Bab 53

Romance Series 125055

NADIA yang memakai kebaya berwarna kuning berjalan melenggang lenggok di pekarangan sebuah hotel sambil ditemani oleh seorang lelaki. Matanya terpukau melihat keindahan di sekitar kawasan hotel tersebut.

Melangkah masuk ke lobi, mereka terus berjalan memasuki ke ruang dalam hotel dan kemudiannya menaiki tangga. Nadia terpegun seketika apabila melihat lukisan bersaiz besar yang memaparkan gambar kuda, tergantung pada dinding.

"Mewah betul majlis kahwin, buat kat hotel palace of the golden horses ni.." Lelaki yang berada di samping Nadia bersuara. Lelaki itu adalah suami kepada Nadia.

"Memang patut la kena buat majlis mewah, besar-besaran.. abang tengok tu, wartawan pun ramai yang datang buat liputan.. bukan biasa-biasa.. perkahwinan antara dua CEO dari syarikat gergasi dalam bidang tekstil.. perkahwinan yang akan menggabungkan syarikat ELBY dan Kencana Tekstil.." Nadia membalas kata-kata suaminya.

Tidak lama mereka berjalan, akhirnya pasangan suami isteri itu tiba di hadapan pintu sebuah dewan. Di sana, Nadia melihat tiga susuk tubuh yang menjadi orang penting dalam hidup sahabatnya.

Khadijah, Zaiton dan Maizura terlihat akrab dengan masing-masing mengenakan pakaian yang indah sambil menyambut kehadiran tetamu.

"Kat mana pengantin? tak datang lagi ke?" Nadia menyapa Zaiton dengan bertanyakan keberadaan Idayu.

"Ini kawan Ayu yang kerja sekali kat Kencana tu kan?" Maizura bertanya kembali apabila melihat kehadiran Nadia. Dia masih mengingati raut wajah Nadia yang pernah dilihatnya bersama Idayu suatu masa dahulu.

"Ya Dato' Seri.. saya Nadia." Nadia menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Ayu ada kat bilik.. tengah salin pakaian, make up.. tak siap-siap lagi.." Khadijah menjawab pertanyaan nadia sebentar tadi.

"Dengan Adam sekali hilang.. tadi ada je kat sini budak tu.. tu mesti pergi cari bini dia la tu." Zaiton tertawa kecil.

"Biasa la, pengantin baru.. tak boleh berenggang lama.." Maizura pula berseloroh dan disambut tawa hilai dari yang lain.

"Nak kata pengantin baru pun tak jugak.. Ayu tu dah lekat perut pun.. tak lama lagi jadi mak buyung dah.." Khadijah pula bersuara.

Sementara itu, di dalam bilik hotel, Idayu baru selesai di andam. Dia yang sudah lengkap memakai pakaian pengantin, bergaun putih berserta pelbagai perhiasan yang terdiri daripada emas dan berlian melihat penampilan dirinya di dalam cermin. Jari jemarinya juga sudah terhias dengan inai yang kemerahan. Idayu hampir tidak mempercayai jika dia sedang melihat dirinya sendiri di dalam cermin. Penampilannya terlihat cantik dan menawan. Dia bahkan selama ini tidak pernah termimpi untuk terlihat indah dengan pelbagai perhiasan sebegitu.

Idayu terkenangkan kembali nasib dirinya selama ini. Dia membesar dalam keluarga yang sederhana dan mula menempuhi kesukaran dalam hidup setelah ayah dan adiknya meninggal dalam kemalangan jalan raya. Selama lima tahun dia bergelumang dalam keperitan untuk menjaga dan merawat ibunya yang lumpuh. Malah dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan, sehingga kadang kala dia terpaksa juga membuat dua hingga tiga pekerjaan setiap hari demi kelangsungan hidup. Dia terlalu berjimat cermat untuk mengumpulkan wang bagi memulihkan semula ibunya yang lumpuh sehingga terpaksa mengabaikan penjagaan dan penampilan dirinya sendiri. Selama ini dia tidak pernah merasa untuk memiliki perhiasan emas yang sering di dambakan para wanita. Bahkan pakaian yang dipakainya juga hanya mampu dibeli dari pasar malam.

Namun semuanya berubah setelah dia mula mendapat kerja sebagai pembantu tadbir di Kencana Tekstil, syarikat milik Adam. Perkenalannya dengan Adam telah mengubah nasibnya sekelip mata. Lelaki yang dingin itu mula memanjakan Idayu dengan kasih sayang. Segala kemewahan mula dinikmati. Cita-citanya untuk menjadi seorang pereka fesyen juga tertunaikan. Sakit ibunya juga telah diselesaikan dengan segera. Malah pada akhirnya, tanpa disangka, melalui perkenalannya dengan Adam juga telah membawa dia menemui ibu kandungnya yang sebenar, yang selama ini tiada siapa pun yang mengetahui. Jika bukan kerana Adam, Idayu sama sekali tidak akan pernah bersua muka dengan ibu kandungnya itu.

Tidak pernah terlintas difikiran Idayu jika dirinya sebenarnya adalah anak kandung kepada seorang CEO yang kaya raya. Dia menjadi pewaris kepada syarikat ELBY, perusahaan tekstil terbesar dalam negara. Malah perkahwinannya dengan Adam juga telah menutup pintu sengketa suaminya itu terhadap syarikat ELBY milik ibunya. Dendam kesumat yang terbuku di dalam hati suaminya itu akhirnya terlerai. Terlintas di fikiran Idayu, mungkin minat terhadap rekaan fesyen yang mengalir di dalam dirinya adalah sifat yang diwarisi daripada ibu kandungnya sendiri. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Walaupun Maizura tidak membesarkan Idayu, namun sifat dan minat mereka terhadap fesyen itu mungkin terhasil daripada pembawaan genetik.

Mengenangkan segala yang telah berlaku di dalam hidupnya, mata Idayu mulai berkaca. Kehadiran Adam benar-benar telah mengubah hidupnya. Walaupun pada awalnya, Idayu tidak suka dengan sikap kasar dan dingin Adam, malah mereka berkahwin juga disebabkan sebuah perjanjian, namun perhatian daripada Adam terhadapnya perlahan-lahan menyemai bibit cinta di dalam hati. Kini Idayu terpaksa mengakui, dia sangat mencintai suaminya itu.

Sedang Idayu dibuai perasaan, tanpa disangka, tiba-tiba Adam muncul di belakangnya. Melihat kehadiran Adam, Idayu semakin sebak. Dia sudah tidak mampu untuk menahan perasaan yang sedang mengusik jiwanya. Air mata Idayu langsung gugur dan membasahi pipinya. Seraya itu juga wanita itu memeluk erat sambil menangis tersedu sedan. Dia sangat menghargai Adam dan ingin berterima kasih kepada suaminya itu kerana telah mengubah nasib hidupnya. Adam yang terkejut dengan tindakan Idayu itu pula kebingungan. Lelaki itu turut merangkul tubuh isterinya yang sedang rancak menangis.

"Kenapa ni sayang? Jangan la sedih.. sayang pun tahu kan, majlis perkahwinan kita ni mama yang rancang.. bukan abang yang nak pun.. lagipun ibu ngan mak pun ikut setuju.." Adam cuba memujuk Idayu. Namun lelaki itu tersalah sangka. Dia berfikir, Idayu mungkin menangis kerana terpaksa untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka pada hari tersebut. Padahal mereka sudah beberapa bulan berkahwin dan dari awal mereka sudah saling bersetuju untuk tidak mengadakan majlis perkahwinan bagi merahsiakan hubungan mereka. Mendengar ucapan Adam, Idayu langsung tertawa dan mengukirkan senyuman. Air matanya diseka.

"Sayang bukan sedih.. sayang gembira.. sayang bahagia sangat.. sekarang sayang dah ada tiga orang mak.. ada mak, ibu, mama.. paling sayang bahagia bila dapat suami sebaik abang.. terima kasih abang sebab dah terima sayang dalam hidup abang.. abang dah banyak ubah hidup sayang.." Idayu meluahkan perasaan yang sedang mengusik jiwanya. Adam terdiam seketika. Tangan lelaki itu mengelus perlahan-lahan badan isterinya.

"Sepatutnya abang yang kena bersyukur sebab sayang nak terima abang." Adam membalas.

"Hmm.. kalau difikirkan balik, sayang sendiri tak sangka, dulu sayang cukup gila.. sanggup untuk terima upah jadi isteri bos sendiri.. jadi isteri upahan Encik Adam.." Idayu tertawa kecil.

"Tapi sebab kegilaan tu la yang dah buatkan abang bahagia sekarang.." Adam menatap wajah isterinya sambil badan mereka masih berpelukan. Lelaki itu kemudian menyambung ucapannya.

"Abang pun tak sangka, berani upah CEO ELBY untuk jadikan isteri.. gila betul.. tak tahu la nak kena bayar berapa upah tu.." Adam mengusik Idayu.

"Emm.. pasal upah tu, sayang taknak terima duit.."

"Aik, taknak upah dengan duit? dah tu abang nak kena bayar pakai apa?"

"Sayang nak abang sentiasa ada di sisi sayang.."

"Abang janji akan sentiasa ada dan akan jaga sayang sepenuh hati abang sampai hujung nyawa.." Adam mencuit hidung isterinya itu.

"Dah la, jom la turun ke dewan.. orang dah ramai yang datang tu.." Adam mengajak Idayu untuk segera menghadiri majlis perkahwinan mereka.

"Jap.. upah bulan ni abang tak bayar lagi.. sekarang bayar deposit dulu.." Idayu segera merapatkan mulutnya ke bibir Adam. Tangan mereka pula masih saling merangkul di antara satu sama lain. Kini terasa dunia hanya dihuni oleh mereka berdua sahaja. Keasyikan cumbuan cinta membuatkan mereka seolah terlupa pada orang ramai yang sedang menanti ketibaan mereka di majlis perkahwinan mereka sendiri.

"Ish, lekat la bekas lipstik sayang.." Adam cuba menyapu bibirnya dengan ibu jari tangan bagi menghilangkan kesan gincu yang melekat pada bibirnya.

"Jangan sapu!" Idayu sengaja menyakat suaminya sambil mengulumkan senyum.

"Malu la abang kalau orang tengok.." Adam mengomel.

"Ooo.. malu ye.. sayang bini pun nak malu ke? ni, nak malu sangat.." Idayu lantas mencium pipi Adam untuk melekatkan bekas gincu dari bibirnya ke wajah suaminya itu.

"Sayang!!" Adam menjerit. Mereka berdua kemudian saling tertawa. Kebahagiaan pasangan suami isteri itu jelas terlihat. Dalam tawanya, Idayu bersyukur kerana dipertemukan dengan Adam. Sungguh, jodoh itu rahsia Tuhan. Masa perkenalannya dengan Adam sangat singkat. Namun Tuhan sudah mengaturkan, Adam akan menjadi jodohnya yang tepat. Lelaki itu dihantar untuk menghilangkan kedukaan dan memberi kebahagiaan dalam hidupnya.

-TAMAT-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience