Bab 33

Romance Series 97025

AIR mata yang bergenang ditakungan mata Idayu kini mulai melimpah keluar dan membasahi pipi. Dia langsung tidak menyangka akan menyaksikan adegan mesra Adam dan Fairuz di dalam bilik pejabat suaminya itu. Suaminya yang kononnya sering menjauhi wanita itu rupa-rupanya mempunyai hubungan dengan Fairuz, seorang usahawati kosmetik yang terkenal. Tatkala ini, hati Idayu hancur luluh. Seketika kemudian, Idayu menyeka air mata yang mengalir di pipinya.

'Kenapa aku nak sakit hati? bukan ke perkahwinan aku dengan dia pun hanyalah lakonan dan kontrak semata-mata?' Getus hati Idayu. Dia cuba menahan rasa kecewa dan sakit hatinya.

"Maaf sebab dah ganggu Encik Adam." Idayu bersuara dan segera memalingkan badannya, seraya melangkah keluar dari bilik tersebut. Dia tidak ingin Adam dan Fairuz melihat air matanya yang mungkin akan gugur dengan lebih lebat. Idayu juga tidak sanggup untuk terus melihat adegan yang menyakitkan hati berlangsung di depan matanya.

Melihatkan Idayu yang berlalu pergi sebegitu, Adam tahu isterinya itu sudah salah sangka. Lelaki tersebut segera menolak Fairuz yang berada diribaannya sehingga wanita itu jatuh terjelepok di atas lantai. Adam lantas berdiri lalu segera berlari mengejar Idayu. Di luar bilik, Idayu yang sudah berdiri di depan pintu lif dan menekan tombol untuk turun ke lantai bawah. Adam yang kelam kabut lantas mendekati isterinya itu untuk memberi penjelasan.

"Sayang.. jangan salah faham.. dengar dulu apa yang abang nak cakap.."

"Maaf.. takde apa yang perlu saya dengarkan.. anggap je saya tak nampak apa-apa." Idayu membalas sambil matanya hanya terpaku ke arah pintu lif. Dia langsung tidak menoleh ke arah Adam yang berdiri disebelahnya.

"Please sayang.. abang tahu sayang marah.. tapi apa yang sayang nampak, tak seperti apa yang sayang sangkakan.." Adam cuba berusaha mendapat perhatian isterinya.

"Saya takde hak untuk marah.. saya sedar siapa diri saya.. awak buatlah apa yang awak nak.. saya tak patut masuk campur."

"Sayang.. jangan terlalu ikut emosi.. dengar dulu apa yang abang nak cakap." Adam semakin resah.

"Encik Adam.. antara kita hanyalah sekadar majikan dan pekerja.. Saya bukan sesiapa pun dalam hidup Encik Adam dan saya tak berhak masuk campur dalam urusan peribadi Encik Adam. Tadi, memang salah saya, sebab masuk melulu ke bilik Encik Adam. Saya minta maaf.." Idayu mengeraskan suaranya. Dia terpaksa bertindak sedemikian bagi mengelakkan air matanya tumpah sekali lagi. Dia tidak ingin Adam meihat air mata kecewanya itu.

Pada masa yang sama Idayu mula tertekan. Pintu lif masih belum terbuka. Dia tidak ingin berlama-lamaan bersama Adam ketika itu. Idayu kemudian mengambil keputusan untuk beredar dari situ dan turun ke lantai bawah dengan menggunakan tangga. Melihat Idayu yang sedang merajuk, Adam tetap mengekori isterinya itu.

"Sayang.. dengar la dulu.. abang dengan Fairuz memang takde apa-apa.. sayang kena tahu dulu siapa sebenarnya Fairuz tu.. " Adam ingin memberi penjelasan sambil mengekori jejak Idayu yang menuruni anak tangga. Idayu pula enggan mendengar dan mengabaikan Adam yang terus membuntutinya. Setelah turun satu tingkat, Idayu kembali masuk ke ruang pejabat dan meninggalkan tangga. Adam masih juga mengikuti arah Idayu tanpa mempedulikan beberapa pasang mata yang sedang melihat ke arah mereka. Beberapa orang pekerja di sana mula kehairanan apabila melihat Idayu yang berjalan dengan langkah yang laju dan diekori oleh majikan mereka.

"Ayu.. dengar dulu apa yang saya nak cakap.." Adam masih mengulangi ayat permohonannya. Kali ini Idayu tiba-tiba menghentikan langkah kakinya, lantas berpaling melihat ke arah Adam.

"Encik Adam, please stop ikut saya.. nanti apa pula orang kata bila tengok Encik Adam duk ikut saya."

"Abang tak peduli! Biar je apa yang orang nak kata.. tapi sayang kena dengar dulu apa yang abang nak cakap." Adam dengan segera membalas. Idayu tersentak.

'Gila apa mamat ni? duk cakap macam ni, nanti tak pasal-pasal orang kat pejabat ni tahu pasal kita.' getus hati Idayu.

"Encik Adam.. please.. jangan malukan saya kat pejabat ni.. ramai orang kat pejabat duk tengok kita." Idayu kembali bersuara.

"Ayu.. awak isteri saya..  kita dah menikah. Apa yang nak dimalukan? Kalau awak nak, sekarang pun saya boleh umumkan kat semua orang yang awak tu isteri saya."

"Encik Adam! Jangan melampau.. bukan ke kita dah janji takkan bagitahu orang lain pasal ni.. lagipun pernikahan kita tu cuma kontrak. Encik Adam sendiri pun ada orang lain yang Encik Adam suka.. rasanya lebih baik kita bercerai dan Encik Adam boleh hidup dengan perempuan yang Encik Adam suka." Idayu memberi peringatan dan saran.

"Perempuan yang saya suka hanya awak Ayu.. hanya awak seorang.. dan hanya awak yang akan jadi isteri saya.. takkan ada yang lain." Adam menjawab dengan perlahan sambil matanya merenung tepat ke mata Idayu. Idayu tergamam.

"Mulut kata lain.. tapi di hati pula lain.." Idayu membalas seraya berpaling dan kembali meninggalkan Adam. Tanpa putus asa, Adam terus juga mengekori isterinya itu. Rimas dengan kelakuan Adam, Idayu akhirnya mengambil keputusan untuk masuk ke dalam tandas. Dia yakin Adam akan berhenti mengekorinya setelah dia masuk ke dalam tandas wanita. Sesuai dugaan Idayu, Adam mula berhenti mengekori setelah isterinya itu masuk ke dalam tandas wanita. Namun lelaki itu masih terpacak berdiri di muka pintu tandas. Dia tetap ingin menunggu sehingga Idayu keluar dari tandas tersebut.

Di dalam tandas, Idayu mula menangis. Dia sudah tidak mampu untuk terus menahan air matanya daripada tumpah. Wanita itu berharap semoga air matanya itu dapat membawa keluar bersama rasa sakit yang sedang mencucuk di dalam hatinya. Manakala diluar tandas, Adam masih setia menanti. Hatinya penuh resah. Dia sama sekali tidak ingin Idayu sakit hati atau kecewa dengannya.

Tidak lama kemudian, Shakir yang menuju ke tandas lelaki yang bersebelahan tandas wanita itu melihat ke arah Adam. Setiausaha itu mula berasa aneh apabila melihat majikannya itu muncul tingkat sana, bahkan sedang berdiri di hadapan muka pintu tandas wanita. Fikirnya, entah apa yang ingin dilakukan oleh Adam di sana. Setelah menghampiri Adam, Shakir langsung bertanya.

"Encik Adam.. duk buat apa kat sini? Bukan ke Encik Adam sepatutnya hadir untuk meeting dengan client sekejap lagi?"

"Saya.. tunggu Ayu.." Adam segera menjawab tanpa berbasa basi. Dia tidak perlu berahsia dengan Shakir kerana setiausahanya itu sudah pun tahu mengenai hubungannya dengan Idayu selama ini.

"Habis tu, meeting tu macam mana?" Shakir pula dilanda resah.

"Biar je la meeting tu.. dia  tunggu la kalau dia nak jumpa saya." Adam berserabut fikirannya. Di kala ini, dia hanya memikirkan keadaan Idayu. Dia tidak ingin isterinya itu terus kecewa dan salah sangka terhadapnya.

"Tapi.. meeting kali ni penting  Encik Adam.. ini client besar.. bahkan menteri pun ada sekali pada meeting kali ni. Mana boleh biarkan macam tu je, apatah lagi nak cancel.. Apa pun yang terjadi, Encik Adam kena pergi juga..tak boleh terlambat." Shakir cuba memberi ingatan kepada majikannya itu. Mendengar ucapan Shakir, Adam semakin berserabut. Lelaki itu kemudian menumbuk keras dinding dengan tangannya.

"Huh, menteri pun.. takde masa lain ke.. masa macam ni la dia nak jumpa." Adam merungut.

"Tapi, kita dah arrange meeting ni dah hampir dua minggu lepas Encik Adam." Shakir cuba membetulkan fakta. Dia benar-benar bingung dengan kata-kata dan tingkah laku Adam tatkala ini. Dia tidak tahu entah kenapa majikannya itu perlu menunggu isterinya di hadapan pintu tandas sedangkan lelaki tersebut mempunyai perjumpaan penting.

"Rasanya, lebih baik Encik Adam pergi dulu untuk hadiri meeting tu.. kalau ada urusan peribadi, sebaiknya ditunda terlebih dahulu.. pentingkan urusan syarikat terlebih dahulu." Shakir memberikan sarannya. Mendengar ucapan Shakir, Adam segera mendengus kencang.

"Awak tak perlu nak ajar saya apa yang patut saya buat." Adam seakan mengancam setiausahanya itu. Melihatkan riak wajah Adam, Shakir mula ketakutan dan menundukkan pandangan wajahnya.

"Maafkan saya Encik Adam.. saya tak bermaksud untuk mengajar Encik Adam."

"Dah la.. saya pergi dulu.." Adam mengendurkan suaranya dan mula berpaling badan. Selepas mengerlingkan matanya ke arah tandas dimana Idayu berada, lelaki itu kemudian segera melangkah pergi dari sana. Shakir pula lantas menghembuskan nafas lega setelah melihat pemergian Adam. Dia tadi sangat risau jika diapa-apakan oleh majikannya itu. Lebih teruk jika dia kehilangan pekerjaannya kerana menegur majikan yang terkenal dengan sifat dingin itu. Setelah Adam hilang daripada pandangan, Shakir kemudian masuk ke dalam tandas, tempat yang sepatutnya dia tuju dari tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience