Bab 15

Romance Series 97025

ANGIN bertiup sepoi-sepoi bahasa, menggoyangkan daun-daun yang tergantung di dahan pokok. Dedaunan yang bertepuk tampar itu menghasilkan desir yang terdengar mendamaikan, seolah sedang berzikir kepada Tuhan. Beberapa ekor burung yang bertenggek di dahan pokok juga turut bersiul girang, saling bersahutan, seakan memuji kebesaran Yang Maha Esa. Suasana damai yang jauh dari kesibukan kota itu terasa menenangkan jiwa. Di sebuah rumah di kawasan tersebut, kelihatan Khadijah sedang menaburkan makanan buat ayam ternakannya. Tidak lama kemudian, sebuah kereta BMW terlihat sedang menyusuri jalan dan masuk ke pekarangan rumah.

Kereta mewah itu kemudian berhenti dan parkir di hadapan rumah tersebut. Seketika kemudian, Adam keluar dari kenderaannya itu. Khadijah yang melihat sosok anak lelakinya itu lantas menghampiri. Adam segera bersalaman dan mencium tangan ibunya itu.

"Eh, Adam sorang je ke? Ayu mana? dia tak ikut sekali ke?" Khadijah mula menyoal, bertanya tentang menantunya.

"Entahlah Ibu.. tadi Ayu bagitahu dia ada urusan penting.. dia suruh Adam datang dulu dan hantar location rumah ni kat dia.. nanti dia datang." Adam menjawab pertanyaan ibunya.

"Ish, kamu ni.. setidaknya, teman la Ayu tu dulu.. selesaikan urusan dia dulu.. lepas tu datang la sama-sama.. ni datang ke rumah Ibu pun asing-asing, tak nampak macam suami isteri pun.." Khadijah membalas. Adam langsung terdiam. Padahal dia datang bersendirian terlebih dahulu ke rumah ibunya itu pun disebabkan oleh permintaan Idayu sendiri.

"Ke Adam ada masalah dengan Ayu? bergaduh?" Khadijah cuba membuat tekaan.

"Eh, takde la bu.. semuanya okay je.. kami baik-baik je.."  

"Ye ke? baguslah kalau macam tu.. haa.. ni ibu nak tanya.. bila Adam nak buat kenduri? takkan dah kahwin pun masih nak diamkan lagi? Nanti apa pula orang kata.."

"Isshh, nanti la Ibu.. tak payah fikir lagi la pasal kenduri tu.. janji Adam dah kahwin.. tak cukup lagi ke?"

"Masalahnya tiada siapa tahu yang Adam dah kahwin.. kalau tak buat kenduri, nanti kalau orang nampak Adam duk berdua dengan Ayu tu macam mana? tak pasal-pasal orang akan mengata, buat fitnah.. kalau buat kenduri, nanti semua orang pun tahu.. takde la orang nak mengata yang bukan-bukan."

"Biar je la apa orang nak kata.. janji kita tak ganggu diorang." Adam berkeras tidak ingin mengadakan kenduri perkahwinan.

"Mana boleh macam tu.. Kita dianjurkan untuk war-warkan perkahwinan.. kenduri tu la cara untuk kita bagitahu kat orang. Dengan begitu, kita dapat menutup pintu fitnah.. Lain la kalau takde kemampuan.. Masalahnya Adam bukan takde kemampuan.. dah lebih dari cukup.. Ibu pun bukannya nak Adam buat kenduri besar-besaran, bermewah, megah-megahan.. majlis yang sederhana pun dah cukup.."

"Hmm.. nanti la bu.. Adam bincang dengan Ayu dulu."

"Ish budak ni.. jadi sampai sekarang Adam langsung tak fikir pasal nak buat kenduri?" Khadijah menggelengkan kepala seraya menampar bahu anaknya.

"Dah la.. jom la masuk ke dalam rumah dulu.." Khadijah segera berpaling punggung dan berjalan menuju ke arah tangga rumahnya. Adam juga turut mengekori arah jejak ibunya itu. Setelah masuk ke dalam rumah, dua beranak itu kemudian melanjutkan perbualan mereka.

Masa kian berlalu. Mentari di ufuk barat kian sirna dan senja mula melabuhkan tirainya. Kawanan burung sudah pulang dan berdiam diri di sarang mereka. Di saat itu, sebuah kereta perodua axia berhenti di pekarangan rumah Khadijah. Idayu akhirnya tiba setelah seharian ibu mentuanya itu menanti. Adam pula agak tidak senang dengan kelewatan isterinya itu. Kali pertama bertandang ke rumah ibu mentuanya, Idayu sudah menunjukkan sikap yang tidak sepatutnya. Sudahlah isterinya itu menolak untuk mereka datang bersama dengan alasan mempunyai urusan, malah Idayu juga datang lewat pada masanya.

"Maaf Ibu.. tadi Ayu ada urusan sikit.. nak datang sini pun, jalan jammed teruk. Tu yang terlambat.." Idayu segera bersalaman dan meminta maaf kepada mentuanya. Dia sedar akan kesilapannya namun kelewatannya itu bukanlah sesuatu yang disengajakan. Tadi wanita itu terpaksa ke hospital terlebih dahulu untuk melawat ibunya yang terlantar di sana. Keadaan ibunya yang masih lemah walaupun sudah beberapa hari berada di hospital itu sangat merunsingkan Idayu. Setelah pulang dari hospital dan ingin menuju ke rumah ibu mentuanya melalui kedudukan lokasi yang diberikan oleh Adam, wanita itu terperangkap pula di dalam kesesakan lalu lintas.

"Takde apalah.. asalkan Ayu dapat sampai rumah ibu ni elok-elok pun dah cukup baik." Khadijah memahami keadaan yang ditempuhi oleh menantunya itu. Pada waktu petang, wajar sahaja akan berlaku kesesakan lalu lintas yang tak dapat di elakkan. Adam pula mendiamkan diri sambil memerhatikan Idayu yang baru tiba.

"Ayu rehatlah dulu.. dah maghrib ni.. nanti mandi, solat.. lepas tu kita makan sama-sama." Khadijah bersuara lagi. Idayu hanya tersenyum sambil menjatuhkan punggungnya di sofa pada ruang tamu.

"Minumlah dulu.." Adam menuangkan air ke dalam gelas lalu dihulurkan kepada Idayu. Wanita itu hanya menurut. Gelas berisi air yang dihulurkan di sambut oleh Idayu. Tidak lama kemudian, mereka bersiap-siap untuk menunaikan solat maghrib secara berjemaah. Bacaan ayat suci al-quran mula berkumandang di dalam rumah. Suara Adam yang mengalunkan bacaan sebagai imam kedengaran merdu dan mengasyikkan. Selesai menunaikan kewajipan yang dituntut ke atas setiap diri orang Islam itu, Idayu membantu pula ibu mentuanya memasak di dapur.

"Sambal petai ni kegemaran Adam.. Nanti kalau dia merajuk ke, Ayu masak je sambal petai macam ni.. senang je nak pujuk dia.." Khadijah berbual dengan Idayu sewaktu sedang memasak di dapur.

"Oh, dia suka sambal petai rupanya.. kalau letak udang, lagi sedap.." Idayu membalas.

"Eh, jangan.. Adam pun alergi udang juga macam ibu.." Khadijah pantas memberi peringatan.

"Oh, Adam pun sama juga macam ibu?"

"Ya.. Sebab tu la keluarga kami tak makan udang. Ibu ni okay lagi.. alergi pun, cuma berbedan kat seluruh badan je.. tapi kalau Adam, lagi teruk."

"Lagi teruk?"

"Ah, sebab tu Ayu kena ingat baik-baik, jangan bagi Adam makan udang.. alergi ni mungkin sebab keturunan kot.. Ambil mangkuk tu.. dah siap pun. Pergi la panggil Adam makan." Khadijah menunjuk ke arah mangkuk yang terletak di rak. Idayu segera akur dan menuruti kata-kata mentuanya itu.

Sedang mereka menjamu selera, tiba-tiba telefon bimbit Idayu berdering. Wanita itu melihat pada layar telefonnya. Nama Farhan terpapar di layar. Idayu  yang menyedari Adam sedang merenung ke arahnya tidak ingin menjawab. Panggilan daripada Farhan di tolak. Idayu kemudian meneruskan suapan nasi ke mulut. Seketika kemudian, panggilan daripada Farhan kembali lagi. Idayu mula berasakan ada sesuatu yang tidak kena. Tanpa berfikir panjang, wanita itu menjawab panggilan daripada Farhan.

"Hello.. Ya Farhan.. ada apa?"

"Ayu.. awak kat mana? boleh tak awak datang ke hospital dengan segera?" Suara Farhan kedengaran seolah sedang kelam kabut.

"Kenapa? Ada apa-apa yang tak kena ke?" Idayu mula menjadi cemas setelah mendengar nada suaran Farhan.

"Mak awak.. keadaan dia semakin teruk.. saya rasa, dia perlu ditidurkan.. tapi kami perlukan kebenaran awak terlebih dahulu.. saya harap awak dapat datang dengan segera." Farhan memberikan penjelasan. Idayu lantas tersentak. Jantungnya dirasakan hampir berhenti berdegup.

"Ya Allah.. baiklah.. saya ke sana sekarang.. awak tunggu je kat sana." Idayu sudah tidak mampu menenangkan dirinya. Dia lantas bangkit berdiri dan meninggalkan meja makan. Wanita itu membersihkan tangannya dan mendekati Khadijah buat seketika.

"Ibu.. Ayu minta maaf.. Ayu kena pergi dulu.. ada urusan penting.. " Idayu kelam kabut.

"Ayu kenapa? Apa yang dah terjadi?" Khadijah kebingungan dengan reaksi menantunya itu.

"Adam.. saya pergi dulu ya.." Idayu sekilas memandang ke arah suaminya dan segera membuka langkah dengan terburu-buru. Adam hanya terdiam sambil merenung isterinya yang pergi dengan keadaan yang kelam kabut.

"Adam.. kenapa dengan Ayu? kamu pergi la temankan dia.." Khadijah bersuara kepada Adam.

"Biar je la dia bu.. Nanti la kita tanya dia.." Adam membalas. Matanya kemudian berkalih ke arah nasi yang masih berbaki di dalam pinggan. Jari-jemari lelaki itu kembali menggaul-gaul nasi tersebut dengan perlahan.

'Farhan..' Terdetik nama doktor lelaki itu di dalam hati Adam. Adam tidak tahu apa yang sedang berlaku di antara doktor lelaki itu dengan isterinya. Namun hatinya terasa sakit apabila mendengar Idayu menyebutkan nama lelaki tersebut sebentar tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience