PEMANDANGAN di kota Jakarta membuatkan Idayu teruja. Ini adalah kali pertama dia berada di luar negara, walaupun sekadar berpergian ke negara tetangga. Malah yang paling membuatkan Idayu teruja adalah perjalanannya kali ini merupakan satu kejutan yang diberikan oleh Adam kepadanya. Sebelum ini, Adam secara tiba-tiba mendesak Idayu untuk membuat pasport bagi dirinya tanpa diketahui alasannya. Setelah dipaksa bersiap dan menuju ke lapangan terbang, barulah Idayu tahu jika Adam ingin membawanya ke Indonesia bagi menemani bosnya itu untuk melaksanakan urusan kerja. Sebelum ini, Idayu sudah sedia maklum jika perusahaan tekstil suaminya itu sudah menembusi pasaran di beberapa negara termasuklah Indonesia. Terkadang, Idayu sangat kagum dengan hasil usaha Adam yang berjaya membawa syarikatnya itu dikenali sehingga ke luar negara hanya dalam masa sepuluh tahun sejak menubuhkan syarikat tersebut. Dengan usia Adam yang baru mececah 30an, pencapaian Adam itu dirasakan agak luar biasa bagi Idayu.
Setelah berkeliling bandar raya Jakarta, Idayu dan Adam tiba di hotel yang akan menjadi tempat penginapan mereka. Setelah menjengah ke ruang lobi hotel, Idayu menempatkan punggungnya di sofa yang tersedia di sana sementara menunggu Adam menyelesaikan urusan di kaunter pelayanan. Tidak lama menunggu, Adam kembali mendatangi Idayu dan mengajak isterinya itu untuk menuju ke bilik hotel. Bagasi mereka pula diangkut oleh seorang pekerja hotel menggunakan troli bagasi yang tersedia di hotel tersebut. Tanpa membuang masa, mereka segera menaiki lif dan menuju ke arah bilik yang akan menjadi tempat tinggal sementara mereka di sana. Sampai di depan pintu bilik, lelaki yang menjadi pekerja di hotel tersebut menurunkan bagasi pelanggannya dari troli yang ditolak olehnya sebentar tadi. Adam kemudian menghulurkan sekeping not 100ribu rupiah kepada pekerja yang telah membantu mengangkut bagasinya sebagai tip.
"Ini gede banget nilainya pak.. saya tiada wang kembalian.." Ujar lelaki pelayan dihotel tersebut, pekat dengan loghat Jakartanya. Pelayan tersebut agak terkejut kerana diberikan tip yang agak besar oleh Adam.
"Ya, gapapa.. ambil aja wangnya buat kamu. Saya tiada wang rencehan.. Anggap aja itu rezeki buat kamu hari ini." Adam tersenyum sambil membalas dengan mengajuk ucapan lelaki Indonesia tersebut. Idayu yang berdiri di sebelah Adam sedikit terbuntang matanya sambil melihat ke arah suaminya itu. Dia tidak menyangka Adam mampu berbicara seperti orang Indonesia lagaknya.
"Wah, terima kasih ya Pak.. alhamdulillah.." Lelaki yang menjadi pelayan hotel itu langsung berterima kasih kepada Adam dan tidak lupa mengucapkan rasa syukur diatas tip yang diterimanya. Lelaki itu kemudian segera berlalu pergi sambil menarik bersamanya troli bagasi yang sudah tidak mempunyai beban. Melihat lelaki itu semakin menjauh, Idayu kembali memandang ke arah Adam yang sedang membuka pintu kamar mereka.
"Wah, sejak bila pulak abang pandai cakap Indon ni?" Idayu meluahkan pertanyaan yang terkandung rasa kagum. Adam hanya tersenyum simpul sambil menolak daun pintu. Lelaki itu kemudian mengangkat dua bagasi miliknya dan Idayu dan masuk ke dalam bilik.
"Dah tiga, empat tahun duk ulang alik ke sini.. dah kenal dengan beberapa orang.. saja, cuba-cuba mengajuk cara mereka bercakap.. orang kata, masuk kandang kambing, mengembek.. masuk kandang kerbau, menguak.. kita cuba bergaul dengan mereka, ikut cara mereka.. barulah mudah rasa selesa dan senang nak mesra.. nak buat bisnes, kita kena la pandai bergaul dengan orang." Adam menjawab sambil berjalan dan mengusung bagasi di tangannya.
"Oh, dah tiga, empat tahun la abang asyik duk ulang-alik ke sini?"
"Hmm, takde la selalu.. dalam lima ke enam bulan sekali je datang jenguk-jenguk.. buat inspection kat cawangan sini.. lagipun, kita datang kali ni sebab nak tengok perkembangan semasa jugak, sebab tak lama lagi, kat sini akan ada pertandingan fesyen peringkat Asia.. jadi kena la pastikan segala persiapan dilakukan sebaik mungkin.."
"Jadi nanti kita akan datang lagi kat sini untuk pertandingan fesyen tu?"
"Kalau sayang nak datang, kita datang je.. kalau taknak, tak perlu datang pun takpe.. abang hantar wakil je."
"Kalau boleh datang lagi, nanti kita luang masa la untuk jalan-jalan kat sini pulak.. sekarang ni kita datang sebab kerja je.. tak sempat la nak jalan-jalan."
"Siapa kata kita tak boleh jalan-jalan sekarang?" Adam melirik pandangannya ke arah Idayu setelah meletakkan bagasi di tangannya pada suatu sudut di ruang kamar.
"Eh, kan abang cakap kita datang untuk urusan kerja.. nak sayang temankan je, untuk ganti Shakir.."
"Kan kita akan tinggal kat sini lima hari? Urusan kerja tu sehari dua je.." Adam pantas membalas.
"Habis tu, duduk sini sampai lima hari untuk apa?" Idayu masih tidak mengerti maksud yang ingin disampaikan oleh Adam. Dia yang masih kebingungan menatap ke arah Adam yang sedang berjalan menuju ke arahnya.
"Tiga hari lagi kita jalan-jalan la.. honeymoon kat sini.." Adam dengan pantas memeluk erat pinggang Idayu sehingga badan wanita itu sedikit terjungkit ke atas dan berjinjing kakinya. Idayu yang terkejut dengan spontan menggerakkan tangannya untuk berpaut di bahu suaminya itu. Kedua belah tanggannya kemudian perlahan-lahan diturunkan dan wanita itu menempatkan kedua belah telapak tangannya di dada Adam setelah lelaki tersebut merengganggangkan pelukannya.
"Honey..honey moon?" Idayu masih tergamam.
"Ye la.. kita dah kahwin berapa minggu, tapi masih tak honeymoon lagi.. kat sini, takde siapa akan ganggu kita.."
"Ish, ke situ pulak.." Idayu sedikit malu dengan penyataan suaminya.
"Lagipun, abang bawa sayang ke sini kali ni sebagai hadiah di atas kemenangan pertandingan hari tu.. kan sayang dah menang.. naik pangkat jadi ketua jabatan.." Adam terus memberi penerangan.
"Tapi.. keputusan pertandingan tu bukan hasil nepotisme kan? Sayang dah la baru kerja, terus dapat jadi ketua jabatan.. mesti ramai orang akan kata dan tak puas hati.." Idayu meluahkan keresahannya.
"Apa pulak nepostime? Sayang dapat jawatan tu sebab memang layak.. sesuai dengan syarat pertandingan.. siapa yang menang, dia yang akan jadi ketua jabatan. Karya sayang memang dipilih sebab memang layak.. bukan saja-saja dipilih sebab kroni.. orang lain pun memang mengakui kelayakan karya sayang tu.. lagipun, kalau abang nak lantik sayang jadi ketua jabatan terus pun takde masalah.. jangankan jadi ketua jabatan, kalau nak lantik terus sayang jadi COO ke, CFO ke, bahkan CEO sekali pun, abang boleh buat.."
"Eh, melampau la pulak.. habis tu kalau sayang jadi CEO, abang nak jadi apa? cleaner?" Idayu cuba mengusik suaminya itu.
"Hmm, jadi cleaner pun boleh.. apa nak risau.. lagipun abang adalah pemilik saham tunggal syarikat.. tak pegang apa-apa jawatan pun takde masalah." Adam menjawab sambil tersengih. Idayu terdiam seketika. Pandangan wajahya diturun menatap lantai, seolah ada sesuatu yang sedang difikirkan olehnya. Seketika kemudian, Idayu mula bersuara kembali.
"Sangat mengagumkan.. bagaimana abang mampu bina syarikat yang besar dan maju sebegitu hanya sendirian.. tanpa ada pegangan saham daripada orang lain.. sangat tak masuk akal.."
"tak ada yang mustahil.. sekarang pun abang dah berjaya buktikan.. cuma, awal-awal dulu memang perit la.. abang terpaksa tak ambil gaji dan hanya pekerjakan beberapa orang dengan gaji yang agak kecil. Kebanyakan pekerja pun abang ambil orang yang tiada pengalaman, Jadi tak perlu la bayar gaji yang besar.. dah banyak jimat.. masa tu abang kena fokuskan untuk besarkan dana syarikat semampu mungkin.. segala keuntungan disimpan untuk tambahkan dana syarikat.. bila modal semakin besar, cash flow semakin cantik, semakin mudah untuk dapatkan loan.. bila bayaran loan pun konsisten cantik, lagi senang nak buat over lap dan dapatkan loan bank yang lebih besar.."
"Oh, tapi tak boleh ke kalau tak buat loan? bukan ke rugi je duk kena bayar interest pulak kat bank?" Idayu semakin ingin tahu.
"Kalau setakat nak berniaga semata-mata, boleh je.. tapi kalau nak bina empayar, nak bentuk syarikat dengan aset yang bernilai jutaan ringgit, memang tak boleh lari dari buat loan.. kita buat loan perniagaan bukan untuk tambah modal je.. tapi untuk bina aset secepat mungkin.. semakin cepat kita mendapatkan modal yang besar, semakin cepat syarikat kita berkembang.. konsepnya sama je dengan menjual saham syarikat kepada orang lain.. jual saham, maknanya kita beri sebahagian hak syarikat kepada orang yang memberikan modal kepada syarikat.. semakin ramai orang beli saham syarikat, semakin banyak modal yang syarikat akan terima.. Begitu juga dengan buat loan.. loan tu untuk tambah modal kepada syarikat je.. kalau tak buat loan, bayangkan je la.. setiap bulan syarikat hanya mampu hasilkan 1,000 produk dengan surplus 10K keuntung setiap bulan selepas ditolak segala kos.. jadi selama setahun, syarikat hanya mampu ada 120K sahaja.. tapi kalau buat loan, dalam masa yang singkat, dah boleh dapat 500K. katakan, dengan 500K tu, syarikat dah boleh hasilkan 10K produk dan 100K keuntungan setiap bulan. Jauh beza dengan keuntungan kalau tak buat loan dan tambah modal.. malah kalau syarikat nak kumpul dana 120K setahun tu, bayangkan,.. ambil masa lebih empat tahun untuk kumpul.. Jadi dengan loan, syarikat dah jimat masa selama empat tahun.. buat over lap lagi.. syarikat akan jimat masa lapan tahun untuk kumpul dana sendiri.. lepas buat loan, buat lagi loan baru untuk tambahkan lagi dana syarikat.. ulang-ulang je macam tu, sampai abang jamil mampus.." Adam ketawa sambil melepaskan pelukannya pada pinggang Idayu.
"Hmm.. jadinya, progress syarikat abang sekarang dah 10 tahun, maknanya perlukan 40 tahun la untuk capai tahap sekarang kalau tak buat loan.." Idayu cuba mengangak.
"Mungkin lebih lagi.. abang teringat kata-kata Sheikh Mokhtar Bukhari.. orang melayu terkaya di Malaysia.. Untuk menjadi kaya, kita kena berhutang.. tapi orang melayu takut untuk berhutang.. yang peliknya, kalau berhutang untuk buat bisnes, orang kita sangat takut.. tapi kalau berhutang dengan kawan-kawan, anak-beranak boleh pulak.. pinjam ribu-ribu lepas tu buat-buat lupa untuk bayar.. masa nak pinjam, bukan main merayu sampai menangis.. bila dah dapat duit, bayang pun hilang.." Adam mula mengkritik sikap sebahagian masyarakat yang tidak bertanggung jawab.
"Abang.. pinjam seratus.." Idayu menadah tapak tangannya sambil tersengih ke arah Adam. Adam langsung mencebik bibir dan menyeluk ke saku seluarnya. Lelaki itu kemudian mengeluarkan dompetnya, lantas meletakkan dompetnya pada telapak tangan Idayu.
"Nah, ambil la banyak mana yang nak.. " Adam kemudian merebahkan badannya pada katil yang berada di sisinya.
"Wahh.. banyaknya duit.. tapi semuanya duit rupiah.. mana duit Malaysia?" Idayu bersuara ketika membelek beberapa keping duit yang berada di dalam dompet milik suaminya itu.
"Dah kita kat Indonesia sekarang, buat apa simpan duit ringgit? Pakai duit rupiah tu je la.." Adam yang sedang berbaring menatap ke arah isterinya yang masih berdiri. Idayu kemudian perlahan-lahan menempatkan punggungnya di tilam, tepat di sebelah Adam yang sedang terlentang. Wanita itu mengambil dua keping duit daripada dompet Adam dan meletakkan duit tersebut pada dada Adam.
"Ambil duit ni buat belanja kat sini.. yang ni, biar sayang pegang." Idayu menunjukkan dompet Adam yang masih tebal berisi dengan wang dan pelbagai kad, termasuklah kad kredit dan kad pengenalan diri suaminya itu. Adam yang melihat keadaan itu segera mengambil dua keping wang yang diletakkan pada dadanya.
"Hah, 200ribu rupiah je? Mana cukup.. ni lebih kurang lima, enam puluh ringgit je.." Adam merungut.
"Kalau tak cukup, nanti pergi la menyanyi kat tepi jalan.. mesti ada orang bagi duit.. orang Indon cakap apa.. pengamen? Pengamen jalanan.." Idayu mula tertawa.
"Oh, nak abang jadi peminta sedekah ya.." Adam segera bangkit dari pembaringan dan merangkul badan Idayu. Lelaki itu kemudian kembali merebahkan tubuhkan ke tilam sambil menarik Idayu bersamanya.
"Lepaskan.." Idayu ketawa kencang sambil berguling bersama Adam di atas katil.
Share this novel