Bab 37

Romance Series 101562

DUA hari berlalu. Urusan pekerjaan Adam di Jakarta sudah pun selesai. Kini Adam dan Idayu mula mengambil peluang untuk makan angin dan menikmati pemandangan sekitar di kota Jakarta. Sejak dari awal, Adam sudah pun berencana untuk tinggal lebih lama di sana dengan tujuan untuk berbulan madu. Fikirnya, inilah waktu sesuai untuk dirinya meluangkan lebih masa untuk berduaan bersama isterinya itu.

Setelah seharian berjalan, mereka akhirnya memutuskan untuk makan malam di sebuah restoran yang menyediakan masakan khas Malaysia. Masuk sahaja ke dalam restoran, mereka segera mengambil tempat duduk dan membuat pesanan. Selesai membuat pesanan, Idayu menatap wajah Adam yang bersandar di kerusi kerana keletihan. Wanita itu benar-benar bahagia. Dia sangat gembira apabila melihat Adam yang keletihan kerana melayan karenahnya sepanjang hari. Idayu yang teruja menjadi seorang pelancong begitu bahagia apabila Adam yang juga merangkap sebagai majikannya itu sudi menemani bahkan menghabiskan banyak wang untuk memenuhi keinginannya.

"Nasib baik ada juga restoran masakan Malaysia kat sini.. terubat juga rasa rindu kat kampung." Idayu memulakan bicara sambil tersenyum menatap suaminya. Mendengarkan ulah isterinya, Adam membetulkan duduknya.

"Aihh, baru dua hari kat sini, dah rindu kampung halaman?" Adam segera membalas.

"Kalau pasal suasana tu, lebih kurang sama je sini dengan Malaysia.. takde beza sangat.. cuma jalan raya je la bising.. hon tak berhenti.. tapi kalau pasal makanan, memang berbeza sakan.. makanan sini tak sesuai dengan tekak la.. Makanan Malaysia jugak yang paling best." Idayu memberikan pandangan mengenai kehidupan di kota Jakarta.

"Ah, kat sini ramai yang bawa motor berbanding kereta.. tak macam kat Malaysia.. hon tu sentiasa berbunyi.. memang sakit kepala duk dengar." Adam tertawa setelah mengiyakan kata-kata isterinya. Sesaat kemudian, lelaki itu segera bangkit berdiri dari duduknya.

"Abang nak pergi tandas jap.." Adam menyampaikan hasratnya. Idayu hanya mengangguk memahami. Sejurus itu juga Adam segera berlalu pergi dan meninggalkan Idayu sendirian di meja makan. Tidak lama kemudian, makanan dan minuman yang dipesan oleh mereka tadi pun tiba. Selesai menghidangkan makanan kepada pelanggannya, pelayan restoran segera berpaling punggung dan meninggalkan Idayu bersama hidangan makanannya. Tanpa menunggu lama, Idayu yang kehausan segera menyedut air dari gelas untuk membasahkan tekak. Jus tembikai yang dipesannya tadi benar-benar memberikan nikmat kepada wanita tersebut.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki berdiri di sebelah Idayu. Lelaki itu menatap tepat ke arah wanita yang baru melepaskan hujung penyedut minuman dari mulutnya. Dengan dahi yang berkerut, lelaki itu mendekatkan dirinya ke arah Idayu.

"Ayu? Awak Ayu kan?" Lelaki itu segera menyapa dengan pertanyaan. Dia seakan was-was dengan identiti wanita dihadapannya itu. Idayu pula segera berpaling ke arah lelaki yang berdiri disebelahnya itu setelah mendengar namanya disebut.

"Eh, Farhan? Betul ke awak ni Farhan? Macam mana awak boleh ada kat sini?" Idayu yang terkejut segera mengenalpasti sosok individu yang mendatanginya itu.

"Wah, tak sangka pulak kita boleh berjumpa kat sini.." Farhan yang teruja mula tersenyum lebar. Lelaki itu kemudian menempatkan dirinya di kerusi yang di duduki oleh Adam sebentar tadi dan menghadap bertentangan pandangan dengan Idayu. Setelah membetulkan duduknya, Farhan segera menyambung ucapannya.

"Saya datang semalam kat sini.. ada Asean medical conferences.. awak pulak buat apa kat sini? sorang je ke?"

"Emm.. saya pun ada urusan kerja kat sini.. saya.. datang dengan bos.." Idayu agak gugup untuk mengatakan jika dia datang bersama suaminya. Memandangkan kedatangan mereka ke sana adalah berawal dengan urusan kerja, maka Idayu cuba memberikan jawapan yang sepatutnya.

"Oh, mana bos awak? kenapa makan sorang je kat sini? Kalau macam tu, boleh la kita makan sama-sama.."

"Susah jadi pengembala.. baru tinggal ternakan sekejap, serigala terus muncul.." Tiba-tiba Adam muncul, berdiri disebelah Idayu. Lelaki itu berwajah tegang, seolah tidak menyenangi kehadiran Farhan di sana. Farhan dan Idayu langsung terdiam. Masing-masing tidak berani bersuara apabila melihat riak wajah yang dingin daripada Adam. Adam segera melabuhkan punggungnya dikerusi, rapat disebelah Idayu.

"Doktor Farhan buat apa kat sini? takde orang sakit dah ke kat hospital, sampai datang ke sini nak buat orang sakit?" Adam bersuara tenang namun penuh dengan sindiran. Matanya memandang tepat ke arah wajah doktor lelaki yang berhadapan dengannya itu.

"Tak baik cakap macam tu.." Idayu berbisik sambil menepuk lengan suaminya. Wajahnya ditundukkan ke bawah kerana malu kepada Farhan disebabkan ucapan Adam sebentar tadi.

"Oh, tak sangka awak dah kenal saya.. jadi awak ni bos Ayu?" Farhan bertanya.

"Suami! aku suami dia.." Adam bersuara dengan bangga. Dia ingin Farhan tahu jika Idayu sudah pun menjadi miliknya. Mendengar jawapan daripada Adam, riak wajah Farhan mula berubah. Dia terkejut setelah mengetahui Idayu sudah pun berkahwin. Matanya kemudian melirik ke arah Idayu untuk mendapatkan kepastian. Namun Idayu pula menundukkan wajahnya. Idayu sebenarnya agak malu setelah Farhan mengetahui jika dia kini bersama suaminya. Padahal sebentar tadi dia sendiri yang mengatakan jika dia ke sana bersama majikannya disebabkan urusan kerja. Kini Idayu merasakan seolah dirinya telah menipu dan penipuannya terbongkar pula. Padahal dia sama sekali tidak berniat untuk berbohong. Rasa bersalah mula menyelubungi hatinya.

"Ya, Ini suami saya.." Idayu bersuara perlahan sambil pandangannya masih tertunduk ke bawah. Farhan hanya diam melihat tindak-tanduk wanita dihadapannya itu. Lelaki itu yakin jika Idayu sekarang mula berasa serba salah.

"Jadi, korang tinggal kat mana kat sini?" Farhan mula mengalih topik perbualan.

"Emm.. kami duduk kat hotel Gran Melia Jakarta.." Idayu segera menjawab, diiringi senyuman hambar yang terukir di bibirnya.

"Oh, sama la kita.. saya pun tinggal kat hotel tu jugak.. nanti pagi esok, boleh la kita breakfast sama-sama kat sana.." Farhan mempamerkan wajah yang teruja.

"Tak perlu fikir benda yang nak jadi esok.. sekarang kami nak dinner dulu.. taknak makan ke?" Adam pula bersuara sambil memegang pinggan yang berisi nasi lemak di meja makan.

"Oh, saya tak order lagi.." Farhan membalas. Seraya itu juga dia melambaikan tangan, memanggil pelayan di restoran agar mendatanginya. Lelaki itu kemudiannya menatap semula ke arah Adam yang sedang duduk bertentangan dengannya sambil melanjutkan kata.

"Dah selesai ke urusan kerja korang kat sini? sampai bila duduk kat Jakarta ni?"

"Hmm, dalam sehari dua lagi.. Lusa tiket flight balik KL." Idayu menjawab.

"Baguslah kalau macam tu.. boleh la kita ronda Jakarta ni sama-sama esok.."

"Eh, awak bukan kena hadir conference ke?" balas Idayu.

"Selepas habis conference la.. selepas zohor saya dah free.. lagipun saya dah buat presentation hari ni.. kalau tak join untuk esok pun takpe dah." Farhan melepaskan tawa dihujung ucapannya.

"Saya okey je.. makin ramai, lagi bagus.." Idayu tersenyum terhadap lelaki di hadapannya. Adam pula tiba-tiba berdaham sambil mengunyah makanan di dalam mulutnya. Lelaki itu mula mendiamkan diri setelah menjamu selera, namun matanya seringkali mencuri pandang ke arah Farhan dan Idayu, berselang seli sambil turut memerhatikan nasi lemak dipinggan. Idayu tahu, suaminya itu sengaja membuat suara batuk kecil tersebut kerana tidak suka dengan kehadiran Farhan di sana. Sebelum ini, Adam sendiri pernah meluah rasa cemburunya dan tidak suka melihat Idayu berada bersama Farhan kerana salah anggap terhadap hubungan mereka. Namun pertemuan mereka kali ini adalah sesuatu yang tidak dijangka. Mahu atau tidak, Idayu terpaksa menerima kehadiran Farhan bersama mereka di saat itu. Suasana kemudian menjadi semakin canggung dan sunyi sepi. Farhan segera membuat pesanan makanan kepada pelayan restoran.

Sepanjang masa berlalu, mereka bertiga lebih banyak berdiam diri dan hanya sesekali berbicara. Farhan sendiri sedar jika kehadirannya telah mengganggu Adam yang sedang bersama isterinya. Namun kerana sudah terlanjur duduk bersama di satu meja, dia terpaksa terus berada di sana, apalagi di saat itu, mereka bertiga sedang berada di luar negara. Duduk bersama teman dari kampung halaman mungkin dirasakan lebih baik berbanding sendirian di sana, malah Idayu bukanlah orang asing bagi dirinya. Mereka sudah saling mengenali sejak dari bangku sekolah lagi.

Setelah selesai makan malam, mereka kemudian segera pulang ke hotel bersama memandangkan mereka menetap di tempat yang sama. Sepanjang perjalanan, Farhan masih terus berbicara dengan Idayu. Manakala Adam pula lebih banyak mendiamkan diri. Walaupun Adam tidak suka dengan kemunculan Farhan di sana, namun setidaknya dia tidak ingin menimbulkan sebarang masalah. Lelaki itu lebih banyak memasang telinga, mendengar perbualan diantara isterinya dan Farhan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience