BULAN separa bulat bercahaya di langit malam. Pemandangan langit yang cerah terlihat indah apabila dihiasi oleh gugusan bintang yang bergemerlapan. Suasana di sekitar kawasan perumahan terlihat cerah kerana dilimpahi cahaya dari lampu jalan. Suara cengkerik dan belalang bersahutan seolah sedang beradu kemerduan. Di dalam rumah, Adam dan Zaiton berada di ruang tamu, menempatkan diri mereka di sofa empuk. Zaiton fokus melihat siaran kuliah agama di kaca televisyen, manakala Adam pula ralit membaca buku. Di dapur, Idayu dan Mak Jah baru selesai mengemas selepas makan malam. Idayu kemudian membuat air teh o panas di dalam teko dan menatangnya di dulang untuk dibawa ke ruang tamu.
"Abang, minum air dulu.." Idayu meletakkan dulang ke atas meja. Teko yang mengandungi air teh o diangkat dan Idayu menuangkan air ke dalam cawan.
"Mak, jom la minum teh.." Idayu turut mempelawa ibunya yang sedang asyik menonton rancangan agama di televisyen. Sejenak kemudian, Idayu pergi menjauh dan kemudiannya kembali semula, seraya melabuhkan punggungnya ditepi Adam.
"Abang.. esok ada majlis hi tea kat dewan sebelah hospital.. anjuran Yayasan Kasih Budi.. diorang sedang cari sumbangan untuk kumpulkan dana bagi rawatan anak-anak yang ada masalah berkaitan jantung.." Idayu menunjukkan pamplet yang dia dapatkan dihospital siang tadi kepada Adam.
"Ramai dari kalangan orang yang tak berkemampuan menghadapi masalah kewangan untuk rawatan.. lagi-lagi untuk anak kecil.. sayang ingat, esok sayang nak pergi la.. bagi sumbangan sikit.. kurang-kurang, dapat la bantu orang lain sikit.. ringankan beban orang.. sayang tahu, betapa susahnya keluarga tu nak cari wang untuk rawatan anak.. sayang sendiri dah rasa dulu.." Idayu menjelaskan niat yang terbuku dihatinya.
"Baguslah kalau macam tu.." Adam membalas.
"Emm.. esok kita pergi sama-sama la.. lepas balik kerja.."
"Eh, petang esok Abang kena jumpa client.. tak tahu la masa mana selesai.."
"Pulak dah.. Hmm.." Idayu seakan mengeluh.
"Takpe.. sayang pergi dulu.. kalau sempat pergi sana, abang pergi.. emm..esok kat pejabat, sebelum pergi sana, sayang pergi bilik abang dulu.. nanti abang kirimkan cek je.. sumbangan dari syarikat untuk yayasan tu.. abang wakilkan kat sayang je la.."
"Eh, abang nak bagi sumbangan atas nama syarikat?"
"Ye la.. esok sayang je la jadi wakil syarikat, sampaikan sumbangan tu.." Adam tersenyum kepada isterinya. Sejurus itu juga dia mencapai telefon bimbitnya dan segera membuat panggilan.
"Shakir.. bagitahu HR, esok sediakan cek 300K dari syarikat kepada yayasan... yayasan apa tadi?" Adam yang berbicara di telefon sempat menukarkan perbualannya kepada Idayu.
"Yayasan Kasih Budi.." Idayu menunjukkan pamplet ditangannya kepada Adam.
"Ah, Yayasan Kasih Budi.. Saya nak cek tu ada kat bilik saya sebelum petang esok." Adam kemudian mematikan panggilan telefonnya kepada Shakir.
"300 ribu? Banyaknya.." Idayu terpegun mendengarkan jumlah yang disebutkan oleh Adam sebentar tadi.
"Duit syarikat.. bukannya duit poket abang.. duit abang ada 30 ringgit je.. untuk tujuan amal, apa salahnya bagi lebih.. lagipun 300K tu, bukannya banyak sangat.. silap-silap, hanya mampu untuk bantu 2,3 orang pesakit je.." Adam tersenyum sehingga menampakkan barisan giginya.
"Tak pun, sayang minta je dari mama.. dia lagi kaya.. mesti dia dapat bagi lebih lagi.." Adam memberikan usul. Namun Idayu segera menggelengkan kepala sambil melirikkan ekor matanya ke arah Zaiton yang sedang asyik menonton televisyen, tidak jauh dari mereka. Isyarat mata daripada Idayu itu segera difahami oleh Adam. Idayu sebenarnya tidak ingin membangkitkan nama Maizura di hadapan Zaiton agar ibunya itu tidak merasa sedih. Idayu sedar, Zaiton pasti akan berfikir secara berlebihan apabila nama ibu kandung Idayu disebut. Mujurlah ketika itu Zaiton yang terlalu ralit mendengar kuliah agama dari televisyen tidak menyedari perbualan anak dan menantunya itu. Di hati Idayu, Zaiton itu tetaplah dianggap sebagai ibunya sendiri sebagaimana sebelum ini. Kasihnya terhadap wanita itu sedikit pun tidak berubah. Malah Idayu sendiri masih tidak mampu untuk menganggap Maizura sebagai ibu kandungnya. Mungkin kerana dia baru sahaja mengenali wanita tersebut dan hubungan diantara mereka juga baru diketahui beberapa hari yang lalu. Perasaan mesra antara mereka sama sekali belum terwujud. Fikir Idayu, perasaan terhadap ibu kandungnya itu boleh dipupuk perlahan-lahan di masa akan datang. Namun keutamaan di masa sekarang adalah dia perlu menjaga perasaan Zaiton terlebih dahulu agar ibunya itu tidak terus berduka lara.
TIBA waktu petang keesokan harinya, setelah tamat waktu bekerja, Idayu segera menemui Adam di bilik suaminya itu untuk mendapatkan cek yang akan disumbangkan kepada Yayasan Kasih Budi. Setelah itu, Adam yang mempunyai janji temu dengan pelanggan syarikatnya telah menghantar Idayu ke tempat yang ingin dituju oleh isterinya itu. Adam kemudian meninggalkan Idayu untuk memenuhi janji temu dan meminta agar Idayu menantikan kehadirannya untuk menjemput isterinya itu pulang bersama.
Di dalam majlis minum petang sempena mengumpul dana itu, Idayu sempat berkenalan dan beramah mesra dengan ramai orang. Di penghujung acara, Idayu didatangi oleh Farhan. Doktor muda itu sejak dari awal sudah memerhati tindak tanduk Idayu di sana namun tidak mampu mendekati wanita tersebut kerana beberapa kekangan.
"Hmm.. banyak betul sumbangan awak kat yayasan ni.." sapaan Farhan dari arah belakang sedikit mengejutkan Idayu.
"Eh, Farhan.. haa.. baru boleh jumpa awak. Dari tadi saya nampak awak sibuk je dengan orang-orang kat sana.. Macam VIP je saya tengok awak." Idayu membalas setelah berpaling dan menyedari kehadiran kawannya itu.
"Ish, takde la sampai jadi VIP.. saya bersama orang dari Yayasan Kasih Budi, sebagai penganjur cara ni.. saya cuma jadi penasihat kepada Yayasan, selaku doktor dalam bidang Kardio.." Farhan memberi penjelasan.
"Jadi penasihat yayasan, maknanya awak tu VIP la dalam acara ni.."
"Hmm..entahlah.. Very Important Person ke, Not Important Person ke, sama je bagi saya.. Kalau saya takde pun, majlis ni tetap akan berjalan.." Farhan tersengih, cuba merendah diri. Idayu turut tertawa kecil.
"Awak datang sorang ke?" Farhan tiba-tiba mengalih topik perbualan.
"Eh, aaa.. ya.. saya datang sorang je." Idayu sedikit tergagap untuk menjawab. Dia tidak pasti untuk memberikan jawapan yang tepat kerana tadinya dia ke sana bersama Adam yang menghantarnya. Malah nanti Adam juga mengatakan dia akan hadir ke sana kembali untuk menyertai acara dan menjemput Idayu pulang bersama.
"Ayu.. betul ke awak kahwin dengan bos awak dengan kerelaan awak sendiri?" Farhan mengubah tajuk perbualan mereka yang menjurus ke arah urusan peribadi.
"Ke..kenapa awak tanya macam tu?" Idayu terkejut dengan pertanyaan Farhan.
"Saya cuma nak tahu.. sebab awak tiba-tiba menikah.. masa mak awak dalam wad hari tu, mak awak sendiri cakap tengah cari calon suami untuk awak.. dan awak sendiri cakap masa tu tak kahwin lagi.. tapi tiba-tiba awak dah kahwin dengan bos awak sendiri.. mesti ada apa-apa kan?"
"Tak..takde apa-apa.."
"Jangan nak tipu saya Ayu.. awak terpaksa kahwin sebab nak rawat mak awak kan? Awak terpaksa jadi isteri bos awak demi wang kan?" Farhan terus mendesak.
"Farhan.. jangan buat tuduhan sesuka hati awak.. tolong jangan masuk campur urusan peribadi saya.." Idayu meluahkan rasa tidak selesanya untuk membicarakan mengenai perkahwinan.
"Saya pun boleh tolong awak Ayu.. setakat nak rawat mak awak tu, saya masih mampu.. tak perlu awak korbankan hidup awak bersama lelaki yang awak tak suka."
"Apa maksud awak ni? Kita cuma kawan.. tak perlu awak nak tolong saya.." Idayu semakin beremosi.
"Tapi saya tak anggap awak cuma sekadar kawan.. saya dah lama sukakan awak.." Farhan mula memberanikan diri menyatakan perasaannya. Idayu tersentak apabila mendengar ucapan Farhan yang dianggap sebagai kawannya selama ini. Lidah wanita itu mula menjadi kelu untuk terus berbicara.
"Saya tahu, awak tak cintakan suami awak tu dan terpaksa kahwin dengan dia.. sebab tu masa kat Indonesia hari tu, awak perkenalkan dia sebagai bos awak kan? Awak tak anggap dia sebagai suami pun.." Farhan membuat telahan.
"Bu..bukan macam tu.." Idayu gagal untuk menjelaskan keadaan.
"Tolong beri saya peluang Ayu.. tinggalkan bos awak.. cerai dengan dia, kemudian awak kahwin dengan saya.. saya sanggup terima awak.. saya akan bahagiakan awak.." Farhan cuba memujuk rayu.
"Cukup Farhan!.. jangan buat keputusan untuk hidup saya. Saya dah bersuami dan saya cintakan suami saya.." Idayu memberi penegasan.
"Tidak! Awak bohong.. saya tahu awak terpaksa kahwin dengan dia.. awak tak cintakan dia pun.. lagipun awak baru je kerja kat sana.. baru je kenal dia.. tak mungkin awak akan sukakan dia." Farhab masih tidak ingin mengalah.
"Saya lebih tahu mengenai hati dan perasaan saya.. saya memang cintakan suami saya dan saya tak perlukan pendapat orang lain untuk memastikan perasaan saya sendiri.. Tolonglah Farhan.. saya pun tak cintakan awak.. saya hanya anggap awak sebagai kawan saya je.. tak lebih dari tu.."
"Jangan tipu diri awak sendiri Ayu.. padahal mak awak sendiri nak jodohkan saya dengan awak.. tolong, beri saya peluang.. tinggalkan suami awak tu.." Farhan tetap mendesak.
"Siapa kau untuk buat keputusan dalam hubungan kami?" Tiba-tiba Adam muncul dan berdiri di samping Idayu. Lantas lelaki itu merangkul tubuh Idayu, rapat ke pangkuannya. Kemunculan Adam itu membuatkan Farhan mati kata-kata.
"Aku nak ingatkan kau, jangan berani cuba-cuba nak pisahkan aku dan isteri aku." Adam bersuara tegas sambil menatap tajam ke arah Farhan. Doktor muda itu langsung tertunduk dan menjatuhkan pandangannya ke lantai. Dia tidak berani untuk bertentang mata dengan Adam yang terlihat seakan harimau yang sedang kelaparan. Farhan tahu, buruk padahnya jika dia terus berucap dan menentang lelaki tersebut.
"Abang..." Idayu bersuara lembut sambil meletakkan telapak tangannya pada dada Adam. Dia cuba menenangkan suaminya itu agar tidak bersikap ceroboh dan bertindak kasar. Adam pula masih tidak mengalihkan pandangan tajam matanya dari Farhan.
"Farhan.. dari dulu sampai sekarang, saya cuma anggap awak sebagai kawan saya.. tak lebih dari tu.. jadi awak pun jangan brrharap untuk pergi lebih jauh.. saya sekarang dah bersuami dan saya cintakan suami saya.. Kalau awak masih nak kekalkan hubungan kita, tolong.. jangan menyimpan apa-apa harapan.. saya masih boleh terima awak sebagai kawan kalau awak masih nak berkawan. Tapi jangan sesekali cuba masuk campur atau nak rosakkan hubungan saya dengan suami saya." Idayu memberikan kata putus. Kata-kata wanita itu seolah satu tamparan kuat yang hinggap dimuka Farhan. Adam sendiri masih menahan sabarnya. Jika diikutkan hati, mahu saja dia lepaskan tumbukan ke arah muka Farhan yang dianggapnya terlalu kurang ajar.
"Sayang, jom kita pergi.." Adam ingin segera beredar selagi dirinya masih mampu menahan emosi. Dia bimbang dirinya akan tidak terkawal jika terus menatap Farhan di sana.
"Ingat kata-kata saya tadi.. saya masih boleh terima awak sebagai kawan selepas ni.. tapi tolong jangan berharap lebih.." Idayu memberi peringatan kepada Farhan sebelum beredar bersama suaminya. Farhan pula terdiam kaku ditempatnya berdiri. Dia kecewa. Malah dia sendiri kesal kerana telah bertindak terlalu jauh tadi. Dia tidak sepatutnya meluahkan perasaannya terhadap Idayu. Walaupun hatinya sangat kecewa kerana ditolak, namun Farhan lebih menyesal kerana cuba merosakkan hubungan Idayu dan Adam. Malah maruahnya sendiri kini sudah mula tercalar dimata pasangan suami isteri itu.
Kini Farhan mula mengangkat pandangan matanya. Dia hanya melihat pemergian Idayu dan Adam yang semakin menjauh dari arah belakang. Tanpa disangka, tiba-tiba Farhan didekati oleh seorang wanita.
"Hmm.. perlukan bantuan? Apa kata kita bekerjasama?" Fairuz tersenyum kepada Farhan sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan lelaki tersebut. Farhan terdiam sambil menatap Fairuz yang berdiri di hadapannya.
Share this novel