Bab 22

Romance Series 97025

MATAHARI mulai terperosok dan bersembunyi ke perut bumi. Langit senja pada hari itu disusuli oleh laungan azan maghrib berkumandang seperti biasa. Di kala itu, Idayu baru tiba di pekarangan rumah Adam. Dia yang baru pulang dari hospital masih tertanya-tanya mengenai Adam yang tidak kunjung tiba ke sana. Padahal suaminya itu sudah berjanji untuk menemui ibunya.

Masuk sahaja ke dalam rumah, Idayu segera melihat kelibat seorang wanita yang separuh usia sedang mengemas ruang tamu. Dia langsung mengetahui mengenai wanita yang digelar sebagai Mak Jah itu kerana telah dimaklumkan lebih awal oleh Adam. Demi mengalu-alukan kedatangan wanita yang akan menjadi pembantu rumah di sana, Idayu segera bertegur sapa dan berbual dengan sepupu ibu mentuanya itu.

Oleh kerana keletihan dan tidak ingin melengahkan waktu solat maghrib dengan sengaja, Idayu tidak mampu untuk berlama-lamaan dengan wanita yang menjadi pembantu rumah tersebut. Setelah berbual buat seketika, dia meminta diri untuk masuk ke bilik bagi membersihkan diri dan menunaikan solat maghrib. Baru sahaja Idayu melangkah masuk ke dalam bilik, kelihatan Adam yang baru selesai menunaikan solat. Adam yang menyedari kehadiran isterinya itu hanya berlagak seolah isterinya itu tidak wujud di ruangan tersebut. Lelaki itu hanya diam dan melipat sejadah yang baru digunakannya untuk solat sebentar tadi.

"Abang.. kenapa tak datang ke hospital tadi?" Idayu menegur. Adam pula masih berdiam diri dan segera melangkah keluar dari bilik tersebut. Idayu mula menjadi pelik dengan tingkah laku Adam yang mengabaikan dirinya. Jangankan untuk menjawab pertanyaannya, malah Adam sama sekali tidak memandang ke arah isterinya itu.

'Kenapa pula dia ni? Padahal kat pejabat tadi elok je.. ke aku ada buat salah apa kat dia?' Idayu tertanya sendiri. Dia benar-benar bingung dengan perubahan tingkah laku suaminya yang terjadi secara tiba-tiba. Tidak ingin membuang masa, wanita itu terus melucutkan pakaiannya dan menuju ke bilik air untuk mandi dan menyegarkan tubuh badannya.

Selesai mandi, Idayu segera menunaikan solat maghrib dan tetap berada di sejadah untuk membaca al-quran sementara menunggu tibanya waktu isyak. Selesai mengerjakan solat isyak, barulah perempuan itu keluar dari bilik dan menuju ke ruang dapur. Di dapur, Adam sudah pun makan makanan yang disediakan oleh Mak Jah.

"Hmm, lapar betul abang ni.. sampai tak sempat tunggu untuk makan sama-sama.." Idayu menyapa suaminya itu. Dia segera menarik kerusi di meja makan dan duduk bertentangan muka dengan Adam.

"Wah, banyak betul lauk.. Mak Jah yang masak semua ni?" Idayu bertanya. Namun Adam masih tetap diam dan asyik menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Pandangan matanya langsung tidak melihat ke arah isterinya itu dan hanya bertumpu ke arah nasi yang terisi di dalam pinggannya sahaja.

"Mak Jah mana? Kat dalam bilik dia ke?" Idayu terus melontarkan pertanyaan walaupun tiada satu pun daripada soalannya dijawab oleh Adam. Idayu menatap wajah suaminya yang tidak mempedulikan segala pertanyaannya itu. Hatinya mula rasa terkilan dengan perbuatan Adam. Lelaki itu masih meneruskan makannya sambil menundukkan pandangan.

"Abang dah solat isyak ke?" Idayu meneruskan lagi pertanyaan untuk berbicara. Namun begitu, Adam tetap membisu. Idayu mula bertambah jengkel. Perlakuan suaminya itu dirasakan cukup menyebalkan hati. Sejak pulang ke rumah, suaminya itu masih mendiamkan diri dan tidak ingin berbicara. Baru sahaja Idayu ingin melampiskan perasaannya, tiba-tiba Mak Jah muncul dan menyapa.

"Haa, dah makan? Mak Jah baru siap solat isyak.. Eh, Ayu kenapa tak makan lagi?"

"Mak Jah.. jom la duduk, makan sama.." Idayu segera mempamerkan senyuman dan terus memendamkan perasaannya terhadap Adam. Baru sahaja Mak Jah melabuhkan punggungnya di kerusi pada meja makan, Adam pula sudah pun selesai menjamu selera. Lelaki itu lantas bangkit berdiri dan menuju ke arah sinki untuk membasuh tangannya.

"Adam dah selesai makan? Dah kenyang ke?" Mak Jah menegur Adam. Lelaki yang baru selesai membasuh tangannya itu merenjis-renjis air yang tersisa di tangannya sambil menatap ke arah Mak Jah.

"Dah.. Mak Jah makan la.. Saya nak masuk ke bilik dulu." Adam menjawab dan langsung meninggalkan ruang dapur tersebut. Idayu terkebil-kebil melihat tingkah-laku suaminya itu. Sejak dari tadi, segala pertanyaannya langsung tidak dijawab oleh Adam. Namun lelaki itu mampu sahaja membalas pertanyaan Mak Jah walaupun dengan bersahaja. Semakin jelas difikiran Idayu jika lelaki itu sedang mempunyai masalah dengan dirinya. Namun Idayu semakin bingung, entah dimana salah dan silap dirinya sehingga suaminya berkelakuan sebegitu terhadapnya. Beberapa detik kemudian, kelibat Adam hilang dari pandangan setelah dia meninggalkan ruangan dapur.

"Jom la kita makan Mak Jah.." Idayu kembali mengukirkan senyum kepada Mak Jah walaupun senyumannya itu terlihat sedikit hambar. Dua orang wanita itu kemudian menjamah hidangan makan malam mereka sambil berbual.

Leka dengan perbualan, Idayu tidak menyedari jika dia sudah menghabiskan masa lebih dari satu jam berada di dapur bersama Mak Jah. Setelah selesai mengemas dan mencuci pinggan mangkuk, mereka akhirnya beradu dan Idayu mula menuju ke bilik tidur. Di bilik, Adam yang sedang membaca buku menghentikan pembacaannya setelah menyedari kehadiran isterinya itu. Adam segera berbaring di katil dan bersiap sedia untuk tidur tanpa mempedulikan Idayu.

"Belum pukul 11, dah nak tidur?" Idayu menegur suaminya. Adam pula masih terlihat seakan memekakkan telinganya. Matanya dipejam rapat sambil berbaring di tilam empuk.

"Huh!" Idayu mendegus, seraya menghembuskan satu nafas yang mengandungi keluhan. Dia langsung tidak mengerti dan tidak tahu punca kenapa suaminya itu bersikap sedemikian. Wanita itu kemudian menempatkan punggungnya di atas katil, di sebelah pembaringan suaminya. Matanya masih menatap Adam yang sedang berpura-pura tidur.

"Abang.. sejak saya balik tadi, abang langsung tak pedulikan saya.. saya tegur, tanya macam-macam.. satu pun abang tak jawab.. abang ada masalah apa sebenarnya? Kalau saya ada buat salah, bagitahu je la.. jangan duk diam macam tu.. kalau diam je, takkan menyelesaikan masalah." Idayu mula meluahkan perasaannya yang dipendam sejak dari tadi. Adam pula masih terbaring kaku sambil memejamkan matanya. Idayu kemudian meneruskan lagi kata-katanya bagi meleraikan kekusutan yang sedang melanda pemikirannya.

"Saya tak tahu apa salah saya.. abang buat saya macam tak wujud.. kalau saya ada buat salah, tolong la betulkan.. bukan ke itu satu tanggung jawab seorang suami? Kalau suami yang tak tegur dan betulkan kesilapan isteri, nak harapkan siapa lagi? Ni, abang diam je dari tadi.. saya ni macam bercakap dengan tunggul kayu, abang tahu tak? Saya pun ada hati dan perasaan juga.. cuba abang fikir, kalau saya pun buat diam, tak jawab pertanyaan abang, apa yang abang akan rasa?  sekarang saya bingung.. saya tak tahu apa salah saya sampai abang diam, tak nak tegur, tak nak jawab pertanyaan saya.. kita dah jadi suami isteri.. kalau ada apa-apa masalah, kita bincang.. selesaikan sama-sama.. Bukan ke kita dah janji, takkan ada rahsia lagi antara kita?" Idayu bertalu-talu meluahkan perasaan yang sedang bermain di dalam jiwanya.

Mendengar ucapan isterinya itu, Adam mula tersentak. Namun lelaki itu masih tetap kaku dan diam dipembaringannya. Dia masih memikirkan akan kebenaran kata-kata Idayu. Melihat Adam yang masih tiada tindak balas, Idayu menjadi semakin geram.

"Dah lah.. malas saya nak layan perangai awak yang macam ni.. kalau macam tu, saya balik ke rumah saya je la.. baik saya duk sorang-sorang. Takde  sakit hati.." Idayu merajuk dan ingin bangkit dari katil yang di dudukinya. Ketika itu juga tangan Adam dengan pantas menyambar lengan Idayu dan menahan isterinya itu daripada beralih.

"Jangan.." Adam segera bangkit daripada pembaringan dan memegang kemas tangan isterinya.

"Saya minta maaf.. saya terlalu ikutkan emosi." Adam mula merendahkan egonya dengan meminta maaf di atas kesilapannya.

"Emosi? Kenapa abang nak emosi? Saya ada buat salah apa?" Idayu kembali bertanya. Adam terdiam sejenak sambil merenung dengan pandangan yang kosong.

"A..abang.. tadi abang dah pergi ke hospital.. abang dah pergi ke bilik wad mak.."

"Hah, masa mana pula? Saya duk tunggu je kat sana.. takde pun abang muncul." Idayu mula merasa pelik.

"Masa abang baru nak melangkah masuk kat muka pintu, abang dengar, mak nak kahwinkan sayang dengan Doktor Farhan." Adam langsung berterus terang dengan peristiwa yang berlaku siang tadi. Idayu terus terkejut dengan pengakuan suaminya itu.

"Ya Allah.. jadi sebab tu abang tak masuk? terus balik tanpa jumpa mak?" Idayu bertanya lagi. Adam tertunduk diam tanpa menjawab pertanyaan tersebut. Setelah menghela nafas berat, Idayu tersenyum kecil sambil memandang ke wajah suaminya itu.

"Abang.. sayang kan dah kahwin.. abang kan dah jadi suami sayang.. tak payah la nak cemburu macam tu.. macam mana sekali pun, sayang mana boleh kahwin dengan orang lain dah, selagi mana kita masih sah sebagai suami isteri.. mak kan tak tahu yang kita ni dah kahwin.. sebab tu mak cakap macam tu.." Idayu cuba memujuk setelah mengetahui punca sebenar perubahan suaminya sejak dari tadi.

"Tapi.. sayang.. ada apa dengan Farhan tu?" Adam masih menginginkan penjelasan.

"La.. Farhan tu kawan sayang je la.. kami kenal dari masa sekolah lagi.. sayang pun takde apa-apa la dengan dia.. tak lebih dari seorang kawan je.. malah selama ni pun, sayang mana pernah rapat pun dengan dia.. berkawan hanya sekadar kenal je.. sekarang je selalu bertemu kat hospital sebab dia yang bertugas untuk rawat mak.."

"Betul ni?"

"Ya Allah.. betul la.. Wallahi, sayang tak pernah ada apa-apa dengan dia.. Abang jangan duk cemburu buta macam tu.. okey, kali ni sayang minta maaf.. memang sayang tak patut bercakap pasal Farhan dengan mak.. tapi tadi sayang pun dah bagitahu kat mak, jangan lagi bercakap pasal Farhan sebab sayang dah ada orang yang sayang suka.. cuma sayang tak bagitahu la mak yang kita dah kahwin.. takut mak terkejut pula." Idayu terus memberikan penjelasan.

"Orang.. yang sayang suka?" Adam terkejut mendengar pengakuan isterinya itu.

"Ye la.. takkan tak suka kat suami sendiri?" Idayu mengulum senyum. Adam pula mula berubah gembira. Hatinya terasa mekar berbunga setelah mendengar ucapan isterinya itu. Lelaki itu kemudian meramas lembut tangan Idayu yang berada di genggamannya. Dia mulai sedar mengenai perhubungan dua hala dalam rumah tangga. Adam benar-benar menyesali tindakannya yang beremosi disebabkan salah faham dan cemburu buta. Dia kini mengerti betapa pentingnya untuk berbincang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience