Bab 28

Romance Series 101068

PULANG dari kerja, Idayu dan Adam segera ke hospital untuk menjemput Zaiton yang sudah diizinkan pulang. Untuk memudahkan urusan untuk menjaga serta merawat Zaiton yang lumpuh, mereka telah membawa ibu Idayu itu tinggal bersama di rumah Adam. Adam dapat berasakan kebahagiaan apabila dirinya diterima dengan baik sebagai menantu oleh Zaiton. Malah Adam turut membelikan sebuah katil khas bagi pesakit untuk kegunaan dan keselesaan ibu mentuanya itu.

Pada waktu malam, seperti kebiasaannya, Adam akan duduk di sofa sambil menonton televisyen setelah selesai makan malam. Manakala Idayu dan Mak Jah pula membantu merawat Zaiton selepas mereka menyelesaikan urusan di dapur. Namun pada malam itu, Adam hanya duduk di sofa sambil termenung dan mengelamun. Siaran televisyen yang terpampang langsung tidak diamati olehnya. Fikirannya melayang mengingatkan wanita yang mendatanginya di pejabat siang tadi. Kejadian yang berlaku tadi kembali menerjah benak lelaki tersebut.

"Adam.." wanita separuh usia menyapa Adam. Adam yang menoleh langsung terbeliak matanya setelah melihat susuk tubuh yang mendatanginya itu. Dia sangat mengenali wanita tersebut dan sudah lama tidak bertemu. Kehadiran wanita itu benar-benar mengejutkan Adam.

"Mama..?" Adam tergamam melihat Maizura.

"Maaf kalau kehadiran Mama ni mengganggu Adam.. Tapi Mama ada hal yang nak dibincangkan dengan Adam."

Adam segera bangkit dari kerusinya dan berjalan menuju ke arah Maizura.

"Silakan duduk dulu.." Adam menunjukkan tangannya ke arah set sofa yang berada di satu sudut di dalam bilik pejabatnya. Lelaki itu segera berjalan menuju ke arah kerusi itu dan langsung diikuti oleh Maizura. Mereka berdua kemudian menempatkan punggung masing-masing ke sofa empuk di sana.

"Ada hal apa yang Mama nak bincangkan?" Adam segera bertanya tujuan kedatangan Maizura. Mata lelaki itu terlihat redup dan riak wajahnya menunjukkan Adam seakan kemurungan.

"Pasal hal yang lepas, Mama nak minta maaf kat Adam.. Sebenarnya Mama pun kesal dengan apa yang dah terjadi.. Tapi Mama harap Adam tak menyimpan dendam.. tolong maafkan Mama dan Lia.. Mama pun tak sangka Lia sanggup buat macam tu.." Maizura mula berubah nada suaranya. Luahannya itu terdengar terisi bersama kekesalan di hati. Mendengar ucapan Maizura, Adam tersenyum sinis. Pandangan wajahnya dijatuhkan ke lantai, seraya membalas kata-kata wanita di depannya.

"Hmm.. enam bulan saya terlantar atas katil.. tergeletak macam mayat hidup.. hati saya remuk.. fikiran dah macam orang gila.. tak pernah sekali pun Lia atau Mama bertanya khabar, apatah lagi datang menjenguk.. selama masa tu, saya sendiri dah tak tahu siapa diri saya.. saya hilang arah untuk teruskan hidup.. nyaris saya menghabiskan nyawa saya sendiri.. sekarang.. selepas dua belas tahun, baru Mama datang nak minta maaf? Kenapa tidak dulu? Dulu Mama langsung tak pernah fikirkan keadaan saya."

"Adam.." Maizura mula menangis. Dia sangat kesal dengan dirinya sendiri.

"Oh, tidak.. saya silap.. Mama bukan tak pernah fikirkan pasal saya.. Mama memang ada fikir.. Sebab tu Mama hantarkan surat pemecatan saya.. Berhentikan saya dari syarikat ELBY.." Adam terus meluahkan perasaan. Maizura pula semakin mengencangkan tangisannya sambil menggelengkan kepala. Wanita itu tidak mampu membantah ucapan daripada lelaki di hadapannya itu. Adam kemudian melanjutkan lagi perbicaraannya.

"Kemudian Mama dapat menantu yang kaya.. diberikan modal untuk ELBY terus berkembang maju.. Mama gembira.. Lia pun bahagia.. bukankah begitu? Bermenantukan orang yang kaya raya.. Sekarang siapa tak kenal syarikat ELBY? Jenamanya tersohor sampai ke luar negara.. berdiri gah, gagah dipersada dunia.. itu yang semua orang nampak.. tapi yang orang tak nampak.. dibelakangnya, seorang lelaki yang teraniaya.. seorang lelaki yang tertindas, terluka.. dihapus cita-cita dan cintanya.."

"Cukup Adam.. jangan diungkit lagi kisah lama.." Maizura tidak tertahan lagi untuk terus mendengar rintihan daripada Adam.

"Ya.. kisah itu, kisah lama.. luka itu pun luka yang lama.. tapi parutnya tetap ada walau tidak berbekas.. sakitnya masih terasa walaupun darahnya tidak terlihat.. Bertahun-tahun kami berkenalan.. bercinta dan bertunang.. bahkan Mama sendiri yang menawarkan saya kerja dan tempat di dalam ELBY.. tapi akhirnya, Mama sendiri yang memecat dan mencampakkan saya setelah Lia memilih untuk bersama orang lain dan memutuskan pertunangan kami.. Apa salah saya pada Lia dan Mama? Apa salah saya kepada syarikat? Apa hanya kerana saya tidak kaya pada waktu itu? Apa saya tidak mampu menguruskan syarikat dengan baik?"

"Tapi saya juga nak berterima kasih kepada Mama dan Lia.. kerana kalian, saya yang dulunya dah jadi mayat hidup.. kemudiannya bangkit kembali dan menubuhkan syarikat saya sendiri.. Sekarang, saya akan pastikan Kencana Tekstil tidak akan jatuh kepada ELBY.. Saya akan buktikan kemampuan saya dan akan buatkan Mama menyesal kerana telah membuang saya dahulu.."

"Adam.. jangan cakap begitu.. Mama tak pernah berniat nak sakitkan Adam.. Semua yang berlaku selama ni adalah pilihan Lia.. Mama tak mampu nak halang keinginan dia.. Adam pun tahu, Lia satu-satunya anak Mama waktu tu.."

"Waktu tu?" Adam berasa aneh dengan kata-kata Maizura.

"Adam pun tahu.. Lia itu satu-satunya anak Mama.. tapi.. sekarang.. Lia pun dah tiada.. Mama dah tiada sesiapa lagi dalam dunia ni.."

"Apa maksud Mama? Apa yang dah terjadi kat Lia?" Adam terkejut mendengar pengakuan Maizura.

"Tiga bulan yang lalu.. Lia terlibat dalam kemalangan dengan suami dia di Amerika.. Mereka suami isteri meninggal kat sana.. Mama.. Mama dah tiada sesiapa lagi..  Mama tahu Adam dah berjaya dengan Kencana Tekstil.. Sebab tu Mama datang ke sini mencari Adam.. Sekarang.. Mama fikir, hanya Adam je yang mampu meneruskan legasi ELBY.."

"Meneruskan.. ELBY? Apa yang Mama mengarut ni?"

"Sekarang ni, hanya Mama yang uruskan ELBY dan memegang saham tersebar syarikat.. Mama pun dah tiada pewaris.. Mama hanya ada Adam, yang pernah jadi calon menantu Mama.. Sekarang Mama nak tebus balik kesilapan yang Mama dan Lia dah buat kat Adam dahulu.. Dulu Mama pernah berjanji untuk serahkan ELBY kepada Adam selepas Adam jadi menantu Mama.. jadi Mama nak tunaikan janji Mama tu sekarang.." Maizura memberikan penjelasan. Mata Adam terbeliak luas. Dia benar-benar terkejut dengan ucapan ibu kepada bekas tunangannya itu.

"Abang!" Idayu menepuk bahu Adam yang sedang menyandarkan belakang badannya di sofa. Sapaan daripada isterinya itu telah mengejutkan Adam daripada lamunannya. Adam yang tersentak itu menjadi kebingungan seketika apabila ingatannya mengenai peristiwa siang tadi sirna daripada ingatan.

"Abang ni kenapa? Jauh betul mengelamun.. Abang duk fikirkan pasal apa?" Idayu lantas bertanya apabila melihat keadaan suaminya yang seolah kelam-kabut.

"Tak..takde apa-apa.." Adam menggeleng kecil sebelum meraup wajahnya dengan telapak tangan kanan. Lelaki itu kemudian menghembuskan sebuah nafas panjang sambil mencelikkan matanya dengan luas.

"Jangan nak menipu.. ni mesti ada apa-apa.. Haa.. tadi ada seorang perempuan yang baya-baya mak.. pergi ke pejabat untuk jumpa abang.. siapa dia? Ada hal apa dia cari abang?" Idayu menyoal lagi. Adam sekali lagi tersentak apabila isterinya itu mengetahui mengenai kedatangan bekas calon ibu mentuanya ke pejabat.

"Dari mana sayang tahu ada perempuan datang cari abang?"

"Sayang tahu la.. sebab sayang la yang bagitahu kat mana bilik abang kat dia tadi.. saya jumpa dia kat pejabat tadi masa nak keluar makan dengan Nadia.. Dia tanyakan bilik abang.. sayang bagitahu je la.. kalau dia nak cari CEO, mesti ada urusan penting la tu.. urusan apa?" Idayu ingin tahu.

"Oh, jadi sayang la yang tolong dia.." Adam tersenyum sambil menatap wajah Idayu.

"Eh, ke dia ada cakap apa-apa kat abang pasal sayang?" Idayu cemas. Dia mula risau jika perbuatannya yang melanggar wanita tersebut disampaikan kepada Adam.

"Pasal sayang? takde pun.. kenapa pula? Sayang ada buat apa-apa ke kat dia?"

"Emm.. takde la.. mana ada sayang buat apa-apa.. sayang cuma tolong tunjukkan arah bilik abang kat dia je.. haa.. bagitahu dulu, kenapa dia cari abang?" Idayu mengulangi pertanyaannya.

"Kenapa sayang nak tahu pula? Selama ni takde pun sayang tanya apa-apa pasal orang yang abang jumpa.." Adam turut menyedari keanehan isterinya itu. Selama ini Idayu tidak pernah mempersoalkan mengenai urusan di pejabat dan dengan siapa sahaja yang Adam temui.

"Takde la.. perempuan tu nampak bergaya.. lawa.. mesti bukan orang biasa-biasa.. sayang takut, abang ada skandal dengan perempuan tua je.." Idayu sempat berseloroh kepada suaminya.

"Astaghfirullah.. ke situ pulak.. abang dah ada isteri lawa.. takkan la nak berskandal dengan perempuan tua pulak.." Adam lantas mencubit pipi Idayu sambil tertawa. Idayu pula tersenyum kecil, seraya mencubit perut Adam. Wanita itu tersipu-sipu setelah mendapat pujian daripada suaminya. Idayu sendiri tidak mengerti, entah kenapa hatinya berasa senang apabila mendengar ucapan suaminya itu. Sebolehnya, dia ingin Adam mengulangi kata-kata pujian buat dirinya.

"dah tu, siapa perempuan tu?" Idayu masih ingin tahu dan mengulangi pertanyaannya. Adam pula terdiam sejenak. Dia masih berfikir sama ada perlu berterus terang atau menyembunyikan identiti sebenar Maizura kepada Idayu. Adam sebetulnya tidak ingin membohongi isterinya itu. Namun dia juga tidak tega untuk menceritkan hubungan yang pernah terjalin diantara dirinya dengan Maizura. Adam sama sekali tidak ingin Idayu salah faham atau berkecil hati jika diceritakan mengenai hubungan pertunangannya dahulu bersama wanita lain. Malah kisah silamnya itu juga sebenarnya hanya menyingkap kembali lembaran lama yang penuh luka di hati Adam sendiri.

"Hmm.. sayang.. Kalau abang bagitahu, sayang jangan terkejut atau marah.. janji?" Adam kembali bersuara setelah diam.

"Aikk.. kenapa pula sayang nak kena marah?" Idayu masih kebingungan.

"Abang sebenarnya tak sanggup nak ceritakan mengenai perempuan tadi.. sebab akan menyangkut dan membuka kembali kisah silam abang.. abang taknak sayang salah faham atau berkecil hati.. tapi abang pun taknak terus berahsia daripada sayang.. sayang berhak tahu seluruh kisah hidup abang sama ada kisah sekarang, kisah dulu atau masa akan datang.." Adam mula bernada lebih serius. Idayu yang mendengar dan melihat riak wajah Adam itu hanya mengangguk kecil dengan mengunci mulutnya. Mata mereka saling bertentang dengan pandangan yang serius. Sejurus itu, Adam mula menceritakan kembali mengenai apa yang telah berlaku di pejabatnya siang tadi dan gerangan sebenar wanita yang menemuinya itu kepada Idayu. Walaupun Idayu sudah mengetahui mengenai peristiwa pertunangan Adam sebelum ini daripada ibu mentuanya, namun wanita itu tidak mendedahkan hal tersebut kepada Adam.

Adam pula hanya bercerita secara ringkas mengenai kisah silamnya yang pernah bertunangan. Namun Adam tetap menyembunyikan mengenai perasaannya kepada bekas tunang dan dirinya yang jatuh sakit setelah gagal dalam perhubungan sebelum ini daripada pengetahuan Idayu. Dia sama sekali tidak ingin mengungkapkan mengenai perasaannya yang pernah wujud terhadap perempuan lain kepada isterinya itu. Tidak lama kemudian, Adam menamatkan ceritanya pada kejadian yang berlaku pada siang tadi bersama Maizura. Sepanjang mendengar cerita Adam, Idayu langsung tidak mencelah dengan sebarang pertanyaan. Wanita itu benar-benar fokus terhadap setiap tutur kata yang diucapkan oleh suaminya. Setelah Adam menyelesaikan kisahnya, barulah Idayu ingin membuka mulut.

"Hmm.. jadi dia nak abang ambil alih ELBY? So, abang setuju ke?" Idayu ingin tahu keputusan suaminya. Adam pula langsung mengeluh.

"Kenapa pula abang harus terima? Abang dah ada Kencana.. Dah cukup sakit kepala untuk diuruskan.. kenapa nak tambah masalah untuk fikirkan mengenai orang yang pernah menyakiti abang? Masalah dia, dia uruskanlah sendiri.."

" Tapi.. ELBY tu kan syarikat besar.. rasanya, hanya ELBY je yang mampu mengatasi Kencana tekstil dalam negara ni sekarang.. Kalau abang ambil alih, bukan ke Abang akan jadi CEO paling besar dalam negara.."

"Abang tak perlukan ELBY untuk berjaya.." Adam yakin dengan kemampuan dirinya.

"Ya.. sebetulnya, sayang memang kagum dengan abang.. abang berjaya tubuhkan Kencana Tekstil dan menaikkan syarikat abang tu dalam masa sepuluh tahun je.. dalam masa yang sesingkat itu, abang berjaya meletakkan Kencana Tekstil sebaris dengan ELBY, Purnama Tekstil yang dah beroperasi lebih 20, 30 tahun tu.. tapi kalau abang ambil alih ELBY, maknanya abang dah mengurangkan persaingan dan akan jadi syarikat paling besar dengan menggabungkan Kencana dan ELBY.." Idayu meluahkan pendapat.

"Abang tak berminat pun dengan ELBY tu.. dan selama ni, memang abang nak naikkan Kenchana Tekstil untuk mengatasi ELBY.. Abang sebenarnya nak buktikan kepada semua orang, lebih-lebih lagi kepada ELBY, yang mereka akan menyesal kerana telah membuang abang dahulu.."

"Abang.. ada impian dan cita-cita yang tinggi tu dah bagus.. tapi jangan sesekali menyimpan dendam.. dendam dalam hati tu, ibarat bara api dalam sekam.. lama-lama boleh membakar dan memusnahkan diri.. dendam tu satu penyakit hati.. lebih baik abang jadi pemaaf dan lepaskan segala beban yang abang duk tanggung dalam hati selama ni.. lupakan semua kisah silam dan berlapang dada untuk membentuk hidup yang baru.. barulah hati akan lebih tenang, hidup pun menjadi aman.." Idayu cuba menasihati Adam. Wanita itu tidak ingin suaminya terus terperangkap dengan kenangan dan masalah lalu. Mendengarkan perkataan isterinya itu, Adam terbungkam menundukkan pandangan wajah.

"Jadi, macam mana dengan keputusan abang dengan ELBY?" Idayu bertanya lagi.

"Hmm.. tadi abang dah bagitau kat dia.. Kencana Tekstil boleh bekerjasama dengan ELBY.. tapi untuk abang ambil alih syarikat dia, memang abang takkan terima.." Adam menyampaikan pendiriannya.

"Jadi abang memang dah tak berdendam la dengan dia?"

"Macam yang sayang cakapkan.. dendam tu hanya akan merosakkan diri sendiri.. lagipun Mama tu, dia tak sepenuhnya bersalah kat abang dulu.. dia pun hanya mengikutkan keputusan anak dia je.. sekarang, anak dia pun dah tiada.. takkan abang nak berdendam dengan orang yang dah meninggal dunia dan melepaskan kemarahan kat orang lain?"

"Abang.. setiap orang yang hadir dalam hidup kita, sama ada orang baik atau orang jahat.. pasti ada hikmahnya.. Allah tak mempertemukan kita dengan orang lain tanpa sengaja.. semuanya Allah dah atur dengan baik.. kita kenal dengan orang baik, untuk kita belajar dan ambil manfaat daripada kebaikannya.. kita kenal orang yang tak baik, agar kita kenal keburukannya dan tidak ikut buat keburukan yang sama orang tu dah lakukan.. Dari pengalaman lepas, abang dah belajar bagaimana rasanya sakit apabila dikhianati.. mungkin kejadian tu adalah untuk abang belajar agar tidak berkhianat dan menyakitkan orang lain pula.." Idayu merangkul lengan Adam dan perlahan-lahan meletakkan kepalanya di bahu lelaki tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience