Bab 24

Romance Series 66682

PULANG dari pejabat, Adam dan Idayu segera menuju ke hospital. Setelah tiba di hospital, kedua mereka berjalan beriringan menuju ke arah wad yang menempatkan ibu Idayu. Namun, di pertengahan jalan, Adam menghentikan langkah kakinya. Idayu yang pelik dengan tindakan suaminya itu segera menegur.

"Kenapa? Ada apa yang tak kena?" Idayu ingin tahu alasan Adam menghentikan pergerakan kakinya. Adam pula menggaru-garukan kepala sambil tersengih.

"Abang lupa la nak bawa buah tangan.. abang nak pergi beli buah kat kedai hujung blok tu.. rasa segan la kalau jumpa mak tak bawa apa-apa.. sayang pergi la kat wad mak dulu.. nanti abang datang." Adam berterus-terang dan menyatakan keinginannya.

"Hmm.. ye la.. jangan lama sangat." Idayu tersenyum melihat gelagat suaminya itu.

"Alah, kedai depan tu je.. sayang pergi la dulu jumpa mak.." Adam berpatah arah dan mula berjalan meninggalkan Idayu. Idayu terus tersenyum sambil menggelengkan kepala. Wanita itu kemudian meneruskan langkahnya menuju ke arah wad dimana ibunya berada.

Baru sahaja melangkah masuk ke dalam ruangan wad, Idayu segera melihat sosok Farhan sedang berdiri dan berbincang sesuatu dengan jururawat di kaunter wad. Wanita itu tidak berhajat untuk menyapa kenalannya itu yang terlihat sibuk membincangkan urusan kerjanya, namun Farhan segera menyedari kehadiran Idayu di sana.

"Ayu.. dah datang pun awak.." Farhan segera menyapa sambil melambaikan tangannya, sebagai isyarat memanggil Idayu agar mendekatinya. Menyedari panggilan daripada Farhan, Idayu akur dan merapati kawannya itu.

"Ya, kenapa?" Idayu langsung bertanya setelah mendekati Farhan.

"Emm.. saya cuma nak bagitahu keadaan mak awak je.. nampaknya kesihatan mak awak dah semakin baik dan stabil. Mungkin esok atau lusa dah boleh discharge kot." Farhan menyampaikan berita gembira buat Idayu.

"Betul ke? baguslah kalau macam tu." Idayu mula girang dan tersenyum lebar. Dia sangat menantikan berita tersebut sejak beberapa minggu yang lalu. Akhirnya khabar baik itu didengari juga oleh telinganya.

"Esok kami akan scan sekali lagi.. jadi, tengok kepada keadaan la macam mana.. kalau mak awak dapat giliran pagi untuk lakukan scan tu, mungkin esok dah boleh balik.. tapi kalau petang baru boleh buat, lusa la kot baru discharge.. bergantung kepada jadual di tempat scan la.. kalau result tu nanti takde apa-apa masalah, paling lewat, lusa mak awak boleh keluar wad." Farhan memberi penerangan lanjut. Idayu hanya mampu tersenyum mendengar khabar tersebut. Air matanya hampir menitis kerana terlalu gembira setelah mendengar keadaan kesihatan ibunya yang sudah membaik. Sejenak kemudian, barulah wanita itu kembali membalas ucapan Farhan yang berdiri di hadapannya.

"Baiklah.. Semoga kesihatan mak saya dah takde apa-apa masalah.. Kalau macam tu, saya pergi jumpa mak saya dulu." Idayu segera meminta diri untuk meninggalkan Farhan dan menemui ibunya. Dia sudah tidak sabar untuk menyampaikan berita gembira yang baru dia terima kepada ibunya nanti. Wanita itu bergegas membuka langkah dengan laju menuju ke bilik yang menempatkan ibunya. Tiba di bilik wad ibunya, Idayu melihat ibunya itu sedang menikmati hidangan makan malam yang disediakan oleh pihak hospital.

"Mak dah makan?" Idayu sekadar menyapa ibunya yang sedang menjamu selera.

"Dah datang pun kamu.. Emm.. macam biasa la, makanan hospital.. mak nak telan pun tak lalu.. kalau tak lauk ayam, mesti ikan je.. dengan sayur sikit.. dah la semuanya takde rasa.. tawar je.." Zaiton sedikit merungut dengan kualiti makanan yang disediakan oleh pihak hospital. Tenggorokannya tidak mampu untuk terus menelan semua masakan yang terasa hambar itu.

"Laa, mak ni.. dah nama pun hospital.. bukan hotel.. kat hospital ni macam-macam jenis orang sakit.. kena la jaga pemakanan.. orang kencing manis, mana boleh makan manis.. orang darah tinggi, tak boleh makan masin.. orang gastrik tak boleh makan masam.. so, mereka sediakan makanan yang cukup-cukup rasa je la.. janji berkhasiat. Nak makan sedap, sampai bila pun tak boleh keluar dari hospital.." Idayu membalas.

"Mak tahu la.. tapi kadang-kadang, nak juga merasa makan tu biar ada rasa.. ni, hari-hari makan makanan tawar, sakit jiwa juga mak dibuatnya." Zaiton lantas melepaskan tawa dan turut disusuli oleh anak perempuannya yang baru tiba itu.

"Nanti la Ayu belikan makanan kat mak.. Ah, masa kat depan tadi, Ayu ada jumpa dengan Doktor Farhan. Dia bagitahu, mungkin esok atau paling lambat pun lusa, mak dah boleh keluar dari hospital."

"Alhamdulillah.. lega mak dengar.. nanti takde la nak terus kena hadap makanan tawar ni semua.." Zaiton melepaskan sudu di tangannya lantas menutup bekas makanan yang masih tersisa, yang tak mampu dihabiskannya. Bekas makanan tersebut ditolak sedikit. Idayu pula segera mengalihkan meja makan yang merentangi ibunya yang terbaring di katil dan diletakkan meja kecil yang beroda itu di hujung katil.

"Ah, mak.. Ayu datang dengan seseorang ni.. Ayu nak kenalkan dia dengan mak. Sekejap lagi dia sampai."

"Siapa?" Zaiton mula berasa pelik. Idayu tidak terus menjawab. Perempuan muda itu mendekati Zaiton yang sedang terbaring dan memegang tangan ibunya itu dengan lembut.

"Emm.. menantu mak." Idayu segan untuk berterus terang, namun dia terpaksa juga memberitahu ibunya itu tanpa terus berselindung. Namun Zaiton pula tersenyum dan tertawa kecil. Wanita itu menyangkakan anak perempuannya itu ingin bergurau dengannya.

"Amboi, gatal dah anak mak ni.. baguslah kalau Ayu bawa orang yang Ayu suka tu jumpa mak.. Kalau dia lelaki yang baik, lekas-lekas la kahwin. Nanti mak nak tengok dulu, sesuai tak dia dengan anak mak ni." Zaiton terus melebarkan senyuman. Idayu pula mendiamkan diri. Dia dapat menjangkakan ibunya itu pasti cuma menganggap kata-katanya tadi sebagai satu jenaka. Wanita itu semakin serba salah untuk terus berterus terang. Beberapa detik kemudian, barulah Idayu kembali bersuara.

"Mak, macam mana kalau Ayu katakan.. Ayu sudah.."

"Assalamualaikum.." Tiba-tiba Adam muncul sambil memberikan salam. Idayu lantas melihat ke arah Adam dan tidak sempat menghabiskan ucapannya. Salam daripada Adam dijawab oleh Idayu dan Zaiton pada masa yang bersamaan. Sejenak kemudian, Idayu berkalih pandangan ke arah ibunya. Terlihat Zaiton masih menatap Adam dengan pandangan yang tidak berkelip. Penampilan Adam ditatap oleh Zaiton dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Adam yang sedikit gugup pula menampakkan senyuman pada bibirnya sambil menghulurkan beg plastik yang mengandungi buah-buahan yang dibimbit pada tangannya kepada Idayu. Setelah menerima beg plastik yang diberikan oleh suaminya, Idayu meletakkan plastik yang mengandungi buah-buahan itu di atas meja pada hujung katil. Wanita itu sempat mendekatkan kepalanya ke telinga Zaiton dan berbisik kepada ibunya itu.

"Inilah orangnya.. macam mana? hensem tak?"

Zaiton kembali tersenyum setelah mendengar kata-kata anak gadisnya itu. Matanya kemudian melirik kembali ke arah Adam tanpa sebarang kata-kata.

"Mak, kenalkan.. ini bos Ayu.. Adam." Idayu memperkenalkan Adam kepada ibunya.

"Saya Adam.. apa khabar mak..?" Adam langsung menyapa ibu mentuanya. Zaiton sedikit tersentak apabila anak muda itu sudah berani memanggil dirinya sebagai emak walaupun itu adalah pertemuan mereka yang pertama kali. Namun Zaiton dapat melihat dengan jelas adab sopan yang ditunjukkan oleh pemuda yang menyapanya itu. Malah dia cuba menerima lelaki yang menjadi pilihan anak gadisnya itu dengan dada yang lapang.

"Dah orang kat hospital, boleh tanya lagi sihat ke tak.. Kalau sihat, takkan la masuk wad." Idayu dengan pantas menjawab dan cuba mengusik Adam.

"Maksud saya, macam mana keadaan sekarang.. dah semakin sihat ke?" Adam yang tersipu malu segera membetulkan kembali pertanyaannya. Zaiton pula menepuk lengan Idayu, sebagai teguran agar tidak mengusik lelaki tersebut.

"Alhamdulillah.. mak dah sihat.. tadi Ayu cakap, doktor kata mungkin esok dah boleh keluar dan balik ke rumah." Zaiton menjawab pertanyaan Adam, tanpa mengetahui identiti lelaki yang sudah menjadi menantunya itu.

"Oh, ya ke? baguslah kalau macam tu."

"Mungkin esok.. tak pun lusa.. sebab esok, katanya akan buat scan dulu.. tak tahu masa mana selesai.. kalau selesai awal, boleh la balik esok.. kalau tak, lusa la jawabnya.." Idayu memberikan penjelasan yang lebih tepat.

"Takpe la esok ke, lusa ke.. maknanya mak dah sihat la kan.. alhamdulillah la.. eh, tu saya bawakan buah.. kupas la, bagi mak makan.." Adam membalas dan menyuruh Idayu mendapatkan buah yang baru dibelinya tadi dan diberikan kepada ibu mentuanya.

"Jap, sayang nak basuh sudu mak dulu.." Idayu menjawab. Namun dia segera menyedari jika dia sudah terlanjur mengucapkan kata diri yang salah di depan ibunya. Zaiton yang menyedari sebutan yang diucapkan oleh anaknya itu segera memandang ke arah Idayu dengan perasaan yang penuh tanda tanya.

"Emm..er.. aa.. saya nak basuh sudu ni dulu.." Idayu mencapai sudu yang berada di atas meja dihujung katil ibunya dan segera menuju ke arah tandas dengan laju. Dia sangat malu kepada ibunya setelah menyedari dirinya telah terlepas cakap sebentar tadi. Adam dan Zaiton pula terus melihat ke arah Idayu yang sedang berjalan meninggalkan mereka. Zaiton dapat berasakan keganjilan pada anak gadisnya itu. Padahal selama ini, Idayu sangat sukar dan tidak gemar untuk berbicara mengenai lelaki kepadanya. Bahkan sepengetahuan Zaiton, anaknya itu tidak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki malah untuk berbicara mengenai jodoh dan perkahwinan sahaja, Idayu pasti sering mengelak. Gadis itu baru sahaja bekerja di syarikat pakaian namun sudah mula menyukai lelaki yang baru dikenalinya itu. Malah dengan pertuturan Idayu yang membahasakan dirinya dengan manja kepada Adam membuatkan Zaiton semakin penasaran.

Sementara menunggu Idayu, Adam mengambil kesempatan untuk berbual bicara dan saling berkenalan dengan Zaiton. Semakin lama, Zaiton mulai suka dengan perwatakan Adam. Pemuda itu sangat sopan dan berbicara dan pandai mengambil hati orang yang lebih tua. Nada percakapan Adam yang kedengaran seakan tegas dan jelas itu menampakkan personaliti yang lelaki itu sangat berkeyakinan dan berkarisma. Sebagai orang yang lebih tua, Zaiton dapat melihat ciri-ciri seorang pemimpin dan lelaki yang budiman pada diri Adam.

Tidak lama kemudian, Idayu kembali ke sana dan perbualan mereka bertiga menjadi semakin rancak. Setelah lebih sejam mereka bersama, Adam mula meminta diri untuk pulang. Lelaki itu kini penuh dengan kegembiraan. Dia sangat senang apabila dirinya diterima elok oleh ibu mentuanya itu walaupun Adam dan Idayu masih belum berterus-terang mengenai perhubungan sebenar mereka. Namun bagi Adam, pertemuan ini adalah permulaan yang baik bagi dirinya membentuk hubungan yang lebih baik dengan ibu mentuanya nanti.

Adam mula beredar terlebih dahulu dan Idayu pula masih menangguhkan gerak langkahnya. Wanita itu masih duduk di samping ibunya. Setelah Adam keluar dari bilik, Idayu kembali bertanya kepada ibunya itu.

"Mak, macam mana dengan Adam? Mak suka tak?"

"Kenapa tanya mak pula suka ke tak.. yang nak kahwinkan Ayu.. kalau Ayu suka, mak pun sama suka je la.."

"Ish, mak ni.. Ayu kan tanya pendapat mak.. mak suka tak kalau Adam tu jadi menantu mak?"

"Mak tengok, Adam tu baik orangnya.. hensem pula tu.. dah sesuai sangat dengan Ayu.. kalau Ayu suka, jangan tangguh lagi.. cepat-cepat la kahwin.." Zaiton memberi kebenaran dan restunya kepada anak tunggalnya itu. Idayu terbungkam seketika. Perlahan-lahan genggaman tangannya merangkul lengan si ibu. Idayu menelan liur dan cuba mengumpul kekuatan untuk meluahkan rahsia yang dia pendamkan daripada ibunya selama ini.

"Mak.. emm.. Ayu sebenarnya ada benda nak bagitahu.. tapi Ayu takut.. mak terkejut.. dan marah Ayu.." Idayu mula mendapat keberanian untuk berterus terang.

"Kenapa? Ayu ada rahsia apa dari mak? Bagitahu je.. mak janji takkan marah.."

"Emm.. kalau Ayu.. contohnya la.. seandainya Ayu kahwin kahwin senyap-senyap, tak bagitahu mak.. mak marah tak?"

"Ke Ayu nak cakap, Ayu dah kahwin dengan Adam?" Zaiton cuba membuat tebakan. Idayu terkejut apabila ibunya itu seolah sudah mengetahui rahsianya selama ini.

"Macam mana mak tahu? Adam ada bagitahu mak ke tadi?" Idayu menjadi cemas dan khawatir jika ibunya itu tersinggung.

"Hah, jadi betul la Ayu dah kahwin dengan Adam? Ya Allah.. mak agak-agak je tadi.." Zaiton pula yang terkejut dengan pengakuan anak gadisnya itu. Wanita itu segera menghela nafas panjang dan cuba menenangkan dirinya.

"Mak.. sebenarnya.. ada cerita Ayu nak kena bagitahu.. tapi.."

"Cerita apa? Ayu nak cakap, Ayu dah terlanjur? dah buat benda bukan-bukan dengan Adam?"

"Astagfirullah ala azim.. mak! Ke situ pula.. Demi Allah, Ayu tak pernah buat benda tak senonoh."

"Dah tu?"

"Nanti la Ayu ceritakan.. dah lewat ni.. Ayu cuma nak mak tahu, Ayu sekarang dah kahwin dan mak dah ada menantu.. Kalau mak dapat terima, syukurlah.. Ayu risau kalau mak tak setuju je.."

"Ayu.. mak akan ikut dan terima je apa pun keputusan Ayu.. dengan siapa Ayu nak kahwin, mak serahkan semuanya kat Ayu sendiri.. tapi mak taknak Kalau Ayu kahwin sebab dah terlanjur atau sebab mengandung.. "

"Wallahi mak.. Ayu tak pernah buat apa-apa.. sampai sekarang pun Ayu dan Adam takde tidur bersama... tapi.. duduk sebilik tu ada la.. tapi tak pernah buat apa-apa selain tidur.." Idayu dengan ceroboh menjelaskan situasinya dan Adam kepada Zaiton.

"Hah? Dah kahwin tapi masih tak tidur bersama? Ayu.. seorang isteri wajib melayan suaminya.."

"Ya.. Ayu tahu.. Tapi.. Ishh, mak ni.. Mak pula yang lebih-lebih nak Ayu tidur dengan Adam tu kenapa? Mak memang suka sangat ke Adam tu jadi menantu mak?"

"Eh, ah..hahaha.. takde la.. kan kau dah kahwin dengan Adam tu.. layan la dia selayaknya sebagai seorang suami.. seorang isteri wajib taat dan patuh pada kehendak dan permintaan suaminya.. ingat tu.."

"Ya mak.. Ayu tahu.. Ayu cuma nak mak tahu je kedudukan sebenar pasal hubungan kami.. Ayu taknak dah terus berahsia daripada mak. Ayu tahu halal dan haram mak.. Mak tak payah la risau.."

"Ya lah.. lagipun Ayu pun dah kahwin.. dah terlepas dari maksiat.. cuma sekarang ni, kena taat la kepada suami.. mak cuma nak Ayu bahagia je.." Zaiton tersenyum, seraya mengelus lembut pipi anak perempuannya itu. Idayu yang gembira dengan penerimaan ibunya itu mula berkaca matanya. Perlahan-lahan, Idayu menggerakkan tangannya dan memegang tangan Zaiton yang sedang mengusap pipinya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience