang tersebut. Melihat kehadiran Fairuz, Idayu langsung terdiam dan mengalihkan pandangan. Dia sama sekali tidak ingin melihat atau berurusan dengan wanita tersebut.
"Ada apa lagi datang ke mari?" Adam bertanya dengan suara yang tegas kepada Fairuz.
"Emm.. jangan la marah.. i tahu sebelum ni i buat silap.. i tak tahu pun you dah kahwin dan i tak tahu pun Ayu ni isteri you.. i datang ni sebab nak minta maaf.. i tahu i dah banyak menyusahkan you dan memburukkan Ayu.. i'm sorry okay.. i menyesal sangat-sangat.." Fairuz segera menyampaikan tujuan kedatangannya ke sana. Wanita itu kemudian menghampiri Idayu lantas memegang kedua belah tangan wanita tersebut. Tersentak dengan perlakuan Fairuz, Idayu segera bangkit berdiri dari duduknya. Kini mereka saling bertatapan mata. Fairuz yang lebih tinggi itu membuatkan Idayu sedikit mendongak untuk melihat wanita yang sedang memegang tangannya itu.
"Ayu, i minta maaf ye.. i tahu, i dah keterlaluan dan fitnah you macam-macam.. i betul-betul menyesal dengan tindakan i kat you sebelum ni.. tolong maafkan i.." Fairuz cuba memohon kemaafan daripada Idayu. Idayu kemudian tertunduk seraya menangguk kecil. Walaupun dia sangat sakit hati dengan perbuatan Fairuz terhadapnya sebelum ini, namun tatkala mendengar Fairuz meminta maaf, Idayu terpaksa menerima dan memaafkan wanita tersebut. Dia sebolehnya tidak ingin menyimpan sebarang dendam di dalam hatinya. Walaupun sakit hatinya terhadap Fairuz masih berbekas, namun Idayu memaksakan dirinya untuk berbesar hati memaafkan. Dia sedar, tiada manusia yang tidak berbuat silap. Maka memaafkan itu lebih baik jika orang yang bersalah itu sudah sedar akan kesalahannya.
"You maafkan tak i ni? i ikhlas tau.." Fairuz ingin Idayu menyuarakan sendiri penerimaan permohonan maafnya.
"Ya.. saya maafkan.. kita sebagai manusia, tak lari dari berbuat salah.." Idayu segera menjawab sambil mempamerkan satu senyuman walaupun terlihat kelat.
"Terima kasih Ayu.. i harap, kita boleh berkawan baik selepas ni.." Fairuz mula tersenyum lebar. Wanita itu kemudian berkalih pandang ke arah Adam sebelum melepaskan tangan Idayu yang digenggamnya.
"Adam, i pun nak minta maaf dengan you sebab dah burukkan isteri you, datang buat kecoh kat syarikat you.." Fairuz menatap ke arah Adam. Jujurnya Adam masih curiga terhadap Fairuz. Kemarahannya terhadap teman lamanya itu masih menyala. Adam sukar untuk memaafkan orang yang sudah menyakiti isterinya itu. Namun setelah melihat Idayu sendiri telah memaafkan Fairuz, Adam juga tidak ingin terus memanjangkan hal tersebut. Dia hanya mengangguk sebagai memberi jawapan kepada permohanan maaf temannya itu.
"Hmm.. lega i kalau korang dah maafkan i.. i taknak diri i ni menjadi kebencian orang.. so, lepas ni kita boleh berkawan baik kan?" Fairuz terus berbicara. Idayu hanya mengangguk kecil, namun Adam pula menatap beberapa dokumen di atas meja kerjanya. Lelaki itu sengaja ingin menunjukkan jika dirinya sedang sibuk bekerja dan tidak ingin diganggu.
"Baiklah, tujuan i datang ke sini pun dah tercapai.. i hanya nak minta maaf dari korang je.. so, kalau korang dah maafkan i, i balik dulu la ye.." Fairuz meneruskan kata-kata sampai melambaikan tangannya. Wanita itu kemudian melirik pandangan ke arah Idayu.
"Eh, tadi i dengar you nak balik.. tapi Adam sibuk lagi.. apa kata i tolong hantarkan you?" Fairuz bertanya kepada Idayu.
"Ah, takpe la.. saya nak tunggu Adam je..tak pun nanti saya order grab je.." Idayu membalas.
"Ish, apa pulak naik grab.. dah, jom la i tolong hantarkan.. lagipun, i memang akan lalu kot jalan berhampiran rumah Adam.."
"Saya taknak la menyusahkan awak.." Idayu cuba menolak.
"Apa pulak menyusahkan.. takde susahnya.. i pun akan lalu kot jalan yang sama.. jom la.. jangan la buat i kecil hati.. anggap je bantuan i ni sebagai tanda permohonan maaf i kat you.. okey?" Fairuz masih memujuk. Idayu terdiam sejenak. Dia sebenarnya berat hati untuk menerima pelawaan daripada Fairuz namun dia juga tidak sanggup untuk menyatakan penolakan apabila melihat Fairuz bersungguh-sungguh ingin membantunya.
"Baiklah.. Idayu menyatakan persetujuannya.
"Abang, boleh sayang balik dulu dengan Fairuz?" Idayu meminta izin daripada suaminya terlebih dahulu.
"Baiklah.. pergi la balik dulu.. tak sanggup jugak abang tengok kalau sayang nak kena menunggu kat sini.." Adam membalas.
"Okey, jom.." Fairuz tersenyum sambil mengajak Idayu untuk bersamanya keluar dari bilik Adam. Tanpa membuang masa, Idayu segera mengikuti langkah Fairuz dan meninggalkan Adam di bilik kerjanya. Fairuz dan Idayu mula memasuki lif dan turun ke lantai bawah. Sehingga keluar lif dan berjalan menuju ke kereta Fairuz, mereka hanya saling berdiam diri. Idayu sendiri sebenarnya masih kekok untuk menerima Fairuz sebagai temannya memandangkan selama ini mereka tidak memiliki hubungan yang baik. Sampai di kereta, Fairuz mempelawa Idayu untuk duduk di kerusi bahagian penumpang , bersebelahan pemandu. Setelah masuk ke dalam kereta, Fairuz tiba-tiba menghulurkan sebotol minuman. Idayu yang was-was tetap menerima botol minuman yang dihulurkan.
"Ini produk terbaru i yang akan dikeluarkan tak lama lagi.. jus delima emas.. sangat baik untuk kesihatan.. you pun tahu la kan kelebihan buah delima ni, sangat banyak manfaatnya.. jus i ni memang pure dari buah delima yang fresh.. bukan pakai perisa atau pewarna tau.. kalau ikutkan perancangan, dalam 3,4 hari lagi i akan start launch jus delima ni kat pasaran.. you cuba la minum.. bagitau i macam mana rasanya.. nanti boleh dijadikan testimoni." Fairuz tersenyum sambil memberi penjelasan mengenai produk terbaru yang akan dipasarkannya itu nanti.
"Okey.. nanti saya minum.."
"Eh, minum sekarang la.. i nak dengar feedback you pasal jus delima i ni sekarang.. ada banyak lagi stok dengan i ni.. kalau you nak ambil minum lagi, nanti i boleh bagi je lagi.. yang ni you minum sekarang.." Fairuz seakan mendesak. Mendengar permintaan Fairuz, Idayu tanpa ragu-ragu langsung membuka penutup botol lalu meneguk jus delima yang dimaksudkan.
"Hmm.. macam mana? sedap tak? Kalau ada kurang apa-apa, you cakap je.. nanti i akan buat penambah baikan kat produk i ni.." Fairuz tersenyum.
"Emm.. okey.. sedap.. tak terlalu manis.. rasa delimanya jelas.. saya suka rasa macam ni.." Idayu memberikan maklum balas mengenai jus yang diminumnya.
"Baguslah kalau macam tu.. senang hati i dengar komen positif macam ni.." Fairuz mengangguk sambil mengundurkan keretanya perlahan-lahan. Setelah itu, wanita itu segera mengemudi kenderaanya itu memasuki jalan raya dan mula meluncur laju meninggalkan pekarangan bangunan yang menjadi ibu pejabat bagi syarikat Adam.
Di pertengahan jalan, Fairuz tiba-tiba membelok dan memasuki pekarangan sebuah hotel. Idayu yang merasa pelik langsung bersuara untuk bertanya.
"Kenapa awak masuk kawasan hotel ni?"
"Oh, saya nak jumpa client sekejap kat sini.. awak boleh tunggu kan? sekejap je.." Fairuz menjawab sambil tersenyum. Namun senyumannya itu terlihat pelik pada pandangan Idayu dan mula meresahkan wanita tersebut. Tanpa disangka, Idayu tiba-tiba merasa pening. Pandangan matanya perlahan-lahan mulai berbinar. Idayu mulai khawatir. Dia kemudian teringat dengan minuman jus delima yang diberikan oleh Fairuz. Dia agak ragu dengan minuman tersebut. Malah Fairuz tadi sangat beria-ia meminta Idayu agar segera meminumnya. Idayu segera mencapai telefon bimbitnya dan dengan pantas menaip pesanan ringkas.
"syg kt hotel irama bayu"
Pesanan tersebut segera dihantar kepada Adam. Ayu mula berfikir jika Fairuz sengaja ingin menjerat dirinya ke dalam kecelakaan memandangkan kepalanya tiba-tiba menjadi pening yang teramat dan pandangan matanya semakin kabur.
Pada masa yang sama, Adam yang sibuk menguruskan kerjanya langsung tidak mengendahkan pesanan yang masuk ke telefon bimbitnya. Dia tetap fokus untuk menyelesaikan urusan kerjanya yang masih banyak tertunggak.
Melihatkan Idayu sudah semakin lemah dan tidak berdaya, Fairuz tersenyum lebar. Dia mula memapah Idayu untuk keluar dari perut keretanya.
"Nampaknya ubat yang kau minum tu dah mula memberikan kesan.." Fairuz terpaksa menyokong Idayu untuk turut berjalan bersamanya menuju ke lobi hotel. Setelah menaiki lif dan tiba disebuah bilik, seorang lelaki sudah siap sedia menunggu mereka di sana.
"Sekarang aku serahkan dia kat kau.. nikmatilah perempuan ni baik-baik dan jangan lupa ambil gambar dan rakam video.. aku akan pastikan Adam merasa jijik dengan perempuan ni lepas ni.." Fairuz tersenyum sinis sambil menyerahkan Idayu di pangkuannya kepada seorang lelaki yang berada di dalam bilik hotel.
Share this novel
pendeknya