KERESAHAN jelas terpapar pada wajah Adam. Dia kini sedang menunggu hasil laporan daripada doktor mengenai keadaan kesihatan Idayu. Lelaki itu terlihat seperti orang gila. Sejak tadi, emosinya sering berubah-ubah. Setelah memukul Fairuz dan Hafiz dengan teruk, Adam segera memakaikan kembali pakaian Idayu yang sudah dilucutkan oleh Hafiz. Melihat keadaan isterinya diperlakukan sebegitu, Adam mula rasa bersalah dan sangat kasihan terhadap Idayu. Lelaki itu kemudian bertukar menjadi khawatir kembali apabila Idayu masih tidak sedarkan diri. Dia terpaksa membawa Idayu ke hospital terdekat secepat mungkin untuk diberikan rawatan.
Tidak lama kemudian, doktor selesai membuat pemeriksaan ke atas Idayu. Adam yang cemas lantas mendekati doktor yang merawat isterinya itu.
"Macam mana doktor? Macam mana keadaan isteri saya?"
"Hmm.. dia tak apa-apa.. dia cuma tak sedarkan diri kerana diberikan ubat tidur dalam dos yang tinggi. Syukurlah.. dia masih bernasib baik. Kita dah berjaya neutralkan kesan ubat tu dalam tubuh dia. Silap-silap, dos yang tinggi begitu, mampu meragut nyawanya.. paling tidak, boleh menyebabkan keguguran pada kandungan dia.. Tapi alhamdulillah, sekarang kandungan dia pun selamat, takde apa-apa.."
"Alhamdulillah.." Adam memanjatkan rasa syukur di atas keselamatan isterinya dan anak mereka di dalam kandungan.
"Tak lama lagi dia akan sedar la tu.. Insyaallah takde apa-apa." Doktor itu tersenyum kepada Adam lalu meninggalkan lelaki itu sedetik kemudian. Adam pula terus menatap Idayu yang terlantar di atas katil hospital. Perlahan-lahan, dia mengelus lembut pipi isterinya itu. Dia sangat berharap agar Idayu tidak mengetahui keadaan dirinya yang hampir ditelanjangkan dan dinodai oleh Hafiz.
Mengingatkan kejadian yang baru berlaku tadi, Adam kembali menjadi beremosi. Hafiz hampir sahaja menodai isterinya malah sudah melepaskan pakaian Idayu dan melihat aurat isterinya yang seharusnya hanya dia seorang sahaja yang berhak melihatnya. Adam semakin dibaluti amarah. Sungguh, dia ingin membunuh Hafiz. Kini jiwa adam semakin meronta kegelisahan. Tangannya digenggam sekuat hati sehingga menggigil. Tidak mampu untuk terus bertahan, Adam akhirnya menumbuk dinding bangunan hospital dengan kuat. Dia perlu melampiaskan amarahnya secara fizikal agar tidak terus bersarang di dalam hati. Adam mula terbayangkan saat ketika dia hampir membunuh Hafiz dengan serpihan kaca pada leher lelaki tersebut. Dia benar-benar ingin melakukan hal tersebut. Dia ingin menghabisi nyawa lelaki durjana itu. Namun apabila terkenangkan kata-kata Shakir, Adam kembali sedar.
Adam cuba menenangkan kembali dirinya. Mujurlah Shakir cepat bertindak dan menghalang Adam daripada menghabisi nyawa Hafiz. Jika Adam membunuh Hafiz, dia pasti akan disabitkan dengan kesalahan membunuh. Jika Adam dihukum, entah apakah nasib Idayu dan keluarganya nanti, sedangkan kini Adam adalah satu-satunya lelaki yang ada di dalam keluarganya mahupun disebelah keluarga Idayu. Dia tidak ingin isteri dan keluarganya nanti ditimpa kesusahan jika Adam tidak lagi bersama mereka nanti.
Kini Adam memandang sayu wajah Idayu yang masih terlantar, tidak sedarkan diri. Dia perlahan-lahan bergerak menghampiri semula isterinya itu. Tatkala menatap wajah Idayu ketika itu, Adam merasakan perasaan kasih yang amat besar. Dia terlalu ingin melindungi wanita tersebut dan takut untuk kehilangan isterinya itu. Adam sendiri bingung. Disebabkan kasihnya kepada wanita itu, dia bahkan berubah sikap dan menjadi ganas demi melindungi Idayu. Sejenak kemudian, dia segera menyingkirkan pemikirannya itu. Adam tidak peduli. Dia tekad untuk melakukan apa sahaja demi melindungi Idayu. Dia takkan menyesal jika dirinya berubah menjadi seganas apa sekalipun untuk keselamatan isterinya itu.
"Sayang.. abang janji perkara ni takkan berulang lagi.. abang minta maaf sebab lambat baca mesej sayang.. abang minta maaf sebab lambat untuk selamatkan sayang..abang minta maaf.." Adam menggenggam tangan kanan Idayu dengan kedua-dua tangannya. Tangan isterinya itu kemudian dikucup beberapa kali. Adam kemudian merapatkan kepalanya ke wajah Idayu.
"Sayang.. tolong maafkan abang.." Adam ingin merapatkan bibirnya ke wajah isterinya. Namun hajatnya menjadi tergendala apabila Shakir muncul secara tiba-tiba.
"Encik Adam!" Shakir menghentikan langkah kakinya. Lelaki itu kemudian segera berpaling punggung, tidak ingin melihat Adam yang bersama Idayu. Adam yang membatalkan niatnya untuk mengucup Idayu mula mendengus kencang.
"Macam mana?" Adam bertanya ringkas. Shakir kemudian kembali berpaling mengarahkan pandangan ke arah Adam.
"Ah, saya dah serahkan Hafiz kat pihak polis.. tapi polis pun nak dapatkan statement daripada Encik Adam sendiri lepas ni dan nak tahu macam mana Hafiz boleh cedera sampai lunyai macam tu.. Sekarang, polis pun dah bawa Hafiz tu kat hospital ni untuk terima rawatan terlebih dahulu.. banyak tulang dia patah dan kecederaan luaran memang sangat teruk.. malah mata dia pun mungkin akan buta sebelah sebab terkena serpihan kaca.." Shakir menyampaikan laporan.
"Emm..tapi Fairuz pulak sempat melarikan diri.. sebelum polis sampai dia dah cabut lari awal-awal.." Shakir menyambung kata-kata.
"Hm..takpelah.. biar polis yang buat kerja." Adam membalas. Lelaki itu kemudian kembali melihat ke arah Idayu apabila menyedari ada pergerakan pada isterinya itu. Sedetik kemudian, Idayu mula mencelikkan mata.
"Sayang.." Adam mula teruja apabila melihat isterinya itu mula sedarkan diri.
"A..abang?" Idayu yang masih berbinar pandangannya bersuara apabila menyedari keberadaan Adam. Wanita itu cuba bangkit daripada pembaringan namun masih tidak mampu melakukannya memandangkan kepalanya masih terasa berat.
"Jangan bangun lagi.. sayang baring je dulu.." Adam menahan Idayu daripada bangkit setelah menyedari isterinya itu mengalami kepayahan untuk berbuat demikian.
"Kita.. kat mana? Apa.. yang dah jadi?" Idayu masih kebingungan dan tidak dapat mengingati apa yang telah berlaku sebelumnya.
"Sayang tak apa-apa.. kita sekarang kat hospital.. sayang cuma tak sedar tadi sebab termakan ubat tidur." Adam memberi penjelasan.
"Ubat tidur?" Idayu memerah otak untuk mendapatkan kembali ingatannya. Sejenak kemudian, wanita itu mula mempamerkan riak wajah terkejut.
"Ah, Fairuz beri sayang minum air jus delima dia sebelum tu.. kemudian sayang jadi pening.. dia bawa sayang ke hotel.. lepas tu sayang nampak Hafiz.. pengurus kat syarikat dulu.. Kemudian sayang terus tak tahu dah apa yang jadi.. kepala rasa berat, berpusing.." Idayu menceritakan semula kejadian yang baru menjelma kembali dibenaknya.
"Sayang.. sayang tak tahu apa jadi lepas tu.. sayang tak tahu diorang dah buat apa.." Idayu menjadi ketakutan. Air matanya mula bergenang dan menitis keluar dari kelopak matanya. Adam yang menyedari ketakutan isterinya itu segera mengelus lembut pipi wanita tersebut sambil menyeka air matanya.
"Tak jadi apa-apa.. sayang selamat.. abang sempat datang dan ajar diorang.. nasib baik sayang sempat mesej abang. Jadi abang segera pergi ke hotel tu.." Adam cuba menenangkan Idayu dengan menceritakan kejadian yang berlaku. Namun dia tidak sanggup untuk mengatakan jika isterinya itu sudah separuh bogel dikerjakan oleh Hafiz. Dia tidak mahu peristiwa hitam itu akan terus mengganggu fikiran Idayu pada masa akan datang. Malah Adam sendiri sangat sakit hati apabila terkenangkan keadaan isterinya itu yang sudah dilucutkan pakaiannya oleh Hafiz sebelum ini.
"Abang minta maaf.. sebab abang, sayang terpaksa jadi mangsa kegilaan Fairuz dan Hafiz.." Adam masih kesal dengan dirinya yang membiarkan Idayu bersama Fairuz.
"Dah la.. semua ni bukan salah abang.. diorang yang gila." Idayu cuba memujuk. Dia tidak ingin Adam terus merasa bersalah kerana kejadian yang berlaku.
"Sayang jangan risau.. abang dah ajar diorang cukup-cukup tadi.. Hafiz pun dah ditangkap polis, tapi sekarang dimasukkan ke hospital jugak sebab cedera teruk abang kerjakan.. cuma Fairuz je, dia sempat lari sebelum polis datang.. tapi sayang jangan takut.. abang takkan biarkan dia datang dekat kita dah lepas ni.. polis pun mesti akan buru dia sampai dapat.."Adam memberi penjelasan. Idayu hanya terangguk kecil sambil tersenyum.
"Teruk sangat ke abang pukul Hafiz tu sampai dia kena masuk hospital?" Idayu sekadar ingin tahu. Adam pula hanya tersenyum tanpa menjawab.
"Nasib baik tak mati je Hafiz tu.. lembik dia Encik Adam kerjakan.. sampai jadi macam kain buruk.. banyak tulang dia yang patah dan confirm akan terima banyak jahitan sebab luka." Shakir mencelah. Dia terkenang kembali kejadian di saat Adam mengamuk sehingga hilang kendali. Perubahan tingkah laku Adam ketika itu sangat menakutkan, sehingga kerusi kayu yang keras pun mampu patah digunakan oleh Adam untuk memukul Hafiz. Walaupun Adam terkenal sebagai lelaki yang dingin, namun Shakir sendiri tidak pernah melihat Adam mengamuk seakan orang gila sedemikian.
'Hmm.. orang yang tak bercakap banyak ni, jangan di cabar kesabaran dia.. sekali dia mengamuk, dah macam orang hilang akal.." getus hati Shakir sambil matanya melirik ke arah Adam.
Share this novel