JARI jemari Idayu laju menekan papan kekunci komputer. Tidak lama kemudian, gadis itu berhenti daripada menaip dan menyandarkan belakang badannya ke kerusi. Kepalanya sedikit terdongak dengan matanya dipejam rapat. Idayu kemudian menghela nafas panjang. Sambil menghembuskan nafas, dia mencelikkan kembali matanya dan melihat ke arah kole di atas meja. Bekas minumannya itu sudah tidak berisi. Tekaknya pula sudah kehausan. Idayu segera bangkit sambil memegang kole di tangan. Dia lantas menuju ke arah pantri pejabat untuk mendapatkan air minuman. Pada masa yang sama, Hafiz keluar dari biliknya dan melihat Idayu yang sedang berjalan. Lelaki itu kemudian berjalan mendekati salah seorang pekerja yang berada berhampirannya.
Di pantri, Idayu membasuh bersih terlebih dahulu kole miliknya. Setelah itu, dia mula mengisi air panas di dalam kole tersebut. Tiba-tiba Hafiz muncul di pantri. Lelaki itu melangkah menghampiri Idayu sambil mempamerkan senyuman pada bibirnya. Idayu yang menyedari kehadiran lelaki yang menjawat jawatan sebagai pengurus itu menundukkan pandangannya dan berpura-pura seolah tidak menyedari kedatangan pegawai tersebut.
"Hmm.. saya minta maaf pasal tadi.." Hafiz mula bersuara. Idayu sedikit tersentak dengan permohonan maaf lelaki tersebut.
"Tadi saya tengah sibuk dan berserabut dengan masalah.. saya tak patut lepaskan kemarahan saya tadi kat awak." Lelaki disebelah Idayu itu meneruskan kata-katanya.
"Oh, tak apalah kalau macam tu.. saya tak salahkan Encik Hafiz.. salah saya juga ganggu Encik Hafiz tak kena pada masa.." Idayu tersenyum tawar. Gadis itu kemudian ingin membuka langkah kakinya namun di tahan oleh Hafiz.
"Nanti.. tadi awak nak minta tolong saya kan?" Hafiz bertanya. Idayu terhalang pergerakannya oleh Hafiz itu memandang ke arah lelaki tersebut. Mulutnya masih tidak membalas ucapan pengurusnya itu.
"Baiklah.. saya boleh tolong awak.. nanti berikan kat saya design awak tu." Hafiz ingin memberikan harapan kepada gadis di hadapannya. Idayu segera berubah riak wajahnya setelah mendengar kata-kata tersebut. Garis bibirnya terus mengukirkan senyuman.
"Betul ke? Encik Hafiz boleh tolong saya?" Idayu menjadi teruja. Dia benar-benar berharap pengawainya itu sanggup untuk membantu dirinya mencapai cita-cita.
"Ya.. saya boleh bantu awak.." Hafiz bersuara datar. Dia melanjutkan lagi ucapannya.
"cuma.. ada syaratnya.."
"Syarat?" Idayu mula merasa pelik.
"Takkan la saya nak bantu saja.. saya pun perlukan balasan.." Hafiz tersenyum.
"Balasan? Maksud Encik Hafiz? Apa yang saya boleh bantu Encik Hafiz?" Idayu yang berfikiran polos masih tidak mengerti niat pegawai atasannya itu.
"Apa kata.. awak bantu saya... kita.." Hafiz tanpa segan silu memegang tangan Idayu. Gadis itu tersentak dan langsung menarik tangannya ke belakang.
"Apa ni Encik Hafiz?" Idayu segera berundur sedikit ke belakang beberapa langkah. Perlahan-lahan, Hafiz juga turut bergerak dan terus menghampiri gadis di hadapannya.
"Awak jangan la buat-buat tak faham.. saya cuma nak kita bersama.." Hafiz kembali menyambar dan menggenggam tangan Idayu dengan kemas.
"Jangan.. jangan buat saya macam ni.. tolong.." Idayu cuba meronta dan melepaskan tangannya daripada cengkaman Hafiz namun tidak berdaya. Genggaman tangan lelaki itu terlalu kejap dan kuat untuk dilawan oleh Idayu.
"Saya janji, takkan mengecewakan awak.. saya takkan sia-siakan awak.. awak pasti akan bahagia.." Hafiz melebarkan senyuman sambil merapatkan dirinya ke arah Idayu.
"Jangan buat saya macam ni.. lepaskan saya.. saya.. saya dah berkahwin.." Idayu terus meronta.
"Kahwin? awak ingat saya tak tahu? saya dah tengok butiran diri awak.. masih bujang.. sejak bila pula awak dah kahwin?"
"Saya baru je kahwin.."
"Awak tak payah nak menipu.. baru kahwin, tapi cincin kat jari pun takde.. inai pun takde.. awak kahwin dengan saya je la.. saya takkan sia-siakan perempuan cantik macam awak.. saya pasti akan buatkan awak bahagia.." Hafiz semakin galak. Lelaki itu cuba merapatkan mulutnya ke arah wajah Idayu. Demi mempertahankan dirinya, Idayu segera menyimbah air panas di dalam kole pada tangannya ke arah Hafiz.
"Arghh!" Hafiz segera melepaskan cengkaman tangannya pada tangan Idayu. Air panas yang disimbah oleh Idayu membuatkan lelaki itu kesakitan, malah bajunya turut basah. Kemarahan mula memenuhi ruang hati lelaki tersebut.
"Tak guna! Kau nak bunuh aku ke? betina sial..!" Hafiz mengangkat tangannya untuk melepaskan satu tamparan ke arah muka Idayu. Namun tanpa di duga, tangan lelaki itu tiba-tiba tersekat pergerakannya. Dia tidak mampu untuk melayangkan tamparan ke arah Idayu. Hafiz segera berpaling ke arah belakang. Lelaki itu langsung terkejut apabila melihat Adam sedang berdiri dan memegang tangannya. Ketua Pegawai Eksekutif itu sedang menahan tangan Hafiz daripada menampar Idayu.
"En..encik Adam.." Hafiz merendahkan pandangannya apabila melihat Adam sedang merenung tajam ke arahnya.
"Apa hal ni?" Adam segera bersuara.
"Encik Adam.. tadi.. " Idayu cuba menjelaskan keadaan. Namun belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Hafiz segera mencelah dan memotong percakapan gadis tersebut.
"Tak ada apa Encik Adam.. tadi, perempuan ni jalan tak tengok depan.. dia langgar saya dan tumpahkan air panas kat badan saya." Hafiz ingin menutup kejadian sebenar yang berlaku. Adam memandang ke arah baju Hafiz yang sudah basah. Lelaki itu kemudian mengalihkan pula pandangannya ke arah Idayu.
"Betul ke apa yang dia cakap?" Adam bertanya kepada Idayu. Hafiz pula segera menjeling dengan pandangan mata yang tajam ke arah Idayu. Mulut lelaki itu kelihatan terkumat kamit, seolah sedang memberi amaran dan sumpah seranah kepada Idayu. Reaksi Hafiz itu seolah satu ancaman kepada Idayu. Gadis itu mula ketakutan. Bimbang jika dirinya akan diapa-apakan pula di masa akan datang oleh lelaki tersebut.
"Aa..aaa.. saya.." Idayu ragu-ragu untuk berterus terang. Renungan daripada Hafiz benar-benar menggentarkan jiwanya. Dia takut jika lelaki itu akan bertindak lebih ganas di masa akan datang.
"Cakap je.. saya nak dengar perkara yang sebenar." Adam bersuara lagi.
"Betul Encik Adam.. memang salah saya.. saya yang tak hati-hati tadi.." Idayu menjawab sambil menjatuhkan pandangan wajahnya. Dia tertunduk menatap lantai kerana ketakutan dengan ancaman yang diberikan oleh Hafiz.
"Kalau cuma sebab macam tu, tak perlu sampai pukul perempuan.." Adam melepaskan cengkaman tangannya kepada Hafiz.
"Ya.. saya terlalu ikut emosi tadi.. maafkan saya.." Hafiz pula tertunduk dan menrendahkan kepalanya kepada Adam sambil tersengih.
"Dah.. pergi sambung buat kerja masing-masing.." Adam memberikan arahan. Lelaki itu kemudian memandang pula ke arah Idayu.
"Awak, datang ke pejabat saya sekarang." Adam memberikan arahan sekali lagi kepada Idayu. Lelaki itu kemudian berpaling punggung dan segera meninggalkan kawasan pantri tersebut. Hafiz turut terkocoh-kocoh mengikuti Adam dari belakang. Idayu pula terpempan. Gadis itu kemudian menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
'Ada apa pula mat kunyit ni panggil aku..? mampus aku.. ni mesti nak marah pasal aku tumpahkan air panas kat Hafiz tu.' Idayu mengomel di dalam hatinya.
"Haihh.. malapetaka apa entah yang aku dapat kat pejabat ni.. yang pengurus kaki perempuan.. CEO pula tak minat perempuan.. tapi lapar nak berbini.." Idayu menggerutu perlahan. Kole ditangannya diletakkan di atas meja berdekatan. Gadis itu terdiam seketika. Fikirannya mengelamun jauh. Tidak lama kemudian, Idayu tersentak dan tersedar daripada lamunannya.
"Eh, Encik Adam suruh aku ke pejabat dia dengan segera.. lupa pula.." Idayu lantas menjadi kelam kabut dan mula membuka langkah kakinya meninggalkan pantri. Dia harus menuju ke bilik Adam dengan secepat mungkin untuk mengelakkan majikannya itu menjadi naik angin. Sampai di depan pintu bilik, Idayu lantas mengetuk pintu dan masuk ke dalam bilik Adam. Gadis itu berjalan sambil menundukkan pandangannya ke bawah. Dia sebenarnya ketakutan jika dirinya akan dimarahi oleh majikannya itu.
"Ambil ni.." Adam meletakkan satu kotak kecil yang terbalut dengan baldu berwarna merah di hujung mejanya. Idayu sedikit terkejut.
"Apa ni?" Idayu bertanya seraya mencapai bekas kotak tersebut. Matanya terbuntang setelah melihat isi yang berada di dalam kotak yang baru diambilnya itu.
"Anggap je itu cincin perkahwinan kita.. saya lupa nak bagi kelmarin.. ingat, perkara ni jangan sampai orang lain tahu." Adam memberi peringatan ulangan. Idayu mengangguk faham tanpa membalas sebarang kata.
"Pakai la.. jangan duk tengok saja." Adam mengarahkan isteri yang baru nikahinya itu untuk memakai cincin yang diberikan.
"Baiklah.." Idayu segera menyarungkan cincin emas yang diterimanya. Gadis itu tersenyum simpul sambil melihat cincin pernikahan yang tersemat di jari manisnya itu.
"Terima kasih.." Idayu tersenyum, seraya menatap Adam yang duduk di hadapannya. Hati perempuan itu terasa kembang mekar berbunga-bunga.
"Terima kasih untuk apa?" Adam bertanya ringkas.
"Ini.. cincin ni.."
"Itu kan cincin kahwin.. awak dah jadi isteri saya.. saya kena la bagi cincin tu.. tak perlu nak berterima kasih pun.." Adam tetap berwajah dingin. Matanya berkalih kepada skrin komputer di mejanya.
"Tapi tak salah kalau saya nak berterima kasih kan?" Idayu membalas. Dia mula tertarik dengan sikap suami kontraknya itu. Adam pula merenung tajam ke arah Idayu. Mulutnya lelaki itu masih terkunci rapat tanpa mengeluarkan sepatah kata. Melihat reaksi Adam, Idayu segera menurunkan pandangan matanya. Setelah masing-masing mendiamkan diri, suasana menjadi sepi seketika.
"Tadi.. apa yang berlaku kat pantri?" Adam tiba-tiba ingin tahu kejadian sebenar yang berlaku di antara Idayu dan Hafiz sebentar tadi.
"Err... tak.. takde apa.. saya je yang cuai.." Idayu masih ingin berselindung. Renungan Hafiz tadi kembali terbayang di mindanya. Dia khawatir jika lelaki itu mengambil tindakan yang lebih aggresif jika dia melaporkan hal sebenarnya kepada Adam. Mendengar jawapan Idayu, Adam diam seketika. Sejenak kemudian lelaki dingin itu bersuara kembali.
"Mulai sekarang, awak tak perlu kerja sebagai kerani lagi.."
"Eh? Jangan.. tolong jangan pecat saya.." Idayu terkejut lantas segera merayu kepada majikannya itu. Dia tidak ingin kehilangan pekerjaannya.
"Awak ditukarkan.. jadi pembantu saya.. awak duduk je kat depan bilik saya tu.." Adam segera memberikan penjelasan. Idayu tergamam.
"Jadi pembantu? Tapi.. bukan ke dah ada Encik Shakir?" Idayu merasa pelik dengan arahan Adam.
"Shakir tu setiausaha saya.. dia uruskan kerja-kerja pentadbiran untuk saya.. awak jadi pembantu peribadi saya. Saya nak awak duduk tak jauh dari saya.. untuk elakkan awak bagitahu orang lain mengenai hubungan kita.. lagipun, kat sini, takde orang yang akan buli awak lagi.." Adam meneruskan penjelasannya. Idayu segera mengangguk. Gadis itu mula memikirkan, mungkin Adam sudah mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di antara dirinya dengan Hafiz sebentar tadi. Di sebabkan itu Adam berkata sedemikian. Namun Idayu masih ragu-ragu dengan keputusan Adam untuk menjadikan dirinya sebagai pembantu peribadi. Padahal majikannya itu sudah pun memiliki seorang setiausaha lelaki. Selama ini pun, ramai yang menuduh Adam mempunyai hubungan dengan setiausahanya itu. Disebabkan itu, lelaki tersebut mempamerkan sikap dingin terhadap wanita. Adam tidak suka melantik setiausaha daripada golongan wanita sebagaimana kebiasaan yang berlaku di tempat lain. Lelaki itu sangat jelas tidak ingin di dekati oleh mana-mana wanita selama ini. Kini, Idayu menjadi pengecualian. Gadis itu benar-benar bingung.
"Jadi.. apa skop tugas saya? saya kena buat apa?" Idayu ingin tahu mengenai jawatan barunya itu.
"Pergi buat air kopi untuk saya." Adam memberikan perintah.
"Eh?" Idayu kebingungan. Dia tidak mengerti, kata-kata Adam itu adalah satu perintah atau hanya sekadar penjelasan mengenai tugasnya.
"Pergilah.. tunggu apa lagi? Buatkan saya air kopi." Adam menguatkan suaranya. Idayu tersentak dan menjadi kelam-kabut. Gadis itu kemudiannya segera berpaling punggung dan berjalan keluar dari bilik majikannya itu.
"Huh, kata taknak bagi orang buli aku kat sini.. tapi dia sendiri yang duk buli aku.. dasar kunyit." Idayu merungut sambil berjalan menuju ke pantri. Gadis itu kemudian menghembuskan satu nafas yang terkandung keluhan. Dia tidak mengerti, kenapa dirinya harus menjadi pembancuh air kepada majikannya itu. Padahal dirinya sendiri, sejak tadi sudah kehausan dan masih belum mendapatkan setitik air minuman pun.
Share this novel