Bab 14

Romance Series 97025

MENTARI petang condong di ufuk barat. Suasana di kota raya hingar bingar dengan deruan enjin daripada pelbagai jenis kenderaan. Jalan raya penuh sesak disebabkan ramai orang sudah pun pulang dari kerja mereka. Dicelahan kesesakan tersebut, Idayu turut terperangkap. Wanita itu yang bosan melayani kesesakan lalu lintas itu kemudian terpandang ke arah sebuah mall. Idayu kemudian membelokkan arah kenderaannya dan berniat untuk mengunjungi pusat membeli belah terlebih dahulu. Dia tidak sanggup untuk terus membuang masa di atas jalan raya. Sementara menunggu kesesakan jalan raya berkurangan, Idayu berhajat untuk mencari beberapa barang keperluan di gedung membeli belah di sana.

Setelah mendapatkan parkir untuk kenderaannya, Idayu sendirian berjalan di dalam mall. Sambil berjalan, mata Idayu melilau ke sekeliling arah. Dia sengaja ingin mencuci mata dengan melihat setiap kedai yang dilewatinya. Wanita itu ingin melengah-lengah sambil menghabiskan masa sementara menunggu kesesakan jalan raya. Seketika kemudian, Idayu menghentikan langkah kakinya di hadapan sebuah kedai emas. Perlahan-lahan dia melangkah masuk. Sebagai seorang wanita, sudah menjadi lumrah bagi Idayu untuk tertarik dengan perhiasan. Selama ini, dia tidak terkecuali dalam memiliki niat untuk mendapatkan perhiasan emas buat dirinya. Namun disebabkan perlu mengutamakan rawatan kepada ibunya, Idayu terpaksa mengorbankan keinginannya itu. Hanya sebentuk cincin perkahwinan sahaja yang tersemat pada jari manisnya.

Mata Idayu seolah terpukau apabila melihat emas yang berupa cincin, gelang dan rantai yang dipamerkan di dalam almari kaca. Perhiasan wanita yang pelbagai bentuk dan berat daripada emas itu benar-benar memikat hati Idayu. Namun gadis itu hanya sekadar mampu untuk melihat sahaja. Dia sedar, dirinya tidak memiliki kemampuan untuk mendapatkan perhiasan tersebut. Mata Idayu kemudian tertancap ke arah seutas rantai. Rantai emas yang mempunyai loket batu delima merah berbentuk hati mencuri tumpuan gadis tersebut.

"Wah, cantiknya rantai ni.. harganya.. 17 ribu.. emm.. boleh tahan.." Idayu menelan liur sambil tersenyum kelat. Seorang juru jual wanita yang berada di hadapannya pula menatap Idayu sambil mempamerkan senyuman hambar. Matanya memandang ke arah Idayu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Juru jual tersebut kemudian sedikit mencebikkan bibir apabila menyedari Idayu hanya berpenampilan biasa. Pakaiannya terlihat biasa dan di tangan dan jarinya juga tiada perhiasan mewah selain sebentuk cincin. Pada pandangan juru jual tersebut, Idayu pastilah bukan bakal pembeli di kedainya dan sudah pasti tiada kemampuan untuk membeli emas di situ. Berdasarkan pengalamannya, dia dapat membuat kesimpulan jika pelawat seperti Idayu pastilah hanya datang untuk melihat semata-mata. Dia hanya akan membuang masa jika melayan sebarang pertanyaan daripada gadis tersebut.

Idayu kemudian beralih ke arah almari kaca di sebelah pula. Gadis itu terbuntang matanya apabila melihat seutas gelang tangan.

"Ini.. design gelang terbaru kan? berapa berat gelang ni?" Idayu cuba bertanya kepada juru jual di sana. Namun jurujual tersebut seolah tidak mengendahkan pertanyaan Idayu kepadanya.

"Berapa harga gelang ni?" Idayu masih ingin tahu. Dia memandang ke arah juru jual di sana untuk mendapatkan jawapan. Namun reaksi daripada juru jual terbabit sangat mendukacitakan Idayu. Wanita yang menjadi juru jual di sana mendekati Idayu dengan pergerakan yang malas, seraya menghembuskan nafas keluhan.

"Mahal gelang tu.." Juru jual menjawab dengan acuh tak acuh.

"Mahal tu berapa?" Idayu mengulangi pertanyaannya.

"Mahal la.. awak tak payah ambil tahu la.."

"Eh, awak nak menjual ke tidak ni?" Idayu membalas. Dia sudah tidak senang melihat reaksi yang di tunjukkan oleh juru jual terbabit.

"Gelang tu mahal.. kalau saya bagitahu pun, awak takkan beli." Juru jual tersebut langsung menyampaikan ucapan yang menyinggung perasaan Idayu.

"Mana awak tahu saya takkan beli? awak tahu ke berapa duit yang saya ada?" Idayu bertanya lagi. Kali ini, juru jual tersebut tidak lagi menjawab. Namun wanita tersebut mencebikkan bibir sambil matanya melihat kuku pada jari tangannya sendiri.

"Bawa keluar gelang tu, saya nak tengok." Idayu yang merasa tercabar meminta agar gelang emas yang dilihatnya itu dikeluarkan dari cermin kaca. Namun gadis tersebut turut risau jika nanti akan terus diperli. Dia yakin dirinya sememangnya tidak mampu untuk membeli gelang tersebut. Manakala juru jual terbabit masih tidak mengendahkan permintaan Idayu. Wanita itu tetap berpura-pura sibuk menilik kuku pada jarinya.

"Awak dengar tak apa yang saya cakap? bawa keluar gelang tu, saya nak tengok." Idayu menguatkan sedikit suaranya.

"Tsskk.. tak payah la.. awak takkan mampu.." Juru jual itu masih ingin merendah-rendahkan Idayu. Melihat sikap kurang ajar juru jual tersebut, kesabaran Idayu semakin menipis. Gadis itu kemudian menarik nafas bagi menenangkan dirinya dari dikawal kemarahan.

"Kan dia cakap keluarkan gelang tu.. dia nak tengok.. awak pekak ke?" Tiba-tiba Adam muncul dari belakang dan berdiri di samping Idayu. Idayu pula terkejut dengan kehadiran suaminya yang langsung tidak terduga itu. Wanita juru jual pula menjeling ke arah Adam, seraya mendengus kencang. Namun dia masih tidak berganjak dari tempatnya dan tetap berdiri kaku.

"Panggil manager! Saya nak jumpa manager!" Adam bersuara agak tinggi. Dia benar-benar sudah tidak ingin memberi muka kepada juru jual yang sombong itu. Wanita seperti itu patut diberi pelajaran dan tidak layak untuk menjadi juru jual di sana. Seketika kemudian, seorang lelaki separuh umur datang dan mendekati Adam. Setelah melihat Adam, lelaki yang menjawat sebagai pengurus di kedai emas tersebut tersentak.

"En..encik Adam.. Kenapa Encik Adam datang ke sini? Ada apa yang saya boleh bantu?" Lelaki tersebut segera menyapa Adam.

"Hah, bang man.. saya nak buat laporan, pekerja di sini taknak layan saya dan isteri saya.." Adam segera menjawab sambil menuding jari ke arah juru jual yang tidak mengendahkan Idayu sebentar tadi. Tangan kiri lelaki itu pula perlahan-lahan merangkul pinggang Idayu yang sedang berdiri di sebelahnya. Idayu membatu. Dia yang tadinya terkejut dengan kemunculan Adam kini bertambah terkejut dengan ucapan lelaki itu yang berterus terang memperkenalkan dirinya sebagai isteri di tempat umum.

"Kau.. kau tahu tak dia ni siapa? Berani kau tak layan Encik Adam dan isteri dia.." Othman yang bertugas sebagai pengurus di kedai tersebut menengking juru jual yang ditunjukkan oleh Adam. Juru jual wanita itu pula lantas menjadi pucat wajahnya. Lidahnya kelu untuk memberikan balasan.

"Encik Adam ni adalah CEO Kejora Group.. Syarikat dia yang terkenal dalam rekaan dan peragaan fesyen adalah pelanggan utama syarikat kita.. Kau memang tak guna.. kau tak layak bekerja kat sini." Othman terus menengking pekerja di kedai emas tersebut.

"Maaf.. maafkan saya.. saya tak tahu tadi.. saya betul-betul minta maaf.." Juru jual yang angkuh tadi membongkokkan badannya meminta maaf.

"Dah.. mulai sekarang, kau tak payah bekerja kat sini lagi.." Othman meluahkan kemarahannya.

"Tolong.. jangan pecat saya.. saya betul-betul perlukan kerja.. kalau saya tak kerja, susah anak-anak saya nanti.. tolong la encik Othman.. saya betul-betul minta maaf.." Juru jual wanita itu langsung menangis apabila dirinya bakal kehilangan pekerjaan.

"Encik.. tolong beri dia peluang.. jangan pecat dia lagi." Idayu pula tiba-tiba bersuara. Dia cuba untuk membela juru jual yang sudah menghinanya tadi. Awalnya, Idayu juga bersetuju jika juru jual tersebut diberhentikan. Namun setelah mendengar wanita tersebut mempunyai anak-anak untuk di sara, hati Idayu mula terusik. Dia tidak ingin sebuah keluarga mengalami kesusahan hanya kerana untuk memuaskan hatinya sendiri. Juru jual tersebut sememangnya bersalah dalam merendah dan menghina pelanggan di kedai. Namun anak-anak wanita itu langsung tidak bersalah dan tidak sepatutnya mendapat kesukaran dalam hidup mereka hanya disebabkan kesalahan ibu mereka. Sebagai seorang anak yang kesusahan dalam berjuang demi hidupnya selama ini, Idayu cuba memahami penderitaan anak-anak wanita tersebut jika ibu mereka kehilangan pekerjaannya hari ini.

"Tapi sayang.. orang macam ni, memang patut di ajar.." Adam memandang ke arah Idayu. Fikir Idayu, Adam cuba meneruskan lakonan mereka sebagai suami isteri ketika itu untuk menolong dirinya. Di sebabkan itu, Idayu mula membuat keputusan untuk turut berlakon sebagai pasangan yang mesra sebagaimana yang diinginkan oleh Adam.

"Abang.. beri dia peluang untuk perbaiki diri.. setiap orang pun pasti ada buat silap kan? Kalau pun marah kat dia, tapi jangan la tutup periuk nasi dia." Idayu cuba memujuk Adam.

"Hmm.. baiklah.. Abang man.. Jangan pecat dia.. bagi dia peluang, macam yang isteri saya katakan.." Adam menyampaikan kehendak Idayu kepada pengurus kedai tersebut.

"Baiklah." Othman mengangguk. Lelaki itu kemudian mengalihkan pandangannya ke arah juru jual wanita yang sedang menangis seraya melanjutkan ucapannya.

"Ingat, saya bagi awak peluang kedua disebabkan permintaan dari Puan.. isteri Encik Adam.."

"Baiklah.. terima kasih Encik.. Terima kasih puan.." Juru jual itu menundukkan kepalanya beberapa kali. Dia benar-benar kesal dengan kesalahan yang dia lakukan tadi. Dia tersilap dalam menilai pelanggannya.

"Maafkan kami Encik Adam sebab berikan layanan yang buruk.. saya betul-betul kesal dengan kejadian yang berlaku hari ni.. Tapi saya sangat kagum dengan isteri Encik Adam.. Puan..?" Othman bersuara.

"Ayu.." Idayu segera menjawab apabila menyedari Othman ingin mengetahui namanya.

"Maafkan saya Puan Ayu.. Saya tak sangka, Puan Ayu sangat berjiwa besar dan sudi memaafkan kelancangan pekerja kami.. Malah penampilan Puan pun sangat bersederhana.. Encik Adam betul-betul tak tersalah pilih isteri.." Othman menaburkan kata-kata pujian untuk menyenangkan hati pelanggannya.

"Dah la.. keluarkan gelang yang isteri saya minta tadi.." Adam memberikan arahan.

"Cepat ambilkan gelang yang puan minta tadi." Othman mengarahkan pula pekerja di bawah kendaliannya. Wanita juru jual tadi dengan pantas mengeluarkan gelang yang diinginkan oleh Idayu tadi.

"Adam.." Idayu berbisik perlahan sambil menarik lengan Adam. Dia sebenarnya tidak berniat untuk membeli gelang tersebut. Terlihat dari saiznya sahaja, Idayu sudah mampu menganggarkan, nilainya pasti mencecah puluhan ribu ringgit. Bagi Idayu, dia tidak ingin menghabiskan wang simpanan untuk rawatan ibunya hanya demi membeli gelang tersebut.

"Berapa harganya?" Adam bertanya kepada Othman.

"Oh, yang ini.. cuma 35ribu Encik Adam.."

"Hah? Cuma 35ribu.. tapi awak anggap isteri saya tak layak untuk pakai? Huh!" Adam sengaja ingin memerli juru jual yang telah menghina isterinya tadi.

"Maaf.." Juru jual wanita itu tertunduk malu.

"Apa lagi yang sayang mahu?" Adam bertanya kepada Idayu yang masih dirangkulannya. Idayu pula tersenyum tawar sambil menggelengkan kepala.

"Ah.. tadi Puan ada tengok rantai itu kan?" Juru jual wanita itu segera bergerak untuk mendapatkan kalung emas yang dilihat oleh Idayu tadi.

"Ada lagi?" Adam bertanya lagi kepada isterinya. Namun kali ini Idayu menggelengkan kepalanya dengan lebih kuat.

"Saya sebenarnya tengah cari hadiah untuk ibu.. kan nanti kita nak ke rumah ibu.." Idayu menyampaikan hasratnya kepada Adam.

"Hmm.. kalau begitu, pilihlah satu untuk ibu.."

"Eh? itu kan dah beli.. bagi je la gelang dan rantai tu kat ibu."

"Gelang dan rantai tu kan untuk awak.. hhmmm.. untuk sayang.. Untuk Ibu, pilih je la yang lain." Adam membalas. Dia sempat membetulkan ucapan dan mengubah panggilan terhadap Idayu apabila menyedari perbualan mereka sedang di amati oleh Othman. Idayu mula terlopong mulutnya. Dia tidak menyangka Adam akan benar-benar membelikan perhiasan emas sebentar tadi untuk dirinya.

"Tapi.." Idayu menjadi serba salah.

"Cepat.. pilihkan satu untuk ibu.." Adam mengarahkan isterinya. Idayu terpinga-pinga dan segera melihat ke arah perhiasan emas yang terdapat di dalam almari kaca.

"Kalau gelang tu, okay tak untuk Ibu?" Idayu cuba mendapatkan pandangan suaminya.

"Sayang pilih je sendiri.." Adam memberikan kebebasan untuk Idayu memilih. Bagi lelaki itu, isterinya itu pasti lebih tahu apa yang paling sesuai untuk diberikan kepada Ibunya.

"Kalau macam tu, ambil gelang ni je la.." Idayu membuat keputusan. Juru jual di sana segera mendapatkan gelang yang ditunjukkan oleh Idayu.

Setelah selesai urusan pembelian di kedai tersebut, pasangan suami isteri itu keluar dari kedai itu dan berjalan beriringan di ruang legar mall. Sambil berjalan, Idayu menghulurkan barangan kemas yang dibeli oleh Adam tadi kepada suaminya itu.

"Ini.. gelang dan rantai yang Encik Adam belikan.." Idayu ingin menyerahkan kembali barangan kemas yang baru dibeli sebentar tadi.

"Kan saya dah cakap, itu semua untuk awak.. pakai je la.. dan gelang untuk Ibu tu, nanti awak serahkan sendiri kat Ibu.. kan awak yang nak bagi hadiah tu." Adam lantas membalas. Idayu terkedu. Rupa-rupanya Adam benar-benar memaksudkan kata-katanya ketika di dalam kedai emas tadi. Semua barangan kemas tersebut sememangnya dibeli untuk Idayu.

"Tapi.."

"Awak tu isteri saya.. kena la jaga sikit penampilan awak tu.. jangan la nampak selekeh sangat." Adam memintas percakapan Idayu.

"Tapi kita kan cuma berlakon.."

"Berlakon atau tidak, awak tetap isteri saya.." Adam berkeras. Idayu mula terdiam. Gadis itu kemudian menghentikan langkah kakinya. Dia kembali keliru dengan perbuatan Adam. Lelaki di sampingnya itu turut berhenti. Adam kemudian menggenggam tangan Idayu dan kembali melangkahkan kakinya. Idayu hanya menurut arah langkah kaki suaminya itu.

"Kan saya bagitahu dulu.. awak kena jadi isteri saya ketika diperlukan.. jadi sekarang, saya nak awak jadi isteri saya.. temankan saya kat mall ni." Adam bersuara lagi. Idayu sedikit tersentak. Dia mula hairan, entah apa keperluan untuk Adam menyuruhnya berlakon sebagai isteri di pusat membeli belah tersebut. Padahal, seingat Idayu, Adam mengupahnya untuk menjadi isteri hanya untuk berlakon di depan ibunya sahaja. Seketika kemudian, Idayu mula mengabaikan hal yang bermain di fikirannya ketika itu. Oleh kerana dia sudah mendapat arahan untuk berlakon sebagai isteri, maka dia akan melakukannya tanpa banyak soal kepada majikannya. Perlahan-lahan Idayu merangkul lengan Adam dan berjalan beriringan dengan suaminya itu.

"Tapi.. kenapa Encik Adam datang ke mall masa ni?" Idayu bertanya.

"Jangan panggil saya Encik.. berapa kali saya nak kena bagitahu? lagipun kita bukan kat pejabat.." Adam memberi peringatan. Idayu kebingungan. Padahal di sekitar mereka, langsung tiada orang yang dikenali. Fikir Idayu, tiada keperluan sebenarnya untuk dia menjayakan watak isteri kepada majikannya itu malah dengan menyebut panggilan manja.

"Emm.. Abang datang sini buat apa?" Idayu bertanya sekali lagi walaupun terasa agak janggal untuk membahasakan diri Adam sebegitu.

"Sebenarnya saya nak cari barang keperluan rumah.. lagi pula, esok ada orang gaji yang akan uruskan rumah saya.." Adam menjawab.

'Ah.. kan aku biasa bahasakan diri saya, awak je dengan dia.. kenapa aku panggil dia abang pula..' Idayu bermonolog di dalam hati.

"Perempuan ke?" Idayu terlanjur bertanya.

"Dah tu, mana ada pembantu rumah lelaki.." Adam langsung menjawab. Idayu pula malu sendiri. Dia merasa terpukul dengan jawapan suaminya itu.

"Awak kata nak cari barang keperluan rumah.. tapi kenapa pergi arah sini? barang keperluan belah sana.. belah sini ada butik pakaian je." Idayu bertanya lagi. Dia mula merasa pelik dengan arah yang sedang di tuju oleh suaminya itu.

"Ah, kita ke butik pakaian la dulu.."

"Untuk apa?"

"Untuk apa lagi.. cari pakaian untuk awak la.." Adam lantas menjawab. Idayu tersentak lagi. Dia tidak tahu Adam kini sedang bergurau atau memaksudkan kata-katanya.

"Saya ke sini bukan nak cari pakaian.." Idayu sekali lagi menghentikan langkah kakinya sambil menarik lengan Adam untuk menahan lelaki tersebut.

"Saya tak suruh awak beli pun.. saya yang nak beli.. awak pilih je apa yang awak nak.." Adam membalas.

"Tak.. jangan macam ni.. saya tak nak semua tu.." Idayu ingin menolak. Dia tidak mahu terus menyusahkan suaminya itu dan ingin mengelak dari dirinya digelar sebagai pengikis duit lelaki.

"Ayu.. awak sekarang dah jadi isteri saya.. saya kena bertanggung jawab ke atas awak. Pakaian awak pun menjadi nafkah untuk saya sediakan.."

"Tapi kita kan cuma berlakon.. saya tak minta tu semua." Idayu cuba memberikan penjelasan untuk menolak pemberian Adam.

"Berlakon atau tidak, awak tetap dah jadi isteri saya yang sah. Awak sudah menjadi tanggungan saya.. mahu atau tidak, saya kena laksanakan tugas sebagai seorang suami.. Saya tak nak, disebabkan hanya lakonan, nanti di akhirat, saya akan dipersoalkan mengenai nafkah terhadap isteri." Adam memberikan jawapannya. Idayu terkedu. Dia langsung tidak menyangka Adam akan berfikiran sejauh itu. Padahal Idayu sendiri sudah memahami tugas dan tanggung jawab masing-masing ketika melakukan hubungan lakonan sebagai suami isteri. Dia tidak pernah berfikir untuk menuntut nafkah dan tanggung jawab daripada Adam. Hubungan mereka hanya sebatas sebuah perjanjian sahaja. Mereka melaksanakan akad nikah dan menghalalkan hubungan mereka pun hanyalah semata-mata untuk memudahkan mereka bersentuhan ketika melakonkan watak sebagai pasangan suami isteri.

"Saya.. takkan tuntut pun.." Idayu bersuara perlahan sambil merendahkan pandangan matanya.

"Awak buat je tugas awak.. saya akan buat tugas saya.. sekarang saya nak belikan pakaian untuk awak.. awak cuma ada dua pilihan."

"Saya tak nak.." Idayu lantas menjawab.

"Awak nak atau tidak, itu bukan pilihan yang awak ada.. sekarang awak nak ikut berjalan dengan saya ke butik tu, atau nak saya dukung awak?" Adam melontarkan pertanyaan. Idayu tercengang. Lelaki di sampingnya itu seolah sudah hilang akal pada pandangan Idayu.

"Okay.. kalau macam tu, saya dukung.." Adam merendahkan badannya.

"Jangan! Baiklah, saya jalan.." Idayu segera menghalang. Dia benar-benar risau jika Adam benar-benar berbuat gila dan mendukungnya di hadapan orang ramai di dalam mall tersebut. Adam pula tersenyum simpul.

"Tadi saya dah cakap, sekarang ni awak kena jadi isteri saya.. Jadi, berlagaklah sebagai seorang isteri.." Adam memandang tepat ke mata Idayu. Lelaki itu kemudian menghulurkan lengannya kepada Idayu. Tanpa terus bersuara, Idayu memahami kehendak suaminya itu. Wanita itu segera merangkul lengan Adam dan merapatkan jarak mereka.

"Jom.." Adam kembali melangkah dan Idayu juga turut mengikuti lelaki tersebut. Walaupun Idayu masih dilanda kebingungan dengan sikap Adam, namun pada masa yang sama dia turut merasa bahagia. Dia gembira apabila diperlakukan dengan baik oleh suaminya itu. Terdetik di hati kecilnya, alangkah baiknya jika hubungan mereka itu menjadi benar dan bukan lagi sebuah lakonan. Idayu terasa dirinya sangat dimanjakan oleh suaminya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience